Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Kecil Sekolah SK Rancha-Rancha

Labuan, 13 Januari 2020 – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha telah menganjurkan Kursus Pemimpin Kecil Sekolah (PKS) dan Majlis Watikah Pelantikan PKS.

Seramai 127 orang PKS yang terdiri daripada kepimpinan pengawas sekolah
seramai 37 orang, ketua dan penolong ketua kelas seramai 30 orang, pengawas
pusat sumber seramai 38 orang, pembimbing rakan sebaya seramai 12 orang dan
patrol denggi seramai 10 orang yang terlibat dan seterusnya menerima watikah
pelantikan pada hari ini.

Guru Besar SK Rancha-Rancha, Puan Norinnie binti Kassim berkata, kumpulan pelajar yang dilantik itu ialah pemimpin kecil yang berjaya menonjolkan bakat dan potensi diri.

“Kita meneliti setiap mereka dan seterusnya mengangkat sebagai seorang pemimpin yang bakal menjadi role model kepada murid-murid lain. ”

Kursus Kepimpinan yang telah diadakan pada hari sabtu 11 Januari 2020 sebagai suntikan ilmu kepimpinan supaya lebih bersahsiah tinggi, taat kepada Tuhan dan memantapkan pengurusan disiplin.

Peranan
pemimpin kecil cukup besar di peringkat sekolah dalam memikul amanah diberikan
bukan sahaja dalam membentuk disiplin malah pembentukan jati diri murid lain.

Puan Norinnie berkata, murid-murid yang dilantik sebagai pemimpin kecil di sekolah perlu diberikan pengiktirafan dan penghargaan.

“Ini kerana peranan mereka amat penting memandangkan golongan ini yang bertindak membantu pengawasan murid-murid dan menyokong kerja-kerja pengurusan sekolah. ”

“Malah murid lain juga perlu ada rasa hormat terhadap golongan ini walaupun rakan mereka sendiri. Rasa hormat tersebut adalah berkaitan tugas yang dijalankan pemimpin berlandaskan undang-undang sekolah yang ditetapkan,” Puan Norinnie Kassim

Berita Oleh : SK Rancha-Rancha




Murid SK Pekan Satu Bersarapan Pagi Bersama Bank Simpanan Nasional

Labuan, 2 Januari– Majlis penyerahan sarapan pagi percuma kepada 100 orang murid yang datang antara jam 6.30 – 6.50 pagi telah diadakan di pintu masuk sekolah. Sarapan percuma tersebut merupakan sumbangan dari Bank Simpanan Nasional (BSN).

Objektif utama program adalah untuk memangkin semangat murid-murid datang awal pada hari pertama persekolahan.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh  Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah PK Pentadbiran SKPS Puan Zailiana Binti Zainol, PK Hem SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, AJK Biro Kewangan Pibg Encik Yassin bin Tawih, AJK PIBG SKPS Encik Zulkiflie Maiden berserta  6 orang guru.

Puan Hjh Jamayah Binti Mohid (dua kiri) menyampaikan sarapan pagi sumbangan BSN sambil diperhatikan oleh ibu bapa serta murid-murid yang lain.

Dalam ucapannya, Puan Anita melahirkan jutaan terima kasih kepada pihak BSN kerana memilih SKPS sebagai destinasi program ini.

“Murid-murid  yang bertuah  menerima sumbangan sarapan ini akan lebih bermotivasi untuk  datang awal ke sekolah dan kehadiran mereka juga  dapat meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk terus berbakti dalam memastikan kemenjadian murid” Puan Anita.       

Pengarah Negeri BSN Sabah Encik Laudin bin Haji Sundang berkata sumbangan sarapan pagi ini adalah salah satu usaha bantu yang dilaksanakan oleh pihak BSN  agar murid-murid yang bertuah merasa dihargai apabila datang ke sekolah dengan lebih awal.

“Saya berharap agar  kolaborasi ini dapat meningkatkan lagi kekuatan silaturahim antara pihak BSN dengan pihak SKPS dan semoga  kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan kelak” tambah beliau lagi.

Akhir sekali, Puan Normah Binti Rahimi selaku penyelaras program melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak BSN kerana sudi memberi satu set sarapan kepada 100 orang murid yang datang awal ke sekolah.

Dari kiri Cik Noor Anirah Awang Anak, Encik Esmit bin Amat, Puan Hjh Jamayah Binti Mohid, Puan Anita Shyamini A/P S. Azman, Encik Encik Faisal bin Haji Moin, Puan Normah Binti Rahimi dan Cik Aqilah Binti Mohd Hatta.



Aktiviti Kembara Ilmu Tahun 6, SK Pekan Dua Labuan

LABUAN
– Seramai 11 orang murid dari SK. Pekan II, W.P Labuan telah berpeluang
mengikuti Aktiviti Kembara Ilmu Tahun 6 selama 4 hari, 3 malam di Sabah
pada  8 November 2019 hingga 11 November
2019 baru-baru ini. Rombongan murid-murid ini menaiki feri kenderaan dari W.P
Labuan ke Menumbok, Sabah.

Rombongan murid dan guru terus bergerak menaiki van Jabatan Pendidikan WP. Labuan  ke Kota Belud, Sabah. Mereka tiba di Nahandang , Melangkap Camp Site untuk menjalankan aktiviti seperti sukanneka, diikuti aktviti mengenal diri rakan melalui tulisan di atas kertas. Murid-murid juga berpeluang untuk mandi-manda di sana.

Seterusnya, rombongan dibawa untuk mencanting batik di Rothman Batik Sdn. Bhd, menjelajahi Borneo Ant House dan bersiar-siar di Centre Point, Kota Kinabalu Sabah.

Bukan itu sahaja, murid juga telah bersiar-siar sekitar Cowboy City, Tuaran, Crocodile Farm Tuaran serta Imago Mall.

Pengetahuan mengenai bidang-bidang kerja dan kemahiran juga didedahkan kepada murid-murid melalui lawatan di  Sabah Skill & Technology Centre,Sabah.

Berita Oleh : SK Pekan Dua

Comboy City, Tuaran



Alumni GES 1969 kunjungi semula SMK Labuan

Labuan, 2 Dis – Seramai 33 bekas pelajar Government English School (GES) 1969 hadir untuk melawat SMK Labuan dan melihat kembali bangunan lama dan kelas-kelas yang mereka pernah duduki semasa bersekolah dahulu untuk mengembalikan nostalgia zaman persekolahan mereka, 16 November lalu.

Rombongan GES yang diketuai oleh Tuan Haji Saadun Datuk Haji Fadzil seorang pesara yang kini menetap di Kota Kinabalu berkata, kunjungan ke SMK Labuan adalah sebahagian pengisian acara GES Golden Reunion 50th Celebration.

Katanya, kebanyakan peserta rombongan ini adalah bekas pelajar yang kini adalah pesara yang menetap di dalam dan luar negara.

Antaranya ialah Tan Seck Yeong (pesara di Labuan), Wong Moi Moi (pesara di Labuan), Chong Su Liam (pesara di Birmingham, United Kingdom), John Liew (pesara di Vancouver, Canada) dan Patrick Leong (pesara di Kota Kinabalu).

Selain itu, John Bryant (pesara di Brunei Darussalam), John Han (pesara di Kota Kinabalu), Peter Yong (pesara di St Alban, United Kingdom), Huan Song Ng (pesara di England) dan Robin Medrana (pesara di Perth Australia).

“Tentu sekali banyak kenangan ketika berada di SMK Labuan. Semoga SMK Labuan terus cemerlang dalam bidang akdemik, kokurikulum dan sahsiah,” kata Tuan Haji Saadun yang teruja dapat bertemu semula dengan rakan-rakannya sekali gus dapat kembali semula ke SMK Labuan.

Alumni GES tidak melepaskan peluang mengunjungi bangunan dan kelas lama mereka
Ahli rombongan menandatangi buku pelawat

Rombongan GES disambut oleh Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah, bersama guru-guru iaitu Cikgu Chua Chee Kiat, Cikgu Teo Boon Chian, Cikgu Rubaizah Basir, Cikgu Alex Liew Ten Shung dan Cikgu Wong Kam Kin.

Aktiviti ringkas dimulakan dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati daripada Saadun kepada Ismail seterusnya dibawa ke bangunan lama dan kelas-kelas mereka dahulu.

Sementara itu, Encik Ismail berharap agar jalinan antara generasi senior sekolah ini dengan SMK Labuan akan membawa manfaat dalam pelbagai bentuk sama ada perkongsian pengalaman, bantuan idea, kewangan dan material pada masa hadapan.

Beliau juga mempelawa ahli-ahli rombongan untuk mengunjungi SMK Labuan sekali lagi sempena Sambutan SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021.

“Saya mempelawa alumni SMK Labuan untuk menghadiri Sambutan SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021. Saya yakin alumni akan membantu SMK Labuan dalam pelbagai aspek,” Encik Ismail Abdullah

Pada tahun 2017, seramai lima orang bekas murid GES sekitar tahun 1950-an dan 1960-an juga telah melawat SMK Labuan.

Klik sini, berita 2017 : Imbau Nostalgia Government English School (GES) yang kini dikenali sebagai SMK Labuan

Berita Oleh : SMK Labuan

Tuan Haji Saadun memberi cenderamata kepada Encik Ismail
Alumni GES teruja teruja dapat melawat kelas lama mereka



Hari Bertemu Pelanggan SMK Mutiara Medan Interaksi Ibubapa dan Guru

Labuan, 27 Nov – Seramai kira-kira 200 ibubapa dan penjaga hadir dalam Hari Bertemu Pelanggan SMK MUTIARA yang telah diadakan pada 21 November lalu. Program yang bermula seawal jam 9.00am itu melibatkan pelaporan pencapaian murid-murid Tingkatan 1, 2 dan 4 sahaja.

Secara keseluruhan program ini berjaya mencapai objektif penganjurannya. Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim berkata tujuan Hari Bertemu Pelanggan ialah untuk memberi peluang kepada ibubapa dan penjaga murid-murid mengetahui lebih lanjut berkaitan perkembangan pembelajaran anak-anak mereka.

Pihak sekolah menyediakan empat jenis pelaporan kepada ibubapa selaras dengan pembelajaran berasaskan perkembangan seperti saranan di dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Pencapaian dalam Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah antara pentaksiran yang dilaporkan kepada ibubapa. Melalui pelaporan SEGAK, ibubapa dapat mengetahui tahap kecergasan fizikal dan Body Mass Index (BMI) anak masing-masing.

Melalui pelaporan kokurikulum yang dijana dari sistem PAJSK pula, ibubapa diberi maklumat berkaitan tahap pelibatan dan pencapaian anak masing-masing dalam aktiviti kokurikulum dan sukan secara kumulatif.

Selain itu, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga dapat memberi maklumat kepada para ibubapa tentang prestasi pembelajaran anak-anak yang dinilai secara komprehensif sepanjang tahun. Pelaporan ini menjadi pelengkap kepada markah ujian akhir tahun yang dibuat sebagai ‘assessment of learning’ atau pentaksiran tentang pembelajaran.

Selain itu, ibubapa juga diberi maklum balas berkaitan sahsiah, disiplin dan status kehadiran anak-anak mereka. Perkara ini sangat penting kerana peranan, sokongan dan galakan ibubapa amat menyumbang kepada kemenjadian murid di sekolah.

Pengetua juga turut beramah mesra dengan ibubapa yang hadir. Selain berbincang hal-hal pendidikan anak-anak, pengetua turut memaklumkan halatuju sekolah tahun 2020 secara tidak langsung dan meminta kerjasama ibubapa bersama-sama untuk meningkatkan kualiti sekolah secara keseluruhan.

Salah seorang ibubapa yang ditemui, Encik Kalong Yusup berkata pihaknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan guru-guru yang mengajar anaknya dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah jika diperlukan.

Majlis tamat kira-kira jam 12 tengahari.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Majlis Apresiasi Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha 2019 rai pengawas tahun akhir

Labuan  , 25 Nov 19  – Satu majlis jamuan akhir tahun  rasmi bertemakan Majlis Apresiasi Pengawas Pusat Sumber  sempena meraikan 12 pengawas Pusat Sumber  tahun akhir di SMK Rancha-Rancha    telah diadakan di Pusat Sumber DSDN pada 20 November lalu.

Majlis itu
bertujuan meraikan 12 pengawas tahun akhir di SMK Rancha-Rancha yang bakal
menamatkan pengajian mereka pada penghujung November  2019 dan memberi anugerah kepada pengawas ,
ibu bapa dan pelajar  yang cemerlang dalam akademik  dan penggerak aktif pusat sumber komuniti  sepanjang tahun 2019.

Guru Perpustakaan dan Media , Encik Sapri bin Idris berkata selain meraikan pengawas pusat sumber tahun akhir, majlis itu dapat menyuntik semangat pengawas yang masih di peringkat awal persekolahan  untuk sama-sama mengikuti kecemerlangan pengawas pusat sumber  yang bakal menamatkan persekolahan mereka pada hujung November ini .

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh, ketika membuat ucapan alu-aluan berkata “Semua warga SMK Rancha-Rancha berbangga dengan pencapaian Pusat Sumber DSD SMK Rancha-Rancha atas komitmen kuat para pengawas pusat sumber membantu Cikgu Sapri bin Idris dalam aktiviti  keceriaan PSS dan  pelaksanaan program sepanjang tahun. Para pengawas   berpeluang melibatkan diri pada majlis ini dengan melaksanakan tugas masing-masing dan secara langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan para pengawas pusat sumber sekolah ” katanya.

Encik Yahya ketika membuat ucapan alu-aluan

Majlis yang dianjurkan oleh pengawas pusat sumber  Sesi 2019 dengan kerjasama pihak pengurusan Pusat Sumber Sekolah DSDN  dan Bahagian Hal Ehwal Murid  itu turut dihadiri oleh Bapa Angkat SMK Rancha-Rancha iaitu Dato Sri Mohd Alias bin Haji Abdul Rahman, Penaung Pusat Sumber Dato Sri Hajah Norsiah binti Abdullah, Ketua  Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Dato Haji Abdul Rahman serta ahli komuniti pusat sumber sekolah.

Sebanyak lima  anugerah utama iaitu Anugerah Penggerak Pusat
Sumber Komuniti, Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Pengharagaan Pengawas Pusat
Sumber , Anugerah Pengawas Pusat Sumber Terbaik, dan Anugerah Keseluruhan
Pengawas PSS Tingkatan Terbaik, telah disampaikan kepada pengawas pusat sumber
dan ahli pusat sumber komuniti   yang
cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum , sahsiah serta pengurusan
dalam PSS.

Anugerah Pengawas Pusat Sumber Cemerlang Akademik  berjaya diraih oleh pelajar tahun akhir, Saudara Muazam bin Hazim. Anugerah itu merupakan anugerah utama Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha  yang diberikan kepada pelajar yang memenuhi kriteria cemerlang dalam PT3 dan peperiksaan percubaan SPM. Selain itu Saudara Pg. Azmilshah bin Azmishah telah menerima Anugerah Tangan Emas, Saudara Mohd Anas bin Hamzah telah menerima Anugerah Media Sosial dan Saudara Raziq bin Mat Kilau telah menerima Anugerah Ikon Rancha’s FM .

Cikgu Sapri Idris GPM SMK Rancha-Rancha bersama pengawas yang diraikan

Pada tahun ini Saudara Nasrullah Hanudin telah menerima Anugerah Pengawas Pusat Sumber Terbaik yang mana kriterianya mempunyai kesetiaan tinggi kepada PSS, mempunyai dedikasi kepimpinan dan kredibiliti, banyak menyumbang tenaga dalam menjayakan setiap aktiviti PSS , tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib. Anugerah Pengawas Pusat Sumber Terbaik Keseluruhan Tingaktan telah dimenangi oleh pengawas PSS Tingkatan 1. Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh saudari Anes Farisha.

Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha  merupakan antara pusat sumber  yang terbaik  di Malaysia. Pernah meraih tempat kelima 2016 dan keempat 2018 di peringakat Kebangsaan dalam pertandingan Anugerah Pusat Sumber Cemerlang  anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia juga menerima penarafan Pusat Sumber 5 Bintang oleh Kementeriaan Pendidikan Malaysia.

Berita Oleh : Encik Sapri Bin Idris, SMK Rancha-Rancha

Tetamu jemputan yang hadir Bapa Angkat SMK Rancha-Rancha iaitu Dato Sri Mohd Alias, Dato Sri Hajah Norsiah dan En. Awang Marten
En Azmishah Ag. Jamek Penerima Anugerah Penggerak PSS DSDN Komuniti 2019




Kem Kepimpinan Pengawas SMK Mutiara Membentuk Jatidiri Pemimpin Muda

Labuan, 23 Nov – Badan Pengawas SMK Mutiara telah menganjurkan Kem Kepimpinan Pengawas bagi tahun 2019 bertempat di Pusat Kokurikulum Kg Ganggarak W.P Labuan. Kem yang berlangsung pada 20 hingga 22 November lalu telah ditaja sepenuhnya oleh PIBG SMK Mutiara.

Seramai 30 orang calon pengawas terlibat dalam kem ini yang terdiri daripada 12 orang peserta lelaki dan 18 orang perempuan. Semua aktiviti telah dikendalikan oleh 16 orang fasilitator yang terdiri pengawas-pengawas senior.

Peserta kem telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang dibimbing oleh 2 orang fasilitator setiap kumpulan. Aktiviti-aktiviti sepanjang kem berlangsung telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Pengawas iaitu adik Muhd Amsyar Dzulqarnain Bin Amirullah (T.4) dan Timbalan Pengawas 1 adik Mohd Afiq Zulfadhli Bin Jafar (T.4).

Manakala Ustazah Rohani Binti Tali @ Md Ali bertindak sebagai kem komandan dibantu oleh Ketua Guru Pengawas Pn Maslinda Binti Mat Jan, Ketua guru disiplin En Yunos Bin Arsad dan Timbalan Kem Komanden Cg Zulrida Binti Ismail yang juga Jurulatih Kanan Puskowila.

Menurut Ustazah Rohani, kem ini bertujuan untuk meningkatkan jati diri dan keyakinan seorang pengawas terutama ketika menjalankan tugas. Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana sepanjang kem ini berlangsung semua peserta telah melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dirancang dengan penuh dedikasi dan berjaya melaksanakan semua tugasan yang diamanahkan.

Kem selama 3 hari 2 malam yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti membentuk jati diri dan kepimpinan. Antaranya ialah aktiviti latihan kecergasan, bengkel LDK, amali keagamaan, ikhtiar hidup dan khidmat masyarakat.

Pengawas SMK Mutiara juga bekesempatan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah warga emas

Selain itu, peserta kem juga didedahkan dengan bengkel pengucapan awam yang dikendalikan oleh Tn Hj Minggu Bin Amat, Jurulatih Sukan di SMK Mutiara yang juga bekas guru kaunseling.

Peserta kem juga teruja apabila mereka dibawa ke kampung-kampung sekitar kawasan kem untuk melaksanakan khidmat sosial termasuklah bekerjasama dan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah warga emas.

Sambil melaksanakan kerja amal, mereka turut sempat membuat temuramah dan beramah mesra dengan ketua kampung Ganggarak, Encik Rahmat bin Haji Ali dan Ketua Kampung Lubok Temiang, Encik Khalid bin Mohd Saniff. Selain itu, seorang penduduk Kg Lubok Temiang, En Aspan Bin Ngadi dan 2 orang warga emas iaitu Pn Hajjah Dayangku Isah Binti Pengeran Omar dan Pn Dayang Tangah Binti Daud turut juga di kunjungi dan disantuni.

Setiap kumpulan diwajibkan membuat laporan dan membentangkan hasil dapatan, pengalaman dan pengajaran setiap kali selepas berakhirnya sesuatu aktiviti. Kaedah ini untuk melatih para peserta membuat penilaian dan refleksi terhadap perkara-perkara yang dialami dan dipelajari.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Mutiara En Mohd Nizam Bin Yasim. Dalam ucapannya, beliau berharap agar semua pengawas dapat melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan tegas dan amanah. Sebagai seorang pemimpin muda, mereka harus tabah dan berani dalam membantu guru menguatkuasa undang-undang dan peraturan-peraturan sekolah.

Beliau juga berpesan kepada semua peserta tentang peripentingnya mengamalkan rukun negara sepanjang masa dan bukannya dihafal semata-mata.

Ucapan perasmian penutup oleh Encik Mohd Nizam

Di akhir majlis, beliau turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada peserta kem yang telah berjaya menunjukkan komitmen, semangat dan kerjasama yang tinggi. Adik Mohd Ifhan Alip Bin Noor Azmil (T.3) dan Adik Siti Aisyah Binti Abdullah (T.3) telah dipilih sebagai peserta terbaik kategori lelaki dan perempuan. Manakala Adik Muhd Mifzal Bin Mohd Rapi (T.3) dan Adik Mohd Izzat Bin Mohd Jais (T.2) telah dipilih sebagai fasilitator paling komited.

Sementara itu, adik Muhd Amsyar dan adik Mohd Afiq Zulafdhli turut dihargai atas usaha keras mereka mengendalikan kem ini dengan bersungguh-sungguh.

Pihak penganjur juga tidak melupakan jasabaik dan kerjasama Ketua-ketua dan penduduk kampung terlibat dengan menyumbang hamper berbentuk makanan dan minuman kepada wakil mereka iaitu Encik Aspan.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Penyampaian hadiah kepada para peserta yang menunjukkan komitmen yang tinggi



Murid-murid Program Pendidikan Intregrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI)  SMK Mutiara WP Labuan Dirai Dalam Jamuan Akhir Tahun

Labuan, 21 Nov – Seramai 58 murid PPKI dan PPI SMK Mutiara telah diraikan dalam majlis jamuan akhir tahun bertempat di salah sebuah restoran di pusat bandar pada Khamis. Jamuan yang bermula jam 2 petang telah dianjurkan oleh Guru-guru Pendidikan Khas dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) SMK Mutiara.

Puan Roslaniah binti Zainal, Penolong Kanan PPKI berkata majlis ini bertujuan untuk memberi kegembiraan kepada para murid-murid setelah melalui proses pembelajaran bagi tahun ini. Selain itu, majlis ini juga diadakan untuk menghargai komitmen murid, guru dan PPM sepanjang tahun 2019. Majlis ini turut dihadiri oleh En. Mohd. Nizam Bin Yasim, Pengetua SMK Mutiara WP Labuan.

Puan Roslaniah juga telah menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum jamuan bermula. Beliau menyarankan agar semua murid PPKI menggunakan masa cuti sekolah ini sebaik mungkin dan bersedia untuk sesi persekolahan pada tahun hadapan. Beliau juga berharap agar murid-murid PPKI yang akan menamatkan persekolahan tahun ini terus berjaya dalam apa jua perkara yang diceburi.

Majlis jamuan dimulakan dengan bacaan doa oleh Adik Mohd. Jayrin B. Berjaya dan seterusnya menikmati jamuan yang telah disediakan. Sejurus kemudian,  sesi cabutan bertuah pusingan pertama telah dibuat oleh oleh Pn. Roslaniah Bt Zainal. Sesi cabutan bertuah kedua dan ketiga diteruskan lagi dan disampaikan oleh Pn. Masitoh, Pn. Nurul Hidayah dan Cik Nurazimah. Penyediaan hadiah cabutan bertuah disumbangkan oleh Guru dan PPM.

Pihak restoran juga telah memberi kerjasama yang baik dengan menyediakan juruacara dan juga acara-acara menarik sepanjang majlis berlangsung. Paling menarik perhatian ialah maskot chipmunk setinggi 6 kaki turut sama-sama meraikan murid-murid.

Kegembiraan jelas terpancar dari wajah murid-murid ini dengan peluang yang disediakan oleh guru-guru dan PPM PPKI SMK Mutiara. Mereka berasa teruja dan berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Majlis berakhir jam 4.00 petang dan semua murid diambil oleh ibubapa/penjaga masing-masing.

Berita Oleh : SMK Mutiara




SMK Mutiara Terima Dua Anugerah Teknologi Pendidikan Peringkat W.P. Labuan 2019

Labuan, 20 Nov – Seramai 5 murid SMK Mutiara menerima penghargaan dalam Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2019 yang diadakan di bangunan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) yang berlangsung pada 19 November 2019.

Mereka yang menerima penghargaan hari ini  ialah Adik Darryiell Karllen, Adik Melvane Chew, Adik Amberly Shannon Koh, adik Connie Yap dan adik Nur Hamisha binti Hamdan yang telah berjaya menjadi Johan dalam pertandingan National ICT Security Discourse (NICTSeD) CyberSAFE Challenge Trophy peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang telah diadakan pada Julai lalu.

NICTSeD merupakan salah satu program keselamatan cyber di sekolah yang bertujuan untuk mendidik serta mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu-isu teknologi dan sosial yang dihadapi oleh para pengguna internet terutamanya mengenai bahaya semasa berada atas talian (online).

Mereka telah menerima sebuah tropi dan sijil penghargaan individu atas kejayaan ini. Adik Darryl yang ditemui telah melahirkan rasa gembira atas penghargaan ini dan menjadi pencetus semangat untuk melaksanakan yang lebih baik dalam pertandingan tahun depan.

Gambar Kenangan : Tuan Haji Shafruddin, Encik Raisin Saidin, Encik Mohd Nizam bersama Guru Penyelaras Bestari dan Pelajar SMK Mutiara

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang menerima penghargaan hari ini dan telah mengharumkan nama sekolah.

“Peranan guru ialah sebagai pembimbing murid-murid dalam apapun aktiviti yang diceburi. Mereka membuka ruang, memberi peluang kepada murid dalam proses membentuk kemenjadian murid secara holistik. Guru-guru perlu bersungguh-sungguh dalam usaha mengangkat martabat dan harga diri murid melalui pelibatan dalam aktiviti luar bilik darjah” Encik Mohd Nizam Yasim.

Mereka juga telah mewakili W.P. Labuan ke peringkat kebangsaan pada Jun lalu di Pahang namun hanya mampu meraih saguhati sahaja.

Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan anjuran Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri kali ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM, Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin.

Turut hadir di majlis ini ialah Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, Ketua Penolong Pengarah SSTP, Encik Ag Marten bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Teknologi Maklumat, SPMICT, Encik Mohd Nazrien bin Abdul Rahman.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Fakulti Sains Dan Sumber Alam UMS Kongsi Ilmu Dengan Murid SK Pekan Satu

Labuan, 19 November
2019- Sekolah Kebangsaan Pekan
Satu (SKPS) Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi telah menerima rombongan
lawatan dari pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu, Selasa
lalu. Rombongan seramai 24 orang yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti
Sains dan Sumber Alam, Dr Chee Fuei Pien itu berada di SKPS bermula jam 9 pagi
sehingga 11.30 pagi.

Menurut Dr Chee Fuei Pien, lawatan ini
merupakan lawatan bersifat muhibah untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan
dalam kalangan pelajar UMS dan guru-guru SKPS di samping dapat meningkatkan
lagi ilmu khususnya mengenai ilmu pendidikan dalam kalangan mahasiswa.

Ketibaan rombongan lawatan ini disambut meriah
oleh Guru Besar SKPS, Anita Syhamini A/P S. Azman bersama Pegawai Perhubungan
Sekolah ASP Amy Dasni Danial. Turut menyambut mahasiswa UMS itu ialah
Penolong-penolong Kanan SKPS, Zailiana Zainol (PK Pentadbiran), Normah Rahimi
(PK HEM), Esmit Amat (PK Kokurikulum) dan 23 guru tahun 6 sebagai tanda
sambutan kasih muhibah yang tidak terhingga kepada rombongan pelawat.

Dalam berkongsi kaedah serta teknik pengajaran
dan pembelajaran yang lebih efektif dan sinonim dengan dunia pendidikan yang
bersifat global, rombongan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) juga disajikan
dengan beberapa aktiviti seperti melawat kawasan sekolah SKPS dan galeri seni
yang dinamakan sebagai The Re-Born Of SKPS Art Gallery.

Mereka turut menyaksikan pameran seni seperti
hasil cantingan batik MBK (Murid Berkeperluan Khas) dan kertas lukisan serta
hasil kreativiti MBK SK Pekan Satu yang dilaksanakna bersama guru serta corak
yang menarik pada baju dan kasut dan pelbagai lagi yang ada di galeri seni
SKPS.

Di samping itu, mahasiswa bukan sahaja berkesempatan beramah mesra dengan murid-murid SK Pekan Satu malah sempat menyajikan motivasi kepada 150 murid-murid tahun 6 yang diadakan di Dewan C.U.N SK Pekan Satu. Jelajah muhibah ini dapat membantu percambahan dan kolaborasi ilmu pengetahuan dalam kalangan guru-guru serta mahasiswa khususnya yang berteraskan kepada pengajaran dan pembelajaran.

Wakil murid bersemangat bersoal jawab dengan pelajar UMS semasa sesi motivasi dijalankan

Anita Shyamini A/P S. Azman berharap agar
lawatan muhibah seperti ini dapat memupuk ikatan silaturrahim akan terus
terjalin dan berkesinambungan sebagai salah satu wadah kemenjadian murid pada
masa hadapan sesuai dengan kelestarian akademik yang lebih berkualiti. Beliau
juga berharap agar guru-guru di sekolah ini dapat menelusuri dan
mengaplikasikan kaedah baru dalam usaha mendidik murid-murid serta mampu
mengharmonikan sikap positif agar sebati dalam kehidupan seharian dalam arus
dunia pendidikan yang semakin mencabar.

Akhir sekali, penyelaras program Nor Atirah Ahmad mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SKPS kerana sudi menerima jelajah muhibah ini. “Kami amat teruja kerana diberi peluang untuk membantu guru-guru menyusun atur bilik Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang kini dalam proses dinaiktaraf,” tambah beliau lagi.

Alumni SKPS Muhammad Aqif Bashah Mohd Zalfa (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada wakil murid bagi menghias bilik PSS sambil diperhatikan oleh Nor Atirah Ahmad (kanan) dan Dr Chee Fuei Pien (dua kiri).
Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Chee Fuei Pien sambil diperhatikan oleh Zailiana (kiri), ASP Amy Dasni dan Nor Atirah Ahmad (kanan).