Sambutan Hari Raya Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan
Labuan – Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan telah mengadakan Sambutan Hari Raya yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum dan berkongsi kegembiraan merayakan Hari Raya antara pelajar dan guru di sekolah ini pada 21 Jun lalu.
Sambutan yang bermula seawal 7.45 pagi itu telah dihadiri oleh Dato’ Sri Hj Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan, merangkap Bapa Angkat Korporat SMK Labuan dan Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah, barisan penolong kanan, guru-guru dan pelajar-pelajar tingkatan enam di sekolah tersebut.
Sebanyak 15 buah gerai dibuka dengan menghidangkan pelbagai juadah yang diusahakan sendiri oleh pelajar-pelajar 14 kelas dan sebuah gerai gabungan guru-guru Pusat Tingatan Enam.
Turut diadakan pertandingan Pakaian Raya, Pertandingan Sate Beast, Pertandingan Gerai Terbaik dan Persembahan Lagu Raya.
RIMUP Raya dan Program DWEN Mengeratkan Perpaduan Warga SK Sungai Bedaun
Labuan- Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Sambutan Aidilfitri dan Program Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) 14 jun lalu, menyaksikan keakraban antara murid, guru, ibu bapa, pekerja am, PIBG dan masyarakat sekitar tanpa mengira latar belakang dalam suasana yang sungguh meriah dan berwarna-warni.
Program RIMUP yang diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk mempertingkat dan menyuburkan semangat
kerjasama antara kaum sebagai pemangkin kepada perpaduan nasional.
Menurut Pn Dg. Sarifah Binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, Program RIMUP Aidilfitri dan DWEN yang diadakan di SKSB bertujuan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat setempat bersama warga sekolah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama.
“Kita berharap melalui program sebegini dapat melahirkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah di kalangan murid-murid dan masyarakat setempat secara sedar dan terancang. Suasana seperti ini sudah pasti dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid yang pelbagai kaum di sekolah ini”. Katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Katanya lagi, “RIMUP khas sempena perayaan kali
pertama dianjurkan untuk tahun ini pada 11 Februari lalu bagi sambutan Tahun
Baru Cina manakala kali ini pula sempena Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini
memang sangat dinantikan oleh murid-murid malah guru-guru juga . Ia adalah
inisiatif yang baik bagi menanamkan semangat keakraban antara satu sama lain
tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama”.
“Tahniah kepada Unit Hal Ehwal Murid (HEM) kerana dapat merancang aktiviti ini dalam jangka masa yang singkat. Majlis ini perlu dilaksanakan di sekolah supaya murid-murid dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya dan merasai kepelbagaian budaya dalam masyarakat yang berbilang bangsa sebagaimana termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 iaitu ‘Membina Negara Bangsa”. Ujarnya lagi.
Puan Dg.Sarifah (Berdiri lapan dari kanan), Fam Siat Ling (berdiri lapan dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ibubapa, guru-guru dan murid-murid semasa majlis Rimup Aidilfitri diadakan.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran dua orang warga emas yang diundang bagi Program DWEN iaitu Pn Aishah dan Pn Rokiah. Mereka telah menunjukkan cara menganyam ketupat yang merupakan juadah istimewa di hari raya. Murid-murid dan guru-guru begitu teruja mempelajari cara menganyam ketupat.
Bagi mengaplikasikan sesi pembelajaran tersebut, pertandingan menyanyam ketupat telah diadakan dengan disertai seramai 20 orang murid tahun 4, 5 dan 6. Johan pertandingan ini adalah kumpulan 4 yang disertai murid tahun 5 Baiduri. Naib johan disandang oleh kumpulan 6 daripada kelas 6 Baiduri manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan 7 daripada murid tahun 6 Delima.
Pertandingan “Glamour Raya” yang disertai 44 orang murid turut diadakan. Murid-murid begitu bersemangat memperagakan pakaian mereka dengan dihiasi hiasan yang sangat menarik.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh tetamu jemputan iaitu Sarjan Fam Siat Ling, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Pn Wiwik Iswandari Binti Sudirman Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pasangan adik beradik Puan Aisah Hj Ibrahim dan Puan Rokiah Hj Ibrahim dan En Rosmani Bin Puteh, Ketua kg. Sg Bedaun.
Pelbagai juadah yang beraneka jenis dan lazat disediakan oleh ibu bapa dan guru-guru untuk dinikmati oleh anak-anak SKSB“Booth” PIBK menjadi tumpuan oleh ibu bapa dan guru-guru untuk menikmati juadah yang sungguh lazat. Kelihatan KK Rosmani (tiga dari kanan) , Wiwik dan Sarifah bersama AJK Pibg.
Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya Penggerak IbuBapa dan Komuniti (PIBK) yang diterajui oleh Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman yang turut sama menyediakan ‘booth’ juadah raya bagi memeriahkan suasana sambutan Rimup Raya di SKSB.
Begitu juga ibu bapa dan guru-guru yang telah menyumbangkan juadah untuk dinikmati oleh anak-anak dan warga SKSB. Semoga para dermawan sekalian diluaskan rezekinya serta dimudahkan urusan hariannya.
Selamat Hari Raya Minal Aidil Wal Faiizin, Maaf Zahir dan Batin.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
“Sedondon Raya”, Dg. Sarifah ceria bergambar bersama murid-murid yang mengenakan tema warna yang sama.
Empat Murid SK Pantai Terima Sumbangan Maqis
Labuan,28 Mei – Seramai empat orang murid Sekolah Kebangsaan Pantai telah menerima sumbangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pejabat MAQIS Labuan di sekolahitu.
Mereka ialah Intan Farhani Minggu (Murid PPKI), Nur Shameera Fadillah(MuridPPKI), Nur Qashrina Farzana Mohd Fatmehiswan(Tahun 3) dan Dalna Balqis Bt Abdullah (Tahun 2).
Sumbangan berbentuk bahan mentah seperti beras, minyak, biskut dan lain-lain diterima murid berkenaan.
Program itu dianjurkan Pejabat MAQIS Labuan dengan kerjasama Unit Integriti, Ibu Pejabat MAQIS Putrajaya, Biro Kebajikan PUSPANITA serta Kelab Sukan dan Kebajikan MAQIS.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pauld Johnny yang mewakili Pengarah MAQIS Labuan Nazrul Azman Bin Mat Rahim.
Turut hadir, pegawai-pegawai MAQIS Labuan Basran Dan Gudan Lisa Micheal serta Guru Besar SK Pantai Mahani Hussin, Azlina Abdol Garip (PK HEM) dan Halifah Salim (PK PPKI).
Program itu bertujuan memupuk nilai-nilai murni serta budaya berkongsi nikmat rezeki yang ada kepada masyarakat sekeliling sebagai tanda mensyukuri rezeki yang diperolehi dan dalam masa yang sama mengambil peluang untuk mengumpul saham akhirat.
Sementara itu, Mahani merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak MAQIS kerana sudi menyampaikan sumbangan kepada murid-murid SK Pantai yang terpilih.
Penerima sumbangan NurQashrina Farzana Mohd Fatmehiswan bersama ibunya.
DISEDIAKAN OLEH,
Pasukan Media
SK Pantai, W.P.Labuan
Majlis Penutupan Ihya Ramadhan SKK Rancha-Rancha
Labuan, 24 Mei – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan majlis penutupan Ihya Ramadhan yang bertempat di dewan sekolah. Majlis dirasmikan oleh Puan Zaliha binti Mohd Salleh yang merupakan Pegawai Angkat Sekolah. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan adalah Program Ihya’ Ramadhan, Tadarus Quran, Iftar Jama’ie, Solat Hajat dan Majlis Bacaan Yaasin UPSR 2019, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) yang disampaikan oleh murid dan kutipan derma atau galakan bersedekah (Tabung Ihya’ Ramadhan).
Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata pelbagai aktiviti yang telah dijalankan bagi melahirkan murid dan warga SKRR yang mengimarahkan bulan Ramadan dan sentiasa memanfaatkan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT serta menyedarkan diri tentang adanya balasan baik daripada Allah dalam setiap usaha mendekatkan diri kepada-Nya. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam memberi sumbangan kewangan, masa dan tenaga bagi memastikan program sepanjang Ramadan ini berjalan dengan baik dan lancar.
Manakala, Puan Zaliha dalam ucapannya berkata, program itu sangat memberi manfaat kepada murid dan guru memandangkan Ramadan bulan yang Allah janjikan kepada seluruh umat manusia untuk mendapat pahala berlipat kali ganda.
Majlis diteruskan dengan khatam Quran yang disertai seramai 36 orang murid tahun 6 kerana berjaya khatam 30 juzuk al-Quran semasa program tadarus yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim, peserta tadarus al-quran, peserta tadarus dan peserta kuliah tiga minit. Seterusnya, penyampaian hadiah pemenang pertandingan mewarna dan kuiz Ramadan. Majlis diakhiri dengan penyampaian duit raya daripada guru-guru kepada murid-murid.
SEMARAK KASIH RAMADHAN, KAMI SAYANG KAMU, Mengimarahkan Program Ihya’ Ramadhan SK Sungai Bedaun
Labuan – Seramai 692 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) mengimarahkan Majlis Semarak Kasih Ramadhan sempena Penutupan Program Ihya’ Ramadhan 2019 yang diadakan di Dewan Permata sekolah tersebut pada 21 Mei lalu.
Majlis Semarak Kasih Ramadhan merupakan kemuncak kepada Program Ihya’ Ramadhan yang merupakan acara tahunan di SKSB. Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah berkenaan.
Majlis penutupan program itu telah disempurnakan oleh Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB.
Turut hadir dalam majlis tersebut Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (5P) Daerah, Cawangan Labuan yang diketuai oleh Datin Hjh Dayang Pungut binti Abdul Jalil, Datuk Hj Abdul Rahman Bin Hj Lamudin sebagai Naib Pengerusi serta 20 ahli persatuan tersebut. Tuan Haji Wan Abdul Rahim Bin Wan Abd Rahman, Puan Hajah Haryani Binti Isli daripada Labuan Society , Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSB dan ibu bapa penerima bantuan Semarak Kasih Ramadhan.
Menurut Puan Dg.
Sarifah Binti A.Mahmod Guru Besar SKSB, Program Ihya’ Ramadhan merupakan antara
program besar dalam takwim sekolah yang bertujuan untuk menjana dan menyelaras
program pembangunan modal insan di sekolah.
“Pihak sekolah sentiasa menguar-uarkan aktiviti dan program di sekolah sama ada melalui media sosial seperti “facebook”, ‘group Whats App’ mahupun surat. Tujuannya ialah supaya masyarakat khususnya ibu bapa maklum dan ambil peduli aktiviti di sekolah serta peka terhadap kehadiran anak-anak setiap hari. Semoga semangat Ramadhan kali ini dapat meningkatkan keutuhan sahsiah anak-anak SKSB dan kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa dapat ditingkatkan”. Katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan dan Tabung Infaq Ramadhan 2019 telah disempurnakan oleh Puan Dg. Sarifah (lapan dari kanan). Ustaz Sahrom Samlan (lima dari kiri), Puan Wiwik Iswandari (tujuh dari kanan) dan barisan guru pendidikan Islam.Puan Dg.Sarifah (dua dari kanan) memasukkan sumbangan dalam tabung infaq Ramadhan sambil diperhatikan oleh Rina Farrina (kiri), Wiwik Iswandari (dua dari kiri) dan Kamariah (kanan) semasa pelancaran Tabung Infaq Ramadhan.
Puan Dg. Sarifah turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk anak-anak SKSB pada tahun ini.
Dalam majlis
tersebut seramai 8 orang anak yatim SKSB menerima sumbangan hamper dan duit
raya daripada Persatuan 5P terdiri daripada bekas guru dan guru besar yang
pernah berkhidmat di Labuan. Sumbangan tersebut merupakan program tahunan
persatuan 5P dengan slogan “Kami Sayang Kamu”.
Menurut Datin Hjh Dayang Pungut, warga 5P sentiasa peka terhadap keperluan dan turut merasai kesedihan anak-anak yang kehilangan orang tersayang menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma. Semoga sumbangan ini dapat menceriakan anak-anak tersebut.
Sementara itu, seramai 20 orang menerima sumbangan hamper makanan asas daripada Labuan Society di bawah pimpinan pengerusinya Tuan Hj Wan Abdul Rahim dan Setiausaha Kehormat Hajah Haryani Binti Isli.
Sumbangan turut disampaikan kepada 75 asnaf dan anak yatim di sekolah ini berupa makanan asas yang disumbangkan oleh ibu bapa prihatin, guru-guru, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), SKSB.
Anak-anak yatim gembira menerima sumbangan berupa hamper dan ‘duit raya’ yang disampaikan oleh persatuan 5P cawangan Labuan
Penyerahan Sumbangan Cermin Mata di bawah Program “Mataku Harapanku” , Yayasan Wilayah turut di adakan. Seramai 8 orang murid dan 4 orang pekerja swasta di SKSB menerima sumbangan tersebut. Program “Mataku Harapanku” menawarkan pemeriksaan mata secara percuma dan pemberian 3,000 cermin mata secara percuma untuk fasa pertama ini. Sasaran program ini adalah para pelajar yang berpendapatan rendah serta warga emas di wilayah ini.
Majlis Khatam Al-Quran warga SKSB turut di adakan dalam majlis tersebut yang diketuai oleh Ustaz Mohd Rozman Bin Umar sebagai khalifah khatam. Ia disertai seramai 35 murid, 35 guru dan seorang anggota kumpulan pelaksana (AKP). Kumpulan ini menjalankan tadarus semasa rehat dan waktu senggang mereka.
Persembahan nasyid daripada murid-murid dan guru-guru telah menceriakan suasana majlis tersebut. Murid-murid begitu teruja melihat guru-guru memainkan alat muzik dan melihat persembahan hebat guru mereka yang diketuai oleh Dg.Sarifah.
Sementara itu, Pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan sepanjang Program Ihya’ Ramadhan. Ceramah Ahlan Ya Ramadhan telah disampaikan oleh Ustaz Shahrom Bin Samlan, Penolong Pengarah Bahagian Adab dan Dakwah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) membuka tirai menyambut ketibaan Ramadhan.
Sebahagian daripada penerima bantuan makanan asas daripada Labuan Society yang telah disampaikan oleh Tn Hj Abdul Rahim (berdiri di tengah).
Puan Dg. Sarifah dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan program Ihya’ Ramadhan.
”Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini masih diberi kesempatan untuk bertadarus bersama-sama murid dan guru, menyertai majlis Tahlil, Iftar Jamaie, solat berjemaah dan turut serta dalam khatam Al Quran peringkat sekolah sebagai penutup program Ihya Ramadhan tahun ini.
Tahniah kepada semua warga sekolah terutamanya kepada peneraju utama iaitu Panitia Pendidikan Islam kerana telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya.” katanya lagi.
Semoga program ini dapat diteruskan di masa hadapan. Atas segala sumbangan yang dihulurkan, semoga ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga berkenaan dalam mengharungi bulan Ramadhan yang barokah dan menyambut ketibaan Aidilfitri nanti.
Semoga sumbangan kita akan menjadi asbab pahala kita digandakan di bulan yang penuh keberkatan ini.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
Kegembiraan terpancar di wajah guru-guru seusai majlis Semarak Kasih Ramadhan dan Khatam Al Quran
Program Smart Bantu Atasi Masalah Kehadiran Murid Ke Sekolah
Labuan– Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Program Smart Siri 1/ 2019 kelmarin bertempat di Dewan Permata sekolah tersebut.
Program
tersebut dihadiri seramai 58 orang murid tahun satu hingga enam. Pemilihan
peserta program ini adalah berdasarkan kehadiran murid ke sekolah, pencapaian
akademik dan juga untuk pembinaan sahsiah terpuji murid.
Program Smart di bawah Unit Disiplin dan Unit Bimbingan dan Kaunseling bertujuan untuk membina dan memantapkan sahsiah terpuji murid serta mengatasi masalah murid berisiko cicir. Di samping untuk mendedahkan murid tentang peluang meningkatkan potensi diri dalam pelbagai kemahiran.
Antara pengisian program ini ialah sesi motivasi, ceramah daripada pihak PDRM, kaunseling individu dan kelompok serta latihan dalam kumpulan (LDK).
Murid-murid begitu tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin.
Guru Besar
SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata pihak sekolah mengambil
berat terhadap pembinaan jati diri murid
yang terpuji. Justeru, kerjasama daripada semua pihak khususnya ibu bapa amat
diperlukan untuk membentuk peribadi yang mulia
anak-anak ini seawal mereka di tahun satu.
“Kita berharap melalui Program Smart ini, anak-anak akan mencintai sekolah. Rajin hadir ke sekolah, sentiasa menunjukkan amalan terpuji seperti membantu rakan-rakan, menjaga keceriaan dan kebersihan persekitaran sekolah dan menjadi ‘mata-mata’ kepada guru bagi mengekang salah laku disiplin murid lain”.
Katanya lagi, murid-murid di sekolah rendah berada di peringkat pertumbuhan di mana mereka sepatutnya suka hadir ke sekolah untuk memperolehi pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Guru-guru memberikan lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati dalam memantapkan pembangunan sahsiah dan karakter murid.” Katanya semasa ditemui dalam majlis berkenaan.
Norsidah (Guru bimbingan dan kaunseling) turut menyampaikan ceramah motivasi dalam majlis tersebut.
Dalam majlis tersebut ceramah berkaitan Keciciran di kalangan murid-murid dan Salah laku jenayah remaja telah disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin Bin Abdullah daripada Balai Polis Kampung Bebuloh.
Semoga SKSB berjaya melahirkan murid yang bersahsiah tinggi, bersikap positif sentiasa bermotivasi dan mempunyai keazaman untuk cemerlang dalam semua bidang bersesuaian dengan slogan SKSB Mekar Terbilang.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Dg Sarifah dengan diperhatikan oleh Kamariah dalam majlis tersebut.
Majlis Penutupan Ihya Ramadhan SK Pekan Satu
Labuan, 21 Mei- Panitia Agama Islam telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran, penyampaian cenderahati kepada peserta taddarrus dan penyampaian bantuan anak-anak yatim sempena Program Ihya Ramadhan tahun ini. Majlis dimulakan dengan bacaan Asma Ul Husna dan diringi oleh bacaan pembuka majlis agar program ini diberkati Allah. Khalifah bagi Majlis Khatam Al-Quran disandang oleh Ustaz Muhamad Zafar bin Abu Bakar bagi mengepalai seramai 20 murid lelaki dan 20 murid perempuan untuk membaca surah-surah Lazim sempena majlis Khatam Al-Quran.
Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tuan Haji Yunus Haji Yusof wakil dari JPN dan tuan Yassin bin Tawi wakil PIBG SK Pekan Satu yang diiringi oleh Guru Besar SK Pekan Satu, W.P. Labuan Pn Anita Shyamini A/P S. Azman. Tuan Haji Yunus Haji Yusof menggalakkan agar aktiviti sebegini bukan sahaja di bulan ramadhan bahkan pada bulan-bulan yang lain supaya warga sekolah semakin dekat dengan penciptanya. Seterusnya beliau merasmikan Program Penutupan Ihya ramadhan Sk Pekan Satu pada tahun 2019.
Sebagai lanjutan daripada program ini diteruskan dengan penyampaian kepada 40 murid dan 30 guru yang terlibat dengan majlis taddarrus sepanjang program ihya ramadhan ini. Sesungguhnya sesiapa yang membaca 1 huruf Al-Quran akan digandakan 10 kebaikan oleh Allah maka dengan itu membaca Al-Quran amat digalakkan kepada semua individu bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi pada setiap hari.
Kemuncak program ini ialah penyampaian bantuan anak-anak yatim. Sk Pekan Satu sudah mengenalpasti seramai 32 orang murid iaitu 22 orang murid lelaki dan 10 orang murid perempuan yang kehilangan bapa atau ibu. Kerjasama yang jitu daripada warga sekolah dan ibu bapa bagi memeriahkan lagi kutipan tabung ihya ramadhan bagi disalurkan kepada anak-anak yatim amat di hargai. Daripada tabung tersebut setiap murid telah memperolehi sepasang baju raya berserta kasut, hamper, biskut raya dan air, tuala serta duit raya. Semasa penyampaian kami sebagai warga sekolah amat pilu dan gemberi apabila melihat murid-murid ini tersenyum riang apabila mendapat sumbangan yang tidak dijangka oleh mereka. Konklusinya program sebegini hendaklah diteruskan pada setiap tahun dan berharap agar kerjasama antara pihak sekolah dan Pibg semakin erat supaya murid-murid mendapat manfaatnya kelak.
Ziarah Cakna Pusat Tingkatan 6 SMK Labuan
Labuan – SMK Labuan meneruskan lagi Program Ziarah Cakna tahun ini dengan menyantuni ibu bapa/penjaga di Kampung Saguking, Kampung Sungai Bangat dan Kampung Lubok Temiang pada 17 Mei yang lalu.
Ziarah Cakna pada kali ini berfokus kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian tingkatan 6 di SMK Labuan.
Keluarga pertama yang dilawati ialah keluarga adik Siti Nurul Binti Badul yang mempunyai 5 orang adik-beradik di kampung Saguking. Pelajar kedua adik Muhammad Daniel Bin Nor Azman yang tinggal bersama ibu, datuk dan neneknya di Kampung Sungai Bangat.
Akhir sekali, rombongan telah melawat keluarga adik Siti Diana Binti Mujin di Kampung Lubok Temiang. Emak beliau, Rajimah binti Sijin meninggal dunia pada tahun 2018 akibat kegagalan fungsi organ. Siti Diana yang mempunyai 7 orang adik beradik, kini dijaga oleh abangnya Abdul Nazri Bin Mujin sebagai ketua keluarga.
adik Siti Nurul (tudung gelap) bersama ibunya menerima sumbangan daripada pihak sekolah
Mudah-mudahan program ini serba sedikit dapat meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan dan dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara guru, PIBG dan masyarakat.
Bantuan berbentuk wang tunai RM100 dan keperluan harian seperti beras, gula, milo, minyak masak dan hamper.
Rombongan telah disertai oleh Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan, Tn Hj Md Yusof Hj Chuchu, YDP PIBG, Encik Saminan Sabtu, Penolong Kanan Pusat Tingkatan 6, Encik Abd Manan Nasir, Ketua Unit Kokurikulum Pusat Tingkatan 6 dan Ustaz Jailani Muda, Pensyarah Pusat Tingkatan 6.
Encik Ismail berkata, program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan harapan beliau agar lebih ramai lagi masyarakat tampil bagi membantu anak-anak yang memerlukan khususnya sempena menyambut hari Raya Aidilfitri.
Tn Hj Md Yusof menyampaikan sumbangan kepada adik Siti Diana
Program Bersamamu Anak Yatim SK Pekan Satu
Labuan, 10 Mei- Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, merupakan sekolah yang mempunyai bilangan murid paling ramai di W.P.Labuan. Di saat menuju Hari Lebaran,warga SK Pekan Satu W.P. Labuan tidak melupakan kebajikan pelajar Islam yang kehilangan salah seorang Ibubapa atau kedua-duanya.Golongan ini dikenali anak-anak yatim dalam konteks Islam.
Sempena bulan Ramadhan ini, program sumbangan anak-anak yatim telah dibuat melalui aktiviti Ihya’ Ramadhan anjuran Panatia Pendidikan Islam.Penyelaras program ini Ustazah Dayang Faridah binti Besar dan Ustazah Megawati Abd Rahman. Sumbangan dana telah diusahakan bagi meringankan bebanan keluarga anak-anak yatim tersebut. Seluruh warga SKPS menggembeling tenaga dan usaha mendapatkan dana untuk membantu bagi memenuhi keperluan anak anak yatim tersebut.
Justeru itu pada 10 Mei 2019 yang lalu, seramai 32 orang murid anak anak yatim dari aliran perdana dan PPPKI telah dibawa ke pusat membeli belah untuk membeli keperluan Hari Raya mereka. Malahan Guru Besar SK Pekan Satu, W.P. Labuan Pn Anita Shyamini A/P S. Azman dan Pen. Kanan Pentadbiran Pn Zailiana Zainol juga turun padang membantu memilih pakaian dan kasut kesukaan mereka.
Suasana memilih pakaian raya
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kegembiraan dan rasa suka terpancar pada riak wajah anak-anak yatim semasa memilih pakaian baru mereka. Malahan mereka bersorak kegembiraan apabila dibenarkan memilih kasut raya kerana pada awalnya mereka hanya tahu baju raya saja yang hendak dibeli. Oleh itu lengkaplah sepersalinan pakaian anak-anak yatim tersebut. Bagi murid lelaki baju melayu, samping, songkok dan kasut. Manakala bagi murid perempuan baju kurung, tudung dan kasut.
Penyerahan pakaian raya dan barang keperluan lain seperti hamper, biskut dan sampul raya akan diadakan pada hari selasa depan 21 Mei 2019 bertempat di Dewan CUN SK Pejan Satu,W.P.Labuan. Terima kasih diucapkan kepada guru-guru, ibubapa, individu dan pihak tertentu yang memberikan sumbangan kewangan dan tenaga bagi membantu golongan anak anak-anak yatim SK.Pekan Satu,W.P.Labuan.
“Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (QS. Al-Baqarah [2] : 215)
Farah Ain dan Audrey Tokoh SUMUR SMK Labuan 2018
Farah Ain Nabila binti Roslizar dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Tingkatan Enam, manakala Audrey Agang Teo Li Xin dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Perdana dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah (MAKES) SMK Labuan pada 24 April 2019 yang lepas.
Anugerah Tokoh SUMUR merupakan anugerah utama yang diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang secara seimbang dalam akademik dan sahsiah.
Farah Ain Nabila merupakan pelajar cemerlang STPM 2018 yang telah mencipta sejarah sebagai pelajar pertama SMK Labuan yang mendapat PNGK 4.00. Farah Ain juga seorang pelajar yang cemerlang dalam sahsiah dan disiplin.
Audrey merupakan pelajar terbaik WP Labuan dalam SPM 2018 dengan mendapat 9A+ dan 1A. Baru-baru ini Audrey juga mendapat Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah.
Farah Ain Nabila Roslizar
Audrey Agang Teo Li Xin
MAKES SMK Labuan merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan atas pencapaian dalam bidang Hal Ehwal Murid dan Kurikulum (Akademik).
Antara anugerah-anugerah yang diberikan ialah Pengawas Contoh, Pengawas Pusat Sumber Contoh, Pembimbing Rakan Sebaya Contoh, Murid Yang Mendapat Gred A dalam Ujian SEGAK dan PAJSK, Pelajar Cemerlang PT3, Pelajar Cemerlang Peperiksaan Antarabangsa Bahasa Perancis (DELF), Pelajar Cemerlang SPM, Pelajar Cemerlang STPM, Pelajar Terbaik MUET, Pelajar Terbaik Keseluruhan Tingkatan, Pelajar Terbaik PT3, Pelajar Terbaik SPM, Pelajar Terbaik STPM, Pencapaian Panitia Dalam PT3, Pencapaian Panitia Dalam SPM, Pencapaian Panitia Dalam STPM, serta Anugerah Khas Tokoh SUMUR Perdana dan Tingkatan Enam.
MAKES SMK Labuan disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan Encik Ismail bin Abdullah yang mewakili Pengarah Pendidikan WP Labuan Encik Raisin bin Saidin. Dalam ucapan yang dibacakan oleh Encik Ismail, antara intipati ucapan Encik Raisin Saidin menekankan tentang :
“Prinsip akauntabiliti dan responsibiti amat penting untuk
diterapkan di dalam diri setiap penjawat awam
khasnya warga pendidik. Kepada
guru-guru, kita sama-sama menghayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita
dengan sentiasa ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu
tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion,
tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang
seimbang. Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa
dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai
matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan
pekerti yang mulia.”
“Penglibatan semua pihak dalam pelbagai aktiviti di sekolah
juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas
pertama, bersesuaian dengan konsep sekolah milik masyarakat. Sebagai inti
patinya, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan
ibu bapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibu bapa adalah insan yang paling
penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga
ingin mengajak ibu bapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibu
bapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai
kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah.”
“ Dalam hubungan ini, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG)
boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibu bapa untuk
menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan
membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidika. Dalam
kesempatan ini juga, saya menyeru kepada rakyat negeri ini agar mengamalkan
budaya memasyarakatkan sekolah kerana sekolah adalah tempat anak-anak menerima
pendidikan. Ibu bapa yang mempunyai sifat prihatin terhadap pendidikan
anak-anak akan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan pembelajaran
anak-anak dan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dengan memberikan buah
fikiran dan apa juga sumbangan yang boleh meningkatkan prestasi sekolah. Pada masa yang sama, pihak sekolah juga
haruslah mengamalkan pendekatan mesra masyarakat supaya segala aktiviti sekolah
mendapat sokongan dan bantuan daripada masyarakat untuk sama-sama
menjayakannya.”
Turut hadir menjayakan MAKES SMK Labuan ialah Pn Zalina Zunkepely (Penolong Kanan Pentadbiran), Ustazah Marziawati Mardan (PK HEM), En Saminan Sabtu (PK Pusat Tingkatan Enam), En Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum), En Kitli Beka (PK Petang), wakil-wakil Pengetua sekolah-sekolah WP Labuan, serta ibu bapa penerima anugerah.
Berita Oleh : SMK Labuan
Farah Ain dan Audrey bersama tetamu jemputan dan ibu bapa
Sofia Umaira menerima Sijil DELF Bahasa Perancis
Cikgu Siti Maisarah menerima Sijil Pencapaian Panitia Pendidikan Seni Visual (PSV)