Hari Ketiga MSSWPL, 5 lagi rekod kejohanan dipecahkan

31 Mac – Hari ketiga Kejohanan MSSWPL 2017, sebanyak lima (5) lagi rekod berjaya dipecahkan, menjadikan tujuh (7) rekod baharu telah dicipta sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung. Berikut adalah 5 senarai atlet yang mencipta rekod baharu :

  1. Dayang Siti Fatmah Majumin, SK Bebuloh bagi acara 400 meter perempuan kategori bawah 12 tahun dengan catatan 1 minit 12.6 saat mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Beverly Liew Hui Ven, SK Lubok Temiang ( 1 minit 15.81 saat : tahun 2015)
  2. Muhd Khaled Adam Abdullah, SK Lubok Temiang dan Mohd Ali Alfian Alirahman, SK Pekan Satu bagi acara 400 meter lelaki kategori bawah 12 tahun, masing-masing dengan catatan 1 minit 07.35 saat dan 1 minit 07.53 saat mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Mohd Aziq Izzan Mohd Nizam, SK Lubok Temiang ( 1 minit 08.19 saat : tahun 2015 )
  3. Nurizzah Nabihah Fauzi, SM St Anne dan Elvianey John Baptist, SBT SM Sains bagi acara lompat jauh perempuan kategori bawah 18 tahun, masing-masing dengan catatan 4.59 meter dan 4.55 meter mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Ashley Seah, SM St Anne ( 4.54 meter ).

Sehingga pagi tadi, SMK Mutiara masih unggul bagi kategori sekolah menengah dengan pungutan 12 Emas, 8 perak, 8 gangsa. SMK Labuan dengan 7 Emas, 7 perak, 4 gangsa dan SMK Pantai 5 Emas, 5 perak, 3 gangsa.

Sementara kategori sekolah rendah pula persaingan sengit di antara SK Lubok Temiang dan SKK SK Rancha-Rancha masing-masing dengan 3 Emas. Hanya dibezakan dengan 3 perak oleh SK Lubok Temiang dan 1 gangsa oleh SKK Rancha-Rancha. Manakala SK Kerupang dengan 2 Emas, 2 gangsa.

” ESOK ( 1 APRIL – 1.30 PETANG ) ADALAH HARI PENUTUPAN KEJOHANAN, MAITAH BADUDUN KE KOMPLEKS SUKAN LABUAN, SEMPENA HARI TERAKHIR KEJOHANAN MSSWPL 2017 “

Puan Dg Sarifah, Guru Besar SK Sungai Bedaun diiringi oleh En Sahar menyampaikan medal kepada para pemenang

 




MEMPERKASA ANAK BUMI LABUAN

Masih ingat akan kata-kata yang ku lontar setahun lalu?
Mac 2016..

Perlu aku ulang semula
Memastikan murid bumiputera Labuan pulau bertuah ini tidak ketinggalan
Memastikan anak bumiputera Labuan pulau bertuah ini dapat menikmati kemakmuran negara pada zaman mereka

Maka 2017 ini kita ulangi kata dan kalimat keramat itu
Bukan untuk kita
Untuk anak- anak labuan
Rakyat Labuan pulau bertuah

Jangan tunggu
Kenal pasti mereka
Kumpul data anak-anak bumiputera
Buat analisis data
Buat tindakan
Buat gerakan
Tubuh pasukan

Kita melonjak SPM 2016
Kerana sumbangan anak-anak bumiputera bersama anak-anak Malaysia yang lain
Demi negara kita Malaysia

Ayuhlah
Sahabat sejatiku
Pengetua…

Nukilan Sajak Oleh :
Raisin Saidin
Wilayah Persekutuan Labuan
Mac 2017

Tuan Raisin Saidin bersama Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia WP Labuan, Encik Omar Baki Matusin

 




Dua Rekod Baharu Dicipta, Hari Pertama Kejohanan MSSWPL 2017

Labuan, 30 Mac – Hari pertama MSSWPL menyaksikan dua rekod baharu kejohanan dicipta. Rekod baharu pertama dicipta oleh Nazerra Anak Jerah dari SM St Anthony melalui acara merejam lembing perempuan kategori bawah 15 tahun dengan rejaman sejauh 26.43 meter.

Dalam acara lompat tinggi perempuan kategori bawah 15 tahun,  Andrea Albertus Voo dari SMK Pantai IBWS memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan 1.45 meter mengatasi rekod lama 1.41 yang dipegang oleh Dg Norrin Zainorrin dari SMK Taman Perumahan Bedaun sejak tahun 2008.

SMK Mutiara mendahului kategori sekolah menengah dengan pungutan 5 Emas, 3 Perak, 2 Gangsa diikuti oleh SMK Labuan 4 Emas, 3 Perak, 3 Gangsa dan SM Sains Labuan 2 Emas, 4 Perak, 7 Gangsa. Bagi kategori sekolah rendah Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha unggul di depan  dengan 3 Emas, 1 Gangsa.

 

Sokongan penuh dari Pengarah Penddidikan Negeri Encik Raisin Saidin bersama barisan Pengelola, Pengetua dan Guru Besar

“BURUAN EMAS MASIH DITERUSKAN, MAITAH BADUDUN KE KOMPLEKS SUKAN LABUAN BAGI MEMERIAHKAN LAGI KEJOHANAN MSSWPL 2017 : 29 MAC – 1 APRIL 2017 “

Andrea Albertus Voo dari SMK Pantai IBWS mencipta rekod baharu lompat tinggi perempuan bawah 15 tahun

 

 

 




Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah-Sekolah Labuan Bermula

29 Mac 2017 – Maitah badudun ke Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) 2017 bermula hari ini sehingga 1 April ( Sabtu petang, Majlis Penutupan ) di Kompleks Sukan Labuan.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah Pendidikan Negeri, Encik Raisin Saidin mengharapkan para atlet dapat memupuk semangat juang tinggi, semangat kesukanan, mengembangkan bakat dan minat serta kebolehan masing-masing yang akhirnya memperoleh kejayaan membanggakan.

Beliau mendoakan para atlet semoga berjaya bukan sahaja di peringkat Labuan malah boleh mencapai kejayaan sehingga peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi mengharumkan nama Labuan.

Sementara itu, Pengelola bersama Encik Sahar Misron, Pengetua SMK Pantai IBWS dan Puan Mahani Hj Hussin, Guru Besar SK Pantai berharap kejohanan ini dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Kejohanan balapan dan padang dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama dan komitmen setiap AJK dari semua sekolah di Labuan.

Gambar Kenangan : Encik Raisin Saidin bersama para atlet SMK Mutiara

“Kepada para ibubapa dan masyarakat sekitar Labuan, maitah badudun ke Kompleks Sukan Labuan bagi memberi sokongan dan memeriahkan lagi Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan 2017”, demikian kata-kata promosi dari Ketua Unit Sukan JPWPL Encik Ag. Mohd Zain Ag Anak.

“MAITAH BADUDUN KE MSSWPL, KOMPLEKS SUKAN LABUAN 29 MAC  – 1 APR 2017”

Acara saringan balapan 100 meter Kategori Sekolah Rendah

 

 




SJKC Chung Hwa dan SJKC Chi Wen terima RM4,000

28 Mac 2017 – SJK(C) Chung Hwa dan SJK(C) Chi Wen masing-masing menerima RM4,000 daripada penganjur Malam Kebudayaan Cina (CCN) 2017 Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Majlis penyerahan replika cek disempurnakan oleh Timbalan Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal kepada Guru Besar SJKC Chung Hwa Yong Kui Chen dan Guru Besar SJKC Chi Wen, Julius Voo Jiunn Jye.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Chin Hong Vui dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Prof Madya Dr Hanudin Amin.

Geoffrey yang mewakili Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan Profesor Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata sumbangan itu bagi menyuntik semangat murid dan guru untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kedua-dua sekolah berkenaan.

Beliau yakin menerusi sumbangan itu, hubungan dua hala antara UMSKAL dengan kedua-dua sekolah terbabit akan berterusan untuk kebaikan generasi masa depan.

“Ia juga simbolik keberadaan UMSKAL sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sentiasa prihatin terhadap masyarakat tempatan khususnya golongan pelajar di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua guru besar merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada penganjur Malam Kebudayaan Cina UMSKAL yang memberikan sumbangan kewangan sekaligus turut memastikan prestasi akademik SJK(C) Chung Hwa dan SJK(C) Chi Wen akan meningkat pada setiap tahun.

Petikan dari : Utusan Borneo 28 Mac 2017




Maitah Badudun, Mesra Kampung, Generasi Cemerlang

Labuan, 25 Mac – Maitah badudun Mesra Kampung merupakan bahasa tempatan Labuan yang bermaksud mari berkunjung bagi mengeratkan hubungan dengan warga kampung demi membina generasi yang cemerlang.

Inisiatif Jabatan Pendidikan WP Labuan ini bertujuan memantapkan pemuafakatan komuniti ke arah perubahan paradigma seluruh anggota masyarakat mengenai kepentingan keterlibatan semua pihak dalam pendidikan.

Program ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Hj Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Pendidikan dan semua warga kerja termasuk ketua-ketua kampung yang telah menjayakan aktiviti Maitah Badudun ini.

Program ini amat penting dalam mendekatkan pendidikan dengan masyarakat kampung bagi menjalin kerjasama dan hubungan yang baik ibubapa dan guru, seterusnya dapat membantu menjayakan visi mencemerlangkan pendidikan di Labuan.

Dalam ucapan aluan, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan telah mengemukakan idea menubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai usaha untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa hadapan yang boleh berperanan di peringkat nasional dan global pada zaman mereka.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Rozman atas kesudian melapangkan masa bersama warga pendidik dan masyarakat kampung.

Program bermula seawal 8 pagi dimulai dengan ucapan pendahuluan oleh Ketua Kampung Sungai Bedaun, Encik Mursidi Mokhtar. Ketua Penolong Pengarah BTPN Encik Ag Marten Hj Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan Kesenian Perbadanan Labuan Encik Mahathir Abd Hamid  yang merupakan anak jati kampung Sungai Bedaun telah berkongsi ilmu mengenai VLE frog dan amalan terbaik kepada ibubapa dan anak-anak murid serta para hadirin yang hadir.

Seterusnya Puan Mimie Duasah Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Encik Ishak Aku Abd Rahman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan juga tidak ketinggalan membuat taklimat bagi menerangkan dan mempromosikan fungsi jabatan masing-masing. Diakhiri dengan taklimat promosi dari Kolej Vokasional Labuan.Sijil Penghargaan kepada Encik Ishak dan Puan Mimie

Urusetia program, Puan Zaleha, Ketua Unit Perhubungan, Pendaftaran dan Pendidikan Swasta menyatakan program ini dijalankan mengikut zon di mana zon kali ini terdiri daripada Kampung Sungai Bedaun  sebagai tuan rumah, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Miri, Kampung Bebuloh, Kampung Belukut dan Kampung Sungai Lada. Manakala sekolah yang terlibat ialah SMK Rancha-Rancha, SMK Taman Perumahan Bedaun, SK Sungai Lada, SK Sungai Bedaun dan SK Bebuloh.

Program diakhiri dengan makan beramai-ramai di mana makanan tersebut dimasak dan dibawa sendiri oleh warga kerja yang menyediakan resepi makanan kampung yang cukup sedap dan menyelerakan. Program Maitah Badudun, Mesra Kampung seterusnya akan diadakan di Kampung Layang-Layangan sebagai tuan rumah yang dijangka pada bulan April 2017.

Penghargaan kepada ibubapa : Dari kiri Encik Raisin Saidin, YB Datuk Rozman, ibubapa, Encik Mursidi, Encik Ag Marten dan Encik Mahathir

 




16 Mac 2017

Hari ini SMK Taman Perumahan Bedaun
Letaknya di Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan ini Pulau bertuah
Menjadi saksi suatu kejayaan

Anak anak Cemerlang SPM dinobatkan
Satu persatu disebut namanya
Disambut tepukan gemuruh
Tampil ke pentas penuh yakin
Diiringi ibu dan bapa tersayang

Ada juga yang hanya bapa bersama
Ada juga yang hanya ibu bersama
Ada juga yang datang seorang diri
Bila ditanya mana bapa, mana mak
Lantas dijawab…tidak dapat datang
Jauh sana Ranau
Angguk Faham…

Hari ini SMK Taman Perumahan Bedaun
Sebelahnya Taman Perumahan Mutiara di Wilayah Persekutuan Labuan
Menjadi saksi satu persatu sekolah disebut
5 Sekolah diumumkan meningkat prestasi
4 lagi diumumkan juga
tapi tidak sama ceritanya dengan
Kolej Vokasional hanya subjek Sejarah & Bahasa Melayu

Laut fikirku terkenang
Yang gagal lantas tidak layak
Dianugerahi Sijil SPM 2016

Siapa mereka ?
Ke mana mereka selepas 16 Mac 2017?

Puisi Nukilan :
Raisin Saidin
Mac 2017

Pengarah bersama pelajar cemerlang yang berasal dari Ranau : Elliza Doinis dan Dvercillia Suali, SM Sains Labuan




Peluang Lepasan SPM Gapai Impian menerusi Kolej Universiti Yayasan Sabah

Labuan, 20 Mac – Pejabat Pengarah Pendidikan Negeri telah dikunjungi oleh Pengurusan Kolej Universiti Yayasan Sabah bagi mempromosikan Kolej Universiti tersebut, baru-baru ini.

Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) merupakan sebuah kolej milik penuh Yayasan Sabah yang menawarkan pelbagai program kepada lepasan SPM.

Pengarah Pendidikan Negeri, Encik Raisin Saidin menyokong penuh hasrat Kolej Universiti ini untuk menjadi sebuah pusat pengajian yang dapat melahirkan graduan mahir bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di masa akan datang.

Perubahan corak pendidikan, jelas beliau, adalah sebahagian daripada proses perkembangan pendidikan terutama dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang sesuai dengan tuntutan semasa.

Antara program yang ditawarkan di Kolej tersebut adalah seperti Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dalam Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Hotel dan Pelancongan. Selain itu turut ditawarkan Diploma dalam Animasi, Seni serta Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial.

Kepada Lepasan SPM yang berminat boleh melayari portal kolej tersebut di alamat www.ucsf.edu.my .

 




SPM 2016 : GPN WP Labuan Meningkat

Labuan, 16 Mac – Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan dengan pencapaian 5.08 berbanding 5.34 pada tahun 2015.

Kejayaan itu diumumkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Encik Raisin Saidin di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun di sini, hari ini.

Encik Raisin Saidin berkata, pencapaian tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.26 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 5.10. Seramai 960 orang calon sekolah kerajaan telah menduduki peperiksaan ini di 9 buah pusat peperiksaan dan seramai 825 orang calon layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 85.94% berbanding 82.49% tahun 2015, peningkatan sebanyak 3.45%.

Seramai 19 orang pelajar cemerlang sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran dengan jumlah peratus 1.98% berbanding 12 orang calon 1.35% tahun 2015.

Peningkatan sebanyak 0.63%. Sebanyak 21 mata pelajaran juga mengatasi pencapaian peringkat nasional, 7 mata pelajaran menyamai pencapaian nasional dan hanya 7 mata pelajaran di bawah pencapaian peringkat nasional.

Mohd Aiman Hazim bin Janawe dari SM Sains Labuan dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2016 peringkat Wilayah Persekutuan labuan dengan mendapat keputusan 8(A+), 1(A).

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang cemerlang, ibu bapa, pengetua dan guru-guru sekolah yang terlibat mendidik mereka.

Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain untuk mencipta kecemerlangan yang sama atau lebih hebat di masa akan datang. Kepada yang kurang berjaya, teruskan usaha dan terus berusaha.

Salah seorang pelajar cemerlang SPM 2016 : Mohd Azhan Fikry bin Omar Baki bersama Pengarah Pendidikan dan ibu bapa

Berikut adalah senarai 19 pelajar cemerlang SPM 2016 bagi WP Labuan :

1. Mohd Aiman Hazim bin Janawe – SM Sains
8(A+), 1(A)
2. Shau Yunn Yi – SMK Labuan
7(A+), 3(A), 1(A-)
3. Muhammad Irsyad bin Ibrahim – SM Sains
7(A+), 2(A)
4. Nurul Nadia Nabilah binti Rahman – SM Sains
Jonathan Juliman – SM Sains
6(A+),3(A)
5. Nur Atira Syahmina binti Yusri – SM Sains
Nur Aisyah binti Ismail – SMK Labuan
Wendy Chai Yee Hwa – SMK Labuan
5(A+), 3(A),1(A-)
6. Tan Jin Ping – SMK Labuan
3(A+), 6(A), 2(A-)
7. Hafizin Syahmi bin Suhaili – SM Sains
3(A+), 6(A)
8. Mohd Azhan Fikry bin Omar Baki – SM Sains
3(A+), 4(A), 2(A-)
9. Ashrulnizam bin Awang Aman – SM Sains
3(A+), 1(A), 5(A-)
10. Vinson Lau Wei Ping – SMK Labuan
2(A+), 4(A), 4(A-)
11. Elliza Doinis – SM Sains
2(A+), 5(A), 2(A-)
12. Abdul Azib bin Azali – SM Sains
2(A+), 3(A), 4(A-)
13. Vivien Chan Yee Wen – SMK Labuan
1(A+), 5(A), 4(A-)
14. Dvercillia Suali – SM Sains
1(A+), 5(A), 3(A-)
15. Sherry Leon Ambang – SM St Anne
1(A+), 5(A), 3(A-)
16. Madnizar bin Bairik – SM Sains
6(A), 3(A-)




Memperkukuh STEM Melalui Pertandingan School Lab

Labuan, 15 Mac –  Jabatan Pendidikan melalui Unit Sains dan Matematik telah menganjurkan pertandingan School Lab antara sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Encik Imbran Yunus, Ketua Unit Sains dan Matematik sebanyak lapan pasukan layak ke pertandingan akhir dalam pertandingan yang julung kali diadakan sebagai sokongan kepada inisiatif STEM. Setiap pasukan diwakili oleh 3 hingga 5 murid Tingkatan 1 hingga 3 dan dipersembahkan dalam tempoh 3 hingga 5 minit. Tema persembahan meliputi tajuk-tajuk yang terdapat di dalam kurikulum mata pelajaran Sains.

Pengarah Pendidikan Jabatan WP Labuan, Encik Raisin Saidin telah merasmikan pertandingan ini  yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Dalam ucapannya, beliau berharap agar aktiviti ini dapat menimbulkan minat mendalam murid kepada STEM dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik murid selaras dengan slogan Kecemerlangan Akademik Kebitaraan Labuan.

Pembelajaran STEM adalah antara agenda yang diberikan penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) giat berusaha memantapkan pendidikan STEM untuk menarik lebih ramai murid menceburinya di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan pelbagai pihak.

Selaras dengan matlamat pendidikan kebangsaan yang bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan iaitu intelek, jasmani, rohani dan emosi, pembelajaran STEM berperanan membantu murid agar dapat membina kepakaran diri secara kolektif dan menyiapkan diri dalam pertanggunjawaban sosial.

Para pemenang bergambar kenangan bersama Pengarah Pendidikan WP Labuan

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan yang menang dan tahniah juga kepada semua pasukan yang berani menyahut cabaran dengan menyertai pertandingan ini.Semoga pertandingan ini bukan hanya mengejar kemenangan semata-mata tetapi harus dilihat sebagai suatu pembelajaran bagi mencipta kejayaan di masa mendatang.

Turut hadir, Puan Maszuraini binti Miswan, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah Hj. Ab Moin.

Tahniah ! Johan Pertandingan School Lab Peringkat WP Labuan daripada SMK Mutiara.