Hari Koperasi SMK Labuan Beri Peluang Pelajar Berniaga

LABUAN – Koperasi SMK Labuan menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan.

Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah berkata, ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi.

Hari Koperasi Sekolah (HKS) merupakan salah satu daripada kriteria dalam penilaian Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2017.

Datuk Hjh Noraini dan VIP melawat gerai-gerai jualan

Sempena HKS SMK Labuan 2017, pelbagai aktiviti dan pengisian diadakan seperti Coop Run 5km, Gerai Jualan (46 gerai), pameran pelbagai agensi, aktiviti Kitar Semula, Menderma Darah, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak, Pertandingan Rekaan Poster Digital, Pertandingan Petanque, Pertandingan Karya Penulisan, Pertandingan Melukis, Pertandingan Karaoke, Ceramah Pendidikan Keusahawanan dan Lawatan Kemasyarakatan yang telah diadakan lebih awal pada minggu lepas.

“Pihak sekolah komited dengan peranan koperasisekolah iaitu membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untukmemperkukuhkan bidang keusahawanan negara, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan 2017 yang diadakan di Dewan Mutiara, SMK Labuan, Ahad lalu.

Program Kitar Semula Perbadanan Labuan

Program yang bermula seawal pukul 7 pagi itu dirasmikan oleh Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Sabah, Datuk Hajah Noraini Datuk Seri Panglima Haji Salleh.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin dan Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Haji Md Yusof Haji Chuchu.

Hadir sama Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan Labuan, Azmaniansyah Bachok, Pegawai Angkat SMK Labuan Mohd Nizam Yasim dan Pegawai Perhubungan Polis SMK Labuan, Ibu Pejabat Polis Daerah, WP Labuan, ASP Halimah Abdullah.

Aktiviti penanaman pokok

Ismail menambah Koperasi SMK Labuan Berhad berazam untuk terus memberi sumbangan positif kepada sekolah amnya dan kepada murid-murid khasnya. Ini juga secara kolektifnya akan memberi sumbangan kepada kemajuan gerakan koperasi di peringkat nasional.
Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan juga kepada semua pihak yang terlibat dalam pameran-pameran serta aktiviti kitar semula, yang merupakan aktiviti yang menyumbang kepada penyuburan sikap menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

“Semoga HKS kali ini berjalan dengan lancar danjika ada rezeki, Koperasi SMK Labuan Berhad akan mendapat kedudukan yang sewajarnya dalam Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah2017,”katanya.

Ismail juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua guru dan pelajar yang menjayakan Hari Koperasi SMK Labuan 2017.

Lawatan ke kedai koperasi SMKL Bhd

Sementara itu, Raisin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga SMK Labuan kerana berjaya melaksanakan Hari Koperasi Sekolah(HKS) SMK Labuan yang sangat meriah pada hari ini.
Beliau yakin ini terhasil daripada perancangan dan kerjasama yang begitu kuat dalam kalangan warga SMK Labuan iaitu guru-guru, staf, murid-murid dan dibantu oleh sokongan kuat PIBG, para ibubapa serta pelbagai pihak yang berkaitan.

Katanya, Koperasi SMK Labuan Berhad telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dari segi jualan, untung bersih dan sumbangan kepada aktiviti sekolah terutama 3 tahun kebelakangan ini.

Jualan pada 2015 sebanyak RM268,000, pada 2016 sebanyak RM261,000 dan pada 2017 sebanyak RM320,000. Untung bersih yang dicatatkan ialah RM38,000 pada 2015, RM65,000.00 pada 2016 danRM42,000 pada 2017.

Ini membolehkan koperasi memberi sumbangan kepada aktiviti sekolah berjumlah antara RM10,000 hingga RM22,000 untuk tujuan Kebajikan Am, Pendidikan Pelajar, Sumbangan, Lawatan danTabung Modal Projek Usahawan.

Koperasi SMK Labuan Berhad tidak menggajikan pekerja tetap tetapi memberi peluang kepada murid-murid menjadi juru jual harian secara berjadual bergilir-gilir. Murid sesi pagi bertugas waktu petang, manakala murid sesi petang bertugaswaktu pagi.

“Ini merupakan pendekatan yang baik dan kreatif untuk murid-murid. Selain daripada mendapat sedikit ganjaran daripada tugas yang dijalankan, yang lebih penting lagi ialah pengalaman yang diperolehi akan membina azam dan cita-cita merekauntuk menceburi bidang perniagaan pada masa depan,”katanya.

Hadirin dalam majlis perasmian




The 2nd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar (2nd CAIELTS 2017)

Labuan- Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara dengan kerjasama Unit Bahasa Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, SISC+ Bahasa Inggeris (Menengah), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Labuan dan Innospace Labuan telah menganjurkan The 2nd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar (2nd CAIELTS 2017) pada 30 Julai 2017 bertempat di Labuan International School.

2nd CAIELTS 2017 telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, Tn Raisin bin Saidin.

Program tersebut telah disertai oleh lebih 80 orang termasuk pembentang jemputan daripada English Language Teaching Centre, Dr Tam Suet Yet, Ikon Guru Kebangsaan Encik Hyginus Lester, Ikon Guru Labuan Encik Samih bin Kukung dan Cik Suriani Alland Rice Oxley.

Turut hadir ialah Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pn. Norismah bt Hj Ab Moin.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pn. Mimie D. Selvakumar, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional WP Labuan yang juga Pengerusi Innospace Labuan.




Bengkel Didik Hibur Sains (Sioknya Belajar Sains, Barulah Osem)

LABUAN, 29 Julai – Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan St Anne dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Bengkel Didik Hibur Sains (Sioknya Belajar Sains, Barulah Osem).

Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan minat dan motivasi murid tahap dua dalam mata pelajaran Sains. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan para murid yang kreatif dan inovatif.

Bagi mata pelajaran Sains umumnya, program ini dapat meningkatkan pencapaian akademik dan target yang telah ditetapkan.

Penceramah jemputan bengkel Didik Hibur tersebut ialah Puan Sharifah Noraziah binti Syed Ali. Beliau merupakan penceramah UPSR peringkat kebangsaan dan Didik Berita Harian.

Turut serta membuat perkongsian dalam bengkel ini ialah Encik Ameer Firdaus bin Onn dari SK Lenjang, Lipis Pahang, yang merupakan Ikon Guru Kebangsaan dengan tajuk ‘Motivasi Murid dan Perkongsian Buku JOM BIJAK SAINS’.

Penyertaan seramai 165 orang murid daripada 18 buah sekolah rendah di Labuan termasuk Labuan International School dan murid dari Sabah dan Sarawak.

Program ini  telah dirasmikan oleh Puan Norismah bt Hj Ab Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada majlis ini juga Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Raisin bin Saidin sempat meluangkan masa melihat perjalanan program bengkel Didik Hibur serta bergambar bersama para peserta bengkel.




Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah 1M1S Anjuran KPM Dan Yayasan Bank Rakyat

Labuan- Kejohanan Bola Sepak 7 sebelah bawah 11 tahun Peringkat WP.Labuan anjuran Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah diadakan pada 27 – 29 Ogos 2017 di padang Sk. Bukit Kalam.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru selaku juara mewakili WP.Labuan ke peringkat Kebangsaan tahun lalu di Johor Darul Takzim kini mengulang semula kegemilangan tersebut setelah berjaya menewaskan SK. Pantai di perlawanan akhir dengan jaringan 3 – 0. Pada perlawanaan suku akhir, SK. Tanjung Aru telah berjaya menewaskan SK. Bukit Kalam dengan jaringan 3-2 juga telah menewaskan SK. Bebuloh di peringkat separuh akhir dengan jaringan yang sama. Dengan kemenangan tersebut, SK. Tanjung Aru telah menerima medal dan sijil untuk setiap pemain, piala kejohanan dan 2 set jersi. SK Tanjung Aru akan mewakili WP.Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan di adakan di Terengganu pada bulan September ini.

Warga SK Tanjung Aru sangat berbangga dengan pencapaian ini  lebih-lebih lagi semangat juang yang sangat tinggi yang ditunjukkan oleh pemain yang terdiri daripada murid-murid Tahun 5, Tahun 4 dan Tahun 3  sekolah ini. Warga sekolah juga amat berterima kasih dan sebesar-besar tahniah atas komitmen yang tinggi oleh Ustaz Rafiza Hafiz Bin Poji selaku ketua jurulatih dengan dibantu oleh jurulatih sukarelawan dari luar iaitu Saudara Norazli Bin Mohd Abdullah dan saudara Mohd Asuadi Bin Poji serta pengurus pasukan En. Bustamih Hj. Ungki.

Dalam tempoh sebulan ini, pasukan ini akan menjalani latihan intensif dan mengatur strategi terbaik agar dapat memberi saingan yang hebat kepada negeri-negeri lain di peringkat kebangsaan nanti dan dapat mengharumkan nama WP.Labuan di arena bola sepak bawah 11 tahun.

Go Go Go Go SK. Tanjung Aru….Bendera WP. Labuan di atas bahumu ……..




Program Kerja Amal PBSM SM ST Anne

Program: Kerja amal dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan
Tarikh: 28 / 7 /17
Tempat: Rumah orang tua miskin en. Hassan Lasak kg. Durian Tunjong.
Ahli rombangan: murid 35 org, guru pengiring 2, pegawai kebajikan 4, sukarelawan 5.
Aktiviti: gotong royong membersih kawasan rumah dan sumbangan barang makanan dan peralatan dapur.
Masa: 7.30 hingga 11.00 am.




Program Outreach Siri 2 Tahun 2017

Labuan – Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Hospital Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah melaksanalan Program Outreach Siri 2 Tahun 2017 pada 26 Julai 2017. Program ini adalah bertujuan untuk membuat pemeriksaan dan pengesanan murid yang berkemungkinan bermasalah pembelajaran.

Seramai 21 orang murid telah terlibat pada program ini. Murid hadir ke Klinik Pakar 1, Hospital Nukleus Labuan seawal jam 8.00 pagi bersama-sama ibu bapa/penjaga serta Guru Pemulihan/ Guru Kelas murid tersebut untuk membuat pemeriksaan bersama pegawai perubatan. Program ini juga melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) WP Labuan untuk memudahkan proses menyediakan Kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Hasil daripada pemeriksaan bersama pegawai perubatan, seramai 15 orang murid telah disahkan sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK). MBK ini akan ditempatkan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi membantu murid mendapat tahap pembelajaran yang bersesuaian dengan mereka.

Jabatan Pendidikan WP Labuan berbesar hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada kumpulan Pegawai Perubatan Hospital Labuan yang diketuai oleh Dr Ng Boon Seng kerana sudi membantu dalam menjayakan program ini. Semoga kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang demi membantu murid-murid yang bermasalah pembelajaran.




Memartabatkan Kepimpinan Pendidikan di Semua Peringkat bagi Memastikan Kemenjadian Murid

Labuan – Perhimpunan bulanan bagi bulan Julai 2017 telah diadakan pada 25 Julai 2017 yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN).

Perhimpunan kali ini telah dikelolakan oleh Sektor Pengurusan Maklumat, Sektor Jaminan Kualiti, dan Sektor Psikologi dan Kaunseling.

Dalam perutusan Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ketua sektor, KPP BTPN, pegawai jabatan, Pengetua Guru Besar atas kejayaan pelaksanaan semua program Sektor, BTPN dan Sekolah.

Beliau menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di atas pencapaian cemerlang dalam Penarafan Kecemerlangan PPD dengan mendapat 4 bintang.

Begitu juga pencapaian Cemerlang dalam pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada agensi MAMPU.

Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pihak jabatan dan sekolah samada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara kejayaan yang dicapai dalam bulan Jun dan Julai adalah seperti :

  1. Anugerah Emas oleh SISC + dan SMS Labuan dalam Pertandingan inovasi dan pameran Blue Ocean Strategy peringkat kebangsaan, 3-4 Julai 2017, IPG Kampus Darulaman Kedah.
  2. Pengiktirafan Kerajaan Malaysia SMK Pantai sebagai IB World School Peringkat Antarabangsa.
  3. Anugerah Silver B : The 15th Malaysian Choral Eisteddfod 2017 National Choir Competition oleh SMK Labuan.
  4. Tempat Ketiga : Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2017 oleh SMK Lajau
  5. SMK Labuan meraih pingat gangsa dalam pertandingan Kebangsaan ;National Wind Orchestra Festival 2017.

Majlis Pelancaran Program Lencana “Rakan 6 Bidang” Anjuran Kelab Pendidikan Labuan

Tema perhimpunan bulanan bagi bulan Julai 2017 adalah ‘ Memartabatkan Kepimpinan Pendidikan di Semua Peringkat bagi Memastikan Kemenjadian Murid’.

Encik Raisin Saidin berkata, prasyarat untuk menjadi pemimpin cemerlang perlu mempunyai kekuatan peribadi, kekuatan pengetahuan dan kekuatan peranan.

Majlis sambutan hari jadi kepada warga pendidikan turut diadakan

 




Majlis Hari Raya AidilFitri dan Jalinan Titian Kasih JPWPL disambut Meriah

24 Julai – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Jalinan Titian Kasih Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2017 yang berlangsung di Dewan Sri Kedayan, SK Sungai Lada bermula jam 12.00 tengahari sehingga 4.00 petang berlangsung meriah dengan dikunjungi hampir 500 orang tetamu.

Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua warga pendidikan serta tetamu yang hadir bagi menjayakan majlis Sambutan Hari Raya tahun ini.

Majlis bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri disamping dapat menjalinkan hubungan silatulrahim yang lebih erat di kalangan warga pendidikan.

Antara jemputan yang hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Sri Haji Mohd Alias Haji Abd Rahman dan isteri, Ketua-Ketua Jabatan Agensi Kerajaan WP Labuan, Pengetua dan Guru Besar, Ketua-Ketua Kampung dan warga pendidikan.

Tetamu jemputan yang hadir  Dato’ Sri Haji Mohd Alias Haji Abd Rahman dan isteri bersama En Raisin Saidin dan Ketua-ketua Sektor

Pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan sepanjang majlis sambutan itu berlangsung yang dikelolakan oleh Ahli Kelab Kebajikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Antaranya ialah :

  1. Pertandingan membuat kad raya
  2. Pertandingan selfie raya kreatif
  3. Pertandingan wefie raya kreatif
  4. Pertandingan ucapan raya yang paling menarik
  5. Pertandingan makan biskut raya terpantas
  6. Pertandingan baju raya sedondon
  7. Pertandingan pantun dua kerat raya
  8. Pertandingan gerai yang tercantik

Gambar Kenangan Kumpulan Pengetua Guru Besar (PGB) bersama Encik Raisin Saidin

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Raya AidilFitri dan Jalinan Titian Kasih  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan sungguh meriah pada kali ini.

Ahli Kelab Kebajikan Pendidikan Labuan




SMK Labuan juara Bola Jaring MSS Labuan 2017 Bawah 18

SMK Labuan muncul juara kategori Bawah 18 di Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) 2017 yang berlangsung di Dewan SK Sungai Lada pada 17-20 Julai lalu.

Sebanyak sembilan buah sekolah menengah menyertai pertandingan tersebut.

Manakala pasukan Bawah 15 pula menduduki tempat ketiga.

Skuad SMK Labuan diketuai pengurus pasukan Rohati Husin bersama dua jurulatih iaitu Teo Boon Leng dan Emelyda.

Lebih manis pasukan SMK Labuan turut membawa balik Anugerah Pemain Terbaik Bawah 18 menerusi Nurfatieah Abdullah.

Di pusingan awal, SMK Labuan menewaskan Kolej Vokasional Labuan, Sekolah Sukan Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

SMK Labuan menewaskan SM St Anne di peringkat separuh akhir.

Pertemuan sekali lagi menentang Kolej Vokasional Labuan di pentas akhir yang mendebarkan akhirnya memihak kepada SMK Labuan menerusi gol 1410.

Bagi kategori Bawah 15 Tahun, SMK Labuan tewas di tangan SMK Rancha-Rancha dan menang mengatasi SMK Taman Perumahan Bedaun dan SM St Anne.

Di separuh akhir, SMK Labuan tewas di tangan SM Sains Labuan.

Bagi menentukan tempat ketiga, SMK Labuan mengecewakan SMK Rancha-Rancha 5-4.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Labuan, Awangku Zain Awang Anak.

Sementara itu, Pengetua SMKLabuan,IsmailAbdullah mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan bola jaring tersebut.

Beliau yakin kejayaan itu akan menyuntik semangat pasukan dan pelajar lain untuk turut meraih kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Pengetua SMK Labuan bersama pasukan Bola Jaring SMK Labuan




‘Zero To Hero Transformation Carnival’ Tingkat Prestasi Bahasa Inggeris SPM

LABUAN, 24 Julai – “Program ‘Zero To Hero Transformation Carnival 2017’ hasil inisiatif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau ini dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan pelajar sekolah tersebut bahkan para calon SPM dari sekolah-sekolah lain di Labuan ini.”

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Hasbollah Hamid berkata demikian menyampaikan ucapan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin pada perasmian karnival tersebut di Perkarangan Bangunan Ujana Kewangan, di sini, pada Sabtu.

Hasbollah (kiri sekali) dan Yusup (dua dari kiri) sempat mencuba salah satu permainan pada karnival tersebut.
Hasbollah (kiri sekali) dan Yusup (dua dari kiri) sempat mencuba salah satu permainan pada karnival tersebut.

Tambahnya, program ini yang julung-julung kali diadakan merupakan salah satu langkah besar-besaran yang seharusnya mendapat sambutan menyeluruh dari murid dan guru di Labuan ini.

“Penyertaan para peserta dari beberapa sekolah di pulau ini mampu sedikit sebanyak membantu dalam pembelajaran bahasa Inggeris yang menjadi ‘Lingua Franca’ iaitu bahasa komunikasi antarabangsa khususnya meningkatkan prestasi subjek bahasa Inggeris di dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Pengetua SMK Lajau, Yusup Mohamad, program ‘Zero To Hero’ ini merupakan cetusan idea Guru Cemerlang bahasa Inggeris sekolah tersebut iaitu Janet Rose Tanakinjal dalam membimbing calon-calon SPM dalam mata pelajaran bahasa Inggeris khususnya aspek komponen sastera yang melibatkan novel, cerita pendek, teks puisi dalam subjek tersebut yang diperkenalkan dalam periksaan SPM sejak tahun lepas.

“Memandangkan komponen sastera bahasa inggeris tersebut agak mencabar yang mana novel berjudul ‘Captain Nobody’ merupakan novel yang menjadi rujukan bagi calon-calon SPM bagi subjek Bahasa Inggeris untuk tahun ini, maka Cikgu Janet telah mengambil usaha mahupun inisiatif menghasilkan program ini agar kaedah pembelajaran menjadi mudah dan seronok.

“Menerusi karnival ini juga, pembimbing rakan sebaya yang mahir dalam program tersebut dalam kalangan pelajar tingkatan Lima SMK Lajau telah dilantik untuk membimbing rakan-rakan sebaya mereka dari sekolah-sekolah lain,” jelas Yusup lagi.

Janet Rose Tanakinjal
                                                            Janet Rose Tanakinjal

Bagi Janet Rose Tanakinjal, 42, program ‘Zero to Hero’ ini akan membuatkan para pelajar lebih yakin dalam menjawab soalan novel subjek bahasa Inggeris SPM tahun ini melalui pembelajaran yang mudah dan menyeronokkan.

“Melalui program ini, kaedah pembelajaran menerusi permainan ‘software’ komputer yang diiilhamkan sendiri oleh pelajar SMK Lajau yang mengadaptasi novel ‘Captain Nobody’ ini akan lebih menyeronokkan di samping permainan yang berbentuk kuiz bagi memudahkan calon-calon SPM mengingati fakta-fakta untuk menjawab soalan novel tersebut semasa SPM kelak.

“Jadi, pada kali ini, SMK Lajau turut berkongsi program ‘Zero to Hero’ dengan mengadakan karnival pada hari ini yang mana sebanyak enam buah gerai aplikasi permainan dan kuiz dapat dicuba oleh para peserta dari seluruh sekolah yang ada di Labuan,” tambahnya lagi.

Froline (kiri) dan Maryjane (kanan)
                                               Froline (kiri) dan Maryjane (kanan)

Bagi dua orang peserta iaitu Maryjane Chang Li Jin, 17, dan Froline Poh Le Xin, 17, dari SMK Mutiara, mereka berdua berkongsi keterujaan dalam mengaplikasi permainanan dan kuiz di gerai-gerai yang terdapat pada program tersebut

Bagi mereka, kedua-dua aktiviti tersebut agak kreatif dan menjadikan pembelajaran mereka lebih seronok tanpa perlu gusar untuk menghafal nota-nota bahasa Inggeris dalam novel ‘Captain Nobody’.

Irham Zulhimi (kanan) pembimbing rakan sebaya bersama pembimbing rakan sebaya yang lain
Irham Zulhimi (kanan) pembimbing rakan sebaya bersama pembimbing rakan sebaya yang lain

Manakala, bagi Irham Zulhilmi Mohd Johan 17, yang merupakan salah seorang Rakan Pembimbing, berpendapat penghuraian bahan-bahan program menggunakan bahasa Inggeris juga dapat memahirkan penggunaan bahasa Inggeris antara para peserta mahupun pembimbing rakan sebaya untuk mencapai keputusan yang memberansangkan dalam subjek bahasa Inggeris SPM kelak.

Sumber : Udabayas