Keputusan SPM 2018 Labuan

Labuan, 15 Mac : Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan pencapaian yang lebih baik dari segi peningkatan peratus layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 92.72% berbanding 89.48% tahun 2017, peningkatan sebanyak 3.24%.

Gred Purata Negeri (GPN) tahun 2018 mencatatkan 4.98 berbanding 4.94 pada tahun 2017.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, pencapaian pelajar cemerlang dengan memperoleh A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran meningkat.

Seramai 14 orang pelajar cemerlang bersamaan 1.55% berbanding 13 orang calon iaitu 1.37% tahun 2017, peningkatan sebanyak 0.18%.

Beliau mengumumkan Keputusan SPM 2018 di Dewan Mutiara, Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Pada keseluruhannya pencapaian sekolah kerajaan di Labuan dalam SPM 2018 untuk setiap mata pelajaran adalah amat memberangsangkan. Daripada 35 mata pelajaran yang diambil oleh calon, 17 mata pelajaran telah mencapai 100%.

Sebanyak 25 mata pelajaran mengatasi pencapaian nasional.

Encik Raisin Saidin, Encik Ismail, Encik Sawal dan Hj Md Yusof bersama pelajar cemerlang SPM 2018

Audrey Agang Teo Li Xin dari SMK Labuan menjadi pelajar terbaik Labuan SPM 2018 dengan memperoleh 9A+ dan 1A.

SM Sains Labuan mencatat 100% lulus dan mencapai Gred Purata Sekolah 2.25.

SMK Rancha-Rancha yang merupakan tahun pertama pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan SPM mencapai 100 peratus calon SPM layak mendapat sijil.

Berikut adalah senarai 14 orang pelajar cemerlang SPM 2018 :

  1. Audrey Agang Teo Li Xin, SMK Labuan : 9A+,1A
  2. Janice Su Shi Fen, SMK Labuan : 8A+,2A
  3. Yap Joewin, SMK Labuan : 8A+,1A,2A-
  4. Tan Xuan Jie, SMK Labuan : 7A+,3A,2A-
  5. Nur Syafiqah Amira Lee bt Muhammad Fuad Lee Abdullah, SM St Anne : 7A+,2A
  6. Nor Khalidah bt Sanip, SM Sains : 7A+,2A-
  7. Belle Tan Bei Er, SMK Labuan : 6A+,3A,2A-
  8. Muhammad Asyraf Farhan bin Bacho, SM Sains : 5A+,4A
  9. Shyazrul Amrie bin Rosli, SM Sains : 5A+,4A
  10. Muhammad Ali Syaharzuhdi bin Yusri, SM Sains : 5A+,2A,2A-
  11. Wynette Clarissa Liew Chea Chyee, SMK Labuan : 3A+,6A,1A-
  12. Bennywell Helny Binjamin, SM Sains : 3A+,5A,1A-
  13. Mohammad Ezlii Erzuan Lee bin Lee Kok Keng, SM Sains : 2A+,6A,1A-
  14. Jayne Carey Wong, SMK Labuan : 2A+,5A,3A-
14 Pelajar Cemerlang SPM 2018 Labuan (dan wakil ibu)



Audrey Pelajar Terbaik SPM 2018 Labuan

Pelajar SMK
Labuan, Audrey Agang Teo Li Xin telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM
2018 WP Labuan setelah mencapai 10A dalam SPM iaitu 9A+ dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Muzik, Matematik
Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi, serta mendapat A dalam Pendidikan Moral.

Audrey kini menetap bersama keluarga di WP Labuan, ayahnya David Agang Teo Chuan Fook, berasal dari Kuala Penyu, bekerja sebagai  Head – Base Operations/Business Development of Asian Supply Base, dan ibunya Janet Moh Kiew Yen berasal dari WP Labuan, bekerja sebagai Assistant Manager – Asset Management.

Anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini bersekolah di SJK (C) Chung Hwa WP Labuan dan telah mencapai 5A 1B 1C dalam UPSR. Seterusnya Audrey bersekolah di SMK Labuan dan telah mencapai 9A dalam PT3 pada tahun 2016.

Berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan  dan bercita-cita menjadi seorang doktor, Audrey mempunyai kegemaran membaca novel dan komik.  

Audrey merakamkan ucapan terima kasih kepada pengetua dan semua guru yang telah mendidiknya dengan penuh dedikasi serta sentiasa berusaha tanpa lelah untuk membantunya mencapai kejayaan dalam SPM,  juga kepada kedua ibu bapa serta keluarga yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk belajar dengan lebih tekun.

Seramai 7 orang  pelajar SMK Labuan telah berjaya mencapai semua A dalam SPM 2018. Ini merupakan 50% daripada jumlah 14 orang murid cemerlang SPM seluruh WP Labuan. Mereka ialah Janice Su Shi Fen (8A+, 2A), Yap Joewin (8A+, 1A, 2A-), Tan Xuan Jie (7A+, 3A, 2A- ), Belle Tan Bei Er (6A+, 3A, 2A- ), Wynette Clarissa Liew Chea Chyee (3A+, 6A, 1A- ) dan Jayne Carey Wong (2A+, 5A, 3A- ).

Jumlah pelajar cemerlang ini meningkat berbanding 4 orang pada 2017.

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya, serta ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PIBG yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam pelaksanaan program-program akademik.

Encik Ismail dan Pelajar Terbaik SPM 2018, Audrey Agang

Bilangan murid yang ramai menyebabkan sekolah perlu menyusun strategi untuk memenuhi matlamat membantu dan membimbing pelajar mengikut keupayaan masing-masing.

Selain daripada tumpuan kepada pelajar cemerlang, sekolah juga memberi tumpuan kepada kumpulan murid sederhana dan lemah untuk meningkatkan peratus penguasaan minimum.

Encik Ismail juga berharap jumlah pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke program Matrikulasi, Diploma dan Tingkatan Enam akan meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik juga akan dibantu dari segi khidmat nasihat tentang peluang-peluang yang boleh diceburi selepas ini berdasarkan potensi masing-masing kerana warga SMK Labuan sentiasa berpegang kepada slogan “Setiap Murid Bernilai”

Berita Oleh : SMK Labuan




Bengkel Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah (ASISS) 2019

Labuan, 14 Mac 2019 – SK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) telah mengelola bengkel Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (ASISS) 2019 bertempat di Musolla Nurul Iman SK Rancha-Rancha.

Bengkel disertai oleh guru-guru Pendidikan Agama Islam SK Rancha-Rancha, penyelaras surau SMK Pantai, SMK Mutiara dan SK Membedai. Bengkel turut dihadiri oleh Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusoff, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan Puan Midah binti Yusop, Penolong Kanan Pentadbiran SKRR dan Puan Rositah binti Abd Rahman, Penolong Kanan HEM SKRR.

Ustaz Syahir memaklumkan untuk ASISS, penilaian dibuat dari segi kebersihan, inovasi, aktiviti serta inisiatif yang diterapkan oleh pihak sekolah dalam usaha untuk mengimarahkan musalla.
Oleh itu, setiap sekolah yang terlibat akan menjalani sesi penilaian dan disenarai pendek untuk peringkat negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan.




Andesh Johan Tokoh Nilam Kategori Bahasa Inggeris Peringkat Negeri W.P Labuan

Labuan ,13 Mac
2019 (Rabu) – SKK SK ST. Anne telah menghantar wakil bagi PENILAIAN TOKOH NILAM
Peringkat WP. Labuan. Andesh A/L Thevendran mewakili sekolah bagi kategori
Bahasa Inggeris. Manakala Nur Azrieana Afizah Binti Mohammad Nazri mewakili kategori
Bahasa Melayu. Selain itu, sekolah juga menghantar penyertaan bagi kategori
Folio Kreatif Sekolah Rendah.

Andesh telah
mendapat Johan bagi kategori Bahasa Inggeris dan Nur Azrieana Afizah mendapat
tempat ketiga bagi kategori Bahasa Melayu. Bagi kategori Folio Kreatif Sekolah
Rendah pula, Andesh mendapat tempat ketiga dan Nur Azrieana Afizah mendapat
Naib Johan.

Andesh akan mewakili WP. Labuan ke peringkat kebangsaan pada bulan April nanti.

Andesh (kiri) dan Azrieana Afizah (kanan) bergambar kenangan bersama-sama trofi kemenangan

Dorongan ibu
bapa dan bimbingan para guru telah berjaya membantu kejayaan peserta Tokoh
NILAM sekolah ini. Tanpa dorongan dan bimbingan daripada ibu bapa dan
guru-guru, kejayan ini tidak akan dapat dicapai.

SKK SK. Anne
sentiasa melakar kejayaan dalam Penilaian Tokoh NILAM peringkat WP. Labuan.
Pada tahun ini merupakan tahun keenam SKK SK ST. Anne berjaya mendapat Johan
dan mewakili WP. Labuan ke peringkat kebangsaan. Semoga Andesh akan beroleh
kejayaan di Peringkat Kebangsaan nanti dan mengharumkan nama WP. Labuan.
Pembimbing bagi tokoh nilam SKK SK St Anne adalah Puan Muharna Mucklie, Guru
Perpustakaan dan Media SKK St Anne W.P Labuan




SMK Rancha-Rancha Menjuarai Anugerah Tokoh Nilam Kategori Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris Peringkat Negeri W.P Labuan 2019

Labuan,13 Mac 2019 – Bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan  Negeri W.P Labuan telah berlangsung majlis penyampaian sijil penghargaan dan anugerah Tokoh Nilam kategori sekolah rendah dan menengah .  Pada tahun ini, sebanyak  27 buah sekolah rendah dan menengah telah menyertai pertandingan berprestij tersebut yang mana pertandingan ini menjadi impian setiap pelajar di W.P Labuan dan juga di peringkat  kebangsaan.

Pertandingan Tokoh Nilam  dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pelajar yang telah mewakili sekolah masing-masing, dihakimi bukan sahaja dari aspek kepetahan bercakap dalam menyampaikan  idea mereka,  tetapi mereka juga dinilai  dalam pelbagai aspek  baik dari segi akademik dan juga personaliti.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri W. P Labuan iaitu En Awang Marteen bin DatuK Abdul Rahman melalui ucapannya berharap semoga pertandingan ini menjadi rintis untuk membudayakan budaya membaca sekaligus menjadikan pelajar-pelajar di Malaysia setaraf dengan pelajar-pelajar di negara maju. Tambah beliau lagi , anugerah Tokoh Nilam merupakan manifestasi kepada ukuran atau penilaian secara menyeluruh kepada pelajar yang berjaya dalam bidang akademik. Dalam ucapan beliau juga menyatakan penglibatan aktif pelajar dalam kegiatan luar bilik darjah nyata mengubah landskap penampilan diri sehingga menyaksikan pelajar-pelajar yang mewakili sekolah masing-masing  kini lebih berani ke hadapan dan lebih yakin melontarkan idea dan pendapat.

Pengetua SMK Rancha-Rancha En Omar Baki bin Matusin  bersama
Johan  Tokoh Nilam Peringkat Negeri W.P Labuan 2019

Encik Sapri bin
Idris selaku ketua hakim pertandingan Tokoh Nilam peringkat negeri berasa yakin
dengan penilaian dalam kalangan hakim yang berpengalaman dalam bidang
masing-masing. Hakim-hakim yang dilantik terpaksa berhempas pulas dan berbahas
dalam menilai pelajar secara menyeluruh.

Program Bakat Pelajar anjuran Pusat Sumber dan Pentas Pidato SMK Rancha-Rancha   yang memberi peluang kepada para pelajar peringkat  menengah rendah dan menegah atas  menerbitkan karya di platform penyiaran, ternyata memberi kesan yang amat positif dalam membentuk personaliti serta keterampilan  pelajar  dalam bidang komunikasi. Ia terbukti dengan menyaksikan kedua-dua wakil SMK Rancha-Rancha   bakal mewakili negeri W.P Labuan ke Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2019, merupakan  pelajar aktif dan  berprestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa .

Sulimin bin Suliman Johan Kategori Bahasa Melayu

Pada tahun ini , Sulimin bin Suliman mewakili kategori Bahasa Melayu telah berjaya menebus kekecewaan pada tahun lepas apabila tumpas dengan perbezaan markah yang sedikit sekaligus dinobatkan sebagai naib johan Tokoh Nilam  2018. Dengan latihan serta bimbingan daripada jurulatih guru Nilam sekolah,  Sulimin bin Suliman telah membuktikan sememangnya ia layak untuk mewakili W.P Labuan ke peringkat kebangsaan pertandingan Tokoh Nilam 2019 di Selangor Darul Ehsan .

Muhammad Zulhazmi bin Rafiqi Azhary  Johan kategori Bahasa Inggeris

Wakil SMK
Rancha-Rancha kategori Bahasa Inggeris iaitu Muhammad Zulhazmi bin Rafiqi
Azhary  telah beberapa kali menyertai
pertandingan Tokoh Nilam di peringkat negeri . Sejak tahun 2017 Muhammad
Zulhazmi bin Rafiqi Azhary  telah
mewakili SMK Rancha-Rancha dan tidak pernah putus asa untuk meraih gelaran
johan. Tahun ini, dengan pengalaman yang pernah diperolehi akhirnya impiannya
tercapai.

Sebagai persediaan bertanding di peringkat kebangsaan pada 2 hingga 5 April 2019 , kedua-dua Tokoh Nilam SMK Rancha-Rancha ini akan berlatih bersama juru latih yang berpengalaman. Semoga usaha murni tersebut akan membuahkan kejayaan untuk sekolah dan W.P Labuan.




Farah Ain Cipta Sejarah STPM Labuan

Farah Ain Nabilla binti Roslizar mencipta sejarah sebagai pelajar pertama Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang mencapai prestasi sempurna Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM 2018.

Ini adalah pencapaian terbaik sejak STPM Modular dilaksanakan menggantikan STPM Terminal.

Farah Ain
mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu Sejarah, Ekonomi,
Pengajian Am dan Geografi.

Farah Ain kini menetap bersama keluarga di Kampung Sungai Labu WP Labuan, ayahnya Roslizar Mohd Zubir, seorang pesara tentera dan ibunya Puan Nuri Hj Ishak seorang suri rumah.

Anak bongsu daripada dua orang adik beradik ini bersekolah di SK Pangkalan TLDM Lumut Perak dan telah mencapai 4A 1B dalam UPSR. Seterusnya Farah Ain bersekolah di SMK Mutiara WP Labuan dan telah mencapai 8A 3C dalam PT3, dan mencapai 7A 2B dalam peperiksaan SPM.

Berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan  dan bercita-cita menjadi seorang guru. Farah Ain merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam yang telah mendidiknya dengan penuh dedikasi, juga kepada kedua ibu bapa serta keluarga yang banyak memberi dorongan dan sokongan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

Farah Ain Nabilla binti Roslizar

Tidak lupa kepada rakan-rakannya yang banyak membantu dan sentiasa bersamanya di kala susah dan senang. Kejayaan ini juga adalah kejayaan milik bersama.

Seramai 43 orang daripada 138 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan telah berjaya mencapai keputusan PNGK 3.00 hingga 4.00. Peratus lulus penuh juga meningkat daripada 97.50% pada tahun 2017 kepada 98.55% pada tahun 2018.

Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah menjangkakan peningkatan  jumlah pelajar yang akan memasuki Tingkatan Enam tahun ini.

Walaupun menghadapi cabaran seperti infrastruktur dan bahan sumber pembelajaran yang agak sukar didapati di WP Labuan, para pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan sentiasa mencari alternative untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut dan sentiasa komited untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.

Encik Ismail juga berharap jumlah pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke IPT akan meningkat berbanding 75 orang pada tahun sebelumnya.

Pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik juga akan dibantu dari segi khidmat nasihat tentang peluang-peluang yang boleh diceburi selepas ini berdasarkan potensi masing-masing kerana warga SMK Labuan sentiasa berpegang kepada slogan “Setiap Murid Bernilai”

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Raisin Saidin menyerahkan keputusan STPM kepada Encik Ismail



STPM 2018 Labuan, Catat Peningkatan Peratus Lulus Penuh

Labuan, 12 Mac – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan peratus lulus penuh daripada 97.50% pada tahun 2017 kepada 98.55% pada tahun 2018, peningkatan 1.05%.

Pencapaian Gred Purata Negeri ialah 2.64 berbanding 2.72 tahun 2017.

Keputusan Peperiksaan STPM 2018 diumumkan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2019.

Untuk rekod, seramai 138 calon sekolah kerajaan telah menduduki peperiksaan ini di Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, di Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 43 orang daripada 146 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan telah berjaya mencapai keputusan PNGK 3.00 hingga 4.00.

Farah Ain Nabilla binti Roslizar mencipta sejarah tersendiri dengan mencatat prestasi sempurna Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Keputusan lain, Nur Faezah binti Dollah (3.92), Suhaila binti Jumarding (3.84). Norliyana binti Mohd Kahalli @ Sami (3.84), Muhammad Syafiq bin Mohd Taufiq Aaron (3.84), Mohammad Razman bin Musim (3.75), Eleanor Tan Hui Xing (3.59), Dean Delaina D.Ejoh (3.58), Mohd Acamar bin Awang Hamzah (3.58), Glinda Eva Mainor (3.58) dan Noor Azlin binti Aspan (3.50).

Majlis Pengumuman STPM 2018 telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

“Berdasarkan pencapaian STPM 2018 Labuan, saya melihat masih begitu banyak ruang untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar-pelajar tingkatan 6 di SMK Labuan. Kejayaan Farah Ain Nabilla Roslizar mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil seharusnya menjadi pembakar semangat calon-calon STPM tahun ini untuk mengulangi kejayaan tersebut”. Encik Raisin Saidin

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat mendidik, membantu dan membimbing murid-murid sehingga ramai dalam kalangan mereka berjaya dengan cemerlang.




Jentayu Cipta Hatrik, Pertahan Kejuaraan Sukan Olahraga SK Sungai Bedaun

Kejohanan
Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) kali ke 17 telah
diadakan pada 3 Mac lalu di  Kompleks
Sukan Labuan.

Sebanyak 28 acara telah dipertandingkan iaitu lari pecut 100 meter (m), 200m, 400m, 4 x 100m dan 4 x 200m kategori lelaki dan perempuan.

Larian comel 80 meter turut diadakan untuk memberi peluang kepada murid yang lebih berat badan (melebihi 50 kg) berlari di track.

Bagi memeriahkan Kejohanan Sukan Olahraga, pihak sekolah turut mengadakan acara terbuka larian 50 meter untuk golongan ibu manakala 100 meter untuk golongan bapa.

Pembukaan
kejohanan sukan sekolah tahun ini telah diadakan pada 28 Februari lalu di
Padang SKSB. Enam acara padang telah dipertandingkan  iaitu acara lompat jauh, lompat tinggi dan lontar
peluru kategori lelaki dan perempuan.

Membuka tirai kejohanan Sukan Olahraga Kali ke 17 pada tahun ini ialah Lintas hormat peserta perbarisan kontingen rumah Rumah Jentayu, Cenderawasih, Kasawari dan Garuda Seramai 33 orang peserta perbarisan mewakili setiap rumah sukan.

Kontingen Perbarisan Rumah Kasawari segak bergaya untuk membuat perbarisan lintas hormat.

Penonton turut teruja melihat persembahan Gimnasrada iaitu sukan yang julung kalinya diperkenalkan di SKSB.

Seramai 60 orang murid terlibat dalam persembahan ini. Mereka  terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga 6 yang dipimpin oleh Cikgu Norlisa Binti Rusly, Guru Pendidikan Jasmani SKSB dengan kerjasama PIBK.

Dalam ucapan aluannya Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang menjayakan kejohanan Sukan Olahraga SKSB tahun ini dengan kerjasama yang sangat baik di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Encik Mohd Aizam Bin Abdul Rahim.

“Sesungguhnya kejayaan kejohanan sukan pada tahun ini adalah hasil  sokongan, kerjasama padu oleh semua guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan alumni SKSB yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap selain bantuan dari pihak luar seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Labuan. Semoga Kejohanan Sukan Olahraga  tahun ini menjadi suntikan semangat kepada wakil olahraga SKSB untuk terus bersaing secara sihat dalam setiap acara yang dipertandingkan. Kita berdoa agar atlet SKSB dapat membawa kilauan emas untuk sekolah dalam Majlis Sukan Sekolah Peringkat Negeri  (MSSWPL) nanti”. Katanya ketika memberikan kata alu-aluan dalam majlis tersebut.

Adik Mohammad Shahril bin Azlan, Olahragawan dan adik Nur Khairunnisa Najwa binti Abdullah Mohd Yusof, Olahragawati Tahun 2019 bergambar bersama Awang Zain bin Awang Anak (3 dari kanan), En Mohamad bin Pindut (kiri), Dg.Sarifah (dua dari kanan) dan Wiwik (kanan)

Mengulas lanjut Dg.Sarifah berkata, kejohanan olahraga ini bukanlah semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara yang dipertandingkan. Perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.

Johan Keseluruhan Sukan Olahraga tahun 2019 telah disandang oleh Rumah sukan Jentayu (merah) yang memperoleh  18 pingat emas.

Ahli Rumah Jentayu gembira meraikan kemenangan 3 tahun berturut- turut dalam Kejohanan Sukan Olahraga SKSB

Diikuti oleh rumah sukan Cenderawasih (kuning) dengan memperoleh 15 pingat emas, tempat ketiga di sandang oleh rumah sukan Kasawari (biru) dengan memperoleh 9 pingat emas manakala rumah sukan  Garuda (hijau) menduduki tempat keempat dengan kutipan 6 pingat emas.

Johan Perbarisan pula telah disandang oleh rumah sukan Garuda.

Adik Mohammad Shahril bin Azlan yang memperoleh 3 emas bagi acara 100m, 200m dan 80m berpagar telah dinobatkan sebagai Olahragawan Tahun 2019 manakala adik adik Nur Khairunnisa Najwa binti Abdullah Mohd Yusof yang memperoleh 3 emas dalam acara  100m, 200m dan  80m berpagar dinobatkan sebagai Olahragawati.

Kejohanan
Sukan  Olahraga Kali Ke 17 tahun 2019
telah dirasmikan oleh En Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (Jpwpl). Turut hadir ialah En Mohamad bin
Pindut, Pegawai Angkat SKSB, Sarjan Fam Siat Ling, Pegawai Perhubungan Sekolah
(PPS), En Rosmani bin Putih, Ketua Kampung Sungai Bedaun.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua murid terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Ahli-ahli Rumah Cenderawasih bersama guru mengabdikan gambar kenangan seusai Kejohanan Sukan Olahraga 2019 .



Rajawali Rampas Kejuaraan Olahraga SMK Labuan

Labuan, 11 Mac : Rajawali merampas kejuaraan daripada rumah Garuda yang memegang hatrik juara keseluruhan sejak 2016 sehingga 2018 dalam Kejohanan Olahraga kali ke 59 Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan 2019.

Cuaca mendung di pagi hari pertama kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Labuan ternyata membawa tuah kepada rumah Rajawali mengungguli pingatan pingat dengan catatan 21 emas, 12 perak dan 15 gangsa.

Juara bertahan, rumah Garuda hanya mampu ditempat kedua dengan membawa pulang 18 emas, 12 perak dan 14 gangsa.

Kejohanan yang berlangsung 8 hingga 9 Mac ini turut disertai oleh Rumah Kenyalang yang meraih tempat ketiga dengan 15 emas, 21 perak dan 12 gangsa. Manakala rumah Merak mendapat 8 emas, 17 perak dan 19 gangsa.

Ketua Guru Penasihat Rumah Rajawali terdiri daripada Ustazah Lihah binti Amat dan Ustaz Razali Ismail.

Marvin Hing Majin dari rumah Kenyalang dan Mavis Yong Xiao Yee, rumah Merak telah dinobatkan sebagai Olahrawagan Lelaki dan Olahragawati Perempuan 18 tahun.

Tuan Hj Md Yusof (kiri) dan Encik Ismail (kanan) meraikan Olahragawan dan Olahragawati SMK Labuan 2019 : Cyra, Marvin, Mavis dan Norhakimin

Marvin mencatat dua rekod baharu kejohanan iaitu mendapat emas acara Lompat Jauh (6.24 meter) dan emas Lompat Kijang dengan catatan 13.16 meter selain meraih emas acara 4×100 meter serta perak dalam acara 100 meter.

Mavis Yong pula mendapat 3 emas dalam acara 100 meter, 400 meter dan 3000 meter serta mendapat perak dalam acara 4×100 meter.

Olahragawan Lelaki 15 tahun disandang oleh Mohd Norhakimin Noor Ashikan (Rajawali) dengan mendapat 5 pingat emas iaitu Lompat Tinggi, Lompat Kijang (rekod baru 12.87m), 400 meter, 4×400 meter dan 4×100 meter.

Olahragawati Perempuan 15 tahun pula, Cyra Cyril (rumah Kenyalang) dengan catatan 1 emas Lompat Tinggi (rekod baru 1.51 meter), perak 4x100m dan gangsa 4×400 meter

Suasana di Kompleks Sukan Labuan menjadi riuh-rendah oleh jerit pekik penonton yang menyaksikan acara lari berganti-ganti guru dan ibu bapa, yang akhirnya dimenangi oleh gandingan guru rumah Kenyalang.

Johan pertandingan kumpulan sorak juga dimenangi oleh rumah Rajawali dan johan sukan tara dimenangi oleh rumah Merak.

Kumpulan sorak rumah Rajawali muncul johan

Tetamu yang hadir memeriahkan sukan tahunan SMK Labuan ini ialah Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Tuan Hj Md Yusof bin Hj Chuchu selaku perasmi majlis perasmian penutupan, Pegawai Angkat SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah , barisan Penolong Kanan, Puan Zalina Zunkepely, Puan Marziawati Mardan dan Encik Cheah Teong Aik.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih terutama kepada ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada penyertaan anak masing-masing. Semoga sokongan berterusan akan diberikan kepada semua aktiviti sekolah termasuklah aktiviti akademik dan sahsiah.

Pasukan Olahraga SMK Labuan berhasrat untuk mencapai kedudukan 3 terbaik dalam Kejohanan Olahraga MSSWP Labuan yang akan berlangsung pada 18-22 Mac 2019. Encik Ismail Abdullah

Johan lari berganti-ganti guru dan ibu bapa

Sumber Berita : SMK Labuan




Kursus Kepimpinan Pemimpin Sekolah SKK Rancha-Rancha 2019

LABUAN, 11 Mac 2019 – SKK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Pemimpin Sekolah selama dua hari berturut-turut.
Seramai 104 orang kepimpinan pengawas yang terdiri daripada kepimpinan pengawas sekolah seramai 35 orang, ketua dan penolong ketua kelas seramai 20 orang, pengawas pusat sumber seramai 27 orang, pembimbing rakan sebaya seramai 12 orang dan patrol denggi seramai 10 orang yang terlibat.

Kursus ini bertujuan melahirkan dan membentuk kepimpinan pelajar yang berwibawa dan serba boleh dalam membantu pentadbiran sekolah. Hal ini bertepatan dengan matlamat unit disiplin untuk melahirkan pemimpin dengan segala kompetensinya.
Kursus dimulakan dengan aktiviti ice breaking, team building dan juga mindsetting. Para peserta berpeluang untuk saling mengenali dan membina jaringan silaturahim serta kerjasama antara satu sama lain.

Hari kedua Kursus Kepimpinan diteruskan bertajuk “Motivasi Kepimpinan” yang disampaikan oleh Guru Bimbingan & Kaunseling SK Sg Bedaun, Puan Norsidah binti Mat Yassin. Beliau telah mengupas tentang membentuk keyakinan diri dan seni berkomunikasi.
Sesi terakhir kursus diisi dengan Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim. Beliau menekankan tentang keperluan kepimpinan dalam mewujudkan suasana kecemerlangan di sekolah dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan amanah.