SK Sungai Bedaun Meterai MOC Kolaboratif Strategik Pengurusan PIBK

Labuan, 11 Mac : Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) telah menandatangani Memorendum Persefahaman Kolaboratif  Strategik (MOC) dengan Majlis Guru Besar, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu mengenai Kolaboratif Startegik Pengurusan Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK).

Dengan termeterainya memorendum pada 6hb Mac 2019 ini, kedua-dua pihak  akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan PIBK di tempat masing-masing.

Menurut Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah A.Mahmod, SKSB amat menitik beratkan penglibatan PIBK dalam membantu pihak sekolah  membina ekosistem pendidikan yang dinamik. Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PIBK yang diterajui oleh Pn Wiwik Iswandari Binti Sudirman di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada SKSB.

“ Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, anjakan yang kesembilan, telah  memberikan  penekanan  terhadap  penglibatan  ibu  bapa,  komuniti  dan  pihak  swasta  dalam  memperkasakan  sekolah. Perkongsian  tanggungjawab antara ibu  bapa, komuniti  dan sekolah merupakan satu inisiatif  utama dalam mewujudkan suasana pembelajaran  yang berkualiti untuk  murid-murid”. katanya semasa berucap mengalu-alukan kehadiran rombongan.

Mengulas lanjut, Dg. Sarifah berkata kecemerlangan sekolah dan kemenjadian anak-anak di SKSB adalah hasil kolaborasi di antara PIBK dengan pihak sekolah. Sumbangan sama ada wang ringgit mahupun tenaga dan buah fikiran amat dihargai. Ibu bapa sanggup datang pada waktu cuti untuk menceriakan sekolah malah turut menyediakan makanan untuk murid-murid yang mengikuti latihan sukan dan pertandingan. Kerjasama inilah yang telah menjadikan SKSB dinobatkan sebagai PIBK Contoh  dan diberi Penganugerahan 5 Bintang Peringkat Kebangsaan Tahun 2018.  

Rombongan Majlis Guru Besar Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu  seramai 22 orang ini diketuai oleh En Doss@George Elang, Yang DiPertua Majlis Guru Besar Daerah Kota Marudu juga disertai oleh 22 orang Guru Besar.

Rombongan Penanda Aras dan Kongsi Ilmu MGB Kota Marudu

Ketibaan rombongan tersebut telah disambut dengan paluan kompang dan  persembahan gimnasrada yang merupakan tarikan baru di SKSB. Seramai 60 orang murid terlibat dalam persembahan ini. Mereka  terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga 6 yang dipimpin oleh Cikgu Norlisa Binti Rusly, Guru Pendidikan Jasmani SKSB dengan kerjasama PIBK. Mereka turut melihat persembahan kulintangan yang dimainkan oleh murid-murid tahun 5 dan 6.

Sesi lawatan di SKSB turut meninjau Bilik Gerakan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), 3 buah kelas Pra sekolah, Galeri Permata dan Taman Herba. Terdapat sebanyak 20 jenis herba yang ditanam oleh murid-murid dan juga guru. Melalui Project Base Learning (PBL) iaitu kolaboratif di antara panitia dan PIBK, Produk 3 Sekawan yang terdiri daripada ramuan serai wangi, daun limau perut dan daun sambung berjaya dihasilkan. Adalah diharapkan agar produk ini dapat menjana sumber kewangan untuk tabung PIBG sekolah.

Rombongan telah diiringi oleh Puan Zaliha Salleh selaku pegawai yang bertanggung-jawab membimbing Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Encik Muhammad bin Pindut selaku Pegawai Angkat SKSB serta En Jaafar Bin Matusin, Yang DiPertua MGB WPL turut hadir guru-guru besar sekolah sekolah di W.P. Labuan.

Semoga Lawatan Penanda Aras ini mampu memberi lonjakan inspirasi untuk Pengurusan PIBK kedua-dua pihak.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Kenangan : Lawatan MGB Kota Marudu ke Taman Herba SKSB



Perjumpaan Ibu Bapa Tahun Satu SKK SK ST Anne Bantu Sebar Maklumat Sekolah

Labuan, 09 Mac 2019 : Perjumpaan Ibu Bapa Tahun satu telah diadakan di SKK SK St Anne.

Ibu bapa diberi taklimat mengenai usaha sekolah untuk memajukan prestasi akademik sekolah serta membantu anak anak murid tahun satu di dalam literasi bahasa melayu dan inggeris serta kemahiran numerasi.

Taklimat telah diberikan oleh Guru Besar SKK St Anne, Puan Shim Ching Teo dan guru mata pelajaran tahun satu Cikgu Zuriani Mohd  Isa

Ibu bapa telah diberi panduan untuk membantu anak mereka mengatasi kelemahan anak-anak mereka di dalam literasi bahasa melayu dan inggeris serta kemahiran numerasi.

Ibu bapa juga berpeluang bertemu sendiri dengan guru-guru matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik untuk membincangkan perkembangan akedemik anak mereka.

Program tahunan ini ternyata banyak membantu perkembangan anak-anak di SKK SK St Anne.

Berita Oleh : SKK SK St Anne




Motivasi Murid Tahun 6 Skk Sk St. Anne Tahun 2019

Labuan, 09 Mac 2019 Kursus Motivasi murid tahun 6
telah diadakan di Dewan Bomba Jalan Kampung Jawa W.P Labuan. Penceramah
jemputan yang diterbangkan khas dari Kota Kinabalu, Tn Hj Makhtar B Imam Hj Nor
telah menyampaikan ceramah motivasi kepada murid-murid. Komitmen yang tinggi
daripada ibubapa untuk menghantar anak-anak ke kursus ini amatlah dipuji. SKK
SK St Anne mengucapkan ribuan terima kasih ke atas kerjasama daripada pihak
Bomba Dan Penyelamat, atas kebenaran menggunakan dewan dan juga bantuan
mengangkat kerusi ke dewan.

Kurus ini telah berjaya meningkatkan motivasi diri
dalam kalangan murid tahun 6 untuk berusaha gigih bagi mencapai kejayaan semasa
UPSR 2019 dan membantu murid menetapkan matlamat hidup yang ingin dicapai.
Murid juga dibimbing untuk membuat perancangan pengurusan masa bagi persiapan
menghadapi UPSR

Semoga kejayaan yang lebih gemilang akan dapat digapai
oleh murid tahun 6 SKK St Anne di dalam menghadai UPSR 2019




Jasamu Dikenang, Puan Chan Kwi Fong, Mantan Pengetua SM St Anne

Labuan, 4 Mac : Mantan Pengetua Sekolah Menengah St. Anne, Puan Chan Kwi Fong telah bersara pilihan pada 1 Mac 2019, setelah hampir 30 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan.

Anak kelahiran Perak ini, Puan Chan Kwi Fong memulakan karier sebagai seorang guru biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua, Miri Sarawak bermula 4 Disember 1989.

Setelah 6 tahun berkhidmat di Sarawak, beliau berhijrah dan meneruskan langkah sebagai seorang pendidik ke Pulau Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Januari 1996 di Sekolah Menengah St. Anne.

Beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah yang sama pada 17 Mac 1997.

Seterusnya, Puan Chan Kwi Fong telah diamanahkan menjadi seorang Pengetua, juga di Sekolah Menengah St. Anne pada 1 Mac tahun 2008, sehinggalah beliau bersara pilihan di usia 57 tahun.

Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan jamuan persaraan Puan Chan Kwi Fong pada 3 Mac 2019 di sebuah hotel di Labuan.

Majlis dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Kolej Vokesional Labuan, Puan Hjh Siti Musliha binti Hj Leeudin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPWPL Encik Yusop bin Mohamad, YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah (Pengetua SMK Labuan), Timbalan YDP MPSM Encik Mohd Jamatin bin Abd. Latip (Pengetua SMK Lajau) dan para pengetua sekolah di Labuan.

Puan Chan (kiri) diraikan oleh MPSM WP Labuan

Dalam ucapan aluan YDP MPSM Encik Ismail bin Abdullah, melahirkan harapan agar Puan Chan sentiasa sihat dan bergembira dalam alam persaraan.

Puan Chan dalam ucapan balasnya, mengucapkan ribuan terima kasih kerana MPSM mengadakan majlis yang cukup bermakna bagi beliau dan terima kasih juga kepada Encik Raisin Saidin kerana sudi hadir dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Chan kerana telah menyumbang bakti kepada kecemerlangan pendidikan di Labuan amnya hingga ke akhir perkhidmatan. Semoga terus diberi kekuatan dan kesihatan.

Tahniah Puan Chan yang telah meninggalkan SM St Anne pada landasan yang baik untuk terus cemerlang. Selamat Bersara Puan Chan, Terima Kasih Cikgu, Jasamu Dikenang. Encik Raisin Saidin

Seluruh warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan “Selamat Bersara kepada Puan Chan Kwi Fong, Terima Kasih Cikgu !”.

YDP MPSM Labuan, Encik Ismail menyampaikan cendera kenangan kepada Puan Chan

Sumber Berita : Encik Mohd Jamatin bin Abd. Latip (Pengetua SMK Lajau)




Ziarah Cakna Eratkan Kemesraan Warga Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun

Labuan : Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) yang diketuai oleh Guru Besar, Cikgu Dg. Sarifah Binti A.Mahmod mengadakan Ziarah Cakna bagi menyantuni  keluarga adik Rafy bin Aswadee tahun 3 Delima pada 22 Februari lalu .

Adik Rafy mengalami patah tangan kiri dan kini masih dalam rawatan pihak hospital. Tangan adik Rafy yang telah disimen terpaksa dibuka semula kerana beliau sering mengadu sakit dan berasa tidak selesa.

Menurut Cikgu Dg. Sarifah, Ziarah Cakna ini diadakan sebagai satu tanggungjawab insani di kalangan warga sekolah untuk mengeratkan hubungan kemesraan.

Disamping itu, sikap kepedulian kita terhadap orang yang dilanda musibah diharap dapat memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

Tambahnya
lagi, Ziarah Cakna yang dilakukan adalah bagi memperluaskan konsep sekolah
penyayang dan memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa, penjaga
dan murid.

“Sebelum ini, program ziarah yang dilakukan oleh pihak sekolah hanya bertujuan untuk menziarahi rumah murid bermasalah dan dilanda musibah tetapi dalam konteks baharu, kita mahu mengetengahkan nilai saling hormat, nilai berterima kasih serta budaya kasih sayang di kalangan warga sekolah. Kita harap agar program ini menjadi budaya di SKSB”. Katanya ketika dihubungi selepas Program Ziarah Cakna.

Puan Zurinah Matali (dua dari kanan) ibu Rafy kelihatan ceria menerima kunjungan Dg. Sarifah bersama rombongan.

Mengulas lanjut, Cikgu Dg. Sarifah berkata, Program Ziarah Cakna SKSB, akan menjadi pentas bagi guru, ibu bapa dan komuniti berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan murid dan kakitangan sekolah dalam memahami latar belakang keluarga mereka dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid dan kecemerlangan sekolah.

“Maklumat
seperti ini amat penting dihayati dalam membina asas bagi meningkatkan
pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan sekolah” katanya lagi.

Beliau
berkata, program itu di harap akan membuka ruang bagi warga sekolah untuk lebih
mendalami tingkah laku dan merasai denyut kehidupan murid sama ada yang dalam
kesusahan mahupun dilanda musibah.

Turut sama dalam program ziarah cakna ialah Penolong Kanan HEM, Ustazah Kamariah Salim, Penolong Kanan Pentadbiran, Pn Rina Farrina binti Dakim,Pn. Norsidah – Guru Bimbingan dan Kaunseling,  Guru kelas 3 Delima serta ahli jawatankuasa tertinggi Kelab Guru dan Kakitangan Bukan Mengajar , SKSB.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




SM St. Anthony Raikan Program Perpaduan

Labuan , Saint Anthony Secondary School atau dikenali sebagai SAS telah mengadakan program perpaduan pada 27 Februari 2019 sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina peringkat sekolah.

Berucap dalam majlis perasmian, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin mengucapkan terima kasih kepada pihak PIBG, Lembaga Pengurusan Sekolah ( LPS ), para ibu bapa dan  komuniti yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang komputer sekolah sebelum ini  iaitu Encik Alex Lee Han Yhen dan Encik Andy Tan Wen Guan juga kepada Encik Paul Ipoh yang menyumbangkan peti sejuk kepada sekolah.

Dalam ucapan aluan Pengetua, Puan Dona Binti Undoh juga mengucapkan terima kasih kepad pihak PIBG dan LPS yang menaja jamuan pada hari ini, juga kepada semua guru dan AKP SAS yang dedikasi.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa yang menaja jamuan anak-anak di kelas masing-masing.

Dalam majlis ini juga Encik Chia Sia Theng selaku YDP PIBG SM St Anthonya dan Dr Baby Chong Vui Hiong  telah menaja dan menyumbangkan pemberian angpau kepada 419 orang murid di sekolah ini.

Encik Chia juga turut memberikan angpau kepada semua guru dan staf SAS.

Encik Chia dalam ucapannya berharap agar semangat keharmonian dan perpaduan kaum di sekolah ini akan berkekalan.

Chia Sia Theng ( tengah ) dan Dr Baby Chong Vui Hiong menyerahkan sumbangan angpau kepada 419 Orang murid SM St. Anthony disaksikan oleh Dona ( Pengetua ) dan Yee Choon Hian ( PK HEM )

Encik Raisin Saidin turut menyampaikan angpau kepada murid-murid yang mencatat kehadiran penuh pada tahun 2018.

Beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh warga sekolah kerana berjaya mengadakan program perpaduan pada kali ini.

Beliau menyifatkan sekolah ini adalah milik komuniti yang sentiasa mendapat bantuan dan sumbangan dari pihak NGO mahu pun sumbangan individu.

Beliau berharap agar sekolah ini akan terus mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Encik Raisin Saidin( tengah ) menyampaikan angpau sebagai hadiah kehadiran penuh kepada murid-murid SAS, bersama Yee Choon Hian ( Kiri ) dan Dona ( kiri )
 
Antara Tetamu Jemputan yang memeriahkan sambutan program perpaduan SAS
Kiri : Ag Marten ( KPP BTPN ), Encik AL ( Wakil Bapa Angkat Korporat ), IR Friddy Fu ( Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah ), Dona ( Pengetua), Raisin Saidin ( Pengarah Pendidikan ), Chia Sia Theng ( YDP PIBG ), Dr Baby Chong Vui Hiong ( Bendahari PIBG ), Chin Kin Yin ( Presiden LIONS Mandarin Club ), Paul Ipoh ( AJK LPS ) Marwin ( Wakil Bapa Angkat Korporat SAS )

Berita Oleh : SM St. Anthony




Sekolah Milik Komuniti : SM St Anthony

LABUAN, Sekolah Menengah St. Anthony amat bersyukur kerana mendapat keprihatinan daripada masyarakat atau komuniti setempat di pulau ini termasuk pihak NGO.

Sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang mempunyai 419 orang murid, sekolah memerlukan bantuan dan kemudahan bagi  meningkatkan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang diceburi khususnya dalam bidang kokurikulum dan akademik.

Pada 18 Februari 2019 LABUAN Lions Club Mandarin telah mengadakan salah satu projek amal membantu murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah dalam bentuk pemberian kupon pemakanan berkhasiat.

Presiden Lions Club Encik Chin Kin Yin telah menyumbangkan sebanyak RM8300.00 kepada 10 orang murid terpilih di Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan dalam bentuk kupon pemakanan berkhasiat.

Encik Chin Kin Yin dalam ucapan beliau semasa majlis penyerahan sumbangan di SM. St. Anthony ,  berharap dengan sumbangan dapat meringankan beban ibu bapa sekaligus menyokong para pelajar untuk meneruskan persekolahan mereka.

Selain itu pihak sekolah juga menerima sumbangan satu  set komputer  Acer dan HP dari Encik Franky Tay Kian Lo  pemilik syarikat FT  Maju Enterprise .

Manakala  satu set kumputer jenama  Acer disumbangkan oleh Puan Evelyn Kok Hui Ching, yang merupakan salah seorang Alumni SM St. Anthony tahun 1979 – 1983. Kedua-dua penyumbang ini mempunyai anak yang sedang bersekolah di sekolah ini.

Komputer ini untuk kegunaan pejabat sekolah bagi pengurusan hal ehwal murid serta aktiviti kokurikulum sekolah.

Encik Franky Tay Kian Lo ( tengah ) menyumbangkan 1 set komputer jenama ACER dan HP kepada Dona disaksikan oleh Jackson ( PK Kokurikulum ), Yee Choon Hian (PK HEM) Liberie (PK Pentadbiran)

Sekolah juga menerima sumbangan sebuah meja ping pong terpakai yang masih baru dari  Encik Ker Chin Chuan dan isteri Puan Marilou Beth Tubar.

Sumbangan ini telah diusahakan oleh Encik Yee Choon Hian Penolong Kanan HEM sekolah ini.

Semoga dengan sumbangan ini dapat memberikan kemudahan kepada para pelajar untuk mengadakan latihan pada Rabu semasa aktiviti kokurikulum.

Dari Kiri : Jerrey ( Guru Penasihat Kelab Ping Pong ), Beth Tubar ( Penyumbang ) dan Yee Choon Hian
PK HEM )

            Dona selaku Pengetua sekolah  sentiasa mengalu-alukan sumbangan komuniti di pulau ini sama ada pihak swasta atau NGO serta orang perseorangan dalam apa jua bentuk bagi menyokong pembangunan pendidikan di sekolah ini khususnya. Mudah-mudahan dengan kerjasama baik  antara sekolah dan komuniti ini meningkatkan lagi kecemerlangan dan kemenjadian murid di sekolah ini.

Sumbangan 1 set computer jenama ACER dari Evelyn Kok Hui Ching ( ALUMNI SAS ). Sumbangan disampaikan oleh wakil Syarikat Picotec kepada Liberie (PK Pentadbiran) disaksikan oleh Yee Choon Hian  (PK HEM dan En Kuanfuh@Jackson (PK Kokurikulum)

Berita Oleh : SM St Anthony




150 Orang Murid sertai Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau kali ke 22

LABUAN :  Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau yang ke 22 telah diadakan pada 25 hingga 27 Februari 2019 bertempat di SMK Lajau dan Kompleks Sukan Labuan. 

Acara kejohanan sukan pada tahun ini bermula dengan empat acara padang yang diadakan di SMK Lajau iaitu acara lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru dan merejam lembing.

Kejohanan Sukan Olahraga ini telah dijayakan oleh 150 orang murid yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara padang dan acara balapan seperti lari pecut 100 meter dan 200 meter serta larian jarak jauh 800 meter dan 1500 meter. 

Manakala peserta perbarisan pula terdiri daripada 185 orang murid. Selain itu, pada hari kemuncak kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Labuan telah diadakan juga acara terbuka larian 4 x 50 meter untuk ibu bapa dan ahli-ahli PIBG yang hadir menyaksikan anak-anak mereka bertanding dan acara terbuka khas untuk murid-murid istimewa dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta pertandingan merebut gula-gula dan coklat khas untuk anak-anak berumur di bawah enam tahun.

Lintas hormat peserta rumah sukan

Objektif Kejohanan Sukan Olahraga ini diadakan bertujuan untuk memilih peserta dan pasukan sekolah bagi pertandingan ke peringkat negeri yang dijadualkan pada pertengahan bulan Mac nanti. 

Selain itu, kejohanan ini diadakan untuk memperkembangkan potensi murid dalam sukan olahraga dan sebagai pendedahan kepada murid-murid situasi sebenar pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.

Acara kejohanan yang dipertandingan menerusi lima buah rumah sukan ini iaitu Rumah Perdana, Rumah Satria, Rumah Wira, Rumah Inspira dan Rumah Waja yang mendapat sambutan sambutan yang amat baik dari semua murid SMK Lajau.

Kejohanan Sukan Olahraga di SMK Lajau pada tahun ini dijayakan dengan kerjasama padu oleh semua guru dan kakitangan sekolah yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap selain bantuan dari pihak luar seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Labuan. 

Acara larian khas untuk pelajar-pelajar PPKI juga turut diadakan

Kejayaan kejohanan sukan pada tahun ini juga mendapat sokongan dari pihak-pihak lain dan individu-individu terlibat dengan beberapa tajaan yang diberikan seperti minuman untuk peserta dan petugas yang ditaja oleh Koperasi SMK Lajau Berhad dan McDonald’s Labuan Airport.

Kejohanan Sukan Olahraga pada tahun ini menampilkan atlet-atlet baharu bagi setiap kategori. 

Antaranya ialah adik Nisdawati binti Amil yang muncul sebagai olahragawati bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dan adik Mohd Aiman Nazim bin Bobby  menyandang gelaran olahragawan bagi kategori lelaki bawah 15.  Bagi kategori bawah 18 tahun pula, olahragawan disandang oleh adik Mohd Shafwan bin Zulkifli dan adik Celestyn Teo Yen Wei telah berjaya menyandang gelaran olahragawati bagi tahun 2019.

Rumah sukan Satria 16 pingat Emas, 11 Perak dan 8 Gamgsa ( 35 ) telah menyandang johan keseluruhan Kejohanan Olahraga pada tahun ini diikuti rumah sukan Waja 8 Emas, 10 Perak dan 12 Gangsa ( 30 ) tempat kedua, rumah sukan Perdana 8 Emas, 8 Perak dan 13 Gangsa ( 29 ) tempat ketiga, rumah sukan Wira 5 Emas, 9 Gangsa dan 7 Emas ( 21 ) tempat keempat dan rumah sukan Inspira  5 Emas, 4 Perak dan 1 Gangsa ( 10 ) tempat kelima. 

Kejohanan Sukan Olahraga  tahun ini menjadi suntikan semangat kepada semua murid SMK Lajau untuk terus bersaing secara sihat sesama mereka dalam acara sukan.

Encik Jamatin menyampaikan hadiah kepada Olahragawan Lelaki 15 tahun Mohd Aiman Nazim bin Bobby

Dalam ucapan alu-aluan pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang menjayakan kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau tahun ini dengan kerjasama yang sangat baik di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum baharu iaitu Encik Subari bin Dwar.

Pengetua juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang memberikan kerjasama dan sokongan kepada sekolah dalam menjayakan kejohanan sukan olaharaga pada tahun ini.

Pelibatan ibu bapa dalam kejohanan ini amat dihargai.

Pengetua juga menzahirkan harapan agar atlet-atlet yang berjaya pada kejohanan kali ini akan memberikan kilauan emas kepada sekolah dalam kejohanan Sukan Olahraga antara sekolah-sekolah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka diadakan pada bulan Mac 2019.

Beliau juga memberikan harapan kepada atlet-atlet yang berjaya mendapat pingat emas dihadiah sebanyak RM50.00 bagi setiap pingat.

Kejohanan Sukan  Olahraga SMK Lajau Kali Ke 22 tahun 2019 telah dirasmikan oleh Encik Tapa bin Jani, selaku YDP PIBG SMK Lajau. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua murid terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SMK Lajau

Pentadbir dan PIBG sekolah meraikan para pemenang kejohanan



Hari Keluarga SKK Rancha-Rancha

LABUAN,3 Mac- Hari Keluarga SKK Rancha-Rancha telah diadakan di padang sekolah SKK Rancha-Rancha berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara sukaneka murid dan acara sukaneka ibu bapa dan anak. Program bertujuan mengeratkan hubungan antara guru bersama ibu bapa serta murid sekolah tersebut.

Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim berkata, kira-kira 90 orang ibubapa dan guru, termasuk kanak-kanak menjayakan hari keluarga tersebut. Turut hadir Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Encik Mohd Rasid bin Hj Jaludin dan Timbalan Naib Yang Dipertua, Encik Abd Ghaffar bin Yaakop.

Katanya, pihaknya juga dapat mendekati ibu bapa dan masyarakat dengan lebih dekat serta dapat memupuk semangat kerjasama yang tinggi. Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mengukuhkan hubungan antara pelbagai pihak
Majlis diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang acara sukaneka.




Jalinan Pintar SISC+ Terengganu dan Labuan

Labuan, 24-27 Februari 2019 : Seramai 8 orang Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) dari Jabatan Pendidikan Terengganu telah berkunjung ke Labuan bagi melaksanakan Program Jalinan Pintar Pegawai SISC+ Negeri Terengganu dan Pegawai SISC+ W.P.Labuan : ‘A Focussed Conversation’.

Program Jalinan Pintar Pegawai SISC+ ini merupakan program yang julung kalinya diadakan di W.P.Labuan sebagai satu bentuk perkongsian ilmu melalui kerjasama, koloborasi dan permuafakatan antara SISC+ Terengganu dan SISC+ W.P.Labuan.

Rombongan SISC+ Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu yang diketuai oleh Rohaida Ngah ini telah dibawa melawat ke 4 buah sekolah di W.P.Labuan dengan diiringi oleh pegawai-pegawai SISC+ W.P.Labuan.

Sekolah-sekolah yang dilawati adalah SKK ST.Anne bagi melihat pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah, SM.ST.Anthony bagi melihat pelaksanaan ‘Highly Immersive Programme’ atau HIP, SMK Pantai bagi melihat pelaksanaan ‘The IB Middle Years Programme’ dan SK Bebuloh bagi melihat pelaksanaan Program TS25 Kohort 3.

Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu & W.P.Labuan bersama Pengetua, Pentadbir dan guru-guru di SM.ST.Anthony

Di dalam program ini juga sebanyak 7 kertas kajian dan amalan terbaik SISC+ Negeri Terengganu dan W.P.Labuan telah dikongsikan kepada semua rakan SISC+.

Sesi perkongsian dimulakan dengan pembentangan inovasi ‘R Pengiran M’ oleh Pangiran Kadir Bin Pangiran Budin (SISC+ W.P.Labuan), diikuti oleh Rohaida Ngah (SISC+ Terengganu) yang membentangkan kajian bertajuk ‘Inspiring Students To Write Through Drawing’, Hjh Siti Zahara Mohamad (SISC+ W.P.Labuan) yang membentangkan kajian bertajuk Keberkesanan Tingkap Sintaksis Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dan Siti Nurbaya Binti Zakaria (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk ‘School Support System Through PLC’.

Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Antara SISC+ ini diteruskan lagi dengan perkongsian daripada Arni Samiraty Abdol Samat (SISC+ W.P.Labuan) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk ‘HI 5G2’, Azimah Dollah (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk Model PAU : Penyelarasan Aspirasi Unik dan Asy Assuara Razak (SISC+ Terengganu) yang membentangkan amalan terbaiknya bertajuk SKPMg2 : An Explanation Through Video.

Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Antara SISC+ ini telah dilaksanakan di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) W.P. Labuan.

Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu & W.P.Labuan bersama Barisan Pentadbir dan guru-guru di SMK Pantai IB World School

Di akhir lawatan, peserta rombongan turut berkesempatan melawat pejabat Jabatan Pendidikan Negeri W.P.Labuan, pejabat Sektor Pengurusan Akademik, pejabat SISC+ dan beberapa tempat yang menarik di W.P.Labuan.

Selain itu, 8 orang Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+) dari Jabatan Pendidikan Terengganu ini juga turut berpeluang mengikuti Bengkel Merancang dan Melaksanakan Kajian Tindakan Dengan Menggunakan Borang Inovasi ’12 Langkah’ yang disampaikan oleh Suriani Alland Rice Oxley (SISC+ W.P.Labuan) di BTPN anjuran Sektor Jaminan Kualiti, JPN W.P.Labuan.

Bengkel Kajian Tindakan ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan W.P.Labuan serta barisan kepimpinan atasan dan pertengahan sekolah.

Menurut kata Ketua Rombongan SISC+ Negeri Terengganu, Rohaida Ngah, “Program lawatan ini merupakan satu program perkongsian yang telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Semua rakan SISC+ yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan melaluinya, Tahap Profesionalisme SISC+ ini telah dapat ditingkatkan.”

Pegawai-pegawai SISC+ Negeri Terengganu bersama Guru Besar, Pentadbir dan guru-guru di SK Bebuloh