Program Bersamamu Anak Yatim SK Pekan Satu

Labuan, 10 Mei- Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, merupakan sekolah yang mempunyai bilangan murid paling ramai di W.P.Labuan. Di saat menuju Hari Lebaran,warga SK Pekan Satu W.P. Labuan tidak melupakan kebajikan pelajar Islam yang kehilangan salah seorang Ibubapa atau kedua-duanya.Golongan ini dikenali anak-anak yatim dalam konteks Islam.

Sempena bulan Ramadhan ini, program sumbangan anak-anak yatim telah dibuat melalui aktiviti Ihya’ Ramadhan anjuran Panatia Pendidikan Islam.Penyelaras program ini Ustazah Dayang Faridah binti Besar dan Ustazah Megawati Abd Rahman. Sumbangan dana telah diusahakan bagi meringankan bebanan keluarga anak-anak yatim tersebut. Seluruh warga SKPS menggembeling tenaga dan usaha mendapatkan dana untuk membantu bagi memenuhi keperluan anak anak yatim tersebut.

Justeru itu pada 10 Mei 2019 yang lalu, seramai 32 orang murid anak anak yatim dari aliran perdana dan PPPKI telah dibawa ke pusat membeli belah untuk membeli keperluan Hari Raya mereka. Malahan Guru Besar SK Pekan Satu, W.P. Labuan  Pn Anita Shyamini A/P S. Azman dan Pen. Kanan Pentadbiran Pn Zailiana Zainol juga turun padang membantu memilih pakaian dan kasut kesukaan mereka.

Suasana memilih pakaian raya

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kegembiraan dan rasa suka terpancar pada riak wajah anak-anak yatim semasa memilih pakaian baru mereka. Malahan mereka bersorak kegembiraan apabila dibenarkan memilih kasut raya kerana pada awalnya mereka hanya tahu baju raya saja yang hendak dibeli. Oleh itu lengkaplah sepersalinan pakaian anak-anak yatim tersebut. Bagi murid lelaki baju melayu, samping, songkok dan kasut. Manakala bagi murid perempuan baju kurung, tudung dan kasut.

Penyerahan pakaian raya dan barang keperluan lain seperti hamper, biskut dan sampul raya akan diadakan pada hari selasa depan 21 Mei 2019 bertempat di Dewan CUN SK Pejan Satu,W.P.Labuan. Terima kasih diucapkan kepada guru-guru, ibubapa, individu dan pihak tertentu yang memberikan sumbangan kewangan dan tenaga bagi membantu golongan anak anak-anak yatim SK.Pekan Satu,W.P.Labuan.

“Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (QS. Al-Baqarah [2] : 215)




Farah Ain dan Audrey Tokoh SUMUR SMK Labuan 2018

Farah Ain Nabila binti Roslizar dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Tingkatan Enam, manakala  Audrey Agang Teo Li Xin dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Perdana dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah (MAKES) SMK Labuan pada 24 April 2019 yang lepas.

Anugerah Tokoh SUMUR merupakan anugerah utama yang diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang secara seimbang dalam akademik dan sahsiah.

Farah Ain Nabila merupakan pelajar cemerlang STPM 2018 yang telah mencipta sejarah sebagai pelajar pertama SMK Labuan yang mendapat PNGK 4.00. Farah Ain juga seorang pelajar yang cemerlang dalam sahsiah dan disiplin.

Audrey  merupakan pelajar terbaik WP Labuan dalam SPM 2018 dengan mendapat 9A+ dan 1A. Baru-baru ini Audrey juga mendapat Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah.

MAKES SMK Labuan merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan atas pencapaian dalam bidang Hal Ehwal Murid dan Kurikulum (Akademik).

Antara anugerah-anugerah yang diberikan ialah Pengawas Contoh, Pengawas Pusat Sumber Contoh, Pembimbing Rakan Sebaya Contoh, Murid Yang Mendapat Gred A dalam Ujian SEGAK dan PAJSK, Pelajar Cemerlang PT3, Pelajar Cemerlang Peperiksaan Antarabangsa Bahasa Perancis (DELF), Pelajar Cemerlang SPM, Pelajar Cemerlang STPM, Pelajar Terbaik MUET, Pelajar Terbaik Keseluruhan Tingkatan, Pelajar Terbaik PT3, Pelajar Terbaik SPM, Pelajar Terbaik STPM, Pencapaian Panitia Dalam PT3, Pencapaian Panitia Dalam SPM, Pencapaian Panitia Dalam STPM, serta Anugerah Khas Tokoh SUMUR Perdana dan Tingkatan Enam.

MAKES SMK Labuan disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan Encik Ismail bin Abdullah yang mewakili Pengarah Pendidikan WP Labuan Encik Raisin bin Saidin. Dalam ucapan yang dibacakan oleh Encik Ismail, antara intipati ucapan Encik Raisin Saidin menekankan tentang :

“Prinsip akauntabiliti dan responsibiti amat penting untuk
diterapkan di dalam diri setiap penjawat awam 
khasnya  warga pendidik. Kepada
guru-guru, kita sama-sama menghayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita
dengan sentiasa ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu
tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion,
tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang
seimbang. Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa
dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai
matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan
pekerti yang mulia.”

“Penglibatan semua pihak dalam pelbagai aktiviti di sekolah
juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas
pertama, bersesuaian dengan konsep sekolah milik masyarakat. Sebagai inti
patinya, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan
ibu bapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibu bapa adalah insan yang paling
penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga
ingin mengajak ibu bapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibu
bapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai
kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah.”

“ Dalam hubungan ini, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG)
boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibu bapa untuk
menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan
membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidika. Dalam
kesempatan ini juga, saya menyeru kepada rakyat negeri ini agar mengamalkan
budaya memasyarakatkan sekolah kerana sekolah adalah tempat anak-anak menerima
pendidikan. Ibu bapa yang mempunyai sifat prihatin terhadap pendidikan
anak-anak akan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan pembelajaran
anak-anak dan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dengan memberikan buah
fikiran dan apa juga sumbangan yang boleh meningkatkan prestasi sekolah.  Pada masa yang sama, pihak sekolah juga
haruslah mengamalkan pendekatan mesra masyarakat supaya segala aktiviti sekolah
mendapat sokongan dan bantuan daripada masyarakat untuk sama-sama
menjayakannya.”

Turut hadir menjayakan MAKES SMK Labuan ialah Pn Zalina Zunkepely (Penolong Kanan Pentadbiran), Ustazah Marziawati Mardan (PK HEM), En Saminan Sabtu (PK Pusat Tingkatan Enam), En Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum), En Kitli Beka (PK Petang), wakil-wakil Pengetua sekolah-sekolah WP Labuan, serta ibu bapa penerima anugerah.

Berita Oleh : SMK Labuan




Menghargai Pengorbanan Guru-Guru SK St Anne

Labuan – Guru-guru Sekolah Kluster Kecemerlangan, SK St Anne telah diraikan dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Guru 2019 di restoran makanan laut di Labuan, jumaat lalu.

Sambutan majlis makan malam yang ditaja sepenuhnya oleh Guru Besar SK St Anne, Cikgu Shim Ching Teo berlangsung dengan penuh keriangan dan kegembiraan.

Majlis yang dianjurkan oleh Kelab Guru SK St Anne ini diserikan dengan upacara memotong kek, permainan yang menarik, cabutan bertuah dan acara bertukar-tukar hadiah.

Guru Besar, Cikgu Shim Ching Teo menzahirkan rasa penghargaan kepada guru-guru di atas pengorbanan mereka terhadap murid-murid sehingga dapat diterjemahkan dan direalisasikan melalui kejayaan sekolah serta kemenjadian anak-anak murid SK St Anne.

Terima kasih atas hasil usaha gigih rakan-rakan guru dan semoga para guru SK St Anne sentiasa diberi kekuatan untuk menabur bakti dalam dunia pendidikan. Cikgu Shim Ching Teo

Hadir sama memeriahkan majlis, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin, Ketua-Ketua Sektor, Pegawai Angkat Sekolah, Pegawai Bomba dan PIBG sekolah.

Pada sebelah pagi, sambutan hari guru 2019 turut dimeriahkan dengan penganjuran treasure hunt yang bertemakan info dan sejarah sekolah SK St Anne.

wajah ceria dan gembira guru-guru SK St Anne bersama Cikgu Shim
Encik Raisin Saidin turut memeriahkan majlis makan malam hari guru SK St Anne



Tazkirah Ramadhan Murid PPKI SK Pekan Satu

Labuan, 6 Mei- Sk Pekan Satu telah mengadakan tazkirah ramadhan kepada murid-murid program pendidikan khas integrasi (PPKI) bertempat di bilik Penataran. Penceramah yang dijemput ialah ustaz Muhamad Zafar bin Abu Bakar guru sk Pekan Satu bagi menyampaikan sedikit tazkirah.

Tazkirah ini bermula pada jam 9.30 pagi sehingga 10.30. Ilmu-ilmu yang mudah difahami bagi murid-murid PPKI telah disampaikan seperti niat puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, hikmah puasa dan tips unutk kanak-kanak berpuasa dengan gembira. Murid-murid amat aktif kerana penceramah menayangkan video, lagu, sesi soal jawab serta kuiz yang disertakan dengan hadiah. Program ini amat bagus agar murid-murid PPKI juga mampu berpuasa seperti murid-murid yang lain.

Penyampaian cenderahati kepada penceramah



Pelancaran Ihya Ramadhan SK Pekan Satu

Labuan, 3 Mei- Sk Pekan Satu mengadakan majlis sambutan ihya ramadhan yang bertempat di dewan C.U.N. sepanjang bulan Ramadhan, pelbagai aktiviti yang telah dirancang agar semua warga sekolah dapat mengimarahkan bulan ramadhan dengan beribadat kepada Allah. Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah tadarus Quran, bacaan Yassin berjemaah, majlis penyampaian zakat, tazkirah 5 minit dan kutipan derma atau tabung ihya ramadhan. Guru besar, Pn. Anita Shyamini S. Azman mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan mengharapkan agar majlis ini dapat dijalankan dengan lancar.




Majlis Sambutan Ihya Ramadhan SKK Rancha-Rancha

LABUAN, 3 Mei – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan majlis sambutan Ihya Ramadhan yang bertempat di dewan sekolah.

Sepanjang bulan Ramadhan, pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan akan dijalankan bagi melahirkan murid dan warga SKRR yang mengimarahkan bulan Ramadhan dan sentiasa memanfaatkan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT serta menyedarkan diri tentang adanya balasan baik daripada Allah dalam setiap usaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Program Ihya’ Ramadhan, Tadarus Quran, Iftar Jama’ie, Solat Hajat dan Majlis Bacaan Yaasin UPSR 2019, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) yang disampaikan oleh murid dan kutipan derma atau galakan bersedekah (Tabung Ihya’ Ramadhan).
Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat di bagi memastikan program sepanjang Ramadhan ini berjalan dengan baik dan lancar.