Julung kalinya Pameran Projek Kajian Seni Visual diadakan secara besar-besaran di Ujana Kewangan

Labuan, 14 Sept – Buat julung kalinya Majlis Pameran Projek Kajian Seni Visual STPM SMK Labuan 2019 diadakan secara besar-besaran di Ujana Kewangan yang berlangsung meriah dan mendapat sambutan ramai, sabtu lalu.

Projek Kajian Seni Visual merupakan salah satu kertas yang wajib diambil oleh calon STPM 2019 yang mengambil mata pelajaran seni visual sebagai komponen pentaksiran untuk penggal 3.

Aktiviti pameran merupakan salah satu aktiviti wajib diadakan dan menyumbangkan markah sebanyak 20%. Tempoh kerja kursus yang diberi oleh pihak Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kepada pelajar STPM ialah selama 6 bulan iaitu pada bulan April hingga bulan Oktober 2019.

Pada tahun ini tema kemerdekaan dipilih oleh MPM dengan matlamat agar dapat menyemarakkan semangat cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat, khususnya remaja

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengharapkan agar program ini dapat meningkatkan nilai apresiasi seni dalam kalangan masyarakat khususnya remaja lebih-lebih lagi seni sebagai medium untuk menyemai semangat cinta akan negara.

Dato’ Sri Haji Amir, Encik Raisin Saidin, Encik Ismail dan Tn Hj Md Yusof bersama para guru, tetamu serta pelajar-pelajar yang menjayakan Projek Pameran Seni Visual 2019

Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan kerana telah mengambil inisiatif mengadakan Pameran Projek Kajian Seni Visual ini di lokasi yang terbuka dan boleh dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat, sejajar dengan hasrat beliau ketika mengunjungi pameran yang sama pada tahun lepas.

Pengarah Pendidikan juga mengumumkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan memberi peruntukan kepada SMK Labuan untuk menjilid / mencetak buku Katalog Pameran Apresiasi Seni Visual 2019.

“Hasil-hasil karya pelajar-pelajar Tingkatan Enam bermutu tinggi ini mesti dipromosikan kepada masyarakat luar untuk menjadikannya lebih difahami dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi. Saya pernah menyentuh tentang aspek keusahawanan dalam bidang seni visual. Di beberapa tempat tertentu terutama di ibu negara dan di lokasi-lokasi pelancongan, artis-artis seni visual boleh memperoleh pendapatan yang tinggi daripada jualan karya-karya yang mereka hasilkan.” Encik Raisin Saidin

Tambahnya lagi, para pelajar perlu melihat seni visual ini sebagai peluang untuk dijadikan profesion sepenuh masa, bukan semata-mata satu subjek untuk lulus sahaja. Pelajar-pelajar boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang seni visual yang banyak ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Encik Ismail memberikan cenderamata kepada tetamu VVIP yang hadir

Majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Sri’ Haji Amir Bin Haji Hussein.

Beliau berkata Pihak Perbadanan Labuan dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Warisan ketika ini memberi tumpuan kepada aspek-aspek seni visual untuk mengindahkan Pulau Labuan ini dan sebagai daya penarik pelancong-pelancong untuk datang ke sini.

“Saya mencadangkan pihak sekolah berkolaboratif dengan Persatuan Seni Visual Labuan (Lavista) dan boleh bekerjasama dalam latihan dan bimbingan, serta kemudiannya menghasilkan karya-karya yang sesuai mengikut tema-tema tertentu yang boleh dipromosikan atau dijual kepada masyarakat tempatan atau para pelancong.” Dato Sri Haji Amir

Dato’ Sri Haji Amir juga mengumumkan akan menyumbangkan sebanyak RM 5000 kepada SMK Labuan bagi tujuan menyokong aktiviti Seni Visual SMK Labuan.

Terima kasih juga YDP PIBG SMK Labuan Tn Hj Md Yusof Hj Chucu yang menyumbang peruntukan kewangan bersama Koperasi SMK Labuan Berhad sebanyak RM2000 untuk sewaan tempat dan perbelanjaan lain untuk pameran ini.

Salah seorang pelajar yang memperagakan hasil karya seninya



Pertandingan Inovasi Sejarah Menengah Atas 2019 Peringkat W.P Labuan : SMK Mutiara Rangkul 3 Anugerah

Labuan, 15 Okt – SMK Mutiara telah merangkul anugerah pingat Perak dalam Pertandingan Inovasi PAK 21 Sejarah Menengah Atas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang telah diadakan pada 10 Oktober 2019 (Khamis) bertempat di Dewan Samudera, Sekolah Menengah Sains Labuan.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan dengan kerjasama Pasukan Task Force Sejarah yang dianggotai oleh guru-guru Sejarah Menengah Atas di W.P Labuan.

Tujuan inovasi ini dibuat bagi membantu menarik minat murid dan juga mengingat fakta sejarah dengan mudah khususnya kepada murid-murid yang akan menduduki SPM bermula November ini.

Pertandingan yang dianjurkan secara tahunan ini memerlukan setiap sekolah menghantar seramai lima orang peserta dan juga 10 orang penyokong daripada setiap sekolah yang terdiri daripada murid tingkatan 4 dan 5.

SMK Mutiara telah menghantar lima orang murid tingkatan 4 iaitu Darryiel Karllen (4 HBS), Mohd Afiq Zulfadhli dan Muhd Amsyar Dzulkarnain (4 CST), Venus Mina dan Nur Izzah Faiqah (4 BGV).

Guru Pembimbing dan Murid SMK Mutiara Johan bagi kategori Best Station Gallery Walk

Menurut Nurul Sulresza Aida selaku Ketua Panitia (KP) Sejarah, murid-murid telah menghasilkan beberapa inovasi dalam mata pelajaran Sejarah iaitu lirik lagu berdasarkan peristiwa sejarah, idea kata kunci bergambar dan juga Jadual Mudah Belajar bertajuk Perjanjian Hudaibiyah.

Usaha untuk menyertai pertandingan ini mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Murid-murid telah dibantu oleh guru-guru Sejarah yang lain iaitu Cikgu Ihya Fatimah Rangkuti Ishak, Cikgu Nurul Shazwani Samad dan Cikgu Noor Hidayah Binti Ramli.

Selain mendapat pingat Perak dalam kategori inovasi , SMK Mutiara turut mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam Pertandingan Inovasi PAK21 Mata Pelajaran Sejarah dan mendapat Johan bagi kategori Best Station Gallery Walk.

Bagi kategori Best Station Gallery Walk, pemenang diadili menerusi undian ramai oleh murid-murid yang menjadi penyokong bagi setiap sekolah. Juri-juri pula merupakan wakil guru sejarah daripada setiap sekolah.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Lawatan SK Parit Jawa, Muar Ke SK Sungai Bedaun : Perkongsian Amalan Terbaik Program Transformasi Sekolah

Labuan, 15 Okt – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun menerima kunjungan muhibbah seramai 9 orang guru dan 17 orang murid daripada SK Parit Jawa, Muar Johor pada 10 Oktober lalu.

Guru Besar SK Sungai Bedaun (SKSB)  Puan Dg Sarifah Binti A. Mahmod,  berkata, fokus lawatan penanda arasan ini
ialah Program Sekolah Transformasi (TS) serta berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan
program TS kedua-dua buah sekolah. SKSB merupakan sekolah transformasi kohort 2
manakala SK Parit Jawa,Muar pula kohort 3.0.

“Kita berharap agar perkongsian dalam siri lawatan ini memberi makna kepada kedua-dua sekolah dalam usaha untuk memantapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.” Katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, melalui perkongsian amalan terbaik yang dilaksanakan di kedua-dua buah sekolah ini,  guru-guru berpeluang untuk mengetengahkan hasil inovasi masing-masing bagi mengukuhkan pengajaran dan pemudahcara (PdPc) dalam kelas, dapat mengenal pasti kekuatan sumber, anggota organisasi yang sedia ada serta bertukar-tukar idea dalam usaha meningkatkan pencapaian kurikulum, ko kurikulum, peningkatan sahsiah dan pengurusan ke arah membangunkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah melahirkan
modal insan unggul melalui  persekitaran
pembelajaran yang menyeronokkan, disokong dengan kepimpinan yang berkualiti
serta guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi.

Persembahan Bicara Berirama membuat persembahan sempena mengalu-alukan kedatangan mbongan daripada SK Parit Jawa.

Rombongan ini diiringi oleh Puan Siti Zaharah Binti Mohamad,
pegawai SISC+ yang merupakan rakan elit TS25 SKSB dari JPN Labuan dan Puan
Arni  Samiraty Bt Abdol Samat, Pegawai
Penyelaras STEM.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Puan Fakariah Binti Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran telah disambut dengan persembahan kulintangan  daripada murid-murid tahun 3 hingga tahun 6. Kumpulan kulintangan ini telah dilatih oleh ibubapa yang merupakan anggota Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

Rombongan juga turut melihat persembahan bicara berirama oleh murid-murid tahun 4 hingga 6 dibawah bimbingan guru-guru Panitia Bahasa Melayu.

Siri lawatan SK Parit Jawa ke SKSB dimulai dengan lawatan ke tiga buah kelas Pra sekolah iaitu Kelas Pra Baiduri, Pra Delima dan Pra Mutiara.

Seterusnya melawat Galeri Permata iaitu tempat menyimpan pelbagai khazanah berharga seperti piala kemenangan, hadiah, keratan akhbar mengenai aktiviti dan pencapaian sekolah serta  sejarah sekolah.

Puan Dg. Sarifah (kiri), Puan Fakariah (dua dari kiri), Puan Siti Zaharah (tengah), Puan Rina Farrina (dua dai kanan), Puan Arni Samiraty (kanan) bergambar di Galeri Permata.

Musalla Al Kauthar destinasi lawatan seterusnya, di mana musalla ini telah dipilih mewakili Wilayah Persekutuan Labuan kategori sekolah rendah dalam Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (ASIS) yang lalu. Persekitaran musalla yang bersih dan ceria ini berjaya mewujudkan suasana  pembelajaran yang menyeronokkan sekali gus meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

Turut menjadi tarikan di SKSB
ialah Sudut STEM iaitu Program Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi
(STEM). Pelbagai hasil kerja murid dan info berkaitan STEM dipamerkan. SKSB
telah dipilih untuk menjadi sekolah rintis Pendidikan STEM peringkat Wilayah Persekutuan
Labuan.

Ahli rombongan berkesempatan melihat pameran bahan inovasi yang dihasilkan oleh guru-guru SKSB. Antaranya ialah Huruf Cun Cda oleh Cikgu Rasyidah Awang Sah, , ‘My Town Map’ oleh Panitia Bahasa Inggeris, ‘S.Train’ oleh cikgu Mylsa Avinnie Musah, Mari Mengenal Malaikat oleh Ustazah Anfal Amir dan KKHPS  oleh cikgu Syukri Masri. Mereka begitu teruja dan saling bertanya mengenai inovasi yang dihasilkan oleh guru-guru.

Puan Nor Aliza menerangkan mengenai ‘My Town Map’ kepada guru-guru
SK Parit Jawa yang dihasilkan oleh Panitia Bahasa Inggeris.

Dalam sesi lawatan
tersebut, turut disampaikan taklimat mengenai Perkongsian Pelaksanaan Program
Transformasi Sekolah (TS) dan kejayaan sekolah sepanjang tahun 2018 hingga Oktober
2019. Taklimat tersebut disampaikan oleh Puan Rina Farina binti Dakim, Penolong
Kanan Pentadbiran.

Majlis menandatangai memorandum Persefahaman
Kolaboratif Startegik di antara kedua-dua SKSB dan SK Parit Jawa turut diadakan
di akhir sesi lawatan.  

Puan Dg. Sarifah (duduk, kanan), Puan Fakariah (duduk, kiri) menandatangani memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik Amalan Terbaik Program Transformasi sambil disaksikan Puan Siti Zaharah (berdiri, lapan dari kanan), Puan Arni Samiraty (berdiri, lapan dari kiri), serta guru-guru SKSB dan SK Parit Jawa.

Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan Sekolah dan Pelaksanaan Program TS25 di tempat masing-masing.

Berita Oleh SK Sungai Bedaun

Ahli rombongan sempat meluangkan masa bergambar bersama murid-murid Pra sekolah.



Murid SMK Mutiara Menyerlah Dalam Program ‘Speaking Nation’ 2019

Labuan, 13 Okt – Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan program Speaking Nation yang dikendalikan oleh Pengacara No. 1 negara Datuk Aznil Nawawi.

Datuk Aznil yang lebih dikenali sebagai Pak Nil telah diiktiraf oleh KPM sebagai Ikon Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK21).

Program Speaking Nation telah diadakan pada 9 Oktober lalu, di Dewan SMK Pantai IBWS Labuan melibatkan lebih 200 murid dari semua sekolah menengah di Labuan.

SMK Mutiara telah diwakili oleh 20 orang murid terdiri daripada daripada Pengawas Sekolah dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dengan 2 guru pengiring iaitu Ustz Rohani binti Tali @ Md Ali dan Cikgu Normaisaraf binti Ab.Rashid.

Sebanyak enam acara berbentuk pertandingan dikendalikan oleh Pak Nil bersama fasilitator-fasilitator daripada Yayasan Pesona. SMK Mutiara telah berjaya memenangi 5 daripada 6 kategori yang telah dipertandingkan.

Antara anugerah yang dimenangi ialah Anugerah sorakan terbaik, Anugerah kumpulan PAK21 (komunikasi), Anugerah kumpulan PAK21 (Kolaboratif), Anugerah kumpulan PAK21 (Kritis) dan Anugerah kumpulan PAK21 (Kreatif).

Pak Nil bersama para peserta yang hadir membanjiri Dewan SMK Pantai

Selain itu, satu anugerah khas telah diberikan oleh Pak Nil sebagai juri utama dalam pertandingan tersebut iaitu anugerah Peserta Luar Biasa. Anugerah ini diberikan kepada peserta yang telah berjaya mencuri tumpuan Pak Nil. Adik Muhd Amsyar Dzulqarnain bin Amirullah, murid Tingkatan 4 dari SMK Mutiara akhirnya telah dipilih sendiri oleh Pak Nil sebagai pemenang sebagai Peserta Luar Biasa.

Ketika ditemui, adik Muhd Amsyar menyatakan rasa syukur atas pemilihan sebagai Peserta Luar Biasa dalam slot yang diadakan di Labuan kali. Beliau tidak menyangka aksi spontan dalam sesi lakonan telah berjaya menarik perhatian Pak Nil.

Dengan kemenangan ini, pasukan dari SMK Mutiara yang dikenali sebagai MUTIARA RELAX terpilih mewakili Labuan ke Putrajaya pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengucapkan tahniah atas kemenangan ini dan berharap agar semua guru terus berusaha mencungkil bakat dan potensi murid ke tahap terbaik.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Aktiviti berkumpulan oleh pelajar-pelajar yang menyertai program ‘Speaking Nation’



Pemantauan Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan Bagi Mewakili W.P Labuan Ke Peringkat Kebangsaan Di Sek Keb Sungai Lada

Labuan,17 Sept – Tahun
ini merupakan tahun pertama SK Sungai Lada menyertai pertandingan keceriaan
sempena Bulan Kemerdekaan. Objektif program ini meningkat semangat patriotk
yang tinggi melalui kreativiti pengibaran jalur gemilang sempena sambutan bulan
kemerdekaan. Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan
penghayatan kemerdekaan rakyat Malaysia. Tema bagi hasil keceriaan ialah sejajar dengan Tema Hari Kebangsaan
iaitu “Sayangi Malaysiaku, Malaysiaku Bersih”.

Persediaan bagi
penyertaan ini telah diketuai oleh PK HEM SK Sungai Lada iaitu Puan Noorlihan
Binti Alip dan perancangannya bermula pada 8 Ogos 2019 dimana taklimat bersama
barisan pentadbir, guru-guru dan PIBG dilaksanakan bagi membincangkan
perkara-perkara yang perlu dilaksanakan. Melalui taklimat tersebut beberapa
kumpulan kecil telah dibentuk untuk memantapkan perlaksaan projek-projek
hiasan. Persediaan ini telah melibatkan semua komuniti SK Sungai Lada iaitu
barisan pentadbir, guru-guru, ibubapa, staf bukan mengajar dan murid-murid.

Hiasan-hiasan yang dihasilkan kebanyakkannya mengunakkan bahan-bahan terpakai. Hiasan yang telah berjaya dibuat ialah Bahtera Merdeka, Lembayung Merdeka, Menara KLCC, Logo Kemerdekaan, Pentas Merdeka, Bendera Panjang, Bendera terbesar, Kincir Angin Merdeka, Gerbang Merdeka dan banyak lagi.

Arca Menara KLCC yang dihasilkan daripada botol-botol dan tayar kereta yang terpakai

 Pada 3 September 2019, pemantauan bagi
peringkat WP Labuan telah dilaksanakan oleh pegawai-pegawai Jabatan Penerangan
yang terlibat. Hasil daripada pemantauan keceriaan ini SK Sungai Lada telah
berjaya mendapat tempat pertama bagi kategori Sekolah Rendah. Secara tidak
lansung SK Sungai Lada dipilih untuk mewakili WP Labuan ke peringkat
Kebangsaan.

Secara tidak lansung, program ini telah menyemarakkan semangat patriotik dan yang utama, ia telah berjaya membentuk kerjasama yang lebih erat dikalangan komuniti sekolah. Pada 14 September, sekali lagi Jabatan Penerangan telah hadir ke SK Sungai Lada untuk membuat pemantauan terhadap hasil hiasan keceriaan. Diharapkan usaha dan jerih payah yang dilakukan akan membuahkan hasil.

Logo Gergasi yang dibuat daripada bekas telur
Bahtera Merdeka



MYPIB Personel Project Showcase SMK Pantai IB World School Julung Kali Diadakan Dapat Sambutan Ramai

Labuan, 5 Okt – SMK PANTAI IBWS telah menganjurkan MYPIB Personal Project Showcase buat julung kalinya yang bertempat di Tingkat 1, Labuan Financial Park Labuan.

Showcase ini mempamerkan hasil projek
peribadi pelajar sepanjang tempoh 8 bulan perlaksanaan, iaitu sejak murid
berada di Tingkatan 4 lagi.

Personal Project ini merupakan salah satu keperluan wajib dalam perlaksanaan Middle Years Programme International Baccalaureate (MYPIB).

SMK Pantai IBWS merupakan antara 10 sekolah dalam Malaysia yang terpilih dalam projek rintis di bawah Transformasi Pendidikan sebagai sekolah MYPIB, demi melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, SMK Pantai IBWS menggunakan kaedah dan pendekatan MYPIB yang bertaraf dunia dengan menerapkan kurikulum kebangsaan.

Antara objektif perlaksanaan Personal Project Showcase ini adalah untuk memupuk sifat menghargai segala usaha dan jerih payah sepanjang tempoh menyiapkan tugasan personal project setersunya mewujudkan persekitaran sekolah yang mencabar dan mengupayakan semua murid untuk mencapai potensi diri sepenuhnya secara kreatif dan global untuk membangunkan keintelektualan serta semangat kemasyarakatan pada peringkat setempat, nasional dan antarabangsa.

Sebahagian daripada ibu bapa dan murid yang terlibat dalam Showcase Personal Project

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin yang diwakili oleh Encik Yusup Mohamed, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran.

Encik Raisin Saidin berkata, pengalaman yang diperolehi sepanjang perlaksanaan Personal Project sangat bermanfaat untuk menghadapi cabaran secara global pada masa hadapan. Murid-murid harus menjadikannya sebagai pemangkin untuk menjadikan diri lebih berkeyakinan menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat dalam negara mahupun di serata dunia.

Hasrat ini seharusnya dipupuk dalam diri masing-masing dan memastikannya menjadi satu kenyataan dan bukan angan-angan semata-mata.

SMK Pantai IBWS, yang diterajui oleh Pengetuanya,  Puan Norazita binti Md. Nor, menyatakan rasa bangga di atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh peserta pameran  serta menyatakan rasa terharu di atas sokongan padu yang ditunjukkan oleh ibu bapa demi sama-sama melancarkan Personal Project Showcase yang julung kali diadakan.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Financial Park Labuan atas jaringan kerjasama yang dibina dan berharap jaringan kerjasama ini akan diteruskan pada masa yang datang.

Encik Yusup dan Puan Norazita membuat lawatan ke booth murid

Turut hadir bersama ialah Encik Rosly Sapar, Wakil Pengarah Urusan Financial Park Labuan sebagai tetamu jemputan khas, Puan Maimon Mat Jani, YDP PIBG SMK Pantai IB World School, Encik Mohamed Al-Ghaffar Bin Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Unit TVET merangkap Pegawai Meja MYPIB, Sarjan Abdul Rashid Bin Dussek, Penolong Pegawai Perhubungan Sekolah serta ahli-ahli Jawatankuasa PIBG SMK Pantai IBWS.

Pameran Personal Project ini telah dibuka kepada orang ramai bermula jam 10.00 pagi hingga jam 3.00 petang dan ternyata mendapat sambutan yang sangat mengalakkan daripada warga setempat.

Berita Oleh : SMK Pantai

Salah satu hasil projek murid yang sangat mengujakan



Pupuk Minat Murid Berniaga : Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun Berlangsung Meriah

Labuan – Penganjuran Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun merupakan manifestasi erat pelbagai pihak, khususnya antara warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun dan masyarakat setempat.

Hari Keusahawanan (HK) ini berlangsung meriah dengan kehadiran
ramai pengunjung yang dianggarkan seramai 1500 orang. Pelbagai aktiviti diadakan
bermula seawal jam 6.30 pagi dan berakhir jam 3.30 petang pada 29 September yang
lalu di perkarangan sekolah tersebut.

Bertemakan ‘Sumbangan Anda, Kebanggaan Kami’, HK ini diadakan untuk meningkatkan pemuafakatan antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat, agensi kerajaan dan syarikat swasta ke arah mengumpul dan menambah dana PIBG, menaiktaraf infrastruktur prasarana sekolah dan sumbangan kebajikan untuk warga sekolah.

Menurut  Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, hari keusahawanan yang julung kali diadakan di SKSB ini diharap dapat memupuk  dan memantapkan semangat kerja sepasukan dan hubungan dua hala di antara warga SKSB dengan pelbagai pihak demi menjayakan program transformasi bersepadu sekolah.

Antara pengisian Hari Keusahawanan ini meliputi aspek keusahawanan,  aspek pemantapan bakat ,  kreativiti dan inovasi dan aspek kemasyarakatan. 

“Penganjuran hari keusahawanan ini merupakan salah satu wadah untuk menyatu dan meningkatkan kerjasama pihak pentadbiran, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan komuniti setempat.  Melalui aktiviti ini pembentukan sikap, nilai murni dan integriti  warga sekolah dapat dijana ke arah melahirkan sebuah persekitaran sekolah yang harmoni dan dinamik”.  Katanya ketika berucap dalam majlis penutupan.

Menurutnya lagi,  penglibatan
murid-murid secara aktif dalam aktiviti ini  diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka
mengenai kaedah perniagaan dan mengaplikasi pembelajaran di dalam kelas
Rekabentuk Teknologi (RBT)  dalam  kehidupan seharian (RBT).

“Minat keusahawanan perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi dan melalui program sebegini, secara tidak langsung dapat meningkatkan minat mereka dalam bidang keusahawanan,” katanya lagi.

Murid-murid membantu guru berniaga semasa hari keusahawanan pupuk minat murid.
Guru dan murid berganding bahu mengusahakan Gerai ais krem

Antara aktiviti yang dikendalikan oleh pihak sekolah  ialah Jualan Makanan daripada Gerai Nasi
Berlauk, Gerai Mi, Gerai ‘Junk Food’, Gerai Minuman, Jualan ‘Pre
loved’,
pertandingan mewarna, Wayang dan Sentuhan Si Comel.

Anak-anak begitu teruja menyertai pertandingan Sentuhan Si Comel. Mereka
memang cukup minat untuk bermain dengan alat solek. Justeru, inilah peluang
mereka menonjolkan minat dan bakat mereka.

Selain daripada itu, pelbagai pertandingan turut diadakan bagi
memeriahkan suasana seperti pertandingan yang melibat aktiviti Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertandingan ‘Beyblade’,
permainan ‘Pemburu Buta’, Ps4 dan permainan ‘Supa Dupa’.

Aktiviti yang dianjurkan oleh PIBG ialah ‘Fun Walk’ , jualan makanan, jualan kraftangan, jualan anak benih pokok dan pertandingan ‘Sedondon Kitane’. Sebanyak 21 gerai jualan luar turut memeriahkan suasana dengan pelbagai jenis jualan.

Puan Dg.Sarifah (dua dari kanan) dan Puan Wiwik Iswandari (kanan) bergambar ceria bersama ahli jawatankuasa ‘Fun Walk’
Puan Maimon (tengah), Puan Dg. Sarifah (kanan) dan Puan Rosilawati (kiri) bergambar bersama robot yang dihasilkan oleh ibu bapa dan murid-murid dalam Family STEM Challenge (Pertandingan Robot Challenge).

Pihak urusetia Hari Keusahawanan turut memanggil pelbagai agensi kerajaan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan yang diberi. Antaranya ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Jabatan Muzium Labuan.

Hari keusahawanan ini turut disertai syarikat swasta iaitu Kaunter
Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), CIMB Bank
Berhad. Rawatan Darus Syifa’ juga memberikan perkhidmatan pada hari tersebut.

Puan Kamariah Binti Salim Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) berkata, karnival keusahawanan ini merupakan Komuniti Pembelajaran Sekolah (School Learning Community) dimana pihak sekolah, murid-murid, ibu bapa dan masyarakat bersama-sama terlibat  untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek di sekolah dan pada masa yang sama membantu meningkatkan peluang pembelajaran murid-murid.

Puan Kamariah bersama guru-guru dengan menu menarik yang disediakan oleh “Gerai Mee Lupa Daratan” ialah Mee Kari Behantu, Laksa Rindu-rinduan, Mee Goreng Best Giler dan Mee Budget Special.
AJK gerai nasi bergambar ceria bersama juadah yang dijual
Gerai Air Haus cia..cia..cia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ajk tidak “menang tangan” melayan pelanggan untuk mendapatkan minuman.
Cikgu Wong (kiri) Cikgu Shafawati (dua dari kiri) bergambar ceria bersama pembantu jualan di Gerai Junk Food.

“Pihak sekolah amat terharu atas komitmen dan sokongan daripada komuniti setempat khususnya Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang diterajui oleh Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman. Karnival keusahawanan yang diadakan juga merupakan cetusan idea daripada beliau dan guru besar”. Katanya. 

Amat membanggakan pihak sekolah menerima lebih 100 hamper dan
sumbangan kupon berjumlah RM 2,280.00 untuk anak yatim dan golongan asnaf yang
disumbangkan oleh individu dan syarikat.

Majlis penutupan Karnival Keusahawanan diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara yang dipertandingkan serta cabutan nombor bertuah.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Orang ramai berpusu-pusu datang untuk tidak melepaskan peluang mengunjungi Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun
Gerai pre loved yang menjual pakaian, tudung, buku-buku cerita dan perkakasan dapur turut menjadi tarikan pengunjung.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengadakan saringan kesihatan untuk pengunjung.
Kaunter Bergerak Pusat Zakat tidak ketinggalan memberi perkhidmatan semasa Hari Keusahawanan.
Guru-guru bergambar di hadapan gerai ais krim selepas aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan gerai masing-masing.
Kanak-kanak teruja selfie bersama Spiderman



Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan – Unit Pendidikan Islam, SMK Taman Perumahan Bedaun WP Labuan telah mengambil usaha dan inisiatif untuk mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk calon-calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Pentaksiran PAV dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat sekolah bagi tahun 2019.

Aturcara rasmi majlis ini bermula sewal jam 5.30 petang dengan kehadiran guru-guru serta ibu bapa ke Surau Ar-Rayyan, Taman Mutiara Labuan. Seramai 150 jemaah yang hadir terdiri daripada calon-calon PT3, PAV dan SPM, ibu bapa dan juga penduduk kariah Taman Mutiara.

Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat ini secara rasmi dimulakan dengan Solat Maghrib secara berjemaah dan bacaan Surah Yaasin yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Daud Bin Abdul Rahman.

Selepas bacaan surah Yaasin, hadirin menunaikan solat hajat secara berjemaah kemudian diikuti solat Isyak serta bacaan doa khusus untuk kecemerlangan calon-calon PT3 dan SPM tahun 2019 yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Azman Bin Abdul Rahim.

Selesai sahaja solat Isyak dan solat Hajat, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Cikgu Azzif Anuwar mewakili guru SMKTPB merangkap Guru Kelas Tingkatan 5 Gamma untuk calon-calon PT3, PAV dan SPM.

Dalam tazkirahnya, Cikgu Azzif mengingatkan agar calon-calon PT3, PAV dan SPM untuk sentiasa berdoa kepada ALLAH bagi memohon pertolongan dan pada masa yang sama menggandakan usaha selagi mampu kerana Tuhan akan memberikan yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha dan tidak mengenal erti putus asa.

Di akhir majlis, sekolah juga berbesar hati memberikan cenderahati kenangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Surau ar-Rayyan, Hj Alauddin Bin Masri kerana memberi keizinan kepada sekolah melaksanakan majlis bacaan Yasin dan solat Hajat di Surau ar-Rayyan.

Penyampaian cenderahati ini disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, En. Ag. Rozlan Bin Manan. Sebelum bersurai, jamuan makanan disediakan kepada semua jemputan, guru dan ibu bapa dan pelajar yang hadir.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Penyampaian Cenderahati oleh Cikgu Awang Rozlan kepada Tn Hj Alauddin



Majlis Sesi Interaksi Pengarah Pendidikan Suntik Semangat Calon SPM SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan – SMK Taman Perumahan Bedaun (TPB) telah mengadakan sesi interaksi Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin bersama bakal calon-calon SPM 2019 di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun baru-baru ini.

Sesi ini diadakan memberi peluang calon-calon SPM SMK TPB berinteraksi dengan Encik Raisin Saidin, di samping beliau juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan amanat dan pesanan kepada calon-calon SPM.

Majlis dimulai dengan sesi taklimat Analisa Peperiksaan Percubaan SPM oleh Pengetua SMK TPB, Pn, Jijah Binti Muhamad Suhai kepada Pengarah.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin meminta agar setiap calon membuat persiapan yang rapi dan berstrategi bagi menghadapi SPM.

Beliau sangat berharap agar calon-calon SPM SMK TPB dapat menjadi penyumbang kepada peningkatan Gred Purata Negeri apabila keputusan SPM dikeluarkan nanti.

Beliau juga menasihati calon agar tidak pernah berputus asa walaupun di saat-saat akhir kerana orang yang berjaya itu tidak pernah mengenal erti putus asa.

Akhirnya, beliau mendoakan agar calon-calon SPM SMK TPB akan berjaya di dalam SPM tahun ini.

Encik Raisin Saidin memberi kata-kata motivasi kepada calon-calon SPM SMKTPB

Sebagai rekod, tahun 2019, seramai 82 orang murid SMK TPB akan menjadi calon peperiksaan SPM yang akan bermula seawal 10 Oktober 2019.

Turut hadir di dalam majlis ini adalah Penolong Kanan Pentadbiran SMK TPB, En Awang Rozlan Bin Manan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Pn. Lau Chin Ying.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Sesi taklimat Analisa Peperiksaan Percubaan SPM oleh Puan Jijah



Karnival PIBG dan Hari Keusahawanan

6 Oktober 2019,
Labuan- Penganjuran Karnival PIBG dan hari keusahawanan SK Pekan Satu 2019
merupakan manifestasi erat pelbagai pihak, khususnya antara warga Sekolah
Kebangsaan (SK) Pekan Satu dan masyarakat setempat. Penganjuran Karnival
Keusahawanan yang mendapat sambutan di luar jangkaan ini memperlihatkan
kukuhnya ukuwah di kalangan warga SK Pekan Satu dengan masyarakat setempat.

Bertemakan “Pibg Mantap, Sekolah Cemerlang”, karnival ini diselenggarakan untuk meningkatkan pemuafakatan antara
pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat dan didorong oleh penglibatan
syarikat-syarikat swasta. Antara sasaran utama karnival ini ialah ke arah
mengumpul dan menambah dana PIBG demi menjayakan program transformasi bersepadu
sekolah Pekan Satu sesi 2019.

Guru Besar SKPS Puan Anita Shyamini A/P S. Azman melahirkan tanda
kegembiraan kerana majlis mega seperti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya
dan begitu meriah sekali. “Tanpa muafakat daripada semua pihak maka majlis ini
tidak mampu direalisasikan serta berterima kasih kepada semua guru serta ajk
pibg yang berusaha gigih memastikan karnival berjalan dengan lancar sepertimana
yang dirancang sejak Jun lalu” tambah beliau lagi.

Yang Dipertua (YDP)
PIBG SK Pekan Satu, Encik Azrul Rizhan bin Abd Rahman berkata, program
transformasi ini bertujuan mengumpul dana tabung PIBG bagi melancarkan aktiviti
sekolah dan mengolah persekitaran sekolah yang lebih kondusif sebagai pemangkin
pembelajaran efektif pada masa akan datang. Kecenderungan kepada keperluan ini
menimbulkan usul serta daya kreatif di kalangan warga PIBG dan warga SK Pekan
Satu merealisasikan program ini.

“Insya-Allah, besar harapan kami, program transformasi ini akan menjadi suntikan motivasi untuk anak-anak kita menggembeling usaha ke arah mencapai kecemerlangan pembelajaran secara global.

Dari kiri En Zulkifli bin Maidin (AJK PIBG), En Yassin bin Tawih (AJK PIBG), En Osman Kadir (Ketua Kg Gersik), Hj Yunus bin haji yussof, En Mamduh bin Zakaria (KSIB SKPS), Lim Kai Kwan (Pengerusi MPP Zon 1), Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (GB SKPS), haji yusof bin hj chuchu (Kumpulan Pengerak

Turut hadir sebagai
tetamu khas, Puan Zailiana Binti Zainol (Pk Pentadbiran SKPS), Puan Normah
Binti Rahimi (Pk Hem SKPS), Encik Esmit Bin Amat (Pk Kokurikulum SKPS), Encik
Osman Kadir (Ketua Kg Gersik), Haji Yusuf bin Haji Chuchu (Kumpulan Pengerak Persatuan
Ibu Bapa, Komuniti & Swasta WP Labuan), Lim Kai Kwan (Pengerusi MPP Zon 1),
Haji Yunus Haji Yussof (Pegawai Angkat Sekolah), Encik Mamduh bin Zakaria (Kumpulan
Sokongan Ibu Bapa SKPS) dan Yang Bahagia Pengarah Pendidikan W.P Labuan Encik
Raisin bin Saidin selaku perasmi majlis karnival PIBG dan Hari Keusahawanan
serta bilik gerakan PIBG SKPS 2019.

Sementara itu,
dalam ucapan tuan pengarah berkata, beliau bersyukur berkesempatan merasmikan
majlis mega ini dan seterusnya melancarkan Bilik Gerakan PIBG SKPS. “Minat
keusahawanan perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi dan melalui program
sebegini, secara tidak langsung dapat meningkatkan minat mereka dalam bidang keusahawanan,”
katanya.

Menurut beliau,
untuk menjadi usahawan, selain murid didedahkan dengan asas bidang keusahawanan
seperti skim pembiayaan, mereka juga perlu diberi pengetahuan dari awal lagi
kursus yang perlu mereka ikuti agar cetusan hala tuju dalam pembangunan modal
insan dapat dirancang dari bangku sekolah rendah agar kecemerlangan dalam multi
bidang dapat dicapai apabila dewasa kelak.

“Dengan pelancaran
Bilik Gerakan PIBG ini, saya percaya PIBG pada kali ini akan berfungsi secara
efektif dan berfungsi sebagai jambatan penghubung yang lebih dekat antara
ibubapa dengan pihak sekolah khususnya para guru bagi menaikkan bukan sahaja
nama SK Pekan Satu, tetapi juga melahirkan lebih ramai individu yang berwibawa
hasil produk SK Pekan Satu,” katanya.

Kemeriahan Sepanjang
karnival disokong dengan pelbagai  aktiviti yang dijalankan dan antaranya 13
jenis permainan dan hiburan seperti senamerobik, sukaneka murid, sukaneka
ibubapa, ceramah kesihatan, pertandingan beyblade, pertandingan karaoke,
pertandingan gubahan bahan terbuang, pertandingan pakaian dari bahan terbuang,
pertandingan penyediaan menu sihat, pertandingan mewarna prasekolah dan tahap
1, pertandingan melukis tahap 2, Soopa Doopa dan Clown & Ballon. Kesemua
aktiviti ini adalah untuk menarik minat serta mencungkil bakat dan kreativiti
dikalangan murid dan ibu bapa.

Selain itu,
kemeriahan karnival ini turut diwarnai oleh 35 buah gerai jualan yang memenuhi
sekitar perkarangan kawasan meletak kereta SK Pekan Satu dan pengunjung
dianggar sebanyak 2500 orang bermula dari jam 7 pagi sehingga 4 petang. Kesemua
gerai jualan ini, menjual pelbagai jenis makanan ringan dan berat, pakaian
terpakai berpusu-pusu untuk datang menyaksikan dan merasai sendiri kemeriahan
karnival pada hari ini.

Tidak ketinggalan
juga Pameran daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan (Unit
Pemakanan), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM), Bomba, Jabatan Belia dan Sukan dan Jabatan Kesihatan
(Bahagian Farmasi). Karnival turut disertai syarikat swasta seperti Bank Islam.

Puan Normah Binti Rahimi dan Puan Zaliha binti Mohd Salleh selaku penyelaras program amat bersyukur kerana majlis ini berjalan dengan lancar dan ianya tidak akan tercapai tanpa kerjasama para guru serta ibubapa dan semua pihak yang terlibat. “Disamping merapatkan silaturrahim, program ini juga mampu menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa serta menjadikan sukan sebagai gaya hidup sihat bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan warga sekolah” tambah mereka lagi.

Murid-murid SKPS malakukan senamerobik sambil diperhatikan oleh ibubapa sebagai pemanasan badan.

Secara konkulsinya
matlamat perlaksanaan Karnival Keusahawanan ini mencapai matlamat yang
disasarkan dengan jayanya. Diharapkan agar program seperti ini akan diteruskan
pada masa akan datang dengan kepelbagaian entiti yang lebih menarik kehadiran
masyarakat luar. Selain itu, dengan berjayanya perlaksanaan karnival ini
memperlihatkan bahawa ukuwah, kerjasama serta jalinan silaturahim diantara ibu
bapa dan guru SK Pekan Satu mencapai matlamatnya dengan penuh cemerlang.