Murid SMK Mutiara Dinobat Adiwira Muda Pendidikan Labuan

Labuan, 16 Januari 2020 – Kejayaan menjadi naib johan perseorangan lelaki dalam pertandingan Juara Tangkis, Piala Tun Dr. Siti Hasmah telah membawa tuah kepada adik Mohd Ansarullah Bin Sabarudin, murid Tingkatan 4 di SMK Mutiara.

Selain berjaya merangkul hadiah tunai dan medal dalam pertandingan tersebut, beliau telah dipilih sebagai salah seorang Adiwira Muda peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

10 orang murid menerima Adiwira Muda Pendidikan Labuan

Anugerah telah disampaikan dalam majlis perhimpunan bulanan Januari yang telah diadakan pada 16 Januari 2020 di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri (BSTP). Anugerah Adiwira Muda adalah cetusan idea Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan untuk mengiktiraf kejayaan-kejayaan murid Labuan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Anugerah ini mula diperkenalkan mulai tahun 2019.

Adik Ansarullah menerima sijil penghargaan daripada Encik Raisin Saidin

Adik Mohd Ansarullah telah berjaya melayakkan diri terpilih dalam kalangan 96 pemain badminton muda berbakat seluruh negara dalam program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah.

Program ini merupakan sebuah program pembangunan dan kejohanan badminton yang diperakui di peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Kelab Badminton Sport Affairs dengan sokongan aktif dan perakuan daripada Kementeriaan Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia yang diurus oleh Ikon badminton negara pada era 90-an Rashid Sidek. Objektif program ini adalah untuk mencari, memupuk dan membentuk juara masa hadapan.

Adik Mohd Ansarullah bermula dengan menyertai pemilihan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Kota Kinabalu Sabah pada 20 November 2019 bersama 9 orang pemain lain yang terpilih dari beberapa buah sekolah di Labuan.

Dalam pemilihan tersebut adik Mohd Ansarullah telah berjaya terpilih menjadi wakil tunggal W.P Labuan seterusnya mewakili Pasukan Satria bersama dengan 4 orang lagi pemain dari Sabah yang dibimbing oleh bekas pemain legenda negara Koo Kien Keat dalam acara berpasukan (kategori perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu campuran, beregu lelaki dan beregu perempuan).

Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah telah diadakan pada 20 – 21 Disember 2019 bertempat di Dewan Seri Sarjana, Uniten Bangi Selangor Darul Ehsan.

Setelah melalui dua peringkat perlawanan, akhirnya Pasukan Satria telah berjaya mara ke peringkat akhir menentang Pasukan Unggul yang dibimbing oleh seorang lagi ikon badminton negara iaitu Zakry Latif. Walau bagaimanapun pasukan Satria gagal menyaingi kehebatan pasukan Unggul dalam pertandingan akhir tersebut.

Kejayaan adik Mohd Ansarullah adalah hasil daripada usaha gigihnya sendiri bermula sejak sekolah rendah lagi di SK Bukit Kalam. Minatnya yang mendalam dan impiannya untuk mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei yang sering berjuang mengharumkan negara menjadi motivasi kepada dirinya.

Ketika ditemui, Adik Mohd Ansarullah melahirkan rasa syukur dan terima kasihnya yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sentiasa ada memberi dorongan, sokongan dan mendoakan kejayaan untuk dirinya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasihnya kepada jurulatih yang pernah membimbingnya, guru-guru dan rakan-rakan.

Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam bin Yasim turut memuji semangat juang dan jatidiri adik Mohd Ansarullah dalam mengejar impiannya dalam permainan badminton sehingga berjaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan. Beliau turut menyeru agar murid-murid SMK Mutiara yang lain mencontohi adik Mohd Ansarullah dalam mengejar impian dan kejayaan.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Pemimpin Kecil SMK Rancha-Rancha Bantu Pengawas SK Sungai Lada

Labuan, 16 Januari 2020 – Seramai lapan (8) orang Pemimpin Kecil SMK Rancha Rancha yang terdiri daripada Pengawas Sekolah dan Pembimbing Rakan Sebaya telah dijemput oleh Unit HEM SK Sungai Lada bagi mengendalikan satu slot dalam Kursus Kepimpinan Pengawas sekolah itu yang terdiri daripada murid tahun 3 hingga tahun 6.

Lapan orang Pemimpin Kecil ini dilihat mampu mengendalikan kursus tersebut dengan baik dan amat teruja sekali untuk sesi perkongsian bersama dengan adik-adik di sekolah rendah.

Mereka mampu mengawal peserta dengan baik dan menggunakan  kemahiran dan ilmu pengetahuan yang mereka ada dalam mengendalikan kursus ini.

Sifat kepimpinan para Pemimpin Kecil ini amat terserlah dalam kursus ini dan mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dan sifat bekerjasama di kalangan mereka.

Pemimpin Kecil Sekolah SMK Rancha-Rancha bersama Pengawas Sekolah SK Sungai Lada

Semasa majlis penutup, Guru Besar SK Sungai Lada, Encik Maidan bin Dali dan Penolong Kanan HEM, Puan Noorlihan binti Abdul Alip juga Kaunselor SK Sungai Lada, Puan Nurul Ain Adawiyah memberi tanda penghargaan kepada para Pemimpin Kecil ini di atas sumbangan yang telah mereka berikan.

Kaunselor SMK Rancha-Rancha, cikgu Raffeza Sanadi menjadi guru pengiring semasa program ini berlangsung.

Para Pemimpin Kecil ini amat berharap mereka akan diberikan lagi peluang sebegini untuk sesi perkongsian bersama adik-adik sekolah rendah di sekolah yang lain pula.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




Perhimpunan Bulanan JPWPL Januari 2020 : Pemimpin Sekolah Berkesan Pemangkin Kemenjadian Murid

Labuan, 16 Januari 2020 – ‘Pemimpin Sekolah Berkesan Pemangkin Kemenjadian Murid’, demikian tema bagi bulan Januari yang telah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Sempena perhimpunan bulanan pada kali ini, murid-murid yang telah berjaya mengangkat nama Labuan samada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun 2019 telah diberikan Anugerah Adiwira Muda Pendidikan Labuan.

Penganugerahan ini merupakan manifestasi usaha yang bersungguh-sungguh secara bersama bagi memberi semangat dan galakan kepada murid, yang diilhamkan oleh Encik Raisin Saidin, bermula tahun 2019.

Seramai 10 murid yang telah diangkat sebagai Adiwira Muda Pendidikan Labuan, iaitu :

  1. Rafdhi Firlhi Junaidi, SK Pekan Dua. Johan Kategori Traditional Form (Rammuay/Muaythai), Pingat Gangsa Amateur K1 Sanda, Pertandingan Borneo Martial Art Expo 2019.
  2. Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi, SK Pekan Dua, Pingat Perak Kejohanan 21st USKU International Karate Open Championship 2019, Takanabe-Cho, Miyazaki, Japan, Pingat perak Kumite 10-11 years girl Kejohanan 11st Kota Kinabalu Karate Open Championship 2019.
  3. Nur Izziani Mohd Idzam, SMK Pantai, Pingat Gangsa Pertandingan Guangdong China Final Elite Group Taekwando League 2019.
  4. Mohd Nur Nazhan Abdullah, SMK Lajau, Pingat Emas Putera Kelas A, Kejohanan Silat Warisan Dato Maharajalela 2019.
  5. Nurul Shafina Mohd Supian, SMK Lajau, Pingat Gangsa Kejohanan Silat Warisan Dato Maharajalela 2019.
  6. Nur Nabilla Hartono, SMK Labuan, Pingat Emas Puteri Kelas F, Kejohanan Silat Warisan Dato Maharajalela 2019.
  7. Nur Athirah Asmawi, SMK Labuan, Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri WP Labuan 2019.
  8. Muhammad Aiqal Asmadie, SM St Anthony, Emas Open Karate-Do Kejohanan 19th Thailand Open Karate-do Championship 2019 dan Emas Junior High School Male Kata, Kejohanan 21st USKU International Karate Open Championship 2019, Takanabe-Cho, Miyazaki, Japan.
  9. Mohd Ansarullah Sabarudin, Naib Johan Perseorangan Lelaki Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah 2019. 
  10. Mohd Azib Aiman Mohamad Affendi, SM Sains Labuan, Pingat Gangsa High School Male Kata, Kejohanan 21st USKU International Karate Open Championship 2019, Takanabe-Cho, Miyazaki, Japan, Pingat Gangsa Individu Kata Kadet 55 kg, 19th Thailand Open Karate-Do Championshop, Emas Kategori Male Junior Kata dan Kumite, 6th Legend International Karate Club Championship 2019, Selangor, Emas Kategori Individu Kumite Junior, 1st Borneo Karate Open Championship 2019, Brunei  Darul Salam.
Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil Adiwira Muda kepada Adik Nur Athirah Asmawi yang mendapat Anugerah Pengakap Raja 2019

Cikgu Yee Choon Hian dari SM St Anthony juga turut menerima Anugerah Khas Pengarah bagi bulan Januari di atas komitmen menjadi Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Badminton sejak tahun 2002 sehingga kini. Beliau pernah memegang jawatan ketua teknikal kejohanan badminton MSSM pada tahun 2006 dan 2013. Beliau juga pernah dipanggil menjadi jurulatih kebangsaan pada tahun 2013 dalam kejohanan persahatan bersama atlet muda Jepun dalam program KPM dan Astro.

Terbaharu beliau telah berjaya melahirkan pemain perseorangan lelaki yang cemerlang, adik Ansarullah dari SMK Mutiara menjadi naib johan pertandingan juara tangkis Piala Tun Siti Asmah, pada Disember 2019.

Pembacaan ikrar perkhidmatan awam pada perhimpunan pertama Jabatan Pendidikan WP Labuan tahun 2020 ini telah diketuai sendiri oleh Encik Raisin Saidin. Ini adalah gambaran komitmen tinggi beliau menggalas amanah yang dipikul dan seterusnya mengajak seluruh warga pendidikan Labuan mengangkat martabat profesion keguruan.

Encik Raisin Saidin mengetuai lafaz ikrar perkhidmatan awam

Encik Raisin Saidin telah membentangkan 10 Ciri Utama Pemimpin Sekolah Abad ke-21 Yang Berjaya. Ciri-ciri tersebut ialah Kejujuran dan integriti, Keupayaan meyakini dan mengupayakan orang lain, Berkomunikasi, berkerjasama dan dan sentiasa berhubungan, Aura positif, Keyakinan, Komitmen dan kesungguhan, Kesediaan untuk belajar, tinggalkan pemikiran lama dan kukuhkan pengetahuan, Keusahawanan, kreatif dan inovatif, Naluri Intuitif/ Gerak Hati dan Kebolehan untuk memberi inspirasi.

“Sekolah terbaik didorong oleh warganya sendiri yang bersungguh-sungguh membawa perubahan samada di dalam atau di luar bilik darjah yang akhirnya membawa keberhasilan kemenjadian anak-anak muridnya”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Saidin bersama barisan pemimpin, Pengetua Sekolah Menengah Labuan

Dalam menyatukan guru-guru di pulau ini maka Encik Raisin Saidin mengajak seluruh lapisan warga pendidikan mengamalkan dan menghayati perkara berikut:

  1. Guru
    sayang muridnya
  2. Roh guru mendarah daging dalam diri setiap guru
  3. Guru mengajar murid belajar dan
    berbuat
  4. Meningkatkan kecemerlangan dan
    kemenjadian murid yang menyeluruh
  5. Setiap ringgit peruntukan dibelanjakan
    hendaklah memberi pulangan yang maksimum kepada murid

Kelaziman majlis, penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada pihak sekolah, staff of the month dan sambutan hari jadi kepada warga pendidikan sentiasa memeriahkan saban perhimpunan JPWPL.

Semoga tahun 2020, cabaran global yang memberi tekanan lebih mencabar dalam Abad ke-21, namun paksinya tetap sama, Kemenjadian Murid diutamakan.

Encik Raisin Saidin menyampaikan Anugerah Khas Pengarah kepada Cikgu Yee Choon Hian, diperhatikan oleh Ustaz Syahir dan Encik Azryn
Encik Raisin Saidin menyampaikan Sijil Penghargaan kepada pihak Sekolah
Meraikan sambutan hari jadi kepada warga pendidikan yang lahir bulan Januari

Foto : Tuan Haji Sawal Salleh




PPKI SMK Mutiara Anjur Bengkel Pelaksanaan Kurikulum Kefungsian Rendah

Labuan, 16 Januari 2020 – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Mutiara telah mengadakan Bengkel Penataran KSSMPK Kefungsian Rendah khusus untuk guru-guru yang mengajar kelas PPKI dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Bengkel yang bermula jam 2.00 petang telah dihadiri oleh 16 orang guru dan 4 PPM. Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk mengukuhkan lagi pengetahuan sedia ada guru dan PPM tentang KSSMPK Kefungsian Rendah yang akan dilaksanakan mulai tahun ini.

Pengendalian bengkel merangkumi empat sesi yang dibimbing fasilitator yang terdiri dalam kalangan guru-guru PPKI.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Roslaniah bt Zainal memulakan sesi bengkel dengan menekankan aspek penguasaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dalam kalangan guru. Menurut beliau, DSKP merupakan nadi kepada sesuatu mata pelajaran dan mesti difahami oleh guru untuk tujuan pelaksanaan PdP yang berkesan.

“Seperti yang kita sedia maklum KSSMPK Kefungsian Rendah ini bertujuan untuk menjadikan Murid Berkeperluan Khas (MBK) berkemahiran, boleh berdikari, dan mereka mampu masuk ke alam pekerjaan seperti orang normal” kata beliau lagi.

Slot kedua dikendalikan oleh Cikgu Nurul Hidayah bt Abd Rahim yang menyentuh Program Transisi Kerjaya (PTK). Beliau yang juga merupakan Jurulatih Kebangsaan, menyampaikan hala tuju program PPKI terutamanya yang berkaitan dengan peluang-peluang kerjaya yang boleh diterokai oleh MBK. Beliau turut menyeru agar guru-guru PPKI membimbingnya secara bersungguh-sungguh bagi MBK menguasai kemahiran-kemahiran yang diajar.

Seterusnya guru-guru PPKI telah mengadakan bengkel secara ‘hands on’ menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mengikut subjek yang telah diberikan dan membuat pembentangan secara berkumpulan.

Peserta-peserta bengkel telah melahirkan rasa gembira kerana telah didedahkan dengan kurikulum Kefungsian Rendah yang dapat membantu guru membimbingnya murid-murid PPKI dengan lebih baik.

Di akhir sesi bengkel, Puan Noraini Binti Sabudin, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Labuan ke PPKI SMK Mutiara telah membuat rumusan bengkel secara keseluruhan. Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah pengurusan PPKI SMK Mutiara kerana berjaya menganjurkan bengkel ini dengan jayanya.

“Walaupun KSSMPK ini masih baru namun tidak salah jika pihak sekolah berasa yakin dan mampu untuk laksanakan secepat mungkin. Hal ini bergantung pada bilangan guru dan murid serta alat yang mencukupi untuk dilaksanakan” kata beliau.

Beliau turut mencadangkan agar perkongsian berkaitan PTK dapat dikongsi kan bersama-sama sekolah yang lain juga.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Guru-guru khusyuk mendengar taklimat daripada penceramah



Ibubapa Bantu Ceriakan SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 11 Januari 2020 – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun  telah mengadakan Program Sarana Ibubapa Gotong Royong pada 11 Januari 2020 (Sabtu) bertempat di perkarangan sekolah.

Tujuan program ini adalah untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang ceria lagi kondusif untuk pembelajaran murid-murid.

Selain itu, gotong-royong ini juga merupakan program yang dimasukkan dalam Program SARANA Ibubapa, iaitu suatu program yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dalam melibatkan peranan ibubapa dalam aktiviti-aktiviti sekolah. 

Lebih 60 orang ibubapa telah  hadir menyokong program ini.  Program ini dimulakan selepas taklimat keselamatan kepada murid-murid yang hadir.

Gotong Royong ini melibatkan kebersihan dan keceriaan setiap bilik darjah, kantin, Pusat Sumber Sekolah, Surau dan juga bilik-bilik khas yang lain. 

Semasa aktiviti gotong royong ini, pengetua En. Ag Rozlan bersama YDP PIBG En. Peter Wong,  penolong kanan Hal Ehwal Murid Puan Chai Yee San dan penolong kanan Kokurikulum Pn. Lau Chin Ying   telah berkunjung ke  setiap bilik darjah untuk meramah mesra dengan ibubapa yang hadir.

Pengetua Encik Ag Rozlan mengucapkan terima kasih kepada semua ibubapa yang telah menyumbangkan tenaga, wang ringgit serta memastikan kehadiran anak-anak untuk menjayakan program ini.

Program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti “port-luck” bersama ibubapa, guru-guru dan murid-murid dalam kelas masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




16 Murid PPKI Baharu SMK Mutiara Ikuti Program Orientasi

Labuan, 10 Januari 2020 –  Seramai 16 orang murid baru telah mendaftar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK MUTIARA bagi sesi persekolahan bagi Tahun 2020.

Bagi memastikan kesediaan dan keselesaan mereka menempuh alam persekolahan peringkat menengah, pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program orientasi khusus untuk mereka.

Program ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Mutiara pada 10 Januari 2020 mulai jam 7.00 pagi hingga 11.30 pagi.

Seramai 5 guru dan 2 Pembantu Pengurusan Murid (PPM) terlibat mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang program orientasi berlangsung.

Puan Roslaniah Zainal, Penolong Kanan PPKI SMK Mutiara berkata, program orientasi ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid baharu PPKI yang tentang visi, misi, aktiviti, peraturan dan budaya sekolah ini.

Menurutnya lagi, program sebegini merupakan program rutin setiap tahun namun aktiviti-aktiviti sentiasa dikemaskini mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Murid-murid PPKI sedang menjalani program orientasi

Program Orientasi ini dimulakan dengan Ujian Dianogstik yang dijalankan untuk mengenal pasti kebolehan murid-murid dalam menguasai kemahiran asas 4M (membaca, menulis, mengira, dan menaakul) Ujian Dianogstik ini dikendalikan oleh Cikgu Masitoh bt Hassan.

Dalam sesi kedua pula, Cikgu Nurazimah bt Anuar telah memperkenalkan barisan pentadbir sekolah, guru-guru PPKI dan kakitangan sekolah serta budaya sekolah kepada murid-murid yang terlibat.

Taklimat seterusnya dikendalikan oleh Cikgu Lee berkaitan peraturan dan disiplin sekolah yang perlu dipatuhi oleh semua murid yang bersekolah di sekolah ini dan diakhiri dengan latihan nyanyian lagu kebangsaan, lagu Wilayah Persekutuan, lagu sekolah dan bacaan ikrar Rukun Negara yang dibimbing oleh Cikgu Rosnani Sahari.

Majlis penutupan Program Orientasi Murid Baharu PPKI 2020 telah disempurnakan oleh pengetua SMK Mutiara. Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam ucapannya, beliau juga sangat berbesar hati dan  mengalu-alukan kedatangan murid baru ke sekolah ini dan berharap semua murid baru PPKI dapat menyesuaikan diri dengan budaya dan peraturan sekolah ini.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam sedang memberi ucapan Majlis penutupan Program Orientasi Murid Baharu PPKI 2020
Murid PPKI baharu tekun menulis di dalam kelas



Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Kecil Sekolah SK Rancha-Rancha

Labuan, 13 Januari 2020 – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha telah menganjurkan Kursus Pemimpin Kecil Sekolah (PKS) dan Majlis Watikah Pelantikan PKS.

Seramai 127 orang PKS yang terdiri daripada kepimpinan pengawas sekolah
seramai 37 orang, ketua dan penolong ketua kelas seramai 30 orang, pengawas
pusat sumber seramai 38 orang, pembimbing rakan sebaya seramai 12 orang dan
patrol denggi seramai 10 orang yang terlibat dan seterusnya menerima watikah
pelantikan pada hari ini.

Guru Besar SK Rancha-Rancha, Puan Norinnie binti Kassim berkata, kumpulan pelajar yang dilantik itu ialah pemimpin kecil yang berjaya menonjolkan bakat dan potensi diri.

“Kita meneliti setiap mereka dan seterusnya mengangkat sebagai seorang pemimpin yang bakal menjadi role model kepada murid-murid lain. ”

Kursus Kepimpinan yang telah diadakan pada hari sabtu 11 Januari 2020 sebagai suntikan ilmu kepimpinan supaya lebih bersahsiah tinggi, taat kepada Tuhan dan memantapkan pengurusan disiplin.

Peranan
pemimpin kecil cukup besar di peringkat sekolah dalam memikul amanah diberikan
bukan sahaja dalam membentuk disiplin malah pembentukan jati diri murid lain.

Puan Norinnie berkata, murid-murid yang dilantik sebagai pemimpin kecil di sekolah perlu diberikan pengiktirafan dan penghargaan.

“Ini kerana peranan mereka amat penting memandangkan golongan ini yang bertindak membantu pengawasan murid-murid dan menyokong kerja-kerja pengurusan sekolah. ”

“Malah murid lain juga perlu ada rasa hormat terhadap golongan ini walaupun rakan mereka sendiri. Rasa hormat tersebut adalah berkaitan tugas yang dijalankan pemimpin berlandaskan undang-undang sekolah yang ditetapkan,” Puan Norinnie Kassim

Berita Oleh : SK Rancha-Rancha




Murid SK Pekan Satu Bersarapan Pagi Bersama Bank Simpanan Nasional

Labuan, 2 Januari– Majlis penyerahan sarapan pagi percuma kepada 100 orang murid yang datang antara jam 6.30 – 6.50 pagi telah diadakan di pintu masuk sekolah. Sarapan percuma tersebut merupakan sumbangan dari Bank Simpanan Nasional (BSN).

Objektif utama program adalah untuk memangkin semangat murid-murid datang awal pada hari pertama persekolahan.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh  Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah PK Pentadbiran SKPS Puan Zailiana Binti Zainol, PK Hem SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, AJK Biro Kewangan Pibg Encik Yassin bin Tawih, AJK PIBG SKPS Encik Zulkiflie Maiden berserta  6 orang guru.

Puan Hjh Jamayah Binti Mohid (dua kiri) menyampaikan sarapan pagi sumbangan BSN sambil diperhatikan oleh ibu bapa serta murid-murid yang lain.

Dalam ucapannya, Puan Anita melahirkan jutaan terima kasih kepada pihak BSN kerana memilih SKPS sebagai destinasi program ini.

“Murid-murid  yang bertuah  menerima sumbangan sarapan ini akan lebih bermotivasi untuk  datang awal ke sekolah dan kehadiran mereka juga  dapat meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk terus berbakti dalam memastikan kemenjadian murid” Puan Anita.       

Pengarah Negeri BSN Sabah Encik Laudin bin Haji Sundang berkata sumbangan sarapan pagi ini adalah salah satu usaha bantu yang dilaksanakan oleh pihak BSN  agar murid-murid yang bertuah merasa dihargai apabila datang ke sekolah dengan lebih awal.

“Saya berharap agar  kolaborasi ini dapat meningkatkan lagi kekuatan silaturahim antara pihak BSN dengan pihak SKPS dan semoga  kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan kelak” tambah beliau lagi.

Akhir sekali, Puan Normah Binti Rahimi selaku penyelaras program melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak BSN kerana sudi memberi satu set sarapan kepada 100 orang murid yang datang awal ke sekolah.

Dari kiri Cik Noor Anirah Awang Anak, Encik Esmit bin Amat, Puan Hjh Jamayah Binti Mohid, Puan Anita Shyamini A/P S. Azman, Encik Encik Faisal bin Haji Moin, Puan Normah Binti Rahimi dan Cik Aqilah Binti Mohd Hatta.



Hari pertama persekolahan 2020 Di Labuan Berjalan Lancar

Labuan, 2 Jan 2020 – Seramai 1,650 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di sekolah rendah di Labuan hari ini.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata secara keseluruhan jumlah murid sekolah rendah di wilayah ini ialah 9,732 orang. Manakala murid sekolah menengah mencatatkan 6,071 dan prasekolah seramai 807 murid berdaftar.

Keseluruhan murid berdaftar pada awal sesi persekolahan 2020 termasuk murid prasekolah di Labuan ialah seramai 16,610 orang.

Encik Raisin Saidin bersama dengan Timbalan-Timbalan Pengarah Pendidikan serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran Dan Peperiksaan telah menyambut dan mengalu-alukan kehadiran murid-murid SK St. Anne WP Labuan pada hari pertama persekolahan 2020.

Semasa perhimpunan awal pagi di Sekolah SK St Anne, Encik Raisin Saidin menzahirkan kegembiraan di atas kehadiran murid-murid yang datang ke sekolah dalam keadaan sihat untuk memulakan sesi persekolahan.

Murid-murid SK ST Anne dalam perhimpunan awal pagi sesi persekolahan 2020
YDP PIBG SK St Anne, Ketua Penolong Pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Pegawai Polis turut serta dalam menghadiri perhimpunan sekolah SK St Anne pada 2 Januari 2020

Beliau berkata, 4 pendekatan yang difokuskan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2020 iaitu guru sayang muridnya, aura roh guru sentiasa mendarah daging dalam diri guru, guru mengajar murid belajar, meningkatkan kecemerlangan dan kemenjadian murid secara menyeluruh.

Encik Raisin Saidin menekankan perkara tersebut kerana peranan guru amat penting sebagai pelaksana paling hadapan iaitu di bilik darjah.

Tambahnya lagi setiap ringgit daripada peruntukan kewangan yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan dibelanjakan sama ada di peringkat Jabatan mahu pun di sekolah hendaklah memberi pulangan maksimum kepada murid. Dengan kata lain faedahnya hendaklah dipulangkan kepada anak-anak murid.

Selain SK St. Anne rombongan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan juga telah melawat SK membedai iaitu sekolah yang terletak di kem tentera.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru besar dan pengetua kerana telah membuat persiapan yang rapi bagi memastikan hari pertama persekolahan tahun 2020 berjalan dengan lancar. Murid dapat belajar dengan selesa”. Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan

Encik Raisin Saidin, Guru Besar Ustaz Farihi, Mejar Hamka dan murid tahun 1 SK Memebedai
Puan Maimoon dan Encik Ag Marten sedang beramah mesra dengan murid-murid tahun 1 SK Membedai
Encik Raisin Saidin sedang memberi motivasi kepada murid Tahun 6 SK Membedai
Bergambar kenangan di SK membedai pada 2 Januari 2020
Encik Raisin Saidin dan Mejar Hamka Bin Harith Pegawai Pendidikan Pangkalan Udara Labuan berinteraksi dengan murid tahun 1 SK Membedai
Dari Kanan : Tuan Haji Sawal, Ustaz Rahman dan Puan Maimoon
Encik Raisin Saidin semasa lawatan di SK Membedai

Foto Oleh : Ustaz Mohd Syahir