SK Rancha-Rancha Dedah Guru Kemahiran Pertolongan Cemas

Labuan, 20 Januari 2020 – Sebagai langkah persediaan menghadapi kejadian tidak diingini dalam persekitaran sekolah, seramai 42 guru dan pegawai kumpulan pelaksana (PKP) dari Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha diberikan kursus mempelajari asas-asas pertolongan cemas dan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR)

Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata kemahiran ini perlu terutamanya untuk guru supaya mereka dapat menghadapi sebarang kemungkinan di sekolah sebelum murid dihantar ke hospital. Beliau juga yakin kemahiran yang dipelajari oleh guru dapat didedahkan kepada murid-murid.

Latihan pertolongan kecemasan itu dikendalikan oleh tujuh kakitangan dari Hospital Nukleus W.P Labuan yang diketuai oleh Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah, pakar perubatan kecemasan hospital tersebut.

Guru-guru sedang melihat demonstrasi pertolongan cemas
Guru SK Rancha-Rancha sedang mencuba latihan amali pertolongan cemas sambil diperhatikan oleh kakitangan hospital Nukleus Labuan

Peserta kursus dibahagikan kepada 5 kumpulan untuk sesi amali tentang teknik dan cara yang betul bagi membantu individu tercekik dan bantuan pernafasan bagi orang dewasa dan bayi. Setiap kumpulan dapat mempelajari cara yang betul untuk melakukan CPR.

Peserta didedahkan
dengan teknik CPR untuk menyelamatkan nyawa ketika nadi dan nafas mangsa
terhenti. Semasa bengkel, teknik dilatih ialah melibatkan tekanan dada dan
hembusan mulut ke mulut, dan ini terbukti berkesan untuk menyelamatkan nyawa.

Dr Mohamad Hamim
berkata dengan ilmu yang didedahkan oleh kakitangan hospital dapat dimanfaatkan
oleh guru untuk memberi rawatan awal jika sesuatu kejadian tidak diingini berlaku
di sekolah sebelum pihak hospital tiba.

Peserta program juga teruja dan kursus ini sangat bermanfaat dalam kehidupan, di samping memberi peluang untuk membantu insan lain yang berada dalam kesakitan dan kecemasan.

Berita Oleh : SK Rancha-Rancha

Puan Norinnie bersama guru-guru sedang khusuk melihat demonstrasi pertolongan cemas kepada bayi
Penyampaian sijil penghargaan kepada pihak Hospital Nukleus Labuan



Pelaksanaan Pendidikan Sivik Tumpu Nilai Teras Kasih Sayang, Hormat-Menghormati, Tanggungjawab dan Kegembiraan

Labuan, 20 Jan – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha telah mengadakan perhimpunan mingguan sekolah sempena pelaksanaan pendidikan sivik di sekolah. Majlis turut dihadiri oleh Encik Ag Marten Abd Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) dan Puan Zaliha Mohd Salleh, pegawai angkat sekolah.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zulkornain bin Ahmad. Dalam ucapan Encik Ag Marten, beliau berkata pelaksanaan pendidikan sivik di sekolah yang menumpukan kepada empat nilai teras iaitu kasih sayang, hormat-menghormati, tanggungjawab dan kegembiraan.

Manual kesedaran sivik dan amalan nilai dalam perhimpunan rasmi dijalankan selama 5 minit untuk menyampaikan nilai teras tersebut. Ia dijalankan setiap minggu mengikut tema nilai teras sivik yang ditetapkan. Tema pada bulan Januari ialah kasih sayang.

Encik Ag Marten, Puan Norinie, Puan Zaleha dan Penolong-Penolong Kanan SMK Rancha-Rancha

Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata pendidikan sivik memberi pemahaman dan kesedaran kepada murid tentang hak mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Pendidikan sivik dilaksanakan selama sejam pada minggu keempat setiap
bulan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral dan Sejarah. Pendidikan sivik juga dijalankan dalam aktiviti
kokurikulum setiap minggu melalui aktiviti yang dijalankan dijalankan selama 10
minit setiap minggu.

Majlis diteruskan dengan pelancaran program mentor mentee di bawah unit bimbingan dan kaunseling. Seterusnya, semua guru kelas menerima buku laporan program tersebut yang akan dilaksanakan hari Isnin minggu pertama setiap bulan jam 7.00 hingga 7.30 pagi.

Berita Oleh : SK Rancha-Rancha

Ucapan oleh Encik Ag Marten, KPP Sektor Sumber Teknologi Pendidikan



SK Pekan Dua Turut Semarakkan Pelancaran Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2020

Labuan, 19 Jan 2020 – SK Pekan Dua turut serta dalam menyemarakkan Majlis Pelancaran Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Dataran Labuan.

Kontijen SK Pekan Dua diwakili oleh 20 orang murid daripada Unit Beruniform Pengakap dan Pandu Puteri Tunas dengan diiringi oleh 5 orang guru.

SK Pekan Dua telah dipilih sebagai pemenang tempat ke-3 dalam Pertandingan Sepanduk Wilayah Kreatif daripada 35 pasukan yang terdiri daripada sekolah-sekolah sekitar Labuan, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan.

Guru-guru pengiring merakam kenangan bersama murid-murid SK Rancha-Rancha

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Amir bin
Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan (PL). Turut hadir sama ialah YBrs.
Dr. Fary Akmal binti Osman (Ketua Pegawai Eksekutif PL), Ahli-ahli Majlis
Penasihat PL, Pengurusan Tertinggi PL, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, swasta serta
pemimpin-pemimpin masyarakat.

Majlis ini juga merupakan salah satu pengisian program Sambutan Hari
Wilayah Persekutuan 2020 yang mana diadakan serentak dengan Kempen Kibar
Bendera Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan bertemakan ‘Sayangi
Wilayahku’.

Di samping itu, majlis mendidik warga Wilayah Persekutuan Labuan tanpa mengira kaum dan peringkat umur supaya mencintai dan menghormati bendera di samping menyemarakkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan kibaran bendera di seluruh pulau ini yang secara tidak langsung menaikkan semangat muhibah serta mengeratkan integrasi dalam kalangan warganya.

Berita Oleh : SK Pekan Dua

Bersemangat murid-murid dalam perarakan sepanduk dan kibar bendera Wilayah Persekutuan
Menerima hadiah kemenangan daripada Dato’ Sri Haji Amir



Perpaduan, Kebersamaan dan Keharmonian Tema SMK MUTIARA Sertai Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2020

Labuan, 19 Januari 2020 – Seramai 20 murid SMK Mutiara telah menyertai pertandingan sepanduk dan perbarisan sempena pelancaran kempen kibar bendera W. Persekutuan bagi tahun 2020.

Pelancaran kempen telah disempurnakan oleh Datuk Seri Amir Hussein, Pengerusi Perbadanan Labuan bertempat di Dataran Labuan seawal jam 7.00 pagi.

Kontinjen SMK Mutiara disertai oleh 20 murid-murid Tingkatan 4 dan 5 dan diiringi oleh 3 guru. Menurut ketua kontinjen Puan Teo Geok Lin, penyertaan sekolah dalam kempen ini adalah untuk menimbulkan kesedaran dan rasa cinta kepada Wilayah yang kita sayangi ini dalam kalangan generasi muda.

“Melalui aktiviti sebegini murid-murid berpeluang menghayati dan menikmati rasa kepunyaan dan kebersamaan dalam satu Wilayah yang Merdeka.” Puan Teo Geok Lin.

Riang dan Ceria Kontinjen SMK Mutiara sempena Pelancaran Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2020

SMK Mutiara telah mempertaruhkan dua buah sepanduk bertemakan SAYANGI WILAYAH KU dalam pertandingan ini. Menurut guru pembimbing, Cikgu Senawing Subu, sepanduk-sepanduk ini telah diilhamkan dan dihasilkan sepenuhnya oleh murid-murid SMK Mutiara.

“Perpaduan, kebersamaan dan keharmonian menjadi tema dalam penghasilan sepanduk” ujarnya lagi.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim menyifatkan penyertaan kontingen dari SMK Mutiara sebagai menifestasi kebersamaan warga sekolah dalam acara-acara peringkat Negeri di Labuan.

Beliau turut memuji sikap dan semangat yang bersungguh-sungguh warga SMK Mutiara dalam menjayakan sesuatu aktiviti ke arah Kemenjadian Murid sekaligus menjayakan slogan sekolah 2020 MENGGALAS AMANAH MEMIKUL TANGGUNGJAWAB: MUTIARA BERSINAR.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Murid-Murid SK Rancha-Rancha Ceria, Program Transisi Tahun Satu

Labuan, 17 Januari 2020 – Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Penutupan Program Transisi Tahun Satu bagi  Tahun 2020 yang telah dirasmikan oleh Puan Noraini Hj Sabudin, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPWPL.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zulkornain bin Ahmad.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Noraini Hj Sabudin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, Program Transisi Prasekolah Ke Tahun Satu merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid menghadapi perubahan daripada pendidikan tidak formal di rumah atau tadika kepada pendidikan lebih formal di Tahun Satu sekolah rendah.

Puan Norinnie dan Puan Noraini bersama murid-murid tahun 1 SK Rancha-Rancha

Program ini juga dapat memastikan agar semua murid Tahun Satu yang datangnya dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza akan dapat memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap pencapaian yang hampir sama.

Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata, dengan program ini murid-murid dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran guru-guru dan kawan baru dalam masa yang singkat.

Guru-guru juga dapat menyelaraskan keperluan kognitif, emosi, kerohanian dan jasmani murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun 1.

Majlis diteruskan dengan tayangan video ringkas perjalanan minggu transisi, penyampaian hadiah dan diakhiri dengan sesi fotografi.

Semoga program transisi ini dapat meningkatkan minat dan semangat murid untuk hadir ke sekolah setiap hari.

Berita Oleh : SK Rancha-Rancha

Majlis Penutupan Program Transisi Tahun 1 SK Rancha-Rancha turut dihadiri oleh ibu bapa
‘Posing Ceria’ Murid-Murid tahun satu SK Rancha-Rancha



Program Transisi Tahun Satu Bimbing Murid SK Pekan Satu Berkaitan Amalan, Budaya dan Adab

Labuan, 17 Jan –Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, WP Labuan telah mengadakan Majlis Perasmian Penutupan Program Transisi Tahun Satu bersama ibu bapa murid bagi tahun 2020 di Dewan C.U.N.

Sebelum itu, murid-murid Tahun Satu telah mengikuti program Transisi selama 2 minggu yang mana objektif utama program adalah untuk  mengenalpasti potensi dan minat murid dari awal sesi persekolahan dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran.

Majlis
Perasmian penutupan  disempurnakan oleh
Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir
memeriahkan majlis ialah Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPNWL Puan
Zailiana Binti Zainol, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, AJK Biro Kewangan
PIBG Encik Yassin bin Tawih, Pegawai Pergigian Doktor Nur
Afiqah Hassan
, Doktor Elnee Melson  berserta
31 orang guru Tahun Satu, 185 orang ibubapa dan 183  murid Tahun Satu.

Dalam ucapannya, Puan Anita Syamini menjelaskan bahawa Program
Transisi merupakan satu program untuk membantu murid-murid menghadapi perubahan
diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah
ataupun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

“Dalam pada masa yang sama program ini juga dapat memastikan agar semua murid Tahun Satu yang datangnya dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza akan dapat memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap pencapaian yang hampir sama.Ianya juga mampu membimbing murid Tahun Satu berkaitan amalan, budaya dan adab ketika berada di sekolah dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan dengan para guru supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan” tambahnya lagi.

Murid-murid yang lahir pada bulan Januari diraikan bagi memeriahkan lagi majlis

Beberapa taklimat telah diadakan dalam program ini bertujuan memberi pendedahan kepada ibubapa yang hadir. Antaranya taklimat Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) disampaikan oleh Puan Zailiana yang memberi penjelasan tentang kaedah pelaksanaan PBD yang mana pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap I di semua sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2019.

Taklimat dari  Unit HEM mengenai peraturan sekolah dan skim bantuan murid pula telah disampaikan oleh Puan Normah. Seterusnya taklimat dari Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah berkenaan peranan mereka dalam sekolah disampaikan oleh Puan Hjh Jamayah,  taklimat  Imfree disampaikan oleh Doktor Elnee Melson dan taklimat kesihatan pergigian telah disampaikan oleh Doktor Nur Afiqah Hassan.

Majlis perasmian penutupan dimeriahkan lagi dengan sambutan Hari Lahir murid yang lahir pada bulan Januari dan persembahan nyanyian berkumpulan murid-murid Tahun Satu. Suasana dewan meriah apabila ibubapa memberikan semangat kepada anak-anak mereka melakukan persembahan.

Penyelaras program, Puan Asbaidah Tahir melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.

Tambahnya lagi, program ini mampu menyediakan dan membantu murid-murid menyesuaikan diri dengan situasi persekitaran, guru-guru dan kawan-kawan baharu dalam masa yang singkat. Beliau juga berharap agar program ini dapat menarik minat murid dan menimbulkan  seronok untuk datang ke sekolah bagi menimba ilmu.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Puan Zailiana Binti Zainol memberikan taklimat PBD kepada semua hadirin yang berada di dewan
Suasana ibu bapa serta guru-guru di dewan semasa Majlis Penutupan Program Transisi Tahun Satu



Rumah Ventus Sebagai Juara Baharu Kejohanan Merentas Desa SMK Pantai

Labuan, 17 Januari 2020 – Rumah Sukan Ventus  muncul sebagai juara baharu mengungguli Kejohanan Merentas Desa Peringkat SMK Pantai IBWS  yang telah diadakan pada 17 Januari 2020 (Jumaat).

Seramai 986 orang  murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, telah menyertai kejohanan kali ke 19 ini dengan jarak larian sejauh 6 km yang dibahagikan kepada 6 kategori iaitu L13, P13, L15, P15, L18 & P18

Para peserta telah berlari sejauh 6 km bermula dari Taman Pantai (berlari mengikut trek yang telah disediakan) merentasi Jalan Batu Arang dan Jalan Pohon Batu serta berakhir di dewan SMK Pantai IB Word School.  Dengan jarak larian sejauh 6 km tidak mematahkan semangat para pelajar SMK Pantai IBWS untuk turut serta dalam pertandingan merentas desa pada kali ini.

Pada pukul 7.00 pagi, para peserta mengikut kategori telah dilepaskan dengan jayanya oleh Pengetua Puan Norazita binti Md. Nor @ Shamsuri. Kejohanan ini mendapat kerjasama yang erat daripada pasukan Polis Trafik Labuan dan anggota polis dari Balai Polis Lubuk Temiang serta  4 orang anggota dari APM untuk  bantuan kecemasan dan keselamatan sepanjang kejohanan berlangsung.

Peserta bersemangat dalam larian merentas desa SMK Pantai 2020

Kejohanan ini diungguli Alexander Boyd Oliver johan kategori L13, dari rumah sukan Ignus, johan kategori L15 ialah Mohd Nor Azam Bin Herifian dari rumah Sukan Terra dan Aiman Nazwan Aqra Bin Ahman johan kategori L18 dari rumah sukan Ignus.

Manakala johan perempuan P13 ialah Siti Nurrifqah bt Ritahuddeen rumah sukan Terra, juara kategori P15 Nurazirah Bt Johari dari rumah sukan Aqua, dan Nur Faraheen Erwiefa Bt Mohd Farid Afie juara kategori P18 dari sumah Sukan Ventus

Hadiah-hadiah berupa medal disampaikan oleh Pengetua SMK Pantai IBWS.

“Sepakat membawa berkat”

Berita ditulis Oleh        : Puan Irma Susila Ngopil Berita disunting Oleh  : Puan Norazita Md Nor

Puan Norazita bersama guru-guru dan peserta yang mendapat johan setiap kategori
Siti Nurrifqah Ritahuddeen Juara kategori P13 menerima medal dan hadiah daripada pengetua.



Kejohanan Merentas Desa SMK Labuan 2020 Dapat Sambutan Menggalakkan

Labuan, 17 Januari 2020 – Bermula di perkarangan sekolah, menyusuri Jalan Tenaga, Tanjung Purun seterusnya ke Kelab Golf Labuan dan Taman Botanikal sehinggalah penamatnya juga di SMK Labuan, Kejohanan Merentas Desa SMK Labuan tahun 2020 sejauh 6 KM ini telah mendapat sambutan menggalakkan yang telah disertai oleh 1461 orang murid.

Acara tahunan sekolah ini melibatkan empat buah rumah sukan iaitu rumah Garuda, Merak, Rajawali dan Kenyalang. Para peserta dibahagikan pula mengikut kategori masing-masing iaitu bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun, lelaki dan perempuan,

Johan keseluruhan menjadi milik rumah Garuda, diikuti naib johan rumah
Merak, tempat ketiga rumah Rajawali dan ke empat rumah Kenyalang.

Nur Najihah Mohammad Najid (rumah Garuda) dan Azren Sallih (rumah Merak),
masing-masing dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Perempuan 15 tahun dan
Lelaki 15 tahun.

Manakala Mavis Yong Xio Yee (rumah Merak) dan Mahadhir Hamzi Fauzi (rumah Kenyalang) mengungguli kategori Perempuan 15 tahun dan Lelaki 18 tahun.

dari kiri Mahadhir Hamzi, Azren, Encik Cheah, Encik Ismail, Mavis Yong dan Nur Najihah

Sepanjang aktiviti berlangsung, guru-guru dibantu oleh pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang bertindak sebagai petugas kejohanan.  

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK
Labuan, Encik Ismail bin Abdullah diiringi oleh Penolong Kanan Encik Cheah
Teong Aik Cheah.

Encik Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan
pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang dapat melaksanakan pengelolaan
kejohanan ini dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Terima kasih kepada PIBG SMK Labuan yang sentiasa memberi
sokongan moral dan material dalam menjayakan program sekolah.

“SMK Labuan akan memberi cabaran hebat dalam Kejohanan Merentas Desa MSSWP Labuan yang akan berlangsung pada 8 Februari 2020.” Encik Ismail Abdullah

Kejohanan yang bermula 6.30 pagi ini telah berakhir pada 10 pagi.

Sumber Berita : SMK Labuan

Encik Ismail Abdullah, Encik Cheah Teong bersama para pemenang Kejohanan Merentas Desa SMK Labuan 2020
Pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang bertugas membantu jawatankuasa pengelola



Pengetua Guru Besar Hadiri Taklimat #3A Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 17 Januari 2020 – Seramai 27 peserta terdiri daripada Pengetua , Guru Besar dan wakil-wakil PGB telah menghadiri taklimat pelaksanaan Sedar, Peka, Tindak (#3A) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Bengkel ini telah berlangsung di bilik mesyuarat SMK Pantai.

Taklimat yang bermula jam 2.30 petang telah disampaikan oleh Kaunselor Pendidikan Negeri, Sektor Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Sabdin bin Japaruddin.

Menurut beliau, program #3A bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kesejahteraan psikologi diri dalam kalangan warga guru. Program ini lanjutan daripada tahun lalu dan dijangka akan diselesaikan dalam masa setahun bermula sejak Ogos 2019 sehingga Ogos 2020.

Sebanyak 11 bahan perkongsian telah di sediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang disarankan untuk dikongsi bersama guru-guru di sekolah.

Tajuk-tajuk yang dipilih adalah sangat relevan kepada guru dalam mengharungi kerjaya sepanjang perkhidmatan. Antara tajuk perkongsian tersebut ialah Kesejahteraan Mental, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Stress, Komunikasi Berkesan dan Pengurusan Kemurungan.

Pengetua dan Guru Besar pula bertanggungjawab menyampaikan taklimat berdasarkan tajuk-tajuk yang disediakan setiap bulan kepada guru-guru di sekolah. Laporan pelaksanaan taklimat di sekolah perlu di hantar kepada pihak jabatan untuk tujuan pemantauan.

Yang Dipertua MPSM Labuan, Encik Ismail bin Abdullah yang hadir dalam sesi taklimat tersebut berkata, isu-isu yang disampaikan melalui taklimat #3A ini adalah sangat sesuai dan relevan kepada guru-guru.

“Tajuk-tajuk yang dipilih mampu menjadi panduan kepada warga guru terutamanya dalam menangani cabaran ke arah kesejahteraan diri sepanjang perkhidmatan.” Encik Ismail Abdullah

Berita Oleh : Setiausaha MPSM




Kesihatan dan Kesejahteraan Murid SMK Mutiara Menjadi Keutamaan

Labuan, 16 Januari 2020 – SMK Mutiara berbesar hati menerima kunjungan daripada Pasukan Kesihatan Sekolah, Jabatan Kesihatan W. P. Labuan hari ini dalam tiga acara yang dijalankan secara serentak.

Kunjungan 7 kakitangan pasukan bertujuan untuk memberi penerangan dan suntikan vaksin Human Pupillomavirus (HPV) kepada murid-murid perempuan yang berada di tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun 2020. Seramai 55 murid telah diberi penerangan berkaitan vaksin tersebut yang bertujuan mengurangkan risiko kanser servik. Pasukan ini diketuai oleh Dr Nur Anisah Hassan.

Dalam ceramah yang disampaikan, Puan Shaharizan binti Azizi turut menyentuh peri penting makan secara sihat. Setiap individu perlu mengelakkan daripada mengambil gula secara berlebihan bagi menjamin kesihatan diri. Sesi ceramah berlangsung selama 40 minit di Dewan Semarak.

Puan Shaharizan sedang memberikan ceramah kepada murid-murid SMK Mutiara

Selesai sesi ceramah, Puan Shaharizan turut membuat pemeriksaan terhadap makanan yang dijual di kantin sekolah. Dalam pemeriksaanya , beliau memuji pengusaha kantin yang telah mematuhi semua peraturan penjualan makanan di kantin sekolah seperti yang disarankan oleh Jabatan Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut Puan Shaharizan lagi, tujuan pemeriksaan penjualan makanan di kantin bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi untuk menjamin murid-murid diberi pilihan makanan yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Perkara ini sangat penting diberikan penekanan sebagai kaedah mendidik anak-anak mementingkan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam Yasim melahirkan rasa syukur dan menghargai atas usaha dan inisiatif Pasukan Kesihatan Sekolah, Jabatan Kesihatan W.P. Labuan dalam memastikan semua murid yang bersekolah mendapat khidmat kesihatan terbaik dan berterusan.

Berita Oleh : SMK Mutiara