PIBG aktif bangun sahsiah sekolah pacu murid

Labuan, 29 Februari – Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru dengan
kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah telah mengadakan Mesyuarat
Agung PIBG kali ke-16 bagi tahun 2020. Keaktifan
aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan murid. Program
ini telah dirasmikan oleh Puan Zaliha binti Mohd Salleh selaku pegawai angkat
Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru.

Seramai 151 orang
ibu bapa dan guru telah menghadiri Mesyuarat Agung PIBG pada kali ini. PIBG merupakan
badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah,
masyarakat dan murid. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak
berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, murid dan guru amat penting dalam
memantapkan kecemerlangan murid selaku individu yang mampu menyumbang dan
memajukan masyarakat. Pencapaian murid lebih bermakna apabila keluarga mereka
juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak-anak mereka.

Perkongsian Hala Tuju Sekolah Tahun 2020 yang disampaikan oleh Pn Faridah Binti Amit, Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, WP Labuan pada 29 Februari 2020 dalam Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru kali 16 menggariskan 6 teras yang perlu dicapai antaranya pemantapan Pengurusan Sumber Manusia, Pemantapan Pengurusan Kewangan dan Aset, Pemantapan Pengurusan Kurikulum, Pemantapan Pengurusan Hal Ehwal Murid, Pemantapan Pengurusan Kokurikulum dan Pemantapan Pengurusan PIBG dan Komuniti Setempat. Dalam pernyataannya, Guru Besar menekankan bahawa 6 teras ini hanya akan dapat dicapai jika pihak sekolah dan ibubapa serta penjaga saling bekerjasama demi kemanjadian anak-anak di sekolah ini.

Puan Zaliha menerima cendera kenangan daripada En Kepli.
(Dari kiri Puan Dhia, Puan Rositah, En. Kepli, Puan Zaliha, Puan Faridah, dan En. Irham).




“CREATE THE FUTURE BY THE PAST” – Meniup Semangat Juang Calon SPM SMK Mutiara

Labuan, 27 Feb 2020 – Bagi memastikan calon-calon SPM SMK Mutiara 2020 bersemangat dan bersedia seawal mungkin, pihak sekolah telah menganjurkan sesi pertemuan Pengetua bersama calon-calon SPM sekolah ini pada Rabu lepas.

Sesi pertemuan yang bermula jam 1.30 pm di Dewan Semarak sekolah ini telah dianjurkan oleh Unit Akademik sekolah yang dipimpin oleh Penolong Kanan Pentadbiran , Puan Siti Aminah Binti Zakaria.

Menurut Puan Siti Aminah, terdapat seramai 145 calon SPM pada tahun ini yang melibatkan 21 mata pelajaran. “Sebahagian Besar mereka mengambil maksimum 9 mata pelajaran termasuk mata pelajaran elektif” katanya.

Tujuan utama pertemuan ini ialah untuk membimbing calon-calon SPM 2020 sebelum mereka membuat keputusan terakhir mendaftar mata pelajaran yang akan diambil. Sesi pendaftaran mata pelajaran SPM bermula 1 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2020.

“Sebahagian daripada mereka keliru dengan keperluan dan kepentingan sesuatu mata pelajaran sehingga ada yang memohon untuk menggugurkan mata pelajaran tertentu” jelasnya lagi.

Sesi pertemuan dimanfaatkan dengan ucapan oleh Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapannya beliau telah mengimbau sejarah Zaman kegemilangan Tanah Melayu masa lalu sebelum kedatangan penjajah yang memerintah Tanah Melayu selama lebih 500 tahun. Tanah Melayu sebelum tahun 1500 berada dalam zaman kegemilangan iaitu sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis.

“Kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511 adalah kesilapan bangsa kita sendiri yang mengkhianati amanah kerana dorongan kebendaan. Ini telah menyebabkan hasil mahsul negara telah dijarah dengan rakus oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun sehinggalah kita berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957”. katanya.

Encik Mohd Nizam mengimbau sejarah Zaman Kegemilangan Tanah Melayu

Beliau menjelaskan bahawa usaha keras, kerjasama dan kesetiaan kepada pemimpin adalah elemen-elemen yang akan membawa kejayaan kepada sesuatu bangsa dan negara. Siam adalah contoh sebuah negara yang rakyatnya amat menghormati Pemimpin sehingga berjaya mengekalkan negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa luar.

“Begitu juga peranan kita sebagai seorang murid. Kita seharusnya sanggup berusaha gigih untuk belajar dan sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada guru-guru yang telah berusaha mendidik kita tanpa mengira penat dan lelah”, tegasnya lagi.

Selain itu, Encik Mohd Nizam turut menyatakan bahawa dunia pendidikan dan pekerjaan sekarang berubah dengan begitu drastik dan menuntut keupayaan kita mengaplikasi kemahiran Komunikasi, kolaboratif, berfikiran kritikal dan kreatif secara bersungguh-sungguh dalam menangani cabaran. Kemahiran-kemahiran ini perlu diterapkan di dalam setiap sesi pembelajaran dan Pengajaran di dalam bilik darjah selaras dengan Pendidikan Abad ke-21.

“Sebahagian pekerjaan yang ada pada hari ini akan lenyap dalam masa 5 atau 10 tahun akan datang. Peluang-peluang kerja baharu akan muncul menuntut kemahiran yang berbeza dari hari ini. Justeru kita mesti menguasai pelbagai kemahiran hari ini walaupun kita rasa sesuatu mata pelajaran itu sukar dan mencabar” tegasnya lagi.

Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah Zakaria turut menyeru agar semua calon SPM 2020 dapat membuat keputusan yang bijak dalam mendaftar setiap mata pelajaran kerana ia mampu mempengaruhi hala tuju pendidikan mereka di peringkat lepasan menengah.

“Pemilihan mata pelajaran yang sesuai mengikut pakej yang betul adalah sangat penting untuk menyambung pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.”ujar beliau lagi.

Dalam perjumpaan ini, Penolong Kanan Kokurikulum Encik Jostelen Lamibai turut mengambil peluang menyedarkan murid-murid tingkatan 5 tentang kepentingan pencapaian dalam kokurikulum.

Beliau mengingatkan calon SPM supaya sentiasa mengemas kini kad pelaporan kokurikulum dan mengambil peluang menyertai sebarang aktiviti kerana penyertaan mereka akan menyumbang kepada markah PAJSK.

Majlis yang tamat pada jam 4 petang turut dihadiri oleh Encik Jostelen Lamibai, Puan Nurul Syazwanie Mohd Zaid, Ustazah Hjh Roshidah binti Saad dan Encik Mohd Kamil.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Calon-calon SPM SMK Mutiara Tahun 2020



SK Sungai Lada & SM Sains Labuan Rangkul Johan Bola Jaring MSSWPL Tahun 2020

Labuan, 27 Feb 2020 – Sekolah Kebangsaan Sungai Lada dan Sekolah Menengah Sains Labuan merangkul gelaran Johan dalam Kejohanan Bola Jaring, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) tahun 2020.

Pertandingan akhir telah diadakan pada 12 Februari 2020 bagi kategori sekolah rendah dan 27 Februari 2020 bagi kategori sekolah menengah.

Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah diberi mandat untuk menjadi pengelola bagi kejohanan kali ini.

Kejohanan Bola Jaring MSSWPL yang berlangsung selama dua minggu telah berlangsung pada 10 Februari hingga 12 Februari 2020 bagi ketegori sekolah rendah.

Manakala pada 24 Februari hingga 27 Februari 2020 bagi kategori sekolah menengah yang telah menyaksikan persaingan sengit antara semua kontinjen sekolah di W.P.Labuan.

Perlawanan Akhir antara SMS Labuan dan SSN Mutiara bagi Kategori 15 Tahun

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Turuh hadir Encik Asbola @ Hasbollah bin Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag. Rozlan bin Manan, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Encik Rosli Mohd Ali, Guru Besar SK Bukit Kalam.

SK Sungai Lada telah merangkul johan sekolah rendah diikuti oleh SK Lubok Temiang sebagai naib johan dan tempat ketiga bersama SK Pekan 1 dan SK Bukit Kalam.

Kategori Bawah 15 Tahun, SMS Labuan muncul johan diikuti oleh SSN Mutiara sebagai naib johan dan tempat ketiga bersama SMK Rancha-rancha dan SM St Anne.

SMS Labuan juga dinobatkan sebagai johan Kategori Bawah 18 Tahun diikuti oleh SSN Mutiara sebagai Naib Johan dan tempat ketiga bersama SMK Labuan dan SM St Anne.

Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori Sekolah Rendah (SK Sungai Lada, SK Lubok Temiang dan SK Pekan 1 serta SK Bukit Kalam)

Pemain terbaik kategori sekolah rendah diungguli oleh, Nor Sorfina Safwah, SK Sungai Lada sebagai pemain tengah terbaik, Claire Ivony Jimeno juga dari SK Sungai Lada dipilih sebagai penjaring terbaik. Adik Claire Ivory Jimeno telah merangkul dua kategori iaitu pemain pertahanan terbaik dan pemain terbaik.

Kategori 15 Tahun Sekolah Menengah, Pemain Pertahanan Terbaik dimenangi oleh Fadilah Mansur dari SMS Labuan, Pemain Penjaring Terbaik Safinah Saflee dari SMS Labuan dan Farah Ain juga dari SMS Labuan merangkul dua kategori iaitu Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Terbaik.

Manakala Kategori 18 Tahun Sekolah Menengah pula, Honesty Evia Harnot dari SMS Labuan merangkul Pemain Tengah Terbaik, diikuti Zezybell dari SSN Mutiara sebagai Pemain Pertahanan Terbaik. Nursyafiah Salleh dan Jocelyn Debra Jilinus dari SMS Labuan masing-masing merangkul Pemain Penjaring Terbaik dan Pemain Terbaik untuk kejohanan kali ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori 15 tahun sekolah menengah (SMS Labuan, SSN Mutiara dan SMK Rancha-rancha serta SM St Anne)
Johan, Naib Johan dan Ketiga Bersama bagi kategori 18 tahun sekolah menengah (SMS Labuan, SSN Mutiara dan SMK Labuan serta SM St Anne).



Syarikat Industri Minyak dan Gas Terus Komited Bantu Anak Nelayan Labuan

LABUAN, 27 Feb 2020 – Jabatan Pendidikan
Wilayah Persekutuan Labuan dan Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited
telah mengadakan Majlis Anugerah Inovasi Bagi Murid-Murid Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Bagi Tahun 2019
daripada Komuniti Nelayan, kelmarin.

Menurut Pengurus Kanan, Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Encik Ahmad Fakhrurrazi Arshad, pihaknya komited untuk membantu masyarakat dan komuniti tempatan di mana mereka beroperasi.

Majlis Anugerah Motivasi pada hari ini merupakan kesinambungan usaha-usaha tersebut yang memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Labuan yang masih di bangku sekolah.

“Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat di kalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah.” Encik Ahmad Fakhrurrazi Arshad ketika merasmikan majlis tersebut.

Harapan jangka panjang Repsol adalah untuk melihat anak-anak muda yang menerima Anugerah Motivasi ini berjaya di dalam pelajaran mereka dan mendapat kerjaya yang baik supaya boleh meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga masing-masing.

Gambar kenangan bersama penerima anugerah motivasi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2019 dari golongan Komuniti Nelayan Labuan
Murid-murid penerima Anugerah Motivasi Repsol 2019

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin merakamkan ribuan terima kasih kepada Repsol atas usaha murni ini.

Katanya, dengan adanya bantuan ini dapat meningkatkan motivasi murid-murid dalam pembelajaran dan kemenjadian murid.

“Saya berharap murid-murid yang menerima sumbangan dapat memanfaatkan faedahnya untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya memberi pulangan kepada memajukan negara suatu hari kelak”.

“Majlis Anugerah Motivasi ini merupakan tahun yang ketujuh dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan. Maka saya menyeru murid-murid yang telah menerima anugerah ini supaya sentiasa bersyukur dengan belajar bersungguh-sungguh demi sebuah kejayaan yang boleh mengubah nasib pada masa akan datang ” . Encik Raisin Saidin

Pada majlis tersebut, seramai 40 murid dari tahap UPSR dan 20 murid dari tahap PT3 telah menerima anugerah ini. Setiap penerima UPSR akan menerima wang tunai RM300 manakala penerima PT3 akan menerima wang tunai RM400 menjadikan jumlah anugerah kesemuanya adalah RM20,000.

Turut hadir, Datuk Eddie Abdullah, Penasihat Perhubungan Komuniti dan Kerajaan bagi Negeri Sabah & Labuan, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited dan Encik Ag. Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Terima kasih kepada pihak Repsol kerana memberi bantuan ini untuk membantu keperluan murid
Penghargaan kepada kepada Pihak Sekolah. Encik Jamatin menerima Sijli Penghargaan daripada Encik Ahmad Fakhrurazzi



SK Sungai Lada Ungguli Johan Bola Jaring MSSWPL 2 Kali Berturut-turut TAHUN 2020 Pedas Berhabis!

Labuan, 27 Feb 2020 – Sekolah Kebangsaan Sungai  Lada merangkul gelaran Johan 2 kali berturut-turut dalam Kejohanan Bola Jaring, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) tahun 2020.

Mengimbas kembali sejarah lampau, Sekolah Kebangsaan Sungai
Lada merupakan pesaing utama dalam sukan bola jaring dalam era 80-an dan 90-an.
SK Sungai Lada pernah mendapat Naib Johan(2015), Johan(2016), tempat
ketiga(2017), Naib Johan(2018) dan Johan (2019). Sukan Bola Jaring dipilih
sebagai sukan kebitaraan buat SK Sungai Lada.

Barisan pemain bola jaring SK Sungai Lada : Diana
Emylia Binti Ali, Nou’r Zahirah Binti Mukti, Nur Fatin Farhana Binti Md Sakri,
Siti Norhalis Binti Ortiz, Claire Ivony Jimeno, Claire Ivory Jimeno, Heryssa
Hazell Binti Hermon, Nur Sorfina Safwah Binti Sanusi, Siti Fadiyah Binti Mohd
Syaifudin Duakim dan Azimah Fauzana Binti Abd Rauf.

Pasukan SK
Sungai Lada dibarisi Pengurus Pasukan Siti Aliza Binti Ag. Emran, Mohammad
Hanafi Bin Salim (jurulatih), Noranisah Binti Junaidi(jurulatih), Tracy Jipiu(pegawai
fisioterapi),Federica S. Inansul (pegawai teknikal), Siti Safiah(guru
pengiring) dan Aida(guru pengiring).

Pertandingan bermula pada 17 Februari  dan Pertandingan akhir telah diadakan pada 19 Februari 2020 bagi kategori sekolah rendah. Penyampaian hadiah telah dibuat di Dewan Arena Bukit Kuda pada 27 Februari 2020(Khamis).

FINAL : Sesi bergambar antara pasukan SK Lubok Temiang dengan pasukan SK Sungai Lada perlawanan akhir MSSWPL

Majlis penyampaian hadiah
bola jaring telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan
Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Turut hadir Encik Asbola @ Hasbollah bin
Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag. Rozlan bin Manan,
Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Encik Rosli Mohd Ali, Guru Besar SK
Bukit Kalam.

Pemain terbaik kategori sekolah rendah diungguli oleh Nur
Sorfina Safwah, SK Sungai Lada sebagai pemain tengah terbaik, Claire Ivony
Jimeno juga dari SK Sungai Lada dipilih sebagai penjaring terbaik. Adik Claire
Ivory Jimeno telah merangkul dua kategori iaitu pemain pertahanan terbaik dan
pemain terbaik.

Berikut adalah keputusan SKSL sepanjang perlawanan bola
jaring MSSWPL :

1 SKSL vs SKPP 13 – 0 Perlawanan dalam Kumpulan A
2 SKSL vs SKB 11- 0 Perlawanan dalam Kumpulan A
3 SKSL vs SKKRR 13- 1 Perlawanan dalam Kumpulan A
4 SKSL  vs SKSB 13 – 2 SUKU AKHIR
5 SKSL  vs   SKBK 16 -1 SEPARUH AKHIR
6 SKSL   vs   SKLT 16 – 2 PERLAWANAN AKHIR

“Pemilihan pemain bola jaring dan jadual latihan intensif
telah dibuat sejak awal bulan Januari 2020. Perlawanan persahabatan juga dibuat
dengan beberapa buah sekolah yang berdekatan untuk mengenalpasti kelemahan dan memperkuatkan
pasukan sebelum kejohanan sebenar.” kata Pengurus Pasukan Siti Aliza Binti Ag
Emran.

Guru Besar Encik Maidan Dali amat gembira mengucapkan tahniah
kepada pasukan bola jaring dan usaha semua guru penasihat di atas usaha
membantu mengekalkan juara bola jaring MSSWPL buat kali kedua berturut-turut.

Jurulatih pasukan bola jaring  Mohammad Hanafi Bin Salim dan Noranisah Binti Junaidi juga menambah mengucapkan terima kasih kepada ibubapa yang memberikan kerjasama dan menghantar pemain ke sekolah untuk menjalani latihan intensif pada setiap petang. Ini secara tidak langsung menyuntik semangat terhadap pasukan bola jaring SKSL.

JOHAN : Pasukan Bola Jaring SKSL bergambar dengan Guru Besar Encik Maidan Dali, pentadbir, jurulatih dan guru penasihat.

SKSL PEDAS BERHABISSSS!




Kursus Tarbiyah Kepimpinan Pemimpin Kecil SK Lubok Temiang

Labuan, 27 feb 2020 – Seramai 140 orang murid yang terdiri daripada pengawas sekolah,  pengawas pusat sumber sekolah,  pengawas bestari dan pembimbing rakan sebaya Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang telah mengikuti Kursus Tarbiyah Kepimpinan Pemimpin Kecil 2020.  Kursus yang dilaksanakan sehari di Pusat Kokurikulum Negeri WP Labuan antara lain bertujuan melatih dan membimbing bakal pemimpin masa depan ini berkaitan kemahiran komunikasi berkesan terutama ketika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang berkeperibadian luhur.  

Selain itu, kursus ini juga memberi penekanan terhadap kepentingan membentuk dan mengamallan sifat terpuji yang boleh dijadikan contoh kepada murid yang lain. Menurut Haji Adam bin Abdul Rahim,  guru besar Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang mengharapkan agar kursus seumpama ini dijadikan sebagai program tahunan demi memastikan momentum gaya kepimpinan dalam kalangan pemimpin kecil ini tidak kendur dalam usaha melaksanakan hala tuju sekolah demi melahirkan generasi bertrampilan.  Dalam kursus ini, peserta telah menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar keupayaan fizikal dan mental seperti latihan dalam kumpulan, merentas halangan dan permainan dinamika. 

Di samping itu, Puan Maizura Musliman,  kaunselor dari SMK Labuan turut dijemput  menyampaikan ceramah Tips Menjadi Pemimpin Terbaik.   Sijil watikah pelantikan kepada semua pengawas turut disampaikan oleh Haji Adam di akhir program kelolaan unit disiplin dan unit bimbingan dan kaunseling ini.  Kursus kali pertama ini juga telah mendapat khidmat kerjasama dari jurulatih Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP Labuan.




Lawatan Penanda Aras Pegawai Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sabah

Labuan, 26 FEBRUARI- Secara umumnya, Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, Wilayah Persekutuan Labuan, sekali lagi mencatat tarikh bersejarah rentetan Lawatan Penanda Aras Pegawai Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di SKPS. Tidak dinafikan bahawa matlamat dan tujuan utama kunjungan penandaarasan ini dilaksanakan adalah untuk membuat penanda arasan kelas-kelas PPKI yg ada di Wilayah Persekutuan Labuan dari segi infrastruktur bangunan, keluasan kelas serta keselesaan aktiviti PdP PPKI dijalankan.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Negeri Sabah merangkap ketua rombongan Puan Dr Nor Jannah Binti Hassan melahirkan keterujaan apabila melihat kemeriahan yang disediakan oleh SKPS bagi menyambut 41 orang pegawai dari rombongan ini. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPWPL Puan Basneh binti Jamilide, Guru Besar SKPS Puan Anita Shyamini A/P S. Azman, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dan 20 orang guru PPKI.

Murid-murid menyajikan tarian kebudayaan kepada pelawat

Secara keseluruhannya, program ini bermula pada jam 8:00 pagi di Bilik Penataran SKPS menerusi kata alu-aluan daripada Puan Anita. Beliau mengalu-alukan kedatangan rombongan Pegawai Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. “Program ini  memberi impak yang positif serta pemangkin semangat khususnya kepada guru-guru dan murid-murid PPKI dalam menambahbaik lagi proses PdP khususnya” tambah beliau lagi.

Para rombongan berkesempatan mengunjungi The Re-Born Of SKPS Art Gallery dan dapat menghayati kepentingan apresiasi seni dalam matlamat meningkatkan lagi keunggulan sekolah di seluruh negara. Seterusnya bergerak ke kelas-kelas PPKI bagi menjalankan objektif utama iaitu penanda arasan kelas-kelas PPKI di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

Rombongan pegawai-pegawai dari Sabah berkesempatan berforografi di The Re-Born Of SKPS Art Gallery

Penyelaras program, Puan Rosellah binti Janani melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada guru-guru yang mengawal keadaan murid bagi melancarkan program ini. Tambahnya lagi, berharap agar mesej yang disampaikan semasa program Lawatan Penanda Aras ini dapat dihayati oleh guru-guru dan murid-murid PPKI sepenuhnya.

Dari kanan Puan Anita tekun memerhatikan para pelawat membimbing murid-murid PPKI menjalani PdP



STPM 2019, Labuan Catat 100% Lulus Penuh : Keputusan Pusat Pengajian Tingkatan Enam SMK Labuan Melonjak

Labuan, 25 Feb 2020 – Pencapaian Peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran Sijil Tinggi Mata Pelajaran (STPM) Wilayah Persekutuan Labuan meningkat kepada 100% berbanding 98.55% tahun 2018 dan 97.5% tahun 2017.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata, dari segi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM 2019 ialah 2.87 berbanding tahun lalu 2.64. Peningkatan sebanyak 0.23.

PNGK itu dihitung berdasarkan kepada nilai gred bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am.

Katanya lagi, pada tahun 2019, jumlah calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga turut meningkat. Seramai 63 calon mendapat PNGK 3.00 ke atas iaitu 46.32% berbanding 43 calon bersamaan 31.15% tahun 2018.

Gembira dan Ceria pelajar-pelajar Terbaik STPM 2019 : Dari kiri Aaron, Eleena, Irham dan Siti Salbiah

Encik Raisin Saidin berkata demikian semasa mengumumkan keputusan STPM 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Mutiara, SMK Labuan.

Beliau berasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dan seluruh warga guru, khususnya guru-guru Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan di atas kerja buat yang akhirnya menghasilkan pencapaian membanggakan.

“Peningkatan ini sudah tentu menunjukkan komitmen tinggi guru-guru tingkatan 6 SMK Labuan dan masih banyak ruang untuk meningkat sekurang-kurangnya mencapai 3.00 dan ke atas setiap calon STPM pada masa akan datang”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Saidin berasa gembira di atas pencapaian Labuan dalam STPM 2019

Untuk rekod, SMK Labuan merupakan sekolah yang menempatkan semua pelajar tingkatan 6 di Labuan, melalui penubuhan Pusat Tingkatan Enam Mod 2, di dalam sekolah aliran perdana yang ditadbir oleh seorang Pengetua, bermula tahun 2012.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas peningkatan Peratus, PNGK yang mengatasi Kebangsaan (2.77) dan jumlah calon yang mendapat PNGK 3.0 ke atas.

“ Syukur Alhamdulillah, InsyaAllah kami cuba mencapai GPS 3.00 tahun ini melalui Program Scaffolding 3.00 ”. Encik Ismail Abdullah

Pelajar-pelajar terbaik STPM 2019 Wilayah Persekutuan Labuan dengan mendapat PNGK 3.92 ialah Irham Zulhilmi bin Mohd Johan, Siti Salbiah binti Mohd Yussof, Eleena Yeo Sui Mei dan Aaron Lau Jiaxiang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga SMK Labuan.

Encik Ismail menerima keputusan STPM 2019 daripada Encik Raisin Saidin sambil diperhatikan oleh Tuan Haji Sawal dan Encik Yusup
Pasangan kembar cemerlang : Dari kiri Nurul Haidah Julius (3.42), Nurul Hudah Julius (3.17), Nurussittah Farhanah Samad (3.08), Nurul Khomsah Hasanah Samad (3.59)
Terbaik ! Gandingan mantap dari Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) : dari kiri, Encik Jaafar, Tuan Haji Sawal (KETUA Penolong Pengarah SPP), Encik Raisin Saidin, Encik Joe Hellmy, Puan Rohana dan Encik Narimin



Pelancaran Ziarah Cakna & Program Penyayang dan Program Jom Cuci Tangan

Labuan, 24 Feb – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha telah mengadakan pelancaran ziarah cakna & program penyayang dan program cuci tangan sempena perhimpunan mingguan sekolah.

Pelancaran program ini di bawah unit
bimbingan dan kaunseling iaitu guru bimbingan & kaunseling, Cik Faizurah
binti Karim Turut hadir penolong kanan pentadbiran Pn Midah binti Yusop,
penolong kanan HEM Encik Shawal bin Abd Rahman dan penolong kanan ko-kurikulum
Encik Zulkipli bin Pabin dan Encik Rodhy Edward Anak Edward Jalin, penolong
kanan KPKP. Majlis turut dihadiri Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG), Dr Mohammad Hamim bin Mohamad Hanifah.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz
Zulkornain bin Ahmad dan seterusnya ucapan aluan Guru Besar, Puan Norinnie
binti Kassim. Beliau berkata pelaksanaan program ziarah cakna melalui program
ini, guru dan ibu bapa dapat berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan murid
bersama-sama ibu bapa, memahami latar belakang keluarga murid dan dapat
berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Dr Mohammad Hamim, seterusnya melancarkan program tersebut. Beliau berharap agar program ini memberi impak positif kepada murid-murid dan turut mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran untuk mengelakkan penularan Covid-19 dan gejala-gejala lain.

Norinnie (empat kiri) dan Hamim (tengah) bergambar kenangan bersama barisan pentadbir dan ahli Kelab Doktor Muda.

Seterusnya Kelab Doktor Muda di bawah bimbingan penyelaras, Puan Setia Pautas telah membuat demonstrasi “7 langkah cuci tangan” dan cara memakai topeng muka dengan betul. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai.

Ahli Kelab Doktor Muda menjalankan demonstrasi “7 langkah cuci tangan”
Barisan murid yang bersemangat semasa pelancaran program.



Tuan Haji Md Yusof Kekal YDP PIBG SMK Labuan 2020-2022

Labuan, 22 Feb 2020 – Tuan Haji Md Yusof Haji Chucu kekal sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( YDP PIBG ) SMK Labuan bagi tahun 2020 sehingga tahun 2022.

Mesyuarat Agung PIBG SMK Labuan Kali ke 22 tahun 2020 telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Labuan merangkap penasihat PIBG, Encik Ismail Abdullah,  bertempat di Dewan Mutiara SMK Labuan, hari ini.

Encik Ismail berkata, sokongan penuh dan kerjasama antara
ibu bapa dengan pihak sekolah amat penting dalam usaha meningkatkan kecemerlangan
murid-murid SMK Labuan secara berterusan.

Katanya lagi, pihak sekolah sangat komited untuk mendidik
murid mengikut tahap kemampuan dengan harapan dapat meningkatkan keupayaan
mereka sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum mahu pun dalam bidang
sahsiah dan disiplin.

Pelbagai strategi yang telah dirancang oleh pihak sekolah
dalam meningkatkan prestasi murid tahun 2020.

Antaranya ialah Program Setiap Murid Bernilai (Semurni 3 )
yang memberi tumpuan kepada murid tingkatan 3, dalam usaha meningkatkan
prestasi Menguasai Tahap Minimum (MTM) dalam kalangan murid-murid lemah, di
samping strategi untuk murid sederhana dan cemerlang.

Tahun ini juga, SMK Labuan menyasarkan 100% lulus iaitu layak mendapat sijil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program Semurni 5 dengan sasaran Gred Purata Sekolah (GPS) 4.65.

Manakala Program Sasaran GPS 3.00 dilaksanakan khusus untuk murid-murid yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan mengetengahkan pelbagai strategi kurikulum, motivasi, pendidikan luar dan sahsiah diri.

Hadirin yang hadir membanjiri Dewan Mutiara, SMK Labuan

Sementara itu, Tuan Haji Md Yusof berkata, amanat yang diberikan merupakan satu tanggungjawab yang harus beliau pikul bersama ahli jawatankuasa yang lain bagi memastikan pemuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah sentiasa terjalin.

Tambahnya, Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina
kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk
meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid disekolah.

Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan saling melengkapi terhadap fungsi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Untuk rekod, seramai 500 ibu bapa dan penjaga yang hadir dalam Mesyuarat Agung kali ke 22 tahun 2020 ini.

Pemilihan Jawatankuasa PIBG SMK Labuan Tahun 2020-2022, YDP
disandang Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chucu, Naib YDP Encik Nordin Ahmad,
Setiausaha Puan Normazrena Kadam, Penolong Setiausaha Puan Fazlinah Razali, Bendahari
Puan Lui Teck Huoy dan Penolong Bendahari Puan Junaidah Amat Sah.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Ibu Bapa terdiri daripada Leftenan Kolonel Haslen, Encik Azri Onn Othman dan Puan Susanna Koh. Manakala lantikan AJK Guru, Ustazah Norizah Abd Kadir, Encik Teng How Ching, Puan Noorul Syarhida Nurul Hadi, Puan Rafidah Md Pee, Ustaz Jailani Muda dan Encik Yusrin Ahmad. Juruaudit, Encik Russlan Saji dan Puan Zunaidah Haji Matiasin.

Sumber Berita : SMK Labuan

Pertanyaan daripada salah seorang ibu bapa yang hadir dalam Mesyuarat Agong PIBG SMK Labuan kali Ke 22