Sedekad Menjulang Kejuaraan SM Sains Labuan

Labuan 10 Feb 2020 – Sekolah Menengah Sains Labuan muncul juara sekali bagi tahun yang ke-10 selepas memenangi kejohanan ini dari tahun 2011 hingga 2020.

Kejohanan Merentas Desa MSSWPL ini telah berlangsung pada 8 Februari 2020 bertempat di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan. Dalam kejohanan tersebut, Sekolah Menengah Sains Labuan telah menjadi johan bagi kategori P15, johan kategori L15, johan bagi kategori P18 dan johan bagi kategori L18 sekaligus melayakkan SMSL dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah menengah dalam kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2020.

Mahamad Shukri Said (dua dari kiri), Prof. Dr. Jualang@Azlan Abdullah Gansau (empat dari kiri), Raisin Saidin (di tengah) turut hadir memeriahkan kejohanan merentas desa MSSWPL 2020

Bagi
kategori P15, Aysya Sofya telah mendapat tempat kedua, diikuti Faraa’ain di
tempat ketiga, Fatin Ridanni di tempat keempat dan Nazurah di tempat kelima.

SMSL
memboloti kategori L15 apabila kelima-lima pelarinya berada di tempat teratas
iaitu Fauzi di tempat yang pertama, diikuti oleh Ameer Haikal ditempat kedua, Aiman
di tempat ketiga, Uzair di tempat keempat dan akhir sekali Hafiz Haziq di tempat
kelima.

Farahsyikin,
Jenevy, Olivia dan Camelia turut mendapat tempat pertama, kelima, keenam dan
ketujuh dalam kategori P18 tahun. Kategori L18 tahun tidak menghampakan apabila
Hafiz, Ian Colin, Hans Zigler, Adnan, dan Azib masing-masing mendapat tempat pertama,
keenam, ketujuh, kesembilan dan kesepuluh.

Pengetua SM Sains Labuan, Tn Hj Mahamad Shukri Said melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan ini.

Menurut beliau, kesungguhan, kerjasama dan doa seluruh warga SM Sains Labuan amat penting dalam mencapai kejuaraan ini. Jurulatih utama pasukan Merentas Desa SMSL, Cik Avila Sanis berkata kerjasama dan tanggungjawab semua atlet yang terpilih turut memainkan peranan dalam kemenangan ini.

Kejohanan Merentas Desa MSSWPL kali ini turut dimeriahkan oleh Tn. Raisin Saidin, Pengarah JPNWPL dan Prof. Dr. Jualang@Azlan Abdullah Gansau, Pengarah UMSKAL. Kontinjen Merentas Desa SM Sains Labuan yang berjaya akan membuat persediaan rapi ke Kejohanan Merentas Desa MSSM 2020 yang dijangka akan berlangsung di W.P Putrajaya Mac nanti.

Johan kategori L18 dan L15
Johan kategori P18 dan P15



Program RIMUP Diperkasa, Kubu Perpaduan Dibina

Labuan – Perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina telah disambut dengan meriah oleh seluruh warga sekolah di Dewan Muhibah, SM St.Anne baru-baru ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh En Damian Marcus, YDP PIBG SM St.Anne. Amalan menyambut perayaan bersama-sama ini salah satu mekanisme yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam memperkasakan program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP).

Kemeriahan sambutan perayaan ini turut dirasai oleh beberapa orang ibu bapa, AJK PIBG, dan ahli Lembaga Sekolah.

Puan Mary Anita, dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana walaupun guru-guru dan murid-muridnya sibuk menyempurnakan tugas hakiki sebagai pengajar dan pelajar tetapi masih sanggup bertungkus lumus menjayakan majlis sebegini dengan jayanya.

Selain itu, katanya kekangan dari segi bilangan guru yang tidak mencukupi juga bukan penghalang kepada pihak sekolah untuk memastikan perancangan majlis ini direalisasikan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian pula Encik Damian telah menyatakan bahawa secara peribadi beliau sangat menyokong amalan menyambut perayaan bersama-sama ini. Menurutnya, galakan menyambut perayaan bersama-sama ini sememangnya patut diterapkan sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya lagi, guru dan murid sama-sama dapat melihat sendiri perbezaan kepelbagaian budaya yang akhirnya melengkapkan diri kita menjadi warganegara Malaysia yang bertuah. Oleh itu, sewajarnya hasrat KPM untuk memperkasa program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) di semua sekolah perlu disokong dan dijayakan bersama-sama.

Cindy Lam, penerima utama cabutan bertuah hasil sumbangan ibu bapa. Selain pemberian duit raya, lebih 60 hadiah cabutan bertuah disediakan untuk murid.

“Tanpa kita sedar kejayaan negara kita dalam mengekalkan keamanan sebenarnya sedikit sebanyak bergantung kepada keupayaan rakyatnya menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan” katanya sebelum menamatkan ucapan.

Berita Oleh : Puan Siti Aisyah Asis, SM ST Anne




Mata Pelajaran Vokasional Buka Peluang Kerjaya Berkualiti

Labuan, 8 Februari – Seramai 25 orang murid Tingkatan 5 SMK Mutiara telah menyertai Program ’Hala Tuju Murid MPV Selepas SPM’, pada 4 Februari lalu.

Taklimat yang diadakan di Bilik Mesyuarat, SMK Mutiara telah dihadiri oleh murid-murid yang memilih aliran Mata Pelajaran Vokasional (MPV) di peringkat SPM. Antara mata pelajaran vokasional yang ditawar di SMK Mutiara adalah Penjagaan Muka & Dandanan Rambut (PMDR) , Landskap & Nurseri  dan Seni Reka Tanda.

Taklimat telah disampaikan oleh Puan Ruzidah Binti Ishak yang merupakan Panel dalam National Occupational Skills Standard (NOSS) dan Personel Penilai Verifikasi (PPV) yang telah diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK).

Beliau yang juga pemilik Ozee Heatlh & Beauty Therapy telah berkongsi maklumat berkaitan dengan prospek pengetahuan dan kemahiran vokasional bagi memenuhi keperluan Industri terutamanya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4).

Dalam sesi taklimat tersebut, Puan Ruzidah menekankan tentang peluang-peluang pekerjaan yang boleh diceburi oleh murid-murid MPV selepas tamat persekolahan. Beliau menyeru agar semua murid mempelajari kemahiran dengan bersungguh-sungguh sehingga mampu mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Murid-murid yang ingin bekerja dalam bidang kemahiran perlu memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Pembiayaan kewangan juga akan diperolehi sekiranya pelatih ingin melanjutkan ilmu kemahiran ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) & Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia( DLKM)” ujar beliau lagi.   

Puan Norika memberi cenderamata kepada Puan Ruzidah

Beliau turut memberi jaminan bahawa pemegang sijil SKM sangat laris dalam pasaran kerja di Malaysia. Selain berkerja dalam bidang kemahiran tertentu, mereka juga mempunyai peluang untuk menjadi Tenaga Pengajar (Trainer) atau Penyelia(coach) untuk mana-mana Pusat Latihan Kemahiran yang berdaftar.

“Pemegang SKM yang berpengalaman boleh membuka pusat latihan sendiri” tambahnya lagi.

Menurut penyelaras taklimat, Puan Norika binti Mohd Nor, murid-murid SMK Mutiara sangat bertuah kerana telah diberi pendedahan yang bermanfaat berkaitan peluang kerjaya bidang kemahiran hari ini oleh seseorang yang boleh dianggap sebagai tenaga pakar industri negera.

Murid-murid juga diharap dapat memanfaatkan peluang mempelajari mata pelajaran vokasional di sekolah sebaik-baiknya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Murid-murid yang ditemui juga melahirkan merasa bertuah kerana diberi peluang bersemuka dengan pakar industri negara. Taklimat yang berlangsung selama satu jam telah meningkatkan motivasi mereka untuk mendalami pelbagai ilmu kemahiran untuk menjadi tenaga kerja mahir negara pada masa hadapan.

Berita Oleh : SMK Mutiara




ERAT HUBUNGAN PELBAGAI KAUM : Sambutan Tahun Baharu Cina SKK SK ST Anne

Labuan, 08 Feb 2020 – SKK St Anne telah menganjurkan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina melibatkan seluruh warga sekolah.

Objektif penganjuran Tahun Baru Cina 2020 ini adalah untuk Mengeratkan hubungan khususnya dalam kalangan murid guru yang berbeza kaum dan agama.

Guru Besar SKK St Anne, Puan Chua Lai Eng @ Cecilia berharap sambutan ini mewujudkan perpaduan dan keakraban sesama murid yang berlainan bangsa serta menambahkan lagi pengetahuan murid-murid tentang adat resam masyarakat berbilang bangsa.

Tetamu kehormat yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis ini ialah Pengarah Jabatan Bomba W.P Labuan, Encik Jainal @ Zainal Bin Madasin,  Bapa Korporat SKK St Anne, Dato’ Shamsul binSha’ari dan Fr Thomas Madanan parish priest, Blessed Sacrament Church. Ibu bapa turut sama hadir bagi memeriahkan majlis.

Antara aktiviti yang telah dijalankan semasa sambutan tersebut adalah seperti Tarian Singa, Pertandingan Pakaian Tradisi Tahun Baru Cina Tercantik, Makan Yee Sang, dan Jamuan guru dan murid.

Murid-murid yang kurang bernasib baik juga telah diraikan bersama-sama. Sumbangan berupa keperluan harian telah disampaikan kepada mereka.

Kemuncak bagi smbutan tahun baru cina SKK SK St Anne ialah penyampaian ‘Ang Pow’ kepada semua murid.

Puan Chua Lai Eng @ Cecilia mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada Penderma-penderma yang telah memberi sumbangan untuk Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Ini.

Berita Oleh : SK St Anne

Pertandingan Pakaian Tradisi Tahun Baru Cina



SEMANGAT BERSATU PADU Masyarakat Majmuk Perlu Dipupuk Sejak Bangku Sekolah : Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 SK Sungai Bedaun

Labuan, 7 Feb 2020 – Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) SK Sungai Bedaun telah diadakan pada 4 Februari lalu untuk mengeratkan perpaduan seluruh warga SKSB. Majlis serba serdahana itu diraikan oleh lebih 700 orang warga sekolah dan ibu bapa serta penjaga. Dewan Kristal SKSB juga meriah dihiasi dengan warna merah melambangkan tuah dan kebahagiaan.

Sambutan
TBC merupakan salah satu daripada Program Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) yang dirancang oleh guru-guru SKSB dengan kerjasama
Jawatankuasa RIMUP sekolah dalam usaha menyemai semangat kebersatuan warga SKSB
yang berbilang kaum.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod dalam ucapannya berkata adalah menjadi tanggungjawab seluruh warga sekolah untuk saling hormat-menghormati memekarkan semangat perpaduan dan kekitaan yang menjadi tunjang kekuatan dalam setiap kejayaan yang dikecapi sekolah.

Warga SKSB teruja mengambil gambar kenang-kenangan bersama Singa

Menurut
nya lagi Sambutan Tahun Baru Cina peringkat sekolah diadakan dalam suasana
sederhana tetapi meriah. Ianya diharap dapat membudayakan amalan penyayang di
kalangan warga sekolah seperti nilai keikhlasan, kasih sayang dan hormat
menghormati. 

“Beberapa aktiviti akan dilaksanakan di peringkat panitia. Semangat hidup bersatu padu dalam sebuah masyarakat majmuk di negara padu dalam sebuah masyarakat majmuk di negara ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi agar murid-murid dapat menghormati kaum lain dan hidup bermasyarakat dengan harmoni” katanya semasa merasmikan program RIMUP pagi tadi.

Dalam majlis berkenaan juga seramai 17 orang murid SKSB yang berketurunan Cina turut diberi peluang untuk berada di atas pentas dan menerima sedikit duit raya hasil sumbangan seluruh warga sekolah. Perkara ini selaras dengan penekanan kepada aspek kasih sayang, kegembiraan serta saling menghormati yang ditekankan dalam pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah.

Murid-murid berketurunan Cina menerima Ang Pow daripada Guru Besar

Majlis
juga telah diserikan lagi dengan persembahan tarian singa yang cukup sinonim
dengan TBC. Kegembiraan dan keterujaan murid berbilang kaum di sekolah ini
jelas terpancar sebaik sahaja kumpulan persembahan tarian singa tersebut
memasuki perkarangan sekolah. Jemputan tarian singa ini adalah hasil inisiatif
guru-guru SKSB yang menginginkan pengalaman firsthand experience
murid-murid menyaksikan persembahan tarian singa dalam jarak yang lebih dekat.

Puan Dg. Sarifah juga berkesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Unit HEM SK Sungai Bedaun serta guru-guru di atas usaha yang cukup cemerlang bagi menjayakan sambutan TBC peringkat sekolah pada tahun ini. 

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg Sarifah menerima gubahan limau simbolik acara dari kumpulan persembahan singa .Turut kelihatan barisan penolong-penolong kanan.
Puan Dg. Sarifah menyampaikan cenderahati kepada Pengurus kumpulan persembahan Singa Sambil diperhatikan oleh Encik Mohd. Aizam(kiri sekali), Penyelaras Program Puan Zubaidah Yusof (dua dari kiri) dan Puan Noraliza (paling kanan)



RIMUP SK Pekan Satu Lahirkan Generasi Berilmu, Bersemangat Muhibah

Labuan, 6 Feb 2020 – Program RIMUP : Sambutan Tahun Baru Cina SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS merupakan cerminan ikatan ukhuwah yang padu dijalinkan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Ianya bersesuaian dengan matlamat  RIMUP “melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, bersemangat muhibah, memiliki jiwa dan peribadi unggul serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu demi kesejahteraan negara.”

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dan 85 orang guru.

SK Pekan Satu telah mengundang khas kumpulan Tarian Singa Labuan International School untuk membuat persembahan kepada warga sekolah.

Murid-murid berkumpul di dataran terbuka bagi menonton tarian singa.

Dalam ucapannya, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada kumpulan Tarian Singa Labuan International School kerana dapat menyajikan persembahan yang amat memukau para hadirin terutamanya murid-murid.

“Program sebegini bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid-murid bangsa lain tentang suasana dan  sambutan  Tahun Baru Cina malah ianya dapat merapatkan lagi hubungan sillaturahim tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa”.

Konklusinya, Program RIMUP yang dilaksanakan di SKPS mencapai objektif perpaduan antara kaum. Program silang budaya seperti ini sangat digalakkan di Malaysia kerana kepelbagaian kaum, agama dan bangsa yang mempunyai pelbagai keunikan dan tersendiri menyuntik semangat perpaduan dalam  keharmonian globalisasi negara Malaysia pada hari dan masa hadapan.

Sikap saling menerima dan memahami perbezaan inilah yang akan merapatkan jurang perbezaan dan  membentuk kekuatan kepelbagaian etnik, sekali gus akan menjadi satu kekuatan dan kebanggaan buat negara yang tercinta.

Penyelaras program, Puan Nor Irdawati melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua terutama kepada guru-guru yang mengawal keadaan murid bagi melancarkan program ini.

Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Murid-murid prasekolah berkesempatan berfotografi bersama Singa
Dari kiri Puan Normah, Puan Anita, Encik Airol dan Encik Faisal.



Tarian Singa Pupuk Perpaduan Warga SK Pantai

LABUAN, 4 FEBRUARI –
Tarian Singa yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina telah diadakan
dengan meriah di Dataran Datuk Mary Yap, SK Pantai. Aktiviti yang dijadikan
sebagai acara tahunan bermula dari tahun lepas itu berperanan sebagai salah
satu usaha pihak sekolah dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga
SK Pantai.

Majlis pelancarannya
telah disempurnakan oleh Puan Mahani Bt Hussin, Guru Besar SK Pantai. Dalam
ucapannya, selaras dengan tema nilai murni bulan Februari, amalan hormat
menghormati haruslah disemai dalam jiwa seluruh warga SKP dalam meraikan
perbezaan antara kaum-kaum di Malaysia. Beliau turut menggesa agar warga SKP
menjadi warga yang harmoni dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain
tanpa mengira agama atau kaum.

Majlis tersebut turut
dihadiri oleh barisan pentadbir yang terdiri daripada En Mohamad Rizdauddin B
Abd Wahap, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Azlina Bt Abd Garip, Penolong Kanan
HEM, Puan Farina Bt Mustapa, Penolong Kanan Kokurikulum  dan Puan Halifah Bt Salim, Penolong Kanan
PPKI. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran semua guru dan staf sokongan
SKP. Menariknya, bukan hanya murid-murid yang teruja dengan persembahan
tersebut, ia turut menarik perhatian staf kesihatan KKM yang sedang menjalankan
pemeriksaan kesihatan di sekolah pada hari tersebut.

Persatuan Goh Lion Dance Association telah dijemput bagi tahun kedua berturut-turut untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan mempersembahkan tarian singa. Turut menarik perhatian ialah dinding yang dihiaskan dengan tema Tahun Baru Cina, serta di seluruh kawasan sekolah termasuk pondok Nilam, pondok PPKI dan prasekolah, yang meningkatkan rasa keterujaan dalam kalangan murid-murid dalam menantikan kedatangan tarian singa. Tarian singa tersebut turut disertai oleh murid-murid program pendidikan khas integrasi dengan singa buatan sendiri.

Bertepatan dengan
Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, majlis seperti ini sangat
sesuai diadakan diperingkat sekolah sebagai salah satu aktiviti tahunan untuk
menerapkan perpaduan dan meningkatkan rasa hormat menghormati di kalangan
murid-murid SK Pantai. Dengan acara sebegini telah memberikan platform kepada
murid pelbagai kaum berinteraksi supaya menjadi lebih erat. Program seumpama
ini juga sebagai salah satu cara untuk menangani gejala ponteng dengan menarik
minat murid bermasalah kehadiran untuk datang ke sekolah.

Penyelaras program, Pn
Natasha turut berterima kasih kepada semua warga SKP khasnya barisan pentadbir
dan guru-guru atas kerjasama yang mantap dalam memastikan kelangsungan dan
kelancaran majlis tersebut.




SK Sungai Bedaun Sedia Pertahan Kejuaraan

Labuan, 4 Feb 2020 – Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) yang diadakan pada setiap tahun kini semakin menghampiri.

Pada tahun ini, kejohanan tersebut akan diadakan pada 8 Februari 2020 bertempat di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sekolah-sekolah di WP Labuan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam menyediakan atlet-atlet sekolah masing-masing untuk menyertai kejohanan ini. Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun WP Labuan juga tidak ketinggalan dalam melatih atlet-atlet muda yang akan mewakili sekolah.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah binti A. Mahmod berkata beliau memberi kepercayaan penuh kepada guru-guru yang berkemahiran untuk melatih murid-murid dengan mengutamakan keselamatan dan mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

Jurulatih-jurulatih yang diketuai oleh Penolong Kanan Ko Kurikulum, Encik Mohammad Aizam bin Abdul Rahim, dan jurulatih utama, Encik Mohammad Azwan bin Saad, telah menyediakan jadual latihan intensif yang begitu padat dan berkesan.

Encik Mohammad Aizam menyatakan bahawa murid-murid yang akan mewakili SK Sungai Bedaun pada tahun ini telah dipilih dengan melihat tahap konsistensi dan stamina serta berdasarkan pencapaian semasa Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah yang diadakan pada bulan Januari yang lalu.        

Untuk rekod, SK Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sekolah Rendah WP Labuan dalam kejohanan yang lalu apabila berjaya merangkul Johan Berkumpulan Perempuan Bawah 12 Tahun dan Naib Johan Berkumpulan Lelaki Bawah 12 Tahun.

Dengan itu, SK Sungai Bedaun berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan peringkat negeri pada tahun ini dan seterusnya mara ke peringkat kebangsaan.  

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Latihan Penyesuaian Laluan Merentas Desa yang dibuat di UMSKAL bagi memberi pendedahan awal kepada atlet-atlet SK Sungai Bedaun WP Labuan



Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha Capai Objektif 5 Dalam 1 Melalui Pameran Bertemakan Sambutan Tahun Baharu Cina 2020

Labuan, 3 Feb 2020 – Seramai 600 orang pengunjung dianggarkan ke Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha sepanjang berlangsungnya Program Hiasan Bertema sempena Tahun Baharu Cina pada 30 Januari lalu.

Program ini merupakan program tahunan yang dijalankan oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dalam usaha menyuburkan literasi maklumat dalam kalangan pelajar, guru dan ahli komuniti setempat.

Pengetua sekolah, Encik Yahya bin Ahmad Puteh sewaktu ucapan alu-aluan di majlis penutupan berkata program itu adalah antara platform memupuk perpaduan pelbagai kaum apabila pelajar dapat mengetahui budaya orang Cina di Malaysia.

Tambah beliau lagi, hampir 99 % pelajar di SMK Rancha-Rancha adalah daripada orang Melayu dan justifikasi pelaksanaan program seperti ini amat dituntut untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada warga SMK Rancha-Rancha tentang kebudayaan serta perayaan orang Cina.

Beliau berkata,
keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baharu Cina di negara ini
mencerminkan Malaysia sebagai negara majmuk yang istimewa.

” Sekolah sebagai entiti penting pendidikan  dan ahli komuniti perlu berganding bahu mengekalkan nilai toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum bagi meneruskan keharmonian yang tercipta sejak dulu,” Encik Yahya Ahmad Puteh.

Program telah dirasmikan oleh tokoh komuniti Dr Chong Vui Hiong dan tetamu yang hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan  Encik Awang Marteen bin  Datuk Haji Abdul Rahman, barisan pentadbir SMK Rancha-Rancha, para guru serta pengawas pusat sumber sekolah.

Dr Chong Vui Hiong merasmikan penutupan hiasan bertema sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Sumber DSDN smk Rancha-Rancha

Pada majlis tersebut Dr Chong Vui Hiong seorang tokoh komuniti aktif di W.P Labuan  berasa sungguh gembira kerana dijemput sebagai perasmi penutupan program yang dijalankan.

“Semua ini perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan negara dapat terus dipacu menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), sekali gus memberi manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kaum membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan lancar serta taraf hidup rakyat di negara ini dapat dipertingkatkan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab sebagai ahli komuniti , pada majlis tersebut, beliau telah bermurah hati memberi angpau kepada 20 orang guru  serta 25 orang pengawas pusat suber sekolah. Dr Chong Vui Hiong juga telah memberi sedikit sumbangan berbentuk wang kepada pusat sumber sekolah.

Guru perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha En. Sapri bin Idris  berkata program hiasan bertema sempena Tahun Baharu Cina 2020 yang dijalankan oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha ini berkonsepkan 5 dalam 1.

Melalui program tersebut jalinan komuniti dan agensi kerajaan dapat dilakukan. Selain itu pembudayaan literasi maklumat dalam kalangan warga sekolah juga dapat disuburkan. Akhir sekali, amalan sivik melalui nilai kasih sayang dapat dipraktikkan yang akhirnya akan membuahkan perpaduan.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Cikgu Sapri bin Idris menerima sumbangan kewangan untuk PSS DSDN SMK Rancha-Rancha daripada Tokoh komuniti Dr Chong Vui Hiong
Pemberian angpau kepada pelajar dan pengawas pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha



Pemimpin Cilik SK Pekan Satu Jadi Suri Teladan

Labuan, 31 Januari 2020 Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, W.P. Labuan telah mengadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Cilik bagi  tahun 2020 di Dewan C.U.N.

Pemimpin Cilik SKPS yang menerima watikah pelantikan seramai 365 orang murid terdiri daripada 130 orang Pengawas Sekolah, 64 orang Pengawas Kebersihan , 15 orang Pengawas RMT, 15 orang Pembimbing Rakan Sebaya, 53 orang Pengawas PSS, 10 orang Pengawas SPBT  dan  78 orang merupakan  Ketua & Penolong Ketua Kelas .

Objektif utama program adalah untuk mewujudkan suatu budaya kepimpinan yang boleh diikuti oleh semua murid.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dan 85 orang guru.

Dalam ucapannya, Puan Anita Syamini mengucapkan syabas dan
tahniah kepada semua Pemimpin Cilik SKPS yang telah berjaya dilantik, ini
kerana murid-murid yang mempunyai kepimpinan sahaja yang dapat memegang
jawatan  agar mampu memimpin rakan-rakan
murid yang lain.

“Pada masa yang sama program ini juga bertujuan agar Pemimpin Cilik SKPS menjadi murid contoh yang berdisiplin, berbudi pekerti, mempunyai jati diri yang tinggi serta sentiasa berbakti kepada guru dan sekolah.”

“Murid-murid lain jangan berkecil hati kerana tidak terpilih pada kali ini tetapi biarlah perkara ini menjadi pembakar semangat untuk terus melakukan tanggungjawab serta kebaikan di sekolah agar pada tahun hadapan kamu turut dilantik menjadi Pemimpin Cilik SKPS ” Puan Anita Syamini

Setelah selesai penyampaian watikah pelantikan kepada Pemimpin Cilik SKPS, Muhammad Bazli Isyraf bin Irwan Shah selaku Ketua Murid memimpin bacaan ikrar Pemimpin Cilik SKPS bagi sesi 2020.

Ketua Murid Muhammad Bazli Isyraf memimpin bacaan ikrar Pemimpin Cilik SKPS bagi sesi tahun 2020.

Penyelaras program, Encik Muhamad Zafar bin Abu Bakar melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua terutama kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling yang telah berjaya mengadakan majlis pada pagi ini.

Beliau juga berharap agar Pemimpin Cilik SKPS mampu menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan jujur, amanah, dedikasi dengan penuh tanggungjawab selaras dengan visi dan misi sekolah.

Berita Oleh : SK Pekan Satu