SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN ANJUR PROGRAM MUNAJAT WARGA PENDIDIK 2021

Labuan, 03 Februari (Rabu) – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Munajat Warga Pendidik dengan jalinan kerjasama dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan ibu bapa, guru-guru serta pegawai dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan warga sekolah serta keluarga agar terhindar dari musibah wabak Covid-19, di samping memohon kepada Allah agar mereka yang dijangkiti akan kembali sembuh.

Program ini juga bertujuan untuk mendoakan agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM dapat berada di sekolah dalam keadaan selamat  dan belajar dengan tenang, seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM nanti.

Program yang bermula selepas solat Maghrib di rumah masing-masing, dimulakan   dengan bacaan surah Yasin dan diikuti bacaan doa secara dalam talian. Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan bin Manan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua guru, ibu bapa dan juga pegawai dari jabatan Pendidikan WP Labuan secara dalam talian untuk menjayakan program ini.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar murid-murid Tingkatan 5 SPM 2020, dapat meneruskan usaha dengan sebaik mungkin kerana mereka dianggap sebagai calon SPM yang sangat istimewa dan diberikan masa yang cukup panjang untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran akibat pandemik Covid-19. Hakikatnya, situasi ini telah memberikan cabaran kepada kita semua dalam semua aspek.

Ucapan aluan, Puan Maimoon Matnoh

Puan Maimoon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru atas kesungguhan dalam melaksanakan  tanggungjawab mendidik anak-anak SPM, selain merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak unutk menghadapi situasi yang sukar ini. Beliau turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan murid, keupayaan guru dan sokongan ibu bapa kepada calon SPM  untuk mengulangi pencapaian 100% lulus SPM seperti tahun sebelumnya.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat hajat di rumah masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Program Motivasi Menuju Puncak Pelajar SPM SMK Rancha-Rancha.

Sabtu 30 Jan 2021 – Unit Bimbingan Kaunseling dan Unit Kurikulum SMK Rancha-Rancha telah mengadakan satu program motivasi secara dalam talian khusus untuk menaikkan semangat dan motivasi pelajar-pelajar SPM tahun ini .  Menurut guru Bimbingan dan Kauseling SMKRR Puan Rafeeza binti Sanadi ,  antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk  meningkatkan motivasi dalam diri pelajar SPM demi memperolehi kecemerlangan di dalam peperiksaan serta mendedahkan pelajar mengenai pengurusan masa yang betul bagi mengulangkaji pelajaran di saat-saat akhir.

Program motivasi kali ini dikendalikan oleh motivator  Encik Mohamad Khairul Anwar bin Rosnan dari Recaliph Consultant. Program kali ini melibatkan kolaborasi bersama SMK Taman Keramat Kuala Lumpur.  Seramai 89 orang peserta dari kedua-dua sekolah menyertainya.  Program atas talian yang dianjurkan oleh SMKRR ini sangat bermanfaat kepada murid kerana ianya salah satu program yang dapat membantu meningkatkan semula motivasi diri setelah sekian lama mereka belajar melalui atas talian sepanjang PKP. Pandemik Covid 19 yang sedang melanda negara sedikit sebanyak telah menjejaskan emosi para pelajar terutama sepanjang PKP dan PKPB pelajar hanya belajar di atas talian tanpa bertemu secara langsung dengan guru, dengan adanya motivasi yang dianjurkan ini, sedikit sebanyak telah memberi sinar kepada mereka untuk terus berjuang demi kecermerlangan SPM yang mereka akan tempuhi pada 22 februari ini.

Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang mengucapkan terima kasih atas usaha Unit Bimbingan Kaunseling, Unit Kurikulum berserta guru-guru kanan bidang mata pelajaran atas usaha gigih dalam penganjuran program yang sangat bermanafaat ini. Beliau berharap, dengan adanya program seperti ini , sedikit sebanyak dapat membantu memberi suntikan semangat kepada semua calon-calon SPM agar lebih tabah dan berjuang sehabis baik untuk mendapat keputusan terbaik dalam SPM kelak. Doa dan tawakal harus sentiasa menjadi pegangan pelajar kerana setiap dugaan ada hikmah yang Allah janjikan kepada setiap umatnya. Beliau berpesan agar pelajar memanfaatkan masa yang ada ini untuk mengulangkaji pelajaran dan belajar semampu yang mungkin dan harus bijak membahagikan masa serta bijak mengendalikan situasi agar tidak timbul tekanan yang membebankan pemikiran. Kebijaksanaan mengatur dan membahagi masa adalah salah satu kunci kejayaan seorang pelajar. Beliau berharap agar program seperti ini dapat di teruskan di masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Taman Keramat Pn. Norlela Mat Jalil turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada SMK Rancha-Rancha kerana telah sudi menjemput pelajar – pelajar SPM sekolah beliau untuk sama-sama menyertai program ini, dan beliau berharap kerjasama seperti ini akan terus berkekalan demi impak yang baik kepada anak-anak pelajar di kedua-dua buah sekolah. Beliau memuji usaha SMK Rancha-Rancha yang terus berusaha membantu pelajar sehingga ke saat-saat akhir persediaan murid menghadapi peperiksaan SPM.

Selain dari pelajar, ibubapa juga telah dijemput hadir ke program tersebut untuk sama-sama mendengar motivasi yang telah diberikan oleh motivator. Penglibatan ibubapa juga sangat menggalakkan. Dengan penglibatan ibubapa ini, ianya memberi ruang dan peluang ibubapa sama-sama membantu anak-anak mereka  dalam proses memberi motivasi dan galakan untuk mereka terus bijak mengatur masa dan sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa untuk terus berjuang dalam masa yang singkat ini, ibubapa juga digalakkan untuk memantau aktiviti anak-anak supaya pengaturan masa itu lebih bermanfaat dan sentiasa memberi sokongan moral kepada anak-anak terutama ketika mereka mengulangkaji pelajaran di rumah.

Program motivasi ini berlangsung selama dua jam dan respon positif pelajar sangat menggalakan.