Kursus Kepimpinan Kokurikulum Memantapkan Keyakinan Murid SMKTPB

Labuan, 26 Feb – Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-5 bagi tahun 2021. Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan Pengetua, Penolong Kanan Kokurikulum, Jawatankuasa Induk Kokurikulum serta murid-murid yang telah dilantik menjadi Ahli Jawatan kuasa Induk bagi Kelab Persatuan, Pasukan Badan Beruniform dan Sukan Permainan.

Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada pelajar yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan dalam mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah. Seramai 98 murid dan 5 orang guru terlibat dalam program ini.

Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dimulakan   dengan ucapan alu-aluan tuan Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan bin Manan yang dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan agar dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.

Menurutnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dari aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan aktiviti akademik. Tegasnya, pemimpin perlu memimpin dan juga dipimpin. Kepimpinan ialah tenaga penting di sebalik kejayaan organisasi dan organisasi tidak boleh mencapai kejayaan tanpa kepimpinan yang berkesan. Tuan Pengetua turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang diberi kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.

Ucapan oleh Pengetua Encik Awang Rozlan bin Manan

Program diteruskan dengan ucapan daripada Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Lau Chin Ying yang mengharapkan agar program yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SMKTPB ini dapat memberi manfaat kepada murid-murid khususnya yang dilantik menjadi AJK Induk bagi Kelab dan Persatuan.

Program dibahagikan kepada dua slot iaitu Slot 1 : Tugas-tugas dan Tanggungjawab AJK Induk dan Slot 2 : Pengurusan Fail Kelab dan Persatuan. Kedua-dua slot ini disampaikan oleh Puan Rosenani Farera Michael selaku Setiausaha Kokurikulum SMKTPB. Kursus ini bertujuan memantapkan kepimpinan murid,  dan membina keyakinan murid dalam menguruskan aktiviti kokurikulum, dan dengan harapan melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah, bahkan diharap dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Peserta-peserta kursus kepimpinan Ko-kurikulum



Warga Pendidikan Labuan Raikan Hari Wilayah Persekutuan

Semua warga pendidikan Labuan telah menunjukkan tanda prihatin dengan menyertai kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan hari Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sepanjang bulan Februari.

Dengan tema “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, warga pendidikan telah disaran memeriahkan suasana dengan menyalakan lampu bagi mewujudkan suasana ‘perayaan’ dan mengibarkan bendera wilayah di bangunan-bangunan milik Kementerian Pendidikan Malaysia di pulau ini.

SOLIDARITI : Bangunan Sektor Pembelajaran di Bukut Kalam turut bermandikan cahaya.
INDAH : Suasana bergemerlapan menghiasi pintu pagar SK Bukit Kalam.

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad yang juga penyelaras program ini, berkata semua sekolah telah menunjukkan solidariti terhadap sambutan hari wilayah dengan mengibarkan bendera di setiap sekolah masing-masing.

“Kita mengetengahkan konsep pencahayaan untuk menimbulkan rasa keterujaan terhadap sambutan tahun ini walaupun bukan dalam bentuk pertandingan. Usaha pihak sekolah ini merupakan langkah tepat dalam menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid-murid sesuai dengan imej institusi pendidikan” katanya lagi.

KREATIF : Kolej Vokasional turut memasang hiasan lampu bagi menyemarakkan sambutan.

Pusat Ko-Kurikulum Negeri, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah dijadikan pusat sambutan bagi warga pendidikan. Selain itu semua sekolah rendah dan menengah, Bangunan Ibu Pejabat, bangunan SSTP, bangunan Sektor Pengurusan Maklumat ICT dan bangunan Sektor Pembelajaran di Bukit Kalam turut bersama-sama meriahkan sambutan dengan mengibarkan bendera di lokasi-lokasi strategik.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Khaziyati Osman turut merasa bangga dan menzahirkan ucapan terima kasih atas kebersamaan yang telah ditunjukkan oleh warga pendidikan semua peringkat dalam menjayakan kempen kibarkan bendera Wilayah Persekutuan tahun ini.

“Kita sebagai warga pendidik perlu sentiasa berada di hadapan dalam mendidik murid dan ahli masyarakat dalam menyemai rasa kecintaan terhadap negara. Sambutan masih boleh diteruskan dengan pematuhan rapi segala prosedur operasi standard (SOP) sesuai dengan norma baharu” ujar beliau lagi.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

MERIAH : Bangunan ibu pejabat juga tidak ketinggalan bagi meraikan kemeriahan sambutan.