Mesyuarat Agung PIBG SKPS

Labuan, 08 Ogos- Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-24 SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS telah diadakan menggunakan aplikasi Google Meet sesuai dengan situasi pandemik pada saat ini. Mesyuarat ini merupakan salah satu program tahunan PIBG yang diadakan bagi membincangkan isu yang mungkin timbul serta mencari jalan penyelesaian di samping membina hubungan baik di antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Pada tahun ini juga telah diadakan proses pemilihan ajk baharu bagi sesi 2021/2022. Perasmian majlis disempurnakan oleh Pegawai Angkat Sekolah, En Abd Rizal bin Abdul Rahim.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Anita Syahmini A/P S Azman, Guru Besar SKPS  , Encik Azrul Rizhan bin Abd Rahman, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Pekan Satu, Puan Zaliha binti Mohd Salleh, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL merangkap NYDP PIBG SKPS, , 4 orang pentadbir SKPS, 10 orang Ajk Tertinggi PIBG, guru-guru serta ibu bapa.

Encik Azrul Rizhan menyatakan, mesyuarat ini menjadi satu wadah kepada ibu bapa dan guru bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan murid-murid SKPS. “saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah kerana memberi kepercayaan kepada saya sebelum ini bagi mengetuai PIBG dan memohon maaf jika terkurang dalam melestarikan keharmonian warga SKPS” tambah beliau lagi.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada hadirin dan AJK program kerana dapat melaksanakan mesyuarat tahunan dengan cemerlang walaupun menggunakan aplikasi GoogleMeet. Beliau juga menyeru ibu bapa untuk memberi sokongan yang jitu kepada AJK PIBG yang baru agar objektif PIBG dapat dicapai.

Suasana Mesyuarat Agung PIBG SKPS Kali Ke-24 dijalankan di GoogleMeet

“Pelbagai strategi PDPR yang telah diterapkan oleh para guru kepada murid bagi memupuk minat pembelajaran dalam diri antaranya melalui ICT yang mana dahulu kita tidak mahir dalam menggunakan GoogleMeet, GoogleForm, Kuiz Online dan sebagainya tetapi pandemik ini telah menyebabkan ilmu-ilmu ict tersebut dapat dikuasai oleh murid-murid SKPS” tambah beliau lagi.

Tuan Abd Rizal menyatakan rasa teruja dengan berlangsungnya program sebegini yang dapat membantu dalam memperkasakan lagi kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa khususnya. Beliau selaku perasmi telah menyelitkan sedikit nasihat kepada ibubapa tentang pembelajaran murid pada masa pandemik ini. “Sempena PDPR ini, ibu bapa hendaklah sentiasa membantu para guru untuk mendidik murid-murid dengan cara menyemak buku latihan anak-anak serta mendorong mereka melakukan kerja rumah yang telah diberikan, perkara sebegini dilihat enteng oleh kita namun ianya merupakan langkah permulaan bagi anak-anak mencapai kejayaan”.

Mesyuarat kali ini juga telah diadakan pemilihan AJK PIBG sesi 2021/2022. Pemilihan kali ini memperlihatkan wajah-wajah baru di samping 2 orang Ajk PIBG lama yang telah dilantik semula. AJK PIBG sesi kali ini diketuai oleh En. Sallehuddin bin Wasli selaku Yang Dipertua PIBG, En. Isyamudin bin Noordin selaku NYDP, Puan Nurjuliza Jamil, Setiausaha dan Puan Masitoh Hassan selaku Bendahari PIBG. Selain itu, seramai tujuh orang wakil ibubapa dan 4 orang guru merupakan AJK Tertinggi PIBG pada sesi kali ini.

Pelbagai idea yang bernas telah dicurahkan semasa program ini, antaranya cadangan untuk membeli Mesin Air Bersih bagi kegunaan murid-murid seterusnya menggalakkan mereka  minum air kosong. Mesyuarat Agung PIBG kali ini juga menyediakan 20 soalan Kuiz yang mana hadiahnya berupa wang tunai RM50. Peserta yang menulis jawapan  soalan kuiz paling laju dan tepat dalam Chat GoogleMeet dipilih sebagai pemenang. Soalan kuiz tidak hanya berkisar tentang PIBG tetapi juga menyelitkan soalan tentang kemerdekaan bersempena dengan Bulan Kemerdekaan seperti  “Bilakah tarikh kemerdekaan Malaysia?”.

Senarai Nama Pemenang Kuiz Yang Diadakan Semasa Program Dijalankan.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Kad Jemputan Mesyuarat Agung PIBG SKPS Kali Ke-24



Program Kolaborasi “Interschool”:1 Hari 1 Info Unit Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Menengah

07 Ogos 2021 – Dalam usaha pihak sekolah menyampaikan maklumat kepada pelajar mengenai kerjaya, akademik, sahsiah dan meningkatkan motivasi pelajar untuk terus aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran secara atas talian, Unit Bimbingan dan Kaunseling Smk Mutiara telah membentuk kolaborasi bersama 4 buah sekolah yang lain iaitu SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan bersama SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Selangor, SMK Kerambit, Pahang, SMK Taman Putri, Johor dan SMK Kelapa Sawit, Johor untuk berkongsi maklumat dalam aspek yang telah dinyatakan setiap hari kepada pelajar daripada 5 buah sekolah ini.

Kolaborasi ini dibentuk dan dilaksana berobjektifkan peningkatan kaedah penyampaian info dan motivasi kepada sekolah yang terlibat sekaligus mengukuhkan lagi kerjasama antara 5 buah sekolah ini. Program ini telah bermula sejak 17 Mei 2021 dan pelbagai maklumat serta aktiviti peningkatan motivasi telah dijalankan melibatkan 5 buah sekolah ini antaranya adalah Gegar Motivasi bersama guru bimbingan dan kaunseling pada setiap hari isnin, kupasan isu minda sihat daripada penceramah yang pakar dalam isu berkaitan, sesi lawatan secara maya ke tempat menarik di dalam negara, perkongsian bahan kerjaya, pengurusan diri dan emosi serta maklumat terkini dunia pendidikan di media sosial dan akhir sekali, Program 1 Hari 1 Info iaitu perkongsian video pelbagai bidang dan kuiz e-sijil pada setiap hari.

Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Normaisaraf binti Abdul Rashid, program ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada pelajar tetapi juga terhadap guru bimbingan dan kaunseling daripada sekolah yang terlibat kerana penyampaian maklumat dapat diberikan secara berterusan kepada pelajar dan komuniti tanpa membebankan skop tugas guru bimbingan dan kaunseling yang sedia ada kerana maklumat yang diberikan adalah bersifat penggiliran mengikut tema tertentu setiap hari. Pengetua SMK Mutiara, En. Yahya Bin Ahmad Puteh berkata,”program serupa ini adalah sangat baik bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling amnya”.

Kaedah penyampaian maklumat terhadap pelajar adalah berbentuk bebas mengikut kreativiti sekolah masing-masing dan pautan bagi mengakses perkongsian tersebut adalah melalui laman media sosial (facebook) unit bimbingan dan kaunseling sekolah masing-masing,”perkongsian boleh dilihat melalui facebook UBK Smk Mutiara bagi pelajar SMK Mutiara”, ujar En. Ahmad Radzi Bin Abdul Halim, selaku guru bimbingan dan kaunseling SMK Mutiara.

Program ini telah mendapat sambutan yang sangat memberansangkan daripada para pelajar 5 buah sekolah yang terlibat. En. Mohd Hasrul Bin Mohd Redzuan, guru bimbingan dan kaunseling pelatih daripada Universiti Putra Malaysia yang kini menjalankan latihan di SMK Mutiara berkata,”kerjasama para pelajar sangat baik dalam semua program yang telah dijalankan setakat ini, walaupun beberapa program terpaksa dijalankan pada sebelah malam namun jumlah penglibatan masih sangat ramai dan memberansangkan”. Pihak sekolah akan terus berusaha membantu pelajar sedaya upaya walaupun pada era pandemik yang melanda dunia agar kemenjadian murid akan terus terbilang.

Berita Oleh : SMK Mutiara




BENGKEL KAJIAN SEMULA PELAN TAKTIKAL:

Memastikan Sistem Penyampaian Kekal Relevan

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah berjaya melaksanakan kajian semula terhadap Pelan Taktikal Jabatan Pendidikan 2021 bermula 22 hingga 24 Julai lalu. Bengkel selama 3 hari itu melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi jabatan dan dibuat secara dalam talian sepenuhnya.

Penyelaras bengkel, Puan Faridah Amit yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan berkata, bengkel ini bertujuan untuk menyelaras semula pelan taktikal berkaitan Key Performance Indicator (KPI) dan sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita maklum bahawa Pandemik Covid-19 telah menukar cara dan kaedah kita melaksanakan aktiviti. Di samping itu terdapat halangan aktiviti secara bersemuka dalam kalangan pegawai, guru dan murid. Justeru bengkel ini memberi peluang kepada semua sektor untuk membuat penyelarasan semula sasaran KPI dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk penggal kedua tahun ini” kata beliau.

Bengkel di bawah kelolaan Sektor Perancangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Mohamad.

Dalam ucaptamanya, beliau menekankan tentang kepentingan meningkatkan kualiti pengurusan organisasi dan berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang sesuai dalam keadaan yang mencabar ini supaya sistem penyampaian tidak terjejas.

“Kita perlu bertindak secara lebih kreatif dan inovatif dalam situasi mencabar sekarang ini bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti peringkat negeri yang berfaedah terutamanya kepada murid-murid. Semua sector perlu membuat semakan semula kepada Pelan Taktikal masing-masing supaya kekal relevan untuk memacu kemenjadian murid dan kualiti sekolah” ujar beliau lagi.

Encik Yusup Haji Mohamad

Pelan Strategik JPWPL dibina untuk tempoh pelaksanaan 5 tahun bermula Tahun 2021 hingga 2025 dengan 10 matlamat strategik bertemakan Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Pertama. Pelan Taktikal 2021 menggariskan kerja buat secara tahunan untuk mencapai matlamat strategik.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Ustaz Abdul Rahman Ahmad, pengubahsuaian terhadap semua aktiviti murid terpaksa dilakukan memandangkan situasi pandemik yang belum reda.

“Walau bagaimanapun kita akan menyesuaikan pelaksanaan aktiviti bagi memberi peluang kepada murid untuk terus aktif. Kita akan perbanyakkan aktiviti dan pertandingan secara dalam talian. Selain itu, penyertaan murid juga boleh dibuat melalui rakaman video” kata beliau.

Di akhir bengkel, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim telah merumuskan keputusan dan perubahan yang telah dipersetujui bersama oleh ahli-ahli bengkel.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan komitmen semua ahli bengkel yang telah menjayakan bengkel kajian Pelan Taktikal bagi setengah tahun kali ini.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail Abdullah dan Setiausaha Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Abdul Rahman Salim.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Kursus Asas Pertolongan Cemas SKK St Anne

Labuan-04 Ogos 2021 ( Rabu ), Unit Ko-Kurikulum SKK SK St Anne telah mengadakan kursus asas pertolongan cemas yang telah di adakan secara dalam talian. Peserta kursus ini adalah terdiri daripada murid-murid dan guru-guru dari SKK SK St Anne, SKK SK Rancha-Rancha, SK Sungai Bedaun, SK Pekan 2, SK Membedai, SK Layang-Layangan, SK Kerupang, SJKC Chung Hwa danSJKC Chi Wen

SKK SK St Anne telah menjemput Dr. Mohamad Hamim Bin Mohamad Hanifah, Ketua Jabatan Unit Kecemasan Dan Trauma, Hospital Nukleus WP Labuan untuk memberi penerangan berkaitan pertolongan cemas. Beliau telah memfokuskan ceramah kepada topik pertolongan cemas bagi kes-kes yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita seperti CPR, tercekik, luka terbakar, sawan dan patukan ular. Selain memberi penerangan mengenai pertolongan cemas, Dr. Mohamad Hamim Bin Mohamad Hanifah juga telah memberi penerangan  berkaitan pengurusan Covid-19 di WP Labuan

Melalui ceramah yang diberikan murid-murid telah memperoleh pengetahuan yang sangat berharga mengenai pertolongan cemas. Adalah diharapkan murid-murid dapat mengaplikasikan pengetahuan ini di sekolah, di rumah dan di mana-mana sahaja mereka berada. Kursus ini juga telah dapat memupuk minat murid-murid dalam bidang pertolongan cemas dan perubatan.

Dr. Mohamad Hamim Bin Mohamad Hanifah Ketua Jabatan Unit Kecemasan Dan Trauma, Hospital Nukleus WP Labuan, penceramah kursus pertolongan cemas

Sebelum ceramah berakhir, murid-murid diberi peluang untuk mengemukakan soalan berkaitan pertolongan cemas. Murid-murid sangat teruja untuk bertanya soalan melalui ruangan komen dan mengucapkan terima kasih kepada penceramah kerana menjawab soalan mereka

Program ini berjalan lancar di mana murid-murid menunjukan minat yang tinggi untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan pertolongan cemas.

Sijil penghargaan secara dalam talian di berikan kepada penceramah



Dialog Prestasi Berfokus Inisiatif Selesai Isu Operasi Sekolah

Pengoperasian sekolah di dalam tempoh pandemik Covid19 telah memberi cabaran baharu kepada warga sekolah. Kekangan pertemuan secara bersemuka antara murid, guru dan pihak pentadbir menyebabkan banyak isu pengoperasian sekolah tidak dapat diselesaikan mengikut kelaziman.

Menyedari cabaran ini, Sektor Perancangan selaku peneraju inisiatif Program Transformasi Daerah di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan (JPWPL) telah menganjurkan sesi Dialog Prestasi bersama semua Pengetua dan Guru Besar baru-baru ini.

Dialog prestasi yang dilaksanakan secara dalam talian ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkaitan aktiviti-aktiviti pengoperasian di peringkat sekolah.

Sesi dialog kali ini memberi fokus kepada peranan aktiviti bimbingan dan kaunseling oleh Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) kepada murid dalam menangani cabaran pandemik Covid19.

Selain itu kluster perubahan peranan JPWPL berdasarkan penstrukturan baharu dalam memaju kecemerlangan organisasi turut diberi perhatian.  

Dialog Prestasi Berfokus kali pertama ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapan aluan, Encik Yusup menekankan kepentingan Dialog Prestasi sebagai forum dua hala untuk menyemak kemajuan dan prestasi kerja buat organisasi berdasarkan data bagi memastikan hasrat, matlamat dan objektif organisasi dapat dicapai.

“Cabaran pandemik Covid19 perlu dilihat sebagai satu peluang untuk meneroka kaedah dan cara baharu untuk kita bertindak secara kreatif dan inovatif. Saya begitu berbangga kerana dalam tempoh ini semua Pengetua dan Guru Besar telah berjaya mengurus kelangsungan pengoperasian sekolah” kata beliau.

Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad

GBK di sekolah-sekolah telah berjaya melaksanakan peranan masing-masing dalam menangani pelbagai isu berkaitan murid terutamanya penyertaan mereka dalam sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

“Penyertaan murid di dalam PdPR di wilayah ini adalah sangat baik. Walau bagaimanapun kita perlu lebih berusaha untuk memastikan murid-murid terus komited mengikuti PdPR. GBK perlu terus berperanan terutamanya untuk meningkatkan motivasi mereka” ujar beliau lagi.

Pihak Jabatan Pendidikan akan terus berusaha untuk memastikan pengisian penuh jawatan GBK di semua sekolah supaya murid-murid berpeluang mendapat perkhidmatan dan aktiviti kaunseling secara lebih baik dan berkesan.

Selain itu, Encik Yusup juga mengucapkan terima kasih atas inisiatif KPM, GLC dan pihak sekolah dalam membekalkan peranti mudah alih kepada murid-murid daripada kategori keluarga B40 melalui program CERDIK.

Yang DiPertua (YDP) Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail Abdullah menyifatkan sesi Dialog Prestasi ini adalah sangat bermanfaat dan mampu meningkatkan kualiti pengurusan pihak sekolah.

“Dalam sesi sebegini, pihak sekolah dapat memaklumkan kepada pihak jabatan akan keperluan-keperluan pihak sekolah dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan di sekolah kekal relevan dan bermanfaat untuk setiap murid” kata beliau.

YDP MPSM Labuan, Ismail bin Abdullah

Penyelaras dialog, Encik Joehellmy bin Jumat yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan telah merumuskan dapatan daripada dialog ini untuk tindakan susulan bersama. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengetua dan guru besar yang telah menyertai sesi dialog secara aktif kali ini.

Penyelaras Dialog, Encik Joehellmy bin Jumat

Turut hadir dalam sesi dialog ialah timbalan-timbalan pengarah, ketua-ketua penolong pengarah dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




“KOPI O PULUT PANGGANG” Sesi Santai Kongsi Ilmu

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjur dan menarik penyertaan warga guru seluruh negara dalam sesi Professional Learning Community (PLC) “Kopi O Pulut Panggang” siri 2 yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Program santai yang dikelolakan oleh Sektor Perancangan telah menampilkan Pensyarah Cemerlang dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar Negeri Sembilan, Dr. Hjh Zailah Zainudin sebagai penceramah.

Bertemakan “Kajian Tindakan dan Penyelidikan Berpisah Tiada”, Dr. Hjh Zailah telah berkongsi pengalaman beliau menggunakan reka bentuk kajian tindakan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah(PhD). 

Mengungkap pengalaman ketika mula-mula menceburi bidang penyelidikan, beliau sebagai seorang guru biasa tidak begitu memahami istilah dan kaedah penyelidikan yang sebenar. Namun peluang mewakili sekolah membuat pembentangan kajian tindakan di Terengganu sekitar tahun 90an telah mencetus minat beliau dalam membuat kajian tindakan secara lebih mendalam.

“Ketika itu saya tidak mempunyai satu bentuk rujukan penyelidikan yang mudah untuk saya fahami. Maka dari situ tercetuslah idea untuk menggunakan reka bentuk kajian tindakan ini” kata Dr. Zailah yang merupakan pelopor kepada kajian tindakan di Malaysia.

Menurut beliau lagi, sebelum tahun 2000, Kajian Tindakan tidak diiktiraf sebagai satu kajian ilmiah dan tidak diterima untuk ‘proposal’ kajian di peringkat yang lebih tinggi. Namun begitu, situasi ini telah berubah dan kini kajian tindakan adalah suatu rekabentuk yang sah dan setaraf dengan rekabentuk kajian yang lain.

“Sebenarnya Kajian Tindakan merupakan satu reka bentuk kajian yang sangat rapat dengan guru terutamanya dalam meningkatkan kualiti PdP dari semasa ke semasa. Selain itu, kajian tindakan ini juga dapat dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain untuk manfaat bersama” tambah beliau lagi.

Sesi Lambaian Kasih Jalinan Budi kepada bekas Jurulatih Utama KT12L, Encik Samih Kukung

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata penganjuran program ini bertujuan untuk memberi perkongsian ilmu secara berterusan terutamanya kepada alumni Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L).

“Kita akan terus menampilkan tokoh-tokoh pendidikan berwibawa pada masa-masa akan datang. Kita juga yakin bahawa forum sebegini mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan guru dalam meningkatkan tahap professional keguruan secara berterusan” kata beliau lagi yang juga merupakan penolong Pengarah di Sektor Perancangan.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan program kali ini. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada salah seorang Jurulatih Utama KT12L, Encik Samih Kukung yang telah bertukar tempat bertugas sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Keningau, Sabah mulai 26 Julai lalu.

Sesi PLC ‘KOPI O PULUT PANGGANG’ kali ini dikendalikan oleh Cikgu Yahya Burhanuddin sebagai Moderator dan Cikgu Norazimah Mohamed Dauzkaply Nor  sebagai pengacara. Program yang disiarkan melalui pelantar YouTube live ini telah menarik penonton secara dalam talian seramai 172 orang.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Majlis Sepakat Menabur Bakti 2021 SMK Pantai IBWS

Labuan, 2 Ogos – SMK Pantai IBWS Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Sepakat Menabur Bakti 2021 dalam situasi norma baharu secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet pada 26 Ogos lalu.

Majlis itu melibatkan guru-guru baharu, guru-guru yang menjalani Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) yang kini dikenali sebagai Program Perantis Guru Sekolah, guru-guru yang berpindah, semua guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP).  Majlis tersebut merupakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan secara dalam talian dan menggabungkan tiga buah majlis menjadi satu majlis istimewa khusus untuk meraikan semua guru baharu, guru ROS dan guru yang berpindah.

Objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai jasa guru-guru yang berpindah sepanjang berkhidmat di SMK Pantai IBWS. Selain itu, objektif lain untuk menghargai sumbangan dan jasa guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini malah memupuk semangat menghargai dalam diri dengan pemberian ikhlas dari sudut sosioekonomi dan sahsiah persahabatan.

Ucapan guru-guru yang berpindah. Wan Azman bin Wan Abdullah (tiga dari kanan) dan Pawa anak Igai (dua dari kiri)
Penyampaian sijil penghargaan kepada guru yang berpindah.

Seterusnya, majlis tersebut juga bertujuan untuk meraikan guru-guru baharu dan guru pelatih sebagai ahli keluarga baharu SMK Pantai IBWS  serta mengeratkan lagi hubungan di antara guru baharu dengan staf SMK Pantai IBWS.

Terdahulu majlis pada petang itu dimulakan dengan bacaan doa di bawah pimpinan Ustaz Muhammad Firdaus Shaifullah B Mohamad Ab Karim.

Pengetuanya, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan guru-guru baharu iaitu Puan Poh Pei Yi dan Puan Norlaila binti Ishak yang berpindah dari Kolej Vokasional Labuan.

Manakala, guru Mystep ialah Cik Nurul Hidayah binti Khairul Anuar dan Cik Hanisah binti Hassan. Guru pelatih terdiri daripada Cik Audrey Albertus (UPSI), Encik Syafiq Khalid (UPSI), Cik Helin Jakim (UPSI) dan Encik Mohamad Hanis bin Md Jol (UIAM).

Puan Norazita juga memberikan ucapan penghargaan kepada guru-guru yang berpindah iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang (Pengetua SMK Rancha-Rancha, W.P  Labuan), Puan Pawa anak Igai (SMK Asajaya, Samarahan), Puan Nurul Nadia Syafiqah binti Ag Othman (SMK Takis, Papar), Puan Rosmarini binti Mat Lazim (SMJK Tanah Putih, Kuantan) dan Puan Dg Ku Ramizah binti Ag Tangah (SM St. Francis Convent, Kota Kinabalu).

Beliau juga turut menyampaikan amanat kepada semua guru baharu dan guru yang menjalani ROS  agar menggunakan peluang bersama dengan warga SMK Pantai IBWS untuk menjalin kerjasama dan menimba pengalaman sebanyak yang boleh. Pada majlis itu juga, beliau menyeru kepada guru-guru baharu terutamanya supaya tidak membuat spekulasi berdasarkan pengalaman orang lain tetapi merasai pengalaman tersebut sendiri bagi mengelakkan persepsi yang negatif.

Seterusnya, majlis turut dimeriahkan dengan tayangan rakaman video untuk memperkenalkan guru-guru pelatih yang menjalani ROS, guru-guru yang baharu dan guru-guru yang berpindah. Dalam majlis itu juga, semua pentadbir diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan dengan membuat rakaman awal. Turut sama menyampaikan ucapan ialah wakil AKP dan pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah (KGKS). Majlis penyampaian sijil dan hadiah diadakan sejurus kemudian sebagai penghargaan kepada guru-guru yang berpindah.

“Sesungguhnya pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk mengadakan majlis seumpama ini kerana kemeriahannya tetap dirasai walaupun hanya diadakan secara maya. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada AJK Pelaksana yang diketuai oleh Puan Irmasuzila binti Ngopil atas kelancaran majlis tersebut. Hal ini bersesuaian dengan salah satu tag line sekolah iaitu sepakat membawa berkat. Saya berharap agar setiap program yang dijalankan akan mendapat kerjasama semua pihak pada masa akan datang” ujar pengetua lagi.

Berita Oleh : SMK Pantai

Antara peserta dalam Majlis Sepakat Menabur Bakti



SMK Mutiara komited membantu murid terkesan Covid-19

LABUAN – Usaha SMK Mutiara dalam mendekati warga sekolah khususnya murid-murid yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekolah ini haruslah diberi pujian. Hal ini demikian kerana pendekatan “bantu dan sayang” yang dilakukan oleh pengurusan sekolah sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh murid-murid, demikianlah yang dikatakan oleh Encik Yusop Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan semasa merasmikan Program Ziarah Cakna Maya Perdana yang disiarkan menerusi Google Meet baru-baru ini.

“Sesungguhnya dedikasi, empati serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa kita semua peka dan mengambil berat terhadap masalah dan isu keperluan warga dan anak-anak didik SMK Mutiara pada masa ini. Seperti yang kita sedia maklum,  di Pulau Labuan ini, kes aktif Covid-19 telah meningkat dengan pantas sekali sejak awal Mei hingga Jun dan secara tidak langsung menyumbang kepada kematian yang agak tinggi di Labuan”

“Masyarakat di sekeliling kita, termasuk anak-anak didik kita juga terlibat secara langsung dalam menghadapi permasalahan dalam kehidupan dan keluarga  sepanjang pandemik ini. Tidak ketinggalan juga, ramai dalam kalangan murid kita yang telah kehilangan ibu dan bapa tersayang  secara tidak diduga”, tambahnya lagi.

Justeru, program yang diadakan ini bertujuan untuk menggembleng amalan cakna dan prihatin serta berkongsi rasa, menyemarakkan iltizam dan bersama berganding bahu antara warga sekolah dan  ibu bapa serta anak-anak didik dalam melaksanakan aktiviti kebajikan yang bercorak pendampingan sosial sejajar dengan konsep “kebajikan tanggungjawab bersama”.

Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada kita semua, dalam membantu meringankan beban anak-anak didik kita. Inilah bukti jelas tentang usaha-usaha warga pendidik yang sentiasa komited dalam memastikan anak-anak kita semua mampu terus berusaha dalam pelajaran walaupun ada halangan dan ujian yang dihadapi oleh mereka.

Manakala Encik Yahya Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara pula mengatakan bahawa seramai empat orang murid di sekolah ini yang kehilangan ibu atau bapa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tiga daripadanya merupakan murid Tingkatan Lima manakala seorang murid pula merupakan murid Tingkatan Satu. Justeru, pihak sekolah mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua guru, PIBG dan komuniti yang membantu anak-anak murid ini supaya kita dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung serta dapat menyokong emosi mereka bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang diri murid.

“Kita akan sentiasa membudayakan amalan “bantu dan sayang” dalam mendekati murid kerana murid-murid ini dalam apa-apa jua keadaan perlu dibantu, disayangi dan diberi sokongan emosi apatah lagi ada dalam kalangan mereka ini yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia bagi tahun 2021”, tambah Yahya lagi.

Program Ziarah Cakna Maya Perdana merupakan program yang dianjurkan oleh Pengurusan Hal Ehwad Murid dan diurusetiakan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling serta Panitia Pendidikan Agama Islam. Antara pengisian program ini ialah bacaan Yassin, bacaan Tahlil dan Doa Selamat agar warga sekolah khususnya dilindungi daripada segala musibah serta simbolik penyerahan sumbangan kepada murid-murid yang terlibat. Program ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada warga sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan , Puan Norhani Yusof, Pemangku YDP SMK Mutiara , penolong-penolong kanan serta ibu bapa dan murid yang terlibat.

Berita Oleh : SMK Mutiara