Ziarah Cakna Sejahtera Manifestasi Kenang Jasa Guru

Labuan, 27 Mei – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan program Ziarah Cakna Sejahtera sebagai sebahagian daripada acara sambutan Hari Guru peringkat negeri tahun ini.

Program bagi mengenang jasa guru-guru yang telah bersara daripada perkhidmatan ini telah dikelolakan oleh SMK Labuan pada khamis lalu.

Menurut penyelaras program, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Ziarah Cakna Sejahtera melibatkan lawatan kepada enam pesara guru di sekitar Labuan.

“Seramai lapan daripada 20 peserta yang terlibat dalam sesi lawatan ini ialah ahli pengurusan tertinggi jabatan yang ketuai oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Mohamad”

“Turut terlibat ialah Pengetua dan Guru Besar daripada sekolah-sekolah Zon Pengelola Sambutan Hari Guru tahun ini” ujar beliau lagi.

Selain itu 4 wakil daripada Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (5P) Cawangan Labuan turut serta dalam ziarah ini yang diketuai oleh pengerusinya, Datin Hajjah Dayang Pungut binti Abdul Jalil.

Antara pesara guru telah diziarah ialah Tuan Haji Othman bin Mahali. Cik Shim Ching Teo dan Encik Faris Kasa.

Selain itu, turut diziarah ialah Encik Nordin Mokhtar, Puan Siyon binti Abdul Hamid dan Encik Nasir bin Ahmad.

Encik Nordin Mokhtar melahirkan rasa terima kasih atas kunjungan warga pendidikan dan ini menunjukkan semangat kekitaan yang kuat dalam kalangan guru walaupun telah bersara.

Sementara itu, Haji Othman Mahali yang juga mantan Pegawai Pendidikan Daerah menganggap inisiatif ini sebagai satu manifestasi kebersamaan dalam satu keluarga guru yang besar.

Dalam ziarah tersebut, Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Mohamad berbesar hati menyampaikan cenderahati berbentuk buah-buahan dan wang tunai hasil sumbangan warga guru seluruh Labuan.

“Saya berharap agar inisiatif ini diteruskan pada masa-masa akan datang demi menghargai jasa para guru sama ada yang telah bersara ataupun yang telah bersara” katanya lagi.

Turut menyertai ziarah ialah Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Encik Fadzil bin Mohd Jamil, Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri.




Pemimpin Muda SMK Labuan Tonggak Sekolah Berkualiti

Labuan, 26 Mei – Seramai 102 pengawas, 55 Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan 31 Pengawas Pusat Sumber (PSS) SMK Labuan telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam satu majlis ringkas di Dewan Mutiara sekolah berkenaan pada Selasa lalu.

Menurut penyelaras majlis, Puan Jamaliah Razali majlis tersebut bertujuan untuk mengiktiraf pelantikan mereka sebagai pemimpin muda di sekolah.

“Mereka akan membantu pihak sekolah dalam memberi maklumbalas terutamanya dalam memastikan suasana pembelajaran di kawasan sekolah berada dalam keadaan yang terkawal dan berkualiti” kata beliau lagi yang juga merupakan Penolong Kanan HEM.

Majlis penyampaian watikah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan. Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa murid-murid yang dilantik berpeluang untuk melatih diri sebagai pemimpin muda dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah.

“Saya yakin dan percaya bahawa mereka yang terpilih dan dilantik mempunyai keupayaan dan kewibawaan dalam melaksanakan tugas” ujarnya.

Di akhir majlis, ketua pengawas, Adik Muhammad Nabil Nuruddin bin Ramlee telah memimpin acara lafaz ikrar dan janji melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti sekolah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Encik Cheah Teong Aik, Penolong Kanan Kokurikulum dan Encik Abdul Ghafar Salleh, Penolong Kanan Petang.

Berita Oleh : SMK Labuan




Meriahnya Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-17 SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2022

Labuan, 20 Mei – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah Kali ke-17. Acara ini telah dimulakan seawal jam 7 pagi.

Satu taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Encik Ahmad Yusri bin Che Daud, Setiausaha Sukan, kepada semua peserta sebelum acara dimulakan. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu Musytari, Marikh, Zuhal dan juga Neptune.

Tepat jam 7.30 pagi, acara merentas desa bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dimulakan. Jarak larian bagi kategori lelaki bawah 18 tahun ialah 8 km, manakala kategori perempuan bawah 18 tahun, lelaki bawah 15 tahun dan perempuan bawah 15 tahun ialah 6 km.

Kejohanan tahun ini berjalan dengan lancar seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Taklimat keselamatan oleh Encik Ahmad Yusri

Puan Lau Chin Ying, Penolong Kanan Kokurikulum berkata, “Kejohanan Merentas Desa ini dapat memberi pendedahan kepada murid serta mencungkil bakat murid. Dalam masa yang sama, kejohanan ini juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan murid serta dapat menggilap bakat murid dalam bidang sukan untuk diserlahkan ke peringkat yang lebih tinggi.”

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh En. Peter Wong,YPD PIBG SMKTPB.

Juara bagi kategori bawah 18 tahun, kategori lelaki dimenangi oleh Al-Muhmin Bin Minjamin dengan masa larian 40.10 minit manakala juara bagi kategori perempuan dimenangi oleh Dayang Siti Fatmah Binti Majumin dengan masa larian 34.57 minit.

Bagi kategori bawah 15 tahun pula, juara kategori lelaki dimenangi oleh Mohammad Riduan Amin Mulia bin Majumin dengan catatan masa larian 29.15 minit, manakala kategori perempuan dimenangi oleh Nur Shaharah bt Joini dengan masa larian 36.41 minit.

Juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Zuhal, Naib johan Rumah Marikh, tempat ketiga Rumah Musytari dan diikuti dengan rumah Neptune di tempat keempat.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Barisan pentadbir bersama pegawai angkat dan para jemputan



Munajat Kesyukuran Mewarnai Sambutan Hari Guru Peringkat WP Labuan

LABUAN, 19 Mei 2022– Munajat Kesyukuran Warga Pendidikan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan dengan jayanya di Masjid Kampung Sungai Bedaun dengan dihadiri seramai 250 orang jemaah yang terdiri daripada warga pendidik seluruh WP Labuan dan kariah setempat.

Majlis yang diadakan saban tahun bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhwah silaturrahim di samping memohon kerahmatan dan keberkatan kepada semua insan yang bergelar warga pendidik samada yang terdahulu ataupun yang masih meneruskan kerjaya tersebut. Majlis ini telah dikelolakan oleh Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam W.P.Labuan.

Pengimarahan Majlis Munajat Kesyukuran ini dimulai dengan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah yang diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim. Bacaan surah Yasin, tahlil dan doa telah diketuai oleh  ustaz Sahrum Samlan. Manakala tazkirah yang bertajuk “Peranan Pendidik Membina Insan Rabbani”  telah disampaikan oleh pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWPL) ustaz Anuar Mat Saad.

“Bagi membentuk insan rabbani  iaitu yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh, bertanggungjawab dan layak berkhidmat untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara serta ummah semuanya bermula daripada asas iaitu rumah dan sekolah.

Justeru 14 elemen seperti yang dinyatakan dalam Sekolahku SEJAHTERA perlu dihayati dalam jiwa setiap warga pendidik” katanya dalam tazkirah yang disampaikan. 

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad. Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Haji Salim, Ketua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Encik Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Sektor Pendidikan Khas Puan Noraini Sabudin, Pengetua, Guru Besar dan warga pendidik di WP Labuan.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kg. Sg. Bedaun Tuan Hj. Mingu bin Hj. Matnoh dan Ketua Kampung Sg. Bedaun Encik Rosmani bin Puteh.

Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua guru dan berharap agar guru-guru terus bersemangat untuk meneruskan usaha mendidik anak bangsa.

Beliau turut merafakkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. disamping memohon kesejahteraan dan kerahmatan kepada semua warga yang bergelar guru. Di akhir ucapan beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada SMA MAIWP Labuan kerana mengelolakan majlis dengan jayanya pada tahun ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Antara barisan warga guru yang hadir menyemarakkan munajat kesyukuran bersama dengan Encik Yusup dan pegawai jabatan



Kursus Kepimpinan Kokurikulum Lahirkan Pemimpin Masa Hadapan

Labuan, 13 Mei (Jumaat) – Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-6 bagi tahun 2022. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun.

Seramai 89 orang murid terlibat dalam program ini yang terdiri daripada AJK Tertinggi kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta persatuan badan beruniform.

Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada murid  yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan untuk mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah.

Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dibahagikan kepada dua slot iaitu Slot 1: Tugas-tugas dan Tanggungjawab AJK Induk yang disampaikan oleh Puan Rosenani Farera Michael selaku Setiausaha Kokurikulum SMKTPB.

Manakala Slot 2 : Program “Team Building” yang dikelolakan oleh Unit Kokurikulum. Program ini diharap dapat membantu guru penasihat dalam mengurus aktiviti kokurikulum di samping melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah bahkan dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.

Slot 1 : Peranan AJK Tertinggi Kelab dan Persatuan yang disampaikan oleh Setiausaha Kokurikulum SMKTPB
Antara aktiviti Team Building yang dijalankan

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pengetua  SMKTPB, Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri yang juga dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.

Tegasnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi pelibatan dalam aktiviti kokurikulum yang akan menyumbang kepada aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan kecemerlangan akademik. Puan Pengetua turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang telah diberikan kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.

Sejurus tamat ucapan Puan Pengetua, majlis penyampaian hadiah bagi aktiviti “Team Building” diadakan. Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan H2O, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Psycho manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Ruby.

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama dengan Puan Pengetua, Penolong Kanan Kokurikulum, AJK Induk Unit Kokurikulum dan murid-murid yang terlibat dengan kursus kepimpinan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Lazimi Al-Quran, Tingkatkan Takwa : Murid-murid SMK Labuan Khatam Al-Quran

Labuan, 1 Mei – Seramai 30 orang murid terdiri daripada murid tingkatan 4,5 dan 6 dan 6 orang guru telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran peringkat SMK Labuan pada Rabu lalu.

Majlis diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan turut dihadiri oleh 234 murid-murid tingkatan 4 sekolah berkenaan dan 25 guru.

Majlis dimulai dengan bacaan Surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas yang dipimpin oleh khalifah khatam iaitu Ustaz Muhamad Sanusi bin Ya. Seterusnya majlis diserikan lagi dengan tausiyyah bertajuk “Kemuliaan Al-Quran” yang disampaikan oleh Ustaz Jailani bin Muda.

“Al-Quran adalah mukjizat agung yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada penghulu segala nabi iaitu Nabi Muhammad s.a.w”

“Setiap muslim wajar untuk mempelajari al-Quran dan membacanya dengan tertib untuk mendapatkan keberkatan daripadanya dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah” kata beliau.

Menurut penyelaras program, Ustazah Syayuzie Omar berkata majlis khatam Al-Quran adalah aktiviti kemuncak program Ihya’ Ramadan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.

Para pemenang dalam setiap aktiviti telah menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam Yasim.

Selain itu, murid-murid juga menerima agihan duit raya yang disumbangkan oleh Koperasi Sekolah dan hasil kutipan daripada Program Infaq Ramadan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Para peserta khatam Al-Quran Peringkat SMK Labuan