MAJLIS BERBUKA PUASA ERATKAN SILATURAHIM

 

Labuan, 19 Mac 2024 -Tuan Haji Abidin Haji Marjan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan hadir bersama-sama beberapa warga Jabatan Pendidikan ke majlis berbuka puasa bersama Datuk Wong Kii Yii anjuran Warga Tadika Chi Hwa petang semalam. Majlis berbuka puasa pada 8 ramadhan ini diadakan di Fisherman’s Wharf, Paragon. 

Antara warga Jabatan Pendidikan yang hadir termasuklah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Insfrastruktur dan Perolehan, Encik Arfian Julian, Ir. Bong Kim Fatt(Jurutera SPI), Puan Zailiana binti Zainol, Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Encik Arraqib bin Al Kassim, Penolong Pengarah Sektor Infrastruktur & Perolehan dan Tuan Haji Razak. Majlis berbuka puasa tersebut juga dihadiri oleh lebih 15 orang warga Tadika Chi Hwa.

Hubungan dua institusi ini menunjukkan keakraban dan perpaduan yang erat. Tuan Haji Abidin juga berharap dengan hubungan dua hala ini ianya dapat mengeratkan lagi kolaboratif antara satu sama lain. Beliau juga percaya, hubungan ini mampu memberi impak positif terhadap kedua institusi, malah menunjukkan budaya yang boleh dicontohi oleh mana-mana pihak terutamanya di bulan yang mulia ini. Sememangnya, kemenjadian murid dan mutu kerja menjadi keutamaan, namun hubungan yang baik terhadap mana-mana institusi pendidikan sama ada sekolah rendah dan menengah juga menjadi faktor penting dan perlu dititikberatkan bersama.

Sebelum berangkat balik, Tuan Haji Abidin sempat beramah mesra bersama semua yang hadir sebelum sesi fotografi. Beliau menzahirkan ucapan terima-kasih atas kesudian menjemput warga Jabatan Pendidikan untuk bersama-sama dalam majlis berbuka puasa tersebut.

 




Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 15 Mac 2023 – Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam. Di samping itu, ia juga menjadi bulan yang paling dinantikan oleh sekalian orang beriman, lantaran pelbagai keistimewaan yang diberi oleh Allah SWT sepanjang bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Sempena meraikan kedatangan bulan mulia ini, SMK Taman Perumahan Bedaun turut tidak terlepas untuk melancarkan program sepanjang bulan Ramdan pada tahun ini. Majlis ini dianjurkan oleh pihak Panitia Pendidikan Islam dengan menjemput Ustaz Redzuan sebagai Penceramah.

Majlis pelancaran ini dimulakan dengan bacaan surah al-Kahfi dan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli selaku Ketua Panitia Pendidikan Islam.

Seterusnya, perasmian telah disempurnakan oleh Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun. Beliau turut berinteraksi dengan murid berkaitan dengan Ramadan untuk mengetahui kefahaman dan pengetahuan sedia ada murid. Beliau juga mengingatkan bahawa bulan Ramadan ini sangat istimewa daripada bulan lain kerana adanya malam Lailatul Qadar, malam yang hanya muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Majlis diteruskan dengan pengisian daripada penceramah jemputan Ustaz Redzuan. Katanya, puasa bukanlah hanya menahan lapar dan dahaga semata- mata tetapi perlu menjaga diri daripada segi lisan, perbuatan, penglihatan dan pendengaran. Bulan Ramadan mengajarkan kita untuk sentiasa mengawal emosi dengan baik. Seterusnya, ramadan juga memberi kita ruang dan peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya, mendekatkan diri kepada Allah kerana bulan ini merupakan bulan yang dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan ditutup pintu neraka.

Ustaz Redzuan juga turut berkongsi satu hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau”. (Hadis riwayat Muslim)

Majlis ini diakhiri dengan kuiz Ramadan yang dikendalikan oleh Panitia Pendidikan Islam kepada murid SMKTPB. Kuiz ini diadakan untuk memberi ruang kepada murid untuk mendalami dan mempelajari serta mengambil isi penting yang telah disampaikan oleh penceramah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ustaz Redzuan
Kuiz ramadan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam



Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan 1445/2024M Peringkat Jabatan Pendidikan W.P. Labuan

Labuan, 11 Mac 2024 – Tazkirah ‘Ambang Ramadan’ membuka tirai majlis pelancaran Ihya’ Ramadan 1445H peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan yang menampilkan penceramah Dr. Nik Azlan bin Nik Man, Timbalan Mufti, Pejabat Mufti WP Labuan di Bilik Mesyuarat Botanikal pagi tadi.

Sektor Pendidikan Islam (SPI) JPWPL selaku pengelola utama telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang Ramadan 1445H. Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti tersebut sambil mengisi masa terluang di samping melipat gandakan amalan ibadah. Antara pengisian yang telah dirancang ialah sambutan Nuzul Quran, Tadarus dan majlis khatam Al-Quran, Tabung Ihya Ramadan, Pertandingan Sihat Ramadan, jaulah ramadan, kuiz, pertandingan tulisan khat dan ziarah kasih ramadan bersama keluarga murid asnaf.

Programt ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin bin Marjan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan yang turut bersama-sama memeriahkan majlis.

Dalam ucapan pelancarannya, beliau mengajak seluruh warga Jabatan Pendidikan W.P. Labuan untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan mengambil peluang sebaiknya dalam mencari keredhaan Ilahi di Bulan mulia ini. Beliau juga menzahirkan ucapan terima-kasih kepada penyelaras program kerana menjemput penceramah dan berharap dapat bertemu kembali pada perhimpunan bulanan jabatan pada bulan ini.

Beliau turut menyampaikan satu potongan hadis yang berbunyi :

“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan”
– Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al- Baihaqi.

”Perbanyakkan sedekah, membaca al-Quran dan beristigfar di bulan ini, jika semua harta adalah racun, maka zakat itu penawarnya”. tambahnya lagi.

Dalam tazkirah Ahlan Ya Ramadan, Dr. Nik Azlan berkongsi mengenai kelebihan dan keindahan bulan Ramadan.

Menurutnya, ramadhan adalah bulan keampunan, bulan pembebasan dari api neraka, bulan Al-Quran, bulan yang digandakan ganjaran pahala, bulan lailatul qadar, bulan doa dimakbulkan serta bulan yang penuh dengan limpahan rahmat dan berkat.

Penutup majlis ini diisi dengan slot penyampaian cenderahati kepada penceramah dan diikuti dengan sesi jamuan makan tengah hari yang dilaksanakan secara ‘portluck’ oleh setiap sektor.

Majlis tersebut turut dihadiri Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Encik Haji Sawal Salleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Ag Marten Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Hajah Kamariah binti Salim Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam dan pegawai dan staf jabatan pendidikan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam