MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA MENYEMARAKAN SEMANGAT KEPIMPINAN MURID SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN

LABUAN, 29 April – Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi dengan Unit Badan Pengawas dan Unit Pusat Sumber Sekolah menjalankan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda tahun 2024.

Program yang diselaras oleh Puan Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid melaksanakan tanggungjawab, memupuk kemahiran kepimpinan, memperkenalkan barisan pemimpin muda dan memberi pengiktirafan jawatan murid.

Majlis dijalankan pada 22 April 2024, jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, bertempat di Tapak Perhimpunan Sekolah.

Seramai 173 murid telah dilantik sebagai pemimpin muda sekolah dimana 42 orang murid sebagai pengawas sekolah, 44 orang murid sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, 43 orang murid sebagai Pengawas Pusat Sumber, 22 orang murid sebagai ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas.

Pengawas sekolah
SMK Taman Perumahan Bedaun tahun 2024

Turut hadir Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Awang Adi bin Tuah, Penolong Kanan HEM, Encik Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Maju dan Sejahtera dan lagu sekolah. Seterusnya, ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Norazita dan bacaan doa dipimpin oleh Muhammad Ammar Wajdi bin Masdi dari kelas 4 Beta.

Kemudian, Pengetua Puan Norazita menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian majlis watikah pelantikan pemimpin muda oleh Pegawai Perhubungan Sekolah,  Inspektor Iskandar bin Aini.

“Pemimpin muda perlu berganding bahu bersama-sama guru melunaskan tugas dan tanggungjawab dalam segenap perkara yang dijalankan. Amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab perlulah sebati dalam sanubari”, kata Inspektor Iskandar dalam ucapannya.

Inspektor Iskandar juga turut menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda sekolah dengan diiringi pengetua dan barisan guru penolong kanan.

Ikrar pemimpin muda dipimpin oleh Adib Hakim bin Rosley (5 Alfa), ketua pengawas sekolah dengan diiringi Shafizul bin Jainal (5 Beta), ketua Pembimbing Rakan Sebaya, Marsyandah binti Robert (5 Delta), Ketua Pusat Sumber Sekolah dan Uwais Adam Mukhriz bin Junaidi (5 Alfa), ketua barisan ketua kelas.

Majlis watikah pelantikan muda SMK Taman Perumahan Bedaun diakhiri dengan ucapan murid-murid “Terima kasih, cikgu”, “Halalkan ilmu yang diberi, cikgu”, “Maafkan kami, cikgu” dan “Kami sayang, cikgu-cikgu” yang diketuai oleh Adib Hakim.

Kemudian, sesi bergambar pengetua bersama barisan pemimpin muda sekolah dijalankan sebagai penutup tirai majlis.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengawas Pusat sumber sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun tahun 2024



Perhimpunan bulanan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bagi bulan April tampil keunikan.

LABUAN: Perhimpunan bulanan Pengarah Pendidikan bersama warga Jabatan Pendidikan WP Labuan bagi bulan April telah berlangsung pada pagi tadi bertempat di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian (ILP), WP Labuan. Bertemakan ‘Keindahan Aidilfitri, Menganyam Tradisi, Menjangkau Teknologi’ dan busana seperti sambutan aidilfitri jelas menunjukkan kelainan dan keunikan majlis berbanding sebelum ini, lebih-lebih lagi diadakan sempena aidilfitri iaitu bulan syawal.

Dalam ucapan amanat Pengarah Pendidikan WP Labuan, Tuan Haji Abidin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sektor yang meneraju perhimpunan bulan kali ini. Penghargaan juga ditujukan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam memastikan objektif atau matlamat majlis tercapai walaupun jadual agak padat dengan pelbagai aktiviti dan program, ujarnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atas jalinan kerjasama yang efektif di antara sektor-sektor di Jabatan ini serta bekerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan sesuatu tugasan demi memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan, tambahnya lagi. Sebelum menamatkan ucapannya, beliau sempat mendeklamasikan puisi khas kepada hadirin yang hadir.

Antara kelainan pengisian perhimpunan bulanan kali ini termasuklah pelancaran Buku koleksi Puisi Cinta KELPEN Edisi khas Ramadhan 2024. Menurut Puan Suriani, Pengerusi Kelab Pendidikan Labuan, dalam ulasannya, setiap puisi yang dihasilkan tidak hanya menyentuh hati, tetapi juga membawa satu pengalaman yang mendalam kepada para pembaca. Puisi diterjemah melalui kata-kata yang indah dan pemikiran yang mendalam. Beliau juga yakin dengan karya-karya yang dihasilkan akan terus mempersonakan dan memberi inspirasi kepada ramai orang. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penghasilan buku ini.

Majlis turut diisi dengan slot penyampaian anugerah khas Pengarah atas kejayaan sekolah-sekolah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dan penyampaian sijil watikah pelantikan kepada Pegawai-pegawai Teknikal Sukan di Wilayah ini. Di samping itu, Pengarah Pendidikan turut menyampaikan anugerah bagi staf terbaik bulan ini dan bersama-sama meraikan sambutan hari lahir bagi warga pendidik pada bulan ini. Dalam perhimpunan kali ini juga, selain sambutan hari lahir kepada staf dan PGB yang lahir pada bulan ini, hadirin turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu raya daripada Sektor Pengurusan dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Pengarah Pendidikan mengabdikan kenangan bersama barisan jawatankuasa program.

Gimik Perasmian Buku Koleksi Puisi Cinta oleh Tuan Haji Abidin Marjan, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama-sama para penulis puisi.

Sumber berita: En. Anwar bin Ibrahim




Murid SMK Pantai, WP Labuan Sumbang 1 Emas 1 Gangsa

Labuan, 24 April – 4 orang murid SMK pantai telah menyumbangkan 1 emas dan 1 gangsa untuk kontinjen Persatuan Karate WP Labuan dalam Kejohanan Karate Kadet, Junior & Bawah 21 tahun Sabah, Ke-21 2024.

Kejohanan Karate Kadet, Junior & Bawah 21 tahun Sabah ini telah berlangsung pada 20 hingga 21 April 2024 bertempat di Dewan Sri Sulaman Tuaran Sabah.

Diya Khalish Kasryanto berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori Kumite Perempuan Kadet 61 kilogram.

Pingat gangsa diperolehi dalam acara berpasukan melalui Muhammad Kaszym Aqim Kasryanto, Tawfeq Syazwi Tazrudin, Thaqef Syafie Tazrudin dalam acara Kata Lelaki Berpasukan Junior.

Syabas dan Tahniah diucapkan !

Berita Oleh : SMK Pantai

Pasukan Karate WP Labuan yang mengharumkan nama Labuan



SAMBUTAN HARI BUMI, MAJLIS PELANCARAN BULAN ALAM SEKITAR DAN EKSA PERINGKAT SEKOLAH MENENGAH ST. ANNE TAHUN 2024

LABUAN – Hari Bumi merupakan acara tahunan yang disambut oleh seluruh dunia pada setiap 22 April sejak tahun 1970 lagi. Begitu juga dengan warga SM St. Anne, WP Labuan yang tidak ketinggalan menyambut Hari Bumi Ini.

Memeriahkan lagi Sambutan Hari Bumi ini, turut dilaksanakan Majlis Pelancaran Bulan Alam Sekitar dan Program EKSA yang juga dihadiri bersama-sama sekumpulan murid dari SKK St. Anne dan SM St. Anthony di Dataran Muhibah SM St. Anne.

Pengetua SM St. Anne, Puan Mary Anita Abah dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak sekolah dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga, memelihara, dan memulihara alam sekitar. Oleh itu, pihak sekolah sentiasa memberi sokongan padu kepada program-program yang berkaitan dengan alam sekitar.

Pada akhir ucapannya, Puan Mary Anita Abah juga menyeru seluruh warga SM St. Anne dan murid-murid di sekitarnya untuk sama-sama berganding bahu dan bergabung tenaga untuk memikul amanah dalam menjaga dan memelihara alam sekitar.

Sambutan dan majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Puan Nurul Asikin Mohd Yusof.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa tema Hari Bumi pada tahun ini iaitu Planet VS Plastik memfokuskan kepada kempen menyeru kesedaran meluas tentang risiko kesihatan plastik. Matlamat utama kempen ini adalah untuk mengurangkan 60 peratus daripada semua pengeluaran plastik menjelang tahun 2040.

Sambutan Hari Bumi, Majlis Pelancaran Bulan Alam Sekitar dan EKSA ini turut dihadiri oleh Guru Besar SKK St. Anne, Puan Cecilia Chua Lai Eng.

Selain itu, ceramah khas tentang perubahan iklim juga telah disampaikan oleh wakil Jabatan Alam Sekitar, Puan Nurhidayah Bulyana. Bukan itu sahaja, pameran khas daripada Jabatan Alam Sekitar turut diadakan sebagai salah satu medium pendedahan dan kesedaran berkaitan kepentingan alam sekitar.

Berita oleh : SM St Anne, WP Labuan

This image has an empty alt attribute; its file name is 2-1024x768.png
Guru Besar SKK St. Anne Puan Cecilia Chua Lai Eng (empat kiri), Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Puan Nurul Asikin Mohd Yusof (lima kiri) turut bersama-sama dalam Majlis Pelancaran EKSA SM St. Anne.
This image has an empty alt attribute; its file name is 3-edited-1.png
KIRI, Guru Besar SKK St. Anne Puan Cecilia Chua Lai Eng bersama-sama dalam sesi bacaan ikrar alam sekitar