SMK Rancha-Rancha Terima Sumbangan CSR Lembaga Tabung Haji

Selasa  21 Jan  2025, SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Tengah , Tuan Haji Abu Shukor Bin Jingga, bersama ahli rombongan iaitu Tuan Haji Mohd Ezham Bin Leman, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Yusdi Bin Haji Nasip Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah, turut serta pegawai Lembaga Tabung Haji Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kunjungan ini amat bermakna buat SMK Rancha_Rancha kerana turut diiringi majlis penyerahan cek bantuan  bagi program Corporate Social Responsibility   atau CSR Tabung Haji. Menurut Tuan Haji Shukor Bin Jingga, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Tengah, ini adalah merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh pihak Tabung Haji dalam agihan zakat kepada yang memerlukan dalam kategori bantuan pendidikan.

Beliau menyatakan rasa gembira kerana dapat berkunjung ke SMKRR untuk tujuan penyerahan cek ini. Beliau sangat berharap bantuan seumpama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak sekolah dalam memperbaiki infrastruktur fizikal sekolah demi kebaikan anak-anak murid yang belajar di sekolah ini.

Beliau juga menyatakan bahawa pihak Tabung Haji memperuntukkan bajet khas untuk  pelbagai bantuan bagi membantu pembangunan bidang akademik bukan saja kepada sekolah-sekolah tetapi juga kepada institusi pengajian tinggi.

Dalam majlis ini, beliau turut berharap agar lebih ramai guru sekolah ini menabung di Tabung Haji terutamanya melalui pemotongan gaji untuk simpanan. Selain itu, anak-anak pelajar juga amat digalakkan untuk membuka akaun di Tabung Haji. Lebih ramai para penyimpan di Tabung Haji, maka pihak Tabung Haji bersedia membantu lebih ramai lagi mereka  yang memerlukan.

Ustaz Wan Azman Bin Wan Awang Pengetua Smk Rancha-Rancha  Menerima Mock Cheque Daripada  Tuan Haji Abu Syukor Bin Jingga Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Tengah.

Ustaz Wan Azman Bin Wan Awang selaku Pengetua SMKRR juga menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Tabung Haji kerana memilih SMKRR sebagai penerima bantuan dalam program CSR ini.

Bantuan ini sangat bermakna kerana SMKRR memerlukan dana untuk membaik pulih besi penghadang di sekitar tangga sekolah yang sudah berkarat yang mana keadaan ini tidak selamat untuk warga sekolah ini. Bantuan dari Pihak Lembaga Tabung Haji akan digunakan sebaik mungkin dan akan digunakan sebaiknya demi manfaat warga sekolah.

Turut hadir bersama adalah dua pegawai dari Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Puan Siti Rahimah bt Yusuppu dan Puan Siti Zakiah bt Mohd Hussin.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




Program Tazwid Maharatul Jawdah Berjaya Himpunkan 4 Rakan Strategik Utama 

Labuan, 04 Januari 2025 – Program Tazwid Maharatul Jawdah yang diadakan baru-baru ini telah berjaya menghimpunkan empat rakan strategik utama dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan penghayatan agama di kalangan masyarakat setempat melibatkan 15 orang guru dan 90 peserta dari Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara dan SMA MAIWP LABUAN.

Ianya berlangsung dengan jayanya di Masjid Sirajul Islam , Kampung Tanjung Aru. Wilayah Persekutuan Labuan. Rakan strategik yang terlibat dalam program ini termasuk Kelas Aliran Agama SMK Mutiara, SMA MAIWP Labuan, Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru dan Pejabat Mufti WP Labuan. 

Ustaz Zainal Abdul Wahab selaku Penyelaras Program Tazwid Maharatul Jawdah tahun 2025 berkata program ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran dan pengetahuan pelajar dalam bidang agama serta membina jati diri yang kukuh melalui pelbagai aktiviti dan pengajaran yang bermanfaat.

Objektif pelaksanaannya ialah untuk menerap  aspek solat di kalangan pelajar. Pelaksanaan melibatkan murid Kelas Aliran Agama SMK Mutiara dan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam WP Labuan adalah bertepatan dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah adalah sebagai latihan ke arah memantapkan lagi pelaksanaan ibadah di kalangan murid-murid.

Ianya merupakan aktiviti pembelajaran yang mesti dilalui oleh murid-murid yang tidak tahu cara untuk bersuci dalam Islam melalui kaedah bersuci yang betul dan cara solat yang sempurna serta bacaan doa dari sumber yang sohih lagi tepat. Ia perlu diajar dengan menggunakan metodologi dan teknik yang berkesan supaya mereka dapat menguasai cara dan bacaan solat dengan baik.

Program ini  dilaksanakan bagi memastikan semua murid Islam mendapat pendedahan serta mengaplikasikan ibadah bersuci, solat dan berdoa dalam kehidupan seharian dengan sempurna dari segi bacaan, rukun, ilmu pengetahuan dan penghayatan solat.

Encik Hisham Abdul Aziz selaku Penolong Kanan SMA MAIWP Labuan berkata dengan adanya program ini, ianya akan memberi pendedahan kepada murid tentang cara riadhah yang betul berdasarkan syariat yang telah ditetapkan.

Ianya mampu memberi pendedahan kepada murid tentang kemahiran bermuamalah yang betul berdasarkan rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Program ini juga memberi peluang kepada murid menunjukkan bakat tersembunyi mereka dalam bidang kokurikulum.

Murid dapat menjalinkan ukhuwwah silaturrahim sesama mereka melalui aktiviti bersukan dan menanam sikap dan bekerjasama dalam satu pasukan demi mencipta sebuah kejayaan dalam satu pasukan. Ianya jiga memberi pendedahan kepada murid  tentang cara bermuamalah sesama manusia di alam kehidupan sebenar mereka nanti.

Semoga hubungan antara rakan strategik akan terus kukuh dan memberi impak positif kepada masyarakat Labuan, serta menjadi contoh kepada program-program lain di masa hadapan.

Program Tazwid Maharatul Jawdah ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti kelas pengajian, ceramah, dan bengkel bersama fasilitator terlatih iaitu Ustaz Muhammad Izzudin Mahamad Nazeri dari KAA SMK Mutiara, Ustaz Mohd Fuad Ibrahim dari KAA SMK Mutiara , Ustaz Mohammad Rizailan Che Mohd Sukri dari KAA SMK Mutiara ,Ustaz Muhd Zhulfikar bin Muhamad Jifri dari SMA MAIWP Labuan dan encik Hisham Abdul Aziz dari SMA MAIWP Labuan.

Diharapkan melalui kerjasama ini, dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai pemahaman yang mendalam tentang agama. 

Majlis perasmian program tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil dari setiap rakan strategik, serta masyarakat setempat yang memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini.

Dalam ucapan perasmian, Ustazan Nur Hidayah binti Haji Khairul Anuar, wakil Pejabat Mufti WP Labuan menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan masyarakat dalam membentuk generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.  Diharapkan semoga program seumpama ini dapat diadakan secara berterusan pada masa-masa akan datang demi melahirkan murid yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta program ini dan diharapkan program  kolaboratif antara dua buah sekolah ini tidak berakhir di sini sahaja. Istiqomahlan dalam melakukan segala kebaikan itu sampai bila-bila. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan berpandukan syariat Islam sebenar.

Pesanan kepada murid-murid yang berada di sini bahawa, untuk menjadi seorang murid yang cemerlang dunia dan akhirat adalah mereka yang sentiasa mengutamakan amalan agama, seperti solat, membaca Al-Quran, dan berdoa. Mereka memahami bahawa kejayaan duniawi tidak bermakna tanpa keredhaan Allah. kita haruslah  mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa.

Mereka tahu untuk mengimbangi antara akademik, ibadah, dan aktiviti sosial. Keseimbangan ini penting untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Mereka bertanggungjawab terhadap tugas dan amanah yang diberikan. Ini termasuk menjaga kebersihan, menghormati guru, dan membantu rakan-rakan. Mereka mampu berinteraksi dengan baik dengan rakan-rakan, guru, dan masyarakat. Kemahiran sosial yang baik membantu mereka membina jaringan yang kuat.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024

Labuan, 19 Disember : Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan majlis Khatam Al-Quran Perdana bertempat di Masjid Jamek An Nur bagi menghargai usaha 257 murid tahun 6 yang telah tamat atau Khatam Al-Quran 30 juzuk melalui pendekatan kaedah Iqra’.

Majlis yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini merupakan acara tahunan yang telah dirancang oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL seperti tahun-tahun sebelumnya dengan matlamat untuk meningkatkan penguasaan murid-murid dalam bidang Al Quran seterusnya melahirkan murid-murid yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Majlis Khatam Al-Quran ini diseriakan dengan penyampaian syarahan spontan daie cilik bertajuk ‘Al Quran Nur Hidupku’ oleh adik Norhanan Nadhirah Ahmad Aizuddin daripada Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan dan tazkirah “Ibrah Al Quran’- Wasiat Luqman al-hakim oleh ustaz Ibrahim Mat daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa.

Perasmian Majlis Khatam Al-Quran Perdana telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Abidin Marjan.

“Saya amat berbesar hati serta menyambut baik terhadap penganjuran program seperti ini kerana, ianya dapat memupuk rasa kecintaan terhadap Al-Quran yang mendalam terhadap kalamullah seterusnya memartabatkan Al Quran ke satu tahap yang lebih tinggi.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak SPI JPN Labuan dan tidak lupa juga semua guru-guru Pendidikan Islam atas dedikasi dan komitmen mereka dalam membimbing anak-anak murid ke arah kecemerlangan.
Peranan anda amat besar dalam melahirkan generasi pewaris yang berilmu, bertakwa, dan berakhlak mulia. Sesungguhnya, jasa anda tidak ternilai dan amat dihargai” katanya lagi.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Ag Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Noraini Hj Sahbudin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Salim, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Guru-guru Besar, Rakan strategik JPWPL daripada Majlis Agama Islam W.P. Labuan (MAIWPL), Jabatan Agama Islam W.P.Labuan (JAWI), ketua kampung Gersik, Pegawai Masjid Jamek An Nur, guru Pendidikan Islam dan ibu bapa murid.