MERIAHNYA KEJOHANAN MERENTAS DESA KALI KE-20 SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN TAHUN 2025

Labuan, 23 Februari 2025 – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah Kali ke-20. Kejohanan Merentas Desa merupakan salah satu aktiviti tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan sering mendapat sambutan dan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa.
Acara ini telah dimulakan seawal jam 7 pagi. Satu taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Pn. Rosenani Farera Michael, kepada semua peserta sebelum acara dimulakan. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu Musytari, Marikh, Zuhal dan juga Neptune. Aktiviti senamrobik telah dijalankan di tapak perhimpunan sekolah dan diketuai oleh En Emmanuel Soidin Jr.


Tepat jam 7.10 pagi, acara merentas desa bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dimulakan. Jarak larian bagi kategori lelaki bawah 18 tahun ialah 8 km, manakala kategori perempuan bawah 18 tahun, lelaki bawah 15 tahun dan perempuan bawah 15 tahun ialah 6 km. Kejohanan tahun ini berjalan dengan lancar seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam. Segala aspek keselamatan turut diperketatkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini terjadi. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Pn. Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun.
En. Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum berkata, “Kejohanan Merentas Desa kali ini sedikit mencabar kerana sesi persekolahan baru bermula dan kekangan waktu bagi persediaan kejohanan namun kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bagi ditunjukkan oleh semua kakitangan sekolah bagi menjayakan kejohanan ini amat saya kagumi” tambahnya lagi, “aktiviti ini penting bagi mencungkil bakat murid SMK Taman Perumahan Bedaun dan mengembalikan kedudukan sekolah dalam senarai 3 teratas di peringkat negeri seperti tahun-tahun sebelum ini.”


Juara bagi kategori bawah 18 tahun, kategori lelaki dimenangi oleh Hame Hairy Bin Rosdeyhamehaily mewakili rumah sukan Marikh dengan masa larian 37.24 minit manakala juara bagi kategori perempuan dimenangi oleh Puteri Noorsaidah Binti Mohd Saidin mewakili rumah sukan Zuhal dengan masa larian 48.58 minit. Bagi kategori bawah 15 tahun pula, juara kategori lelaki dimenangi oleh Rackwell Nuel Ede mewakili rumah sukan Zuhal dengan catatan masa larian 29.32 minit, manakala kategori perempuan dimenangi oleh Qisra Binti Nulsad mewakili rumah sukan Zuhal dengan masa larian 44.03 minit. Juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Neptune, Naib johan Rumah Marikh, tempat ketiga Rumah Zuhal dan diikuti dengan rumah Musytari di tempat keempat.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun






