Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2025 SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN PERUMAHAN BEDAUN

Labuan – Pada 16 Mei 2025, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah dengan penuh meriah dan bersemangat. Majlis ini dianjurkan oleh Kelab Guru dan Staf dengan sokongan aktif daripada para pengawas sekolah, sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para pendidik.

Majlis dimulakan dengan aktiviti kerohanian berupa bacaan Surah Yasin oleh warga sekolah bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan buat para guru. Seterusnya, nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, Lagu Wilayah Persekutuan dan sekolah, disusuli dengan bacaan doa yang dipimpin oleh pengawas sekolah, Mohammad Muazhadif 5 Delta.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengetua sekolah, Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, yang menekankan peranan penting guru dalam membentuk sahsiah dan masa depan generasi muda. Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap dedikasi guru-guru dalam mendidik anak bangsa.

Majlis diteruskan dengan tayangan video ucapan Hari Guru daripada para pelajar, yang menyentuh hati para guru dengan mesej-mesej penuh kasih sayang dan penghargaan. Persembahan multimedia yang menyentuh hati tersebut dihasilkan oleh Nur Khairunnisa 4 Alfa dengan bimbingan Cikgu Rosenani Farera Michael

Segmen persembahan pula dimulakan dengan nyanyian duet oleh NurHazira Aleysha dan Farah Dania Natasya, yang mempersembahkan lagu bertajuk Hero. Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah penghargaan kepada guru-guru dalam pelbagai kategori sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka. Majlis diakhiri dengan persembahan nyanyian kedua oleh Mohamad Hanif Ezaril dari 4 PVMA, yang menyerikan lagi suasana dengan lagu yang bertajuk Laskar Pelangi.

Sambutan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar, malah membuktikan semangat kekeluargaan dan penghargaan yang tinggi dalam kalangan warga SMK Taman Perumahan Bedaun. Semoga sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai penghormatan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan negara.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Kejohanan Sukan KEJORA SMK Pantai Kali Ke-23 Tahun 2025

LABUAN, 27 April 2025 – Kejohanan Sukan KEJORA SMK Pantai kali ke-23 telah berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dari 24 hingga 27 April 2025, menyaksikan para atlet muda bertarung merebut kejuaraan dalam pelbagai acara olahraga.

Rumah sukan AQUA berjaya muncul sebagai juara keseluruhan, mengungguli kejohanan dengan kutipan 26 pingat emas, 8 perak, dan 17 gangsa. TERRA berada di tempat kedua dengan 21 emas, 24 perak, dan 7 gangsa, sementara VENTUS menduduki tempat ketiga dengan 15 emas, 9 perak, dan 18 gangsa. IGNUS, yang turut memberikan saingan sengit, memperoleh 10 emas, 9 perak, dan 8 gangsa.

Bagi kategori aliran PPKI, rumah sukan TERRA muncul sebagai juara dengan 7 emas, 5 perak, dan 2 gangsa, diikuti oleh AQUA yang meraih 6 emas, 5 perak, dan 4 gangsa. IGNUS di tempat ketiga dengan 3 emas, 7 perak, dan 6 gangsa, manakala VENTUS berada di tempat keempat dengan 3 emas, 2 perak, dan 5 gangsa.

Tahun ini turut menyaksikan pencapaian luar biasa daripada beberapa atlet yang memecahkan rekod kejohanan. Muhammad Sulaiman bin Hasnul Hadi dari rumah sukan IGNUS dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki 15 tahun (L15) selepas mencipta rekod baharu dalam kedua-dua acara lontar peluru dan lempar cakera. Mohd Syahputra Hafifi dari TERRA pula mengungguli kategori Lelaki 18 Tahun (L18) dengan dua kemenangan emas dalam acara 200 meter dan 400 meter.

Dalam kategori wanita, Nur Afza Afiqah binti Ali Omar dari rumah sukan TERRA diangkat sebagai Olahragawati Perempuan 15 Tahun (P15) selepas berjaya memecahkan rekod dalam acara lempar cakera dan lontar peluru, manakala Emmy Lyana anak Dinaria dari VENTUS mencipta sejarah baharu dalam acara 800 meter dan membawa pulang dua emas, menjadikannya Olahragawati Perempuan 18 Tahun (P18).

Sebanyak 14 rekod kejohanan baharu berjaya dicipta tahun ini, termasuk dalam acara lompat kijang lelaki 15 tahun, 1500 meter lelaki dan perempuan, lompat jauh lelaki 15 tahun, lempar cakera, 800 meter perempuan, serta rejam lembing lelaki. Kejayaan ini mencerminkan peningkatan prestasi atlet muda yang semakin kompetitif dan berdaya saing.

KEJORA SMK Pantai kali ke-23 telah melakar sejarah sebagai medan membentuk semangat kesukanan yang tinggi, memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar, serta menyemai semangat juang dan daya tahan dalam bidang sukan.

Dengan berakhirnya kejohanan ini, semua pihak kini menantikan KEJORA tahun hadapan, yang pastinya akan menyaksikan lebih banyak rekod baharu tercipta dan lebih ramai atlet berbakat yang bakal mencuri perhatian. 🎉🏆

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Saringan Pertandingan Infohunt Challenge ’25 di SMK Pantai

LABUAN, 06 Mei 2025 – Seramai 55 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari SMK Pantai telah menyertai peringkat saringan Pertandingan Infohunt Challenge ’25, sebuah program tahunan anjuran Unit Perpustakaan Management & Science University (MSU) dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri pada 6 Mei 2025 yang lalu.

Pertandingan ini bertujuan menguji tahap literasi maklumat, kecekapan penggunaan teknologi serta kemahiran berfikir secara matang. Lebih menarik, peserta diminta menggunakan gajet sendiri seperti komputer riba dan telefon pintar untuk menonton bahan stimulus yang diberikan sebelum menjawab soalan melalui platform Google Form.

Penganjuran pertandingan ini juga memanfaatkan alat komunikasi dalam talian dan kaedah pembelajaran digital baharu, sekaligus membantu pelajar memperluaskan strategi pencarian maklumat yang lebih berkesan. Ia menjadi salah satu platform dalam melahirkan generasi yang celik digital dan berdaya saing.

Bagi SMK Pantai, penyertaan tahun ini merupakan kesinambungan daripada penyertaan mereka dalam program yang sama pada tahun 2023. Peringkat saringan ini telah berlangsung di Perpustakaan SMK Pantai, bermula dari jam 10.20 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan kehadiran juruteknik SICT JPN WP Labuan serta Penyelaras ICT SMK Pantai, yang bersedia memberikan bantuan teknikal termasuk capaian internet kepada peserta.

Bagaimanapun, keputusan akhir pertandingan masih belum diperoleh dan pihak penganjur dijangka mengumumkan keputusan rasmi dalam masa terdekat.

Untuk perkembangan lanjut mengenai pertandingan Infohunt Challenge ‘25, teruskan mengikuti laporan berita terkini.

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Guru-Guru Kelab Pengguna SMK Pantai Raih Gelaran Naib Juara Eksplorasi Troli Pintar WP Labuan 

Labuan, 14 Mei 2025 – Guru-guru Kelab Pengguna SMK Pantai membuktikan kepakaran mereka dalam bidang kepenggunaan apabila muncul sebagai Naib Juara dalam pertandingan Eksplorasi Troli Pintar Peringkat Negeri WP Labuan yang dianjurkan oleh Seksyen Pendayaupayaan Pengguna (SPUP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).  Mereka telah membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM700.

Pertandingan ini bertujuan menguji pengetahuan peserta terhadap ilmu kepenggunaan serta ketangkasan mereka dalam membuat pembelian barangan berkonsepkan explorace. Antara cabaran yang perlu dilalui termasuk menjawab kuiz kepenggunaan berkaitan pengurusan kewangan, pemakanan sihat, dan alam sekitar, serta membeli barangan dengan kadar yang paling optimum menggunakan wang sebanyak RM150

Peserta juga diuji dalam membuat pilihan paling bijak berdasarkan petunjuk dan soalan yang diberikan, selain perlu menghasilkan video TikTok paling kreatif semasa explorace berlangsung. Keupayaan dalam menyusun strategi dan menyelesaikan cabaran ini telah menyaksikan pasukan SMK Pantai, yang terdiri daripada Cikgu Athirah Binti Rasman , Cikgu Intan Nurhanie binti Shafudin, dan Cikgu Mohd Jasrin bin Mohd Masrapi, berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan tersebut. 

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama SMK Pantai tetapi juga membuktikan kepakaran guru-guru dalam aspek kepenggunaan, sekaligus memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus meningkatkan kesedaran terhadap aspek pengurusan kewangan dan pemilihan produk yang bijak dalam kehidupan seharian. 

Tahniah kepada para peserta atas kejayaan yang membanggakan ini! Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. 

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Pasukan Puteri Islam SMK Pantai Raih Kemenangan di Pertandingan UniformDNA Hari Belia Negara

Labuan, 17 Mei 2025 – Pasukan Puteri Islam SMK Pantai telah mencipta kejayaan membanggakan dalam Pertandingan UniformDNA sempena Hari Belia Negara yang berlangsung di Ruang Legar Aras 1, Ujana Kewangan. Acara ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, menghimpunkan pelbagai pasukan unit beruniform dengan semangat daya saing yang tinggi.

Para peserta hadir dalam pakaian unit beruniform lengkap dan beraksi dalam beberapa kategori menarik, termasuk Knot War, di mana mereka perlu membuat beberapa jenis ikatan dalam masa yang ditetapkan, serta Res-Q Rush, yang menguji kecekapan peserta dalam melaksanakan rawatan awal kecederaan dengan kaedah yang betul serta kepantasan melaksanakannya.

Namun, kejayaan terbesar buat pasukan Puteri Islam SMK Pantai adalah dalam kategori Rasa-rasa Rimba, di mana mereka diuji untuk menyediakan satu jenis hidangan menggunakan bahan-bahan yang disediakan tanpa menggunakan bahan api. Kecekapan dan kreativiti mereka dalam mencipta hidangan yang enak telah melayakkan mereka meraih Johan dalam acara tersebut, sekaligus mengharumkan nama sekolah.

Guru-guru pengiring bagi pasukan ini, Cikgu Nuratikah binti Ja’afar, Ustazah Siti Nabilah binti Mohamed Zin, dan Ustazah Jastinah binti Yusof, turut memberikan sokongan penuh sepanjang pertandingan. Ustazah Siti Nabilah meluahkan rasa syukur atas pencapaian pasukan dan mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada guru pembimbing yang berusaha keras dalam latihan, termasuk Cikgu Najiha (Rasa-rasa Rimba), Cikgu Ivy (Knot War), serta Cikgu Thasiah dan Cikgu Ivy (Res-Q Rush).

“Kami amat berbangga dengan usaha gigih murid-murid yang telah memberikan yang terbaik dalam pertandingan ini, walaupun dengan latihan yang singkat. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada pasukan ini,” ujar Ustazah Siti Nabilah.

Pertandingan UniformDNA bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah kemahiran kepimpinan, kecergasan, dan kreativiti dalam kalangan peserta, malah turut memperkukuhkan semangat berpasukan dan daya saing mereka. Kemenangan ini pastinya menjadi pemangkin semangat untuk pasukan Puteri Islam SMK Pantai dalam mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Berita Disediakan oleh : SMK Pantai WP Labuan




Mesyuarat Agung PIBG SMK Pantai Kali Ke-23 Berlangsung dengan Penuh Muafakat

Labuan, 10 Mei 2025 – Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai kali ke-23 telah berlangsung dengan penuh muafakat dan komitmen antara pihak sekolah dan ibu bapa. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail bin Abdullah.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Ismail menegaskan kepentingan sokongan ibu bapa dalam usaha merealisasikan beberapa agenda pendidikan utama sekolah, termasuk perluasan Dasar Pendidikan STEM dan TVET, peningkatan mutu pendidikan Bahasa Inggeris, serta pembangunan ekosistem pendidikan digital. Beliau menekankan bahawa kesepakatan antara ibu bapa dan guru adalah asas kepada kejayaan murid-murid.

Mengulas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Encik Ismail memaklumkan bahawa daripada 189 calon, peratus kelulusan adalah 98.94%. Lebih membanggakan, bilangan pelajar yang memperoleh semua A meningkat kepada lima orang. Peningkatan ini mencerminkan kejayaan sekolah dalam memperkasakan pendidikan berkualiti.

Walaupun pencapaian akademik membanggakan, cabaran masih ada terutama dalam aspek kehadiran murid. Setakat ini, kehadiran murid SMK Pantai berada pada kadar 86%, berbanding sasaran KPI 2025 WP Labuan iaitu 93.95%. Dalam aspek pembayaran sumbangan PIBG bagi tahun 2024, prestasi berada pada tahap 65%, dan beliau berharap ibu bapa dapat menjelaskan sumbangan setelah pihak sekolah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan.

Encik Ismail turut memberikan jaminan kepada ibu bapa bahawa pihak sekolah akan terus berusaha memastikan anak-anak mereka diajar, dibimbing, serta diberi peluang dan pendedahan untuk mencapai kejayaan di pelbagai peringkat. Beliau menyeru semua pihak untuk berganding bahu demi masa depan anak-anak dan kecemerlangan SMK Pantai.

Menjadikan mesyuarat lebih menarik, tahun ini ia berlangsung lebih singkat kerana tiada pemilihan AJK baharu. Namun, lebih 100 cabutan bertuah telah disediakan untuk para hadirin, hasil sumbangan daripada ibu bapa, guru dan pihak luar yang prihatin terhadap sekolah. Encik Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan mendoakan agar mereka dimurahkan rezeki.

Mesyuarat Agung PIBG SMK Pantai kali ke-23 bukan sekadar forum perbincangan, tetapi juga bukti semangat muafakat dalam memastikan kejayaan pelajar serta perkembangan sekolah ke arah yang lebih cemerlang.

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Sambutan RIMUP Raya 2025 – Ukhwah Syawal Meriah Di SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 26 April 2025 (Sabtu) – Semangat perpaduan dan kemeriahan Aidilfitri diraikan dengan penuh warna-warni menerusi Program RIMUP Raya 2025 bertemakan Ukhwah Syawal, yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi di tapak perhimpunan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mutiara dan Balai Polis Labuan melalui slot ceramah bertajuk Antibuli – Sekolah Sejahtera, Bebas Buli. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan harmoni.

Majlis turut menerima kehadiran tetamu kehormat termasuk pegawai angkat sekolah Encik Nazri bin Mustapa yang juga merupakan wakil rasmi dari Jabatan Pendidikan Labuan. Turut memeriahkan suasana ialah Encik Heidar Hussein Md Rashid Yang Dipertua (YDP) PIBG bersama barisan AJK PIBG serta  AJK  KRT Taman Mutiara yang sentiasa menyokong penganjuran aktiviti berbentuk komuniti seperti ini.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran dua tokoh istimewa iaitu Puan Jesicca Basat, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, serta Dr. Federick Reyes Joseph, Pegawai Penasihat Eksekutif JMB Taman Mutiara. Kehadiran mereka memberikan suntikan semangat kepada warga sekolah dalam memperkukuh nilai perpaduan dan integrasi nasional.

Pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan termasuk pertandingan video raya antara kelas (kategori menengah rendah dan menengah atas), pertandingan reruai kelas, busana terbaik bagi kategori lelaki dan perempuan, serta pertandingan karaoke raya yang menyaksikan sembilan penyertaan daripada kalangan murid.

Bagi memeriahkan lagi suasana, para pelajar turut dihidangkan dengan pelbagai juadah enak seperti soto, lima jenis air balang, pizza dan aiskrim sumbangan daripada koperasi sekolah sebagai menu utama selain makanan yang terdapat di meja kelas masing-masing.

Konklusinya Program RIMUP Raya 2025 ini bukan sahaja menjadi platform meraikan Syawal tetapi juga mengukuhkan jalinan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, komuniti dan agensi luar selaras dengan semangat Malaysia Madani.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengetua bergambar bersama warga sekolah dan para jemputan di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun



Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Menyemarakkan Semangat Kepimpinan Murid SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 28 April – Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi dengan Unit Badan Pengawas dan Unit Pusat Sumber Sekolah menjalankan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda tahun 2025. Program yang diselaras oleh Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid melaksanakan tanggungjawab, memupuk kemahiran kepimpinan, memperkenalkan barisan pemimpin muda dan memberi pengiktirafan jawatan murid.

Majlis dijalankan pada 14 April 2025, jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, bertempat di Tapak Perhimpunan Sekolah. Seramai 178 murid telah dilantik sebagai pemimpin muda sekolah dimana 36 orang murid sebagai pengawas sekolah, 36 orang murid sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, 40 orang murid sebagai Pengawas Pusat Sumber, 10 orang murid Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, 13 orang murid Pengawas Koperasi Sekolah, 22 orang murid sebagai ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas. Turut hadir program Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua Sekolah, Tuan ASP Ruslan bin Tarai, Pegawai Perhubungan Sekolah, Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Pentadbiran, Cik Seri Kandi binti Muali, Penolong Kanan HEM, Encik Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Maju dan Sejahtera dan lagu Sekolah. Seterusnya, ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Puan Norazita dan bacaan doa dipimpin oleh Muazhadif dari kelas 5 Delta. Kemudian, Puan Norazita menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian majlis watikah pelantikan pemimpin muda oleh ASP Ruslan bin Tarai. “Pemimpin Muda yang terpilih haruslah mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan komitmen yang tinggi dalam membimbing rakan-rakan yang lain.”, kata ASP Ruslan dalam ucapannya.

Setelah itu, ASP Ruslan menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda sekolah dengan diiringi pengetua dan barisan guru penolong kanan. Ikrar pemimpin muda dipimpin oleh adik Nur Qaisara Najwa binti Johari (5 Alfa), ketua pengawas sekolah. Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda SMK Taman Perumahan Bedaun diakhiri dengan ucapan murid-murid “Terima kasih, cikgu.”, “Halalkan ilmu yang diberi, cikgu.”, “Maafkan kami, cikgu.” dan “Kami sayang, cikgu.” yang diketuai oleh Nur Qaisara Najwa. Kemudian, sesi bergambar bersama ASP Ruslan diiringi pengetua bersama barisan guru penasihat dan pemimpin muda sekolah dijalankan sebagai penutup tirai majlis.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Nur Qaisara memimpin ikrar watikah pelantikan pemimpin muda