PASUKAN BICARA BERIRAMA SK SUNGAI BEDAUN KEKAL JUARA TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT

Labuan, 26 ogos 2025 – Pasukan Bicara Berirama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun muncul Johan Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Rendah buat kali ketiga berturut-turut.
 
Naib Johan SK Pantai dan tempat ketiga SK Bukit Kalam. Pertandingan diadakan bersempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Labuan 2025 berlangsung di Dewan Serbaguna SJKC Chung Hwa.
Sebanyak 12 buah sekolah rendah mengambil bahagian, lima pasukan terbaik melangkah ke peringkat akhir.
 
Natanel Achang Henry dari tahun enam Baiduri diumum sebagai Konduktor Terbaik.
Kejayaan pasukan hasil bimbingan guru-guru berdedikasi, iaitu Shafawati Seliat, Nurdahlia Ankujau, Nadiah Mohd Ali dan Mohammad Iqbal Asjad Zamri.
 
Guru Besar SK Sungai Bedaun, Adam Abd Rahim berkata, pasukan SKSB bukanlah asing kerana pernah meraih pelbagai kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan.
 
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Awang Marten Abdul Rahman.
 
Dalam ucapannya, beliau menegaskan pertandingan Bicara Berirama mencungkil bakat berbahasa dalam kalangan murid dan membina keyakinan diri, semangat berpasukan serta jati diri sebagai penutur bahasa kebangsaan.
 
Pasukan SK Sungai Bedaun mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan di Putrajaya pada 22 hingga 24 September 2025.
 
Sumber Berita : FB BES Labuan




Program AURA GADIS

Labuan, 25 Ogos 2025 – telah berlangsung Program AURA GADIS di SMK Taman Perumahan Bedaun yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Amzan bin Abd Malek, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan.
 
Program AURA GADIS yang bertemakan Pemberdayaan AURA GADIS : Didik Akhlak, Nilai Terbina merupakan komitmen BPSH KPM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memperkasa karakter karamah insaniah dalam kalangan murid, iaitu keperibadian yang berasaskan nilai-nilai murni dan sifat kemanusiaan yang luhur.
 
Akronim AURA GADIS membawa maksud Akhlak Unggul Remaja Aspirasi, Generasi Aspirasi Didik Intelek Saksama. Program ini dirancang khusus di bawau Unit Hal Ehwal Murid ( HEM ) untuk membantu menangani isu-isu sahsiah murid seperti buli, vape dan gangguan seksual di sekolah melalui pendekatan yang berfokus, menyeluruh, dan berimpak tinggi.
 
Dua slot utama iaitu Forum Interaktif AURA GADIS : Buli Bukan Gurauan, Vape Bukan Gaya Tapi Bahaya dan Bengkel AURA GADIS : Minda Kuat, Gadis Selamat berjaya menarik perhatian dan kesedaran dalam kalangan peserta yang terdiri daripada 200 orang murid sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan termasuk Kolej Vokasional Labuan dan Labuan International School dengan kolaborasi panel-panel dari Ibu Pejabat Polis Labuan, Agensi Antidadah Kebangsaan Labuan dan dari Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt al- Rahmah, Ampang, Selangor.
 
Dalam ucapan perasmian penutupan, Ybhg. Dato’ Amzan berharap agar program ini akan terus berkembang dan dijadikan contoh amalan terbaik di sekolah-sekolah lain. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.




Majlis Perasmian Kelas Prasekolah SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 25 Ogos 2025 – telah berlangsung Majlis Perasmian Kelas Prasekolah SMK Taman Perumahan Bedaun di bawah peluasan prasekolah, sebagai usaha menyahut fokus Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak.
 
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Amzan bin Abd Malek, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Pembukaan kelas prasekolah ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada anak-anak di sekitar Taman Perumahan Bedaun dalam mendapatkan pendidikan asas yang berkualiti, seterusnya melahirkan generasi murid yang bersedia dari segi akademik, sahsiah dan sosial sebelum melangkah ke Tahun Satu.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.




Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Murid Tingkatan 6 SMK Labuan

Labuan, 25 Ogos 2025 – Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan bagi murid Tingkatan 6 Semester 1 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Azman bin Abd Malek, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan.
 
Semua murid Tingkatan 6 Semester 1 layak menerima bantuan sebanyak RM150 seorang sebagai inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk ibu bapa meringankan beban perbelanjaan persekolahan, terutamanya untuk kelengkapan seperti buku dan alat tulis. Bantuan ini diberikan secara one-off (sekali bayar) kepada semua murid warganegara Malaysia.
 
Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga serta memberi motivasi kepada murid untuk lebih bersemangat menimba ilmu demi masa depan yang cemerlang.




Pengarah Pendidikan Labuan telah menyantuni anak2 murid asrama di SM Sains Labuan

Labuan, 23 Ogos 2025 – Pengarah Pendidikan Labuan telah menyantuni anak2 murid asrama di SM Sains Labuan. Turut hadir ialah En.Awang Marten Bin Datuk Haji Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan dan Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Khas, Tuan Haji Sahbudin Ag Muhamad serta pegawai-pegawai dari Sektor Pendidikan Islam dan Sektor Pengurusan Sekolah.
 
Tuan Pengarah bersama rombongan turut menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak di sekolah berkenaan. Usai solat, En. Yahya sempat juga melihat keadaan asrama anak-anak putera dan puteri di sekolah tersebut.
 
Tuan Pengarah juga menyampaikan mesej antibuli kepada anak2 di SM Sains Labuan.
Semoga anak2 ini sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t dan dilindungi daripada sebarang perkara2 yang tidak baik.




KARNIVAL PENDIDIKAN PLATFORM TERBAIK LAHIRKAN KECEMERLANGAN PELAJAR PRA SEKOLAH

Labuan, 23 Ogos 2025 – Karnival Kecemerlangan Pendidikan menjadi platform terbaik bagi pelajar pra sekolah memupuk keyakinan diri, membina bakat terpendam dan menanam minat terhadap pembelajaran.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Yahya Ahmad Puteh berkata kanak-kanak pra sekolah ini adalah generasi pelapis yang bakal mencorakkan masa depan negara.
Ini kerana melalui program seperti karnival ini merupakan manifestasi kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysi dalam melahirkan generasi pewaris bangsa yang holistik.
Di samping membentuk para pelajar yang berdaya saing dan seimbang dari segi intelek, emosi, rohani serta jasmani.
 
Selain itu, penganjuran karnival ini untuk mencungkil bakat anak-anak pra sekolah, memberi pendedahan awal tentang kepentingan penglibatan dalam kokurikulum serta menyediakan kemahiran insaniah untuk melangkah ke alam persekolahan.
 
Seterusnya para pelajar dapat belajar erti persaingan sihat, semangat berpasukan dan disiplin diri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kecemerlangan Pendidikan 2025 peringkat Labuan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.
 
Pada karnival itu pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya Pertandingan Tarian Lagu Rakyat, Pertandingan Mutiara Hadis, Fantasi Si Cilik dan Pertandingan “Kita Serupa” bagi pelajar Pendidikan khas.
SK Lubok Temiang dinobatkan Johan pertandingan tarian lagu rakyat sekali gus menjadi juara keseluruhan karnival itu yang melibatkan 14 buah sekolah rendah pra sekolah di sini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Jabatan Pendidikan Labuan, Sawal Salleh.
 
Sumber Berita : FB BES Labuan




Majlis Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa Murid Serta Penyerahan Slip Peperiksaan / Pentaksiran Penggal 1 dan PBD SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 09 Ogos 2025 – SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Majlis Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa  Tingkatan 1 hinggga 5 bagi membincangkan pencapaian murid dalam Peperiksaan Pertengahan Sesi Akademik (PPSA) dan PBD untuk tingkatan 4 dan 5 dan juga penyerahan slip Pentaksiran Penggal 1 dan PBD untuk Tingkatan 1 hingga 3.

Seramai 413 orang ibu bapa yang menghadiri program ini bersama dengan anak masing-masing bertujuan untuk mengambil slip Peperiksaan Pertengahan Sesi Akademik (PPSA) untuk tingkatan 4 dan 5 dan juga slip Pentaksiran Penggal 1 dan PBD untuk Tingkatan 1 hingga 3. Turut hadir sebagai tetamu kehormat  Azeryn Bin Mamma dan Mohd Nazri Mustapa selaku Pegawai Angkat Sekolah, Encik Heidar Hussien Bin Md Rashid, Yang Dipertua PIBG SMK Taman Perumahan Bedaun, Norazita binti Md.Nor @ Shamsuri, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun, Puan Chai Yee San, penolong kanan pentadbiran, Puan Seri Kandi Binti Muali, penolong kanan Hal Ehwal Murid dan Encik Yee Choon Hian, Penolong kanan kokurikulum.

Program ini diadakan adalah untuk membincangkan hala tuju dan perkembangan pembelajaran murid khususnya yang akan menduduki SPM bermula awal bulan November ini. Selain itu, perkongsian idea antara pihak sekolah dan ibu bapa dapat dieratkan dan seterusnya meningkatkan kerjasama antara ibu bapa dan guru-guru dalam menangani masalah murid sama ada dari segi kehadiran, sahsiah dan prestasi akademik. 

 Pada awal program, semua ibu bapa, guru dan murid berkumpul di Dataran Bedaun yang mana program diawali dengan slot PIBG yang telah disampaikan oleh wakil Persatuan Ibu, Bapa dan Guru, Encik Heidar Hussien Bin Md Rashid (Yang Dipertua PIBG SMK Taman Perumahan Bedaun). Dalam ucapan beliau, beliau banyak memberikan pendapat dan dorongan kepada ibu bapa dalam memberikan Kerjasama kepada pihak sekolah khususnya dalam memastikan anak-anak hadir dan fokus dalam pembelajaran di sekolah. Penekanan dalam kepentingan perhatian ibu bapa terhadap anak-anak adalah dorongan dalam membantu pihak sekolah dalam mendidik anak-anak di sekolah.

Seterusnya, Norazita binti Md Nor, Pengetua, SMK Taman Perumahan Bedaun membentangkan  analisis dan perkembangan pencapaian murid Tingkatan 1 hingga 5 secara umumnya dan secara khasnya berkenaan dengan tingkatan 5 yang akan menduduki SPM. Norazita memulakan pembentangan dengan laporan pencapaian Pentaksiran Penggal 1 untuk murid tingkatan 1 hingga 3, seterusnya laporan Peperikaan Pertengahan Sesi Akademik (PPSA) tahun 2025 bagi tingkatan 4 dan 5.

Beliau juga membentangkan isu-isu dan cabaran utama sekolah seperti penurunan murid lulus kedua-dua mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah. Norazita seterusnya menunjukkan countdown hari SPM serta tarikh-tarikh penting SPM sama ada Ujian Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Hadis (UTQH), Ujian Lisan Bertutur dan Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Ujian Amali Sains Bersepadu (UAS) serta Ujian Bertulis SPM. Peperiksaan sebenar SPM bermula 18 Ogos 2025 iaitu Ujian Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Hadis (UTQH), seterusnya 03 November 2025 dengan  Ujian Lisan Bertutur dan Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Ujian Amali Sains Bersepadu (UAS) serta Ujian Bertulis SPM.

Akhir sekali, Puan Norazita membentangkan sasaran sekolah seperti 100% murid layak mendapat sijil, Gred purata sekolah 4.90, sekurang-kurangnya 10 orang mendapat 6A dan 2 orang mendapat semua A. Norazita juga menyatakan harapan sekolah agar murid dapat hadir ke sekolah sepanjang waktu persekolahan dan melibatkan diri 100 % dalam PdP di kelas dan juga Kelas Bimbingan Masteri yang diadakan oleh pihak sekolah pada setiap petang. Murid juga diingatkan hendaklah menjaga hubungan baik dengan guru, ibu bapa, ahli keluarga dan orang sekeliling. Selain itu, pihak sekolah juga memberikan motivasi diri kepada murid agar motivasi mereka dapat dipacu sepanjang waktu pembelajaran melalui Bimbingan Kaunseling. Akhir sekali, harapan sekolah agar ibu bapa dapat memberikan sokongan moral terhadap pembelajaran anak dan terhadap aktiviti dan program sekolah seperti memantau jadual anak, bincang prestasi anak dengan guru, sokongan emosi dan motivasi, sediakan persekitaran pembelajaran di rumah dan sediakan bantuan tambahan seperti Tusyen tambahan jika perlu.

Selepas sesi pembentangan, Majlis diteruskan lagi dengan Bacaan Ikrar Akujanji Penetapan Matlamat / Target SPM murid yang diketuai oleh saudari Nur Qaisara Najwa binti Johari serta Bacaan Ikrar Akujanji Ibu Bapa yang dipimpin oleh En. Heidar Hussein bin Mohd Rashid, YDP PIBG SMK Taman Perumahan Bedaun.

Selepas sesi bergambar, sesi penyerahan Slip Peperiksaan Pertengahan Sesi Akademik dan PBD bagi murid SPM Tahun 2025 oleh guru kelas diadakan di Dataran Bedaun untuk Murid Tingkatan 5 sekaligus perbincangan perkembangan murid antara ibu bapa dan guru kelas. Bagi penyerahan Slip Peperiksaan Pertengahan Sesi Akademik dan PBD bagi murid tingkatan 4 serta penyerahan Slip Pentaksiran Penggal 1 dan PBD tingkatan 1 hingga 3 diadakan di kelas masing-masing.




Program Career Exploration (CEP)

TARIKH : 19.08.2025 (SELASA)
MASA : 12.00tghri – 5.00ptg
LOKASI : Auditorium Utama, Labuan International School (LIS)
 
Program Career Exploration (CEP) telah berlangsung dengan jayanya sebagai inisiatif Impak Sosial PINTAR Foundation bersama rakan program iaitu PERKESO Sabah, ConocoPhillips Malaysia dan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Program ini memberi pendedahan awal kepada murid sekolah menengah tentang peluang kerjaya, kemahiran masa depan serta persediaan menghadapi dunia pekerjaan.
Syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini demi membina generasi lebih berdaya saing.




Jelajah Pengakayra Muda ASWARA peringkat Kebangsaan (W.P Labuan) 2025

Labuan, 16-17 Ogos 2025 – Program anjuran rakan strategik BSTP KPM iaitu ASWARA telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Benua, SSTP W.P Labuan. Seramai 27 orang murid dari 9 buah sekolah menengah telah berjaya menghadiri program ini. Program ini bertujuan untuk memupuk tabiat membaca melalui penulisan kreatif dalam bentuk penghasilan cerpen dan skrip TV.

Rombongan ASWARA terdiri daripada 5 orang pegawai yang diketuai oleh Encik. Mohd Ridzuan Harun – Ketua Program Ijazah Penulisan Kreatif ASWARA.

Majlis penutupan disempurnakan oleh En Yahya Bin Ahmad Puted , Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan turut dihadiri oleh En Asmawi bin Ahmad selaku wakil Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Diharapkan hubungan strategik antara agensi pendidikan tertinggi dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

#sstpjpwpl
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#jpwpl
#LabuanBISAI
#100peratuskitapunya




KEM LITERASI AL-QURAN SIRI 3 (KLaQ)

Labuan, 9 Ogos 2025 – Sekolah Kebangsaan Pekan Satu sekali lagi mencatat kejayaan cemerlang apabila berjaya menganjurkan Kem Literasi al-Quran Siri 3 (KLaQ) dengan jayanya.
Program ini merupakan kesinambungan daripada siri-siri terdahulu yang bertujuan memperkukuh penguasaan bacaan al-Quran murid tahun 6 .

Kem sehari penuh ini melibatkan seramai 72 orang peserta daripada semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan. Ianya dikendalikan dengan penuh komitmen oleh barisan fasilitator terlatih di bawah penyelarasan Ustazah Sanisah Zulkifle dari Sektor Pendidikan Islam.

Sepanjang kem berlangsung, para peserta telah diberi bimbingan intensif dalam bacaan Iqra’, teknik asas tajwid dan makhraj huruf serta motivasi rohani untuk mendekatkan diri kepada al-Quran.
Seramai 20 orang murid berjaya melepasi tahap Iqra’ 3, satu pencapaian yang amat memberangsangkan dan menjadi bukti keberkesanan pendekatan yang digunakan dalam kem ini.
Kejayaan ini turut mencerminkan kesungguhan murid serta sokongan padu daripada guru-guru dan fasilitator.

Semoga program seperti ini dapat diteruskan demi melahirkan generasi celik al-Quran yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia. Inisiatif seperti KLaQ bukan sahaja memperkukuh literasi al-Quran, malah menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak sejak usia muda.