Bengkel Literasi Jawi: Bugarkan Kaedah, Semarakkan Ukhuwah

Labuan, 5 Februari 2026 – Bengkel Pembinaan Bahan Literasi Jawi Sekolah Rendah telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Ko Kurikulum Negeri dengan kehadiran seramai 17 penyelaras Jawi sekolah rendah.
 
Bengkel ini dikendalikan oleh Ustazah Dalilah Desa, Munsyi Jawi Kebangsaan yang juga merupakan Guru Besar SK Bukit Kalam bersama Ustaz Zulkornain Ahmad dari SK Rancha-Rancha.
 
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk membugarkan kaedah pengajaran Jawi dalam kalangan penyelaras Jawi sekolah rendah serta membina bahan pengajaran literasi Jawi yang boleh dimanfaatkan oleh guru dan murid di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Melalui bengkel ini, diharapkan usaha memperkasakan literasi Jawi dapat diperkukuh sekali gus menyemarakkan kecintaan terhadap tulisan warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.



SESI LIBAT URUS SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM BERSAMA KETUA PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH BIL 1/2026

Labuan, 3 Februari 2026 – Sesi ini telah dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim dengan kehadiran penuh semua Ketua Panitia Pendidikan Islam.
 
Antara fokus utama perbincangan termasuk:
• Penetapan sasaran petunjuk prestasi utama bagi subjek Pendidikan Islam dan elektif
• Analisis pencapaian program j-QAF
• Perancangan program ke arah pencapaian KPI
• Takwim program adab dan nilai peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan
• Garis panduan pelaksanaan pertandingan, aktiviti dan kem Program Adab dan Nilai.
 
Pengerusi turut menekankan peranan penting Ketua Panitia dalam membimbing ahli panitia secara berterusan, demi menjamin kelestarian kecemerlangan Pendidikan Islam di peringkat sekolah.



Bengkel Bina Upaya Ketua Panitia Matematik Sekolah Rendah

Labuan, 26 & 27 Januari 2026 – Unit Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Bengkel Bina Upaya Ketua Panitia Matematik bersama Setiausaha Panitia Matematik sekolah-sekolah rendah WP.Labuan pada 26 dan 27 Januari 2026, bertempat di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.
 
Bengkel ini telah dihadiri oleh 34 peserta dan 17 pembentangan berjaya dilaksanakan sepanjang bengkel tersebut. Ketua Panitia Matematik sekolah telah berjaya membuat perkongsian analisis data Pemulihan, data PLaN, data UASA dan juga PBD.
 
Ketua Panitia turut menbentangkan isu-isu serta intervensi berkesan yang membantu menyelesaikan isu-isu pembelajaran mata pelajaran Matematik.dalam bilik darjah.
 
Bengkel ini telah disempurnakan oleh Datin Hanijah Meskan, Mentor Kajian Penandarasan Antarabangsa yang merasmikan majlis perasmian penutupan.
 
Semoga pengisian bengkel ini memberi manfaat kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran Matematik sekolah rendah di negeri ini.
 
#jpwpl
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia



Program PAKAT: Kurikulum Prasekolah 2026 & Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas)

Labuan, 29 Januari 2026 – Program PAKAT: Kurikulum Prasekolah 2026 & Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas) dengan jayanya dan keterlibatan yang menghimpunkan kepimpinan pendidikan, warga sekolah dan ibu bapa komuniti di Labuan.
 
Suasana program yang seronok dengan pelbagai aktiviti kreatif, dinamik dan interaktif menyerlahkan pembelajaran menyeronokkan di peringkat prasekolah.
 
Program bermakna ini telah dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Omar bin Salleh, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM). Situasi ini merupakan satu tanda yang jelas komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak.
 
Sesi soal jawab berlangsung dengan aktif yang melibatkan ibu bapa murid prasekolah daripada pelbagai aliran termasuk prasekolah KPM, tadika swasta yang berdaftar dengan KPM dan tadika PERPADUAN.
 
Program PAKAT ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kefahaman bersama serta membina keyakinan komuniti terhadap transformasi pendidikan awal kanak-kanak demi kemenjadian murid yang holistik.
 
SUMBER BERITA : FB Bahagian Pendidikan Islam KPM



BENGKEL PEMERKASAAN PLC GURU PENDIDIKAN ISLAM DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA

Labuan, 29 Januari 2026 – Bengkel Pemerkasaan Professional Learning Community (PLC) Guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Pusat Ko Kurikulum.
 
Bengkel ini dikendalikan oleh Pn. Juraidah Aman, SISC+, dengan penglibatan seramai 30 orang peserta.
Bengkel ini bertujuan memperkukuh pelaksanaan PLC sebagai salah satu inisiatif pembangunan guru yang amat penting dan perlu dilaksanakan di setiap sekolah.
 
Sepanjang bengkel, sesi berjalan dalam bentuk perbincangan dua hala antara penceramah dan peserta sekali gus mewujudkan suasana yang interaktif dan berkesan. Para peserta turut berkongsi pengalaman serta amalan PLC yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025 di sekolah masing-masing yang memberikan inspirasi dan idea baharu untuk penambahbaikan pada tahun ini.
 
Bengkel ini diharapkan dapat memperkasakan guru Pendidikan Islam dalam aspek profesionalisme serta mengukuhkan budaya kolaboratif di sekolah seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.



LAWATAN KERJA PENGARAH BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KE SMA MAIWP LABUAN

Labuan, 29 Januari 2026 – Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) telah menerima lawatan kerja Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Tn Hj Omar bin Salleh dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan Islam sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Tn Hj Sawal bin Salleh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Pn Kamariah binti Salim serta pegawai-pegawai JPWPL.
 
Sepanjang lawatan, rombongan telah dibawa meninjau kawasan sekolah termasuk bilik darjah, kemudahan pembelajaran dan infrastruktur utama di SMA MAIWPL bagi memastikan persekitaran pendidikan berada dalam keadaan terbaik.
 
Pengetua sekolah, Pn. Siti Aminah Zakaria bersama barisan penolong kanan turut menyambut kehadiran rombongan dan memberikan taklimat ringkas mengenai usaha berterusan sekolah dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan sahsiah.
 
Selain itu, YBrs. Tn Hj Omar bin Salleh turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak pentadbir SMA MAIWP Labuan mengenai hala tuju dan rancangan pendidikan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh peranan sekolah agama sebagai pusat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
 
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Bahagian Pendidikan Islam dan JPWPL dalam menyokong pembangunan sekolah-sekolah agama di Wilayah Persekutuan Labuan, di samping memperkukuh kerjasama antara pihak pengurusan sekolah dan jabatan pendidikan.



PROGRAM CPD: PEMANTAPAN PLC & PENJAMINAN KUALITI PBD

Pada 27 Januari 2026 (Selasa), satu Program Continuous Professional Development (CPD) bertajuk “Pemantapan PLC dan Penjaminan Kualiti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)” telah berjaya dilaksanakan pada jam 2.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat SMKTPB.

Program ini telah dihadiri oleh 23 orang Ketua Panitia bersama 22 orang ahli panitia, melibatkan keseluruhan warga pendidik sekolah. Penceramah jemputan, SISC+ Pn. Juraidah binti Aman, telah menyampaikan penerangan yang jelas dan komprehensif berkaitan konsep Professional Learning Community (PLC), kaedah pelaksanaannya di peringkat panitia serta contoh format pelaporan PLC yang berkesan. Selain itu, sesi ini turut memberi penekanan kepada penjaminan kualiti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi memastikan pentaksiran yang dilaksanakan adalah sah, adil dan berimpak tinggi terhadap pembelajaran murid.

Tujuan utama program ini adalah untuk memantapkan pelaksanaan PLC serta memperkukuh penjaminan kualiti PBD, sejajar dengan aspirasi peningkatan profesionalisme guru dan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Sebagai tanda penghargaan, Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Mat Nor @ Shamsuri, telah menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah atas perkongsian ilmu dan komitmen yang diberikan.

Diharapkan program ini dapat memberi impak positif serta menjadi pemangkin kepada budaya kolaboratif dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan guru demi kecemerlangan sekolah.

Pengetua Puan Norazita menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah CPD Puan Juraidah.