LAWATAN KERJA PENGARAH BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KE SMA MAIWP LABUAN

Labuan, 29 Januari 2026 – Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) telah menerima lawatan kerja Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Tn Hj Omar bin Salleh dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan Islam sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Tn Hj Sawal bin Salleh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Pn Kamariah binti Salim serta pegawai-pegawai JPWPL.
 
Sepanjang lawatan, rombongan telah dibawa meninjau kawasan sekolah termasuk bilik darjah, kemudahan pembelajaran dan infrastruktur utama di SMA MAIWPL bagi memastikan persekitaran pendidikan berada dalam keadaan terbaik.
 
Pengetua sekolah, Pn. Siti Aminah Zakaria bersama barisan penolong kanan turut menyambut kehadiran rombongan dan memberikan taklimat ringkas mengenai usaha berterusan sekolah dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan sahsiah.
 
Selain itu, YBrs. Tn Hj Omar bin Salleh turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak pentadbir SMA MAIWP Labuan mengenai hala tuju dan rancangan pendidikan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh peranan sekolah agama sebagai pusat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
 
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Bahagian Pendidikan Islam dan JPWPL dalam menyokong pembangunan sekolah-sekolah agama di Wilayah Persekutuan Labuan, di samping memperkukuh kerjasama antara pihak pengurusan sekolah dan jabatan pendidikan.



PROGRAM CPD: PEMANTAPAN PLC & PENJAMINAN KUALITI PBD

Pada 27 Januari 2026 (Selasa), satu Program Continuous Professional Development (CPD) bertajuk “Pemantapan PLC dan Penjaminan Kualiti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)” telah berjaya dilaksanakan pada jam 2.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat SMKTPB.

Program ini telah dihadiri oleh 23 orang Ketua Panitia bersama 22 orang ahli panitia, melibatkan keseluruhan warga pendidik sekolah. Penceramah jemputan, SISC+ Pn. Juraidah binti Aman, telah menyampaikan penerangan yang jelas dan komprehensif berkaitan konsep Professional Learning Community (PLC), kaedah pelaksanaannya di peringkat panitia serta contoh format pelaporan PLC yang berkesan. Selain itu, sesi ini turut memberi penekanan kepada penjaminan kualiti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi memastikan pentaksiran yang dilaksanakan adalah sah, adil dan berimpak tinggi terhadap pembelajaran murid.

Tujuan utama program ini adalah untuk memantapkan pelaksanaan PLC serta memperkukuh penjaminan kualiti PBD, sejajar dengan aspirasi peningkatan profesionalisme guru dan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Sebagai tanda penghargaan, Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Mat Nor @ Shamsuri, telah menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah atas perkongsian ilmu dan komitmen yang diberikan.

Diharapkan program ini dapat memberi impak positif serta menjadi pemangkin kepada budaya kolaboratif dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan guru demi kecemerlangan sekolah.

Pengetua Puan Norazita menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah CPD Puan Juraidah.