Tarian Singa Pupuk Perpaduan Warga SK Pantai

LABUAN, 4 FEBRUARI –
Tarian Singa yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina telah diadakan
dengan meriah di Dataran Datuk Mary Yap, SK Pantai. Aktiviti yang dijadikan
sebagai acara tahunan bermula dari tahun lepas itu berperanan sebagai salah
satu usaha pihak sekolah dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga
SK Pantai.

Majlis pelancarannya
telah disempurnakan oleh Puan Mahani Bt Hussin, Guru Besar SK Pantai. Dalam
ucapannya, selaras dengan tema nilai murni bulan Februari, amalan hormat
menghormati haruslah disemai dalam jiwa seluruh warga SKP dalam meraikan
perbezaan antara kaum-kaum di Malaysia. Beliau turut menggesa agar warga SKP
menjadi warga yang harmoni dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain
tanpa mengira agama atau kaum.

Majlis tersebut turut
dihadiri oleh barisan pentadbir yang terdiri daripada En Mohamad Rizdauddin B
Abd Wahap, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Azlina Bt Abd Garip, Penolong Kanan
HEM, Puan Farina Bt Mustapa, Penolong Kanan Kokurikulum  dan Puan Halifah Bt Salim, Penolong Kanan
PPKI. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran semua guru dan staf sokongan
SKP. Menariknya, bukan hanya murid-murid yang teruja dengan persembahan
tersebut, ia turut menarik perhatian staf kesihatan KKM yang sedang menjalankan
pemeriksaan kesihatan di sekolah pada hari tersebut.

Persatuan Goh Lion Dance Association telah dijemput bagi tahun kedua berturut-turut untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan mempersembahkan tarian singa. Turut menarik perhatian ialah dinding yang dihiaskan dengan tema Tahun Baru Cina, serta di seluruh kawasan sekolah termasuk pondok Nilam, pondok PPKI dan prasekolah, yang meningkatkan rasa keterujaan dalam kalangan murid-murid dalam menantikan kedatangan tarian singa. Tarian singa tersebut turut disertai oleh murid-murid program pendidikan khas integrasi dengan singa buatan sendiri.

Bertepatan dengan
Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, majlis seperti ini sangat
sesuai diadakan diperingkat sekolah sebagai salah satu aktiviti tahunan untuk
menerapkan perpaduan dan meningkatkan rasa hormat menghormati di kalangan
murid-murid SK Pantai. Dengan acara sebegini telah memberikan platform kepada
murid pelbagai kaum berinteraksi supaya menjadi lebih erat. Program seumpama
ini juga sebagai salah satu cara untuk menangani gejala ponteng dengan menarik
minat murid bermasalah kehadiran untuk datang ke sekolah.

Penyelaras program, Pn
Natasha turut berterima kasih kepada semua warga SKP khasnya barisan pentadbir
dan guru-guru atas kerjasama yang mantap dalam memastikan kelangsungan dan
kelancaran majlis tersebut.