Semua Sekolah Menengah W.P Labuan Disanitasi

Labuan, 19 Januari : Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif menyelaras program sanitasi di semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menjelang pembukaan sekolah pada 20 Januari 2021. Program yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, APAM dan PDRM telah dilaksanakan mulai 15 hingga 19 Januari 2021.

Kerjasama bersepadu ini telah diselaraskan oleh Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Menurut penyelaras program, Encik Ahmad Firdaus Lee bin Abdullah berkata sebanyak 10 buah sekolah menengah telah disanitasi termasuk Kolej Vokasional Labuan.

“Program ini bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan premis dan bangunan sekolah berada di tahap terbaik menjelang pembukaan sekolah untuk murid-murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6” kata beliau lagi.

Pasukan sanitasi diterajui oleh Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P Labuan yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Azlan bin Talin. Menurut beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pandemik Covid 19 dapat dibentung sepenuhnya.

Sebelum memulakan kerja-kerja sanitasi, beliau turut membuat taklimat ringkas berkaitan sanitasi kendiri yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa oleh mana-mana organisasi.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan Covid19 tidak menular dalam masyarakat” ujar beliau lagi.

Penerangan oleh Encik Azlan sebelum memulakan sanitasi
Proses sanitasi di dalam bilik darjah

Proses sanitasi ini juga turut mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pentadbir sekolah. Pengetua SMK Labuan yang juga YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail bin Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat membantu sekolah dalam kerja-kerja sanitasi kali ini. Beliau turut memaklumkan sebanyak 6 blok bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, makmal, dewan serta kemudahan-kemudahan lain telah disanitasi dalam program yang bermula dari jam 9.00pagi hingga 10pagi Sabtu lalu.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama padu pelbagai pihak dalam membantu pihak jabatan melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sekolah kali ini.

“Apapun yang kita lakukan adalah sebenarnya demi kepentingan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan. Kita juga mahu ibubapa yakin dan percaya bahawa kita telah mengambil langkah-langkah perlu dan proaktif demi menjaga keselamatan anak-anak mereka apabila sekolah mulai beroperasi nanti. Keselamatan dan kesihatan semua murid dan guru adalah keutamaan jabatan dan tidak boleh dikompromi dalam situasi pandemik Covid-19” tambah beliau lagi.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Penyelaras program Encik Firdaus Lee ( kiri ) sedang memantau sanitasi di sekolah-sekolah W.P Labuan
Sanitasi SMK Taman Perumahan Bedaun
Sanitasi SMK Pantai IBWS



SPI Anjurkan Empat Kem Program Adab dan Nilai (ADNI) Secara Atas Talian Untuk Murid Sekolah Menengah Tahun 2020

Labuan –  Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menganjurkan empat kem di bawah Program Adab dan Nilai (ADNI) untuk murid sekolah menengah secara dalam talian pada setiap Sabtu bermula 17 Oktober 2020 sehingga 7 November 2020 melalui aplikasi Google Meet.

e-Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah-Sekolah (e-NKISS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan membuka tirai pelaksanaan kem ini yang diadakan pada 17 Oktober 2020 melibatkan seramai 76 orang murid tingkatan 4 daripada 9 buah sekolah menengah di wilayah ini.

Menurut Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai (ADNI) Sektor Pendidikan Islam (SPI) selaku penyelaras kem Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Nadwah kepimpinan Islam merupakan aktiviti berbentuk kem yang diadakan sejak 2003 bagi melahirkan saf kepemimpinan murid yang berketerampilan selari dengan tuntutan Islam bahawa kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t.

Sepanjang kem ini peserta didedahkan dengan ilmu, kemahiran dan gaya kepemimpinan wasatiyah agar mampu menguruskan keperluan dan cabaran persekitaran semasa berlandaskan kepemimpinan Rasulullah s.a.w.. Slot ceramah telah di sampaikan oleh Al Fadil Ustaz Syahmun bin Yahaya, penceramah yang diundang daripada Kolej Matrikulasi Labuan.

Antara pengisian di dalam kem ialah perbincangan berkaitan Modul Qiyadi Murid Islam di dalam slot ilmu, ceramah kepemimpinan, sesi soal jawab bersama penceramah, pembentangan isu, menjawab soalan kuiz dan pertandingan mimbar Qiyadi. Peserta dinilai sepanjang kursus oleh fasilitator manakala penilaian kendiri keberkesanan program dan selepas kem dilakukan oleh peserta sendiri.

Ustaz Syahmun bin Yahaya menyampaikan ceramah dalam e-Nadwah Kepemimpinan Islam.

Turut hadir di dalam kem ini Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Hajah Kamariah binti Salim, Penolong-penolong pengarah di SPI dan 14 orang guru yang bertindak sebagai fasilitator .

“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t di atas limpah perkenan-Nya, dapat kita bersama melaksanakan Nadwah Kepimpinan Islam biarpun kem kali ini diadakan secara atas talian sahaja sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan kita bersama dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.”

“Seperti tahun-tahun lalu Nadwah Kepimpinan Islam dilaksanakan untuk melahirkan pemimpin pelapis muda yang berkepimpinan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dalam merealisasikan satu ummah berperibadi muslim sepanjang zaman” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Nadwah Kepimpinan Islam.

Menurutnya lagi, melalui penglibatan aktif peserta di dalam sesi perbincangan dan pembentangan isu ianya dapat mencungkil dan mengenal pasti ciri-ciri seorang pemimpin yang cemerlang, berfikiran positif, kreatif dan kritis serta mampu mengendalikan perbincangan secara sistematik.

Puan Hjh Kamariah menyampaikan ucapan penutupan semasa Nadwah e-Nadwah Kepemimpinan Islam secara atas talian.

Sementara itu, e-Kem Pemantapan Akidah Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMPAK)  Peringkat Negeri W.P Labuan telah dilaksanakan pada 24 Oktober 2020 (Sabtu) yang disertai seramai 71 orang murid tingkatan 1 hingga 5 di 9 buah sekolah menengah dan 13 orang guru sebagai fasilitator.

Kem Pemantapan Akidah bertujuan untuk menanam  perasaan kecintaan dan keyakinan kepada Islam dalam diri peserta agar mereka meyakini bahawa Islam adalah agama yang benar dan terbaik untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kem ini bertujuan untuk mencetuskan semangat dan motivasi dalaman peserta ke arah menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang berpegang dengan akidah ahli sunnah wal-jamaah. Slot ceramah telah disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Jamek Layang-Layangan W.P Labuan Al Fadil ustaz Muhammad Syafie bin Abdul Ghani.

Ustaz Muhammad Syafie bin Abdul Ghani menyampaikan ceramah dalam e-Kem Pemantapan Aqidah.

e-Kem Pemantapan Sahsiah Murid Sekolah-Sekolah  KPM (e-KEMPAS) Peringkat Negeri W.P Labuan pula diadakan pada 31 Oktober 2020 (Sabtu) yang melibatkan seramai 69 orang murid tingkatan 1 hingga 5 dari 9 buah sekolah menengah di W.P Labuan dan disertai 12 orang guru. 

Kem ini dilaksanakan  untuk mengurangkan kes-kes perlanggaran disiplin sekolah oleh pelajar-pelajar yang berisiko di samping memberi penekanan kepada aspek pembentukan sahsiah diri.

Di samping itu, KEMPAS dilaksanakan untuk mencetuskan semangat dan motivasi dalaman peserta ke arah menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah unggul. Slot ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Agama Petronas W.P Labuan Ustaz Hj Norazlan bin Mahmood.

e-Kem Jati Diri Murid Sekolah-Sekolah  KPM (e-KEMJAD) Peringkat Negeri W.P Labuan diadakan pada 07 November 2020 (Sabtu) yang melibatkan seramai 84 orang murid tingkatan 1 hingga 5 dari 9 buah sekolah menengah di W.P Labuan dan disertai 16 orang guru. Slot ceramah telah disampaikan oleh pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan Ustaz Shahirul bin Abdullah. Sektor Pendidikan Islam merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru selaku penyelaras dakwah sekolah dan ibu bapa yang bekerjasama menyediakan peranti untuk anak-anak menyertai kem ini dengan jayanya.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Penyelaras Kem ADNI, Tuan Hj Sahrum menyampaikan taklimat awal semasa sesi pendaftaran kem.
Peserta e-Kem Jati Diri Murid Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMJAD) merakamkan gambar bersama penceramah dan urusetia program.



e-KEMFIT : Platform Baharu Dalam Pelaksanaan Kursus Di Kalangan Murid Sekolah Rendah

Labuan, 21 November –  Seramai 69 orang peserta tahun 1 hingga 6 daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Wen dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa menghadiri Kem Fitrah Kasih yang dilaksanakan secara maya bermula jam 8.00 pagi melalui aplikasi google meet.

Kem Fitrah Kasih (KEMFIT) ini dilaksanakan bagi memantapkan aktiviti Pendidikan Islam bagi murid-murid Islam di SJKC. Ia merupakan program pembentukan jati diri seiring dengan keperluan syariat dengan menekankan aspek aqidah, ibadah, akhlak, pengurusan dan tanggungjawab sebenar sebagai hamba Allah, insan, anak dan murid.

Menurut penyelaras program Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), KEMFIT dilaksanakan saban tahun yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengukuhan kefahaman tentang asas akidah, ibadah dan akhlak Islam agar proses penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian dapat diamalkan.

“Seperti tahun-tahun lalu, KEMFIT dilaksanakan selama dua hari di mana peserta perlu bermalam. Mereka akan dibimbing menjalani rutin harian bermula dengan aktiviti riadah, sesi suai kenal, sesi kuliah, solat berjemaah, makan beramai-ramai dengan adab yang betul, sesi perbincangan dalam kumpulan, pembentangan dan juga qiamulail. Namun disebabkan situasi pendemik covid-19 yang tidak mengizinkan, kem pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian sahaja”.

“Kita mengharapkan agar peserta yang mengikuti kem ini dapat melaksanakan amalan ibadah secara konsisten seperti solat berjemaah, membaca al-Quran dan zikir setiap hari, suka mendengar tazkirah, kuliah mahupun ceramah, berwuduk dengan betul, menutup aurat dan sebagainya, inshaAllah” katanya semasa berucap di dalam kem tersebut.”.

Menurutnya lagi, pendedahan dan pengukuhan berkaitan dengan aspek disiplin diri seperti menepati masa, menjaga kebersihan seperti mencuci tangan, memakai hand sanitizer, menjaga penjarakan social, duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, menjaga kekemasan diri, semangat kerja sepasukan dan persaingan sihat sesama peserta amat dititikberatkan di dalam kem ini biarpun ianya dilaksanakan secara atas talian.

Pelaksanaan e-KEMFIT dan sesi perbincangan di kalangan peserta berjalan lancar dengan menggunakan aplikasi google Meet.

Terdapat dua jenis aktiviti yang boleh dilakukan di bawah program ini iaitu aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam dan aktiviti pengukuhan berbentuk Kuiz. Aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan amalan Islam sepanjang kursus ini dan menekankan persaingan sihat. Manakala aktiviti kuiz dilaksanakan untuk menilai kefahaman peserta kursus.

Sektor Pendidikan Islam mengucapkan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam SJKC Chi Wen dan SJKC Chung Hwa selaku penyelaras program di peringkat sekolah dan ibu bapa yang berjaya memastikan peserta kursus hadir dengan jayanya mengikut ketetapan masa yang diberikan oleh pihak penganjur.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Tafaqquh Fiddin : Jalinan Kerjasama Antara JPWPL Dengan KUPU

Labuan, 20 November – Program Tafaqquh Fiddin, jalinan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama,(KUPU) Seri Begawan secara dalam talian berjaya dilaksanakan dalam suasana muhibbah pagi tadi.

Majlis yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam, JPWPL bermula seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 yang dipimpin oleh Al Fadl ustaz Mohd Fadzli bin Sheikh Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha. Ianya diikuti dengan bacaan surah Yaasin dan doa yang dipimpin oleh Al Fadl ustaz Jailani bin Muda dari SMK Labuan.

Tafaqquh Fiddin merupakan Program Bina Upaya Warga Pendidikan khususnya Guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini dilaksanakan untuk memastikan wujud kesatuan pemikiran dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat.

Melalui Program Bina Upaya ini adalah diharapkan warga pendidikan dapat menerima dengan jelas hala tuju dan citra negara terutamanya peranan mereka sebagai pendakwah agar menepati 5 ciri Pendidik Muslim iaitu sebagai Muallim, Mudarris, Murabbi, Muaddib dan Mursyid

Program Tafaqquh Fiddin kali ini dilaksanakan secara kerjasama antara JPWPL dengan KUPU bagi meraikan hubungan strategik pendidikan antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam sepertimana Perjanjian Persefahaman yang telah dimeterai pada 15 Januari 2019.

Majlis secara maya menggunakan aplikasi google meet ini telah dihadiri oleh Pengarah JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, guru-guru Pendidikan Islam dan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan. Siaran langsung majlis ini turut dimuat naik dalam Facebook Live  dan You Tube Live.

Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU), Seri Begawan telah dijemput sebagai penyampai slot bingkisan ilmu dan Yang Mulia Barisan Pensyarah Pusat Ilmu Teras, KUPU.

Yang Mulia Dr. Haji Adanan dalam bingkisan ilmunya memberi pelbagai tips sebagai hamba dalam mencari redha Allah s.w.t..

“Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat perlulah mendapat keredhaan Allah s.w.t.. Allah redha kita, semua yang ada di dunia dan di langit akan redha kepada kita. Justeru, perkara asas dalam kehidupan ialah kembali kepada sunnah. Siapa yang mengamalkan sunnah pasti mendapat kerahmatan daripada Allah s.w.t.”.

Beliau turut menyenaraikan empat ciri utama yang perlu ada dalam diri pendidik iaitu Hayyin, pendidik yang memilik sikap tenang tidak mudah marah dan penuh pertimbangan sebelum mengambil keputusan. Layyin, pendidik yang baik dalam bertutur kata serta bersikap santun dan lembut terhadap orang lain. Qarib, pendidik yang ramah ketika berbicara, akrab, menyenangkan orang lain dan yang terakhir Sahl iaitu pendidik yang selalu memudahkan urusan orang lain.

Sementara itu Pengarah Pendidikan JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih di atas kesudian Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar memenuhi undangan dalam Program Tafaqquh Fiddin.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana jalinan kerjasama pendidikan di antara JPWPL dengan KUPU masih lagi terjalin biarpun dalam situasi Covid-19. Kita berdoa semoga jalinan kerjasama ini akan berterusan dan majlis seperti ini dapat dilaksanakan sama ada seminggu sekali ataupun sebulan sekali untuk kita berkongsi ilmu”.

“Kita di Malaysia sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 6 Disember. Alhamdulillah, meskipun semua sekolah ditutup namun anak-anak kita masih lagi meneruskan pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah  (PDPR) sehingga 18 Disember 2020. Pengenalan kepada norma baharu yang terarah kepada pengajaran berpusatkan pelajar (student based-learning) tidak menghadkan peranan guru untuk berbakti.” katanya lagi.

Di akhir ucapan, Puan Khaziyati melahirkan pengharapan agar syor yang dicadangkan oleh mantan pengarah JPWPL iaitu Encik Raisin bin Saidin sewaktu memegang jawatan pengarah JPWPL agar Praktikal training KUPU di Labuan dapat direalisasikan, inshaAllah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Ceramah “Utusan Terakhir” Mewarnai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPWPL

Labuan, 30 Oktober – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 250 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi .

Sambutan Maulidur Rasul ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam manakala bacaan Surah Yassin dan bacaan doa selamat pula diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPWPL.

Ceramah Maulidur Rasul bertajuk ‘Utusan Terakhir’ telah disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Haji Ahmad Sharizal bin Mohd Saffian daripada Puzat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan secara santai namun penuh ilmiah. Penceritaan tentang kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di kota Mekah dan Madinah amat terkesan di hati pendengar.

“Mencintai Rasulullah s.a.w. itu tidak ada tempoh masa tertentu, ia perlu disemarakkan setiap hari dalam kehidupan seharian kita termasuk dalam konteks rumah tangga, kemasyarakatan sehingga kepada Negara”. katanya .

Tuan Haji Ahmad Sharizal menyampaikan ceramah “Utusan Terakhir”.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2020M/1442H diadakan secara telesidang menggunakan aplikasi google meet dan Facebook live berjalan lancar.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL , ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya Puan Khaziyati  berkata Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan secara atas talian sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan bersama dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya berdoa semoga Allah Ya Alim Ya Hakeem memberkati kita semua. Semoga seluruh warga Pendidikan di W.P. Labuan ini dikurniakan dengan pertambahan ilmu dan kebijaksanaan serta merahmati  majlis ini sebagai medium untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu agama kita dalam memantapkan kecintaan kita kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w”.

Katanya lagi, 12 Rabi’ul Awwal pada setiap tahun adalah sangat penting untuk diraikan, sebagai tanda syukur dan bahagia dengan kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.

“Sesuai dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni. Apabila ummah kembali kepada nilai-nilai agama Islam atau agama Rabb maka pastinya Negara berada dalam suasana harmoni. Maka bersama kita mengambil iktibar dari Pendekatan Nabi dalam menghadapi wabak covid-19 yang telah dikongsikan oleh Ustaz Ahmad Salehuddin bin Shafie, BPI KPM iaitu akronim PKP yang dirujuk sebagai Pencegahan, Kelebihan Berdoa Dan Pengamalan”. Katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Puan Khaziyati menyampaikan ucapan semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Beliau turut berdoa agar ceramah yang disampaikan tadi dapat meneguhkan jati diri dan akhlak kita sebagai seorang muslim yang bersama-sama membina Ummah Rabbani agar kita dapat hidup harmoni dalam Negara Malaysia tumpah darah kita ini.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di akhiri dengan bacaan selawat yang dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad Sharizal.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Hj Abdul Rahman memimpin bacaan surah Yassin dan doa selamat semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.



Modul Mumtaz Pendidikan Islam: Buah tangan untuk Calon SPM 2020

Labuan, 16 Oktober  Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama guru-guru Pendidikan Islam Tingkatan Lima di Labuan berjaya menghasilkan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020. 

Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM merupakan modul yang menghimpunkan soalan-soalan topikal Pendidikan Islam tingkatan 4 dan tingkatan 5 kertas 1 dan kertas 2 sebagai latih tubi untuk murid-murid menjawab soalan-soalan bagi persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada Januari 2021.

Seramai 21orang jawatankuasa penggubal soalan telah memerah tenaga dan fikiran mereka dalam menghasilkan modul ini. Penerbitan modul muntaz merupakan cetusan idea Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam (SPI) Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff semasa Dialog Prestasi SPM bersama Ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah yang diadakan pada Jun lalu.

Majlis penyerahan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Puan Khaziyati binti Osman kepada pengetua dalam majlis ringkas selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan (JPAK) di Bilik Botanikal JPWPL pada 12 Oktber lalu.

Pengetua SMK Lajau, Encik Mohd Jamatin (kanan) menerima modul Mumtaz daripada Puan Khaziyati (dua dari kanan)

Dalam perutusan Pengarah, Puan Khaziyati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan  dan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) di sekolah menengah khususnya Guru Pendidikan Islam yang mengajar Tingkatan 5  atas kerjasama dalam menyumbangkan masa dan tenaga untuk menghasilkan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.

Menurutnya lagi, penerbitan modul ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu untuk meningkatkan prestasi murid dalam peperiksaan awam secara berterusan.

Puan Khaziyati turut menzahirkan pengharapan agar calon-calon SPM berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan diri dalam mata pelajaran Pendidikan Islam Kertas 1 dan 2 seterusnya menghargai pengorbanan ustaz dan ustazah mendidik dan membimbing sepanjang sesi persekolahan bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima .

Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL, Ustazah Kamariah binti Salim turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam tingkatan 5 di atas penerbitan Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.

Katanya, di sebalik isu Pendemik Covid-19 yang melanda dunia dengan penutupan beberapa buah sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan yang diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semestinya menimbulkan keresahan dalam kalangan warga pendidikan dan ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka. Justeru, modul Mumtaz ini diharap dapat digunakan oleh calon-calon SPM untuk membuat ulangkaji dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.

 “SPI berharap agar modul yang sangat berharga ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 seterusnya membantu mereka untuk belajar secara kendiri dalam suasana yang ketidak tentuan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini “.

“Kita mendoakan agar usaha murni para asatizah diberkati Allah s.w.t. seterusnya dapat melonjakkan lagi prestasi SPM 2020 di Wilayah Persekutuan Labuan, inshaAllah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Ustaz Mohd Fadzli dan Ustazah Mahani menerima sijil penghargaan sebagai jawatankuasa penggubal Modul Mumtaz daripada pengetua Encik Yahya.
Pegawai-pegawai Sektor Pendidikan Islam bergambar bersama Modul Mumtaz Pendidikan Islam SPM 2020.



SPI Turun Padang : Promosi Kelas Aliran Agama

Labuan, 23 September – Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengadakan Sesi Kunjung Bantu ke sekolah-sekolah yang menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) untuk mempromosikan  KAA bagi murid tingkatan empat tahun 2021.

Sesi Kunjung Bantu ke tiga buah sekolah yang menawarkan KAA iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM), Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) ini dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah Binti Salim dan Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff .

Program yang bermula jam 8.30 pagi di SMK Mutiara berakhir dengan jayanya jam 12.50 tengah hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha. Sasaran program adalah murid tingkatan 3 yang sedang mengikuti KAA di sekolah berkenaan. Turut hadir dalam program tersebut ialah pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam bin Yassin dan pengetua SMKRR, Encik Yahaya Bin Puteh.

Objektif Kunjung Bantu Ke KAA adalah untuk menarik minat murid tingkatan tiga agar meneruskan pembelajaran di KAA semasa tingkatan empat tahun 2021 nanti.

Ustazah Kamariah berkata pelajar-pelajar tingkatan tiga aliran agama mempunyai peluang yang luas untuk memilih opsyen sama ada aliran STEM agama atau sastera agama semasa di tingkatan empat.

“JPWPL dalam rangka kerja membuat pemusatan KAA di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) mulai tahun 2021 dengan pengambilan pertama pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat. InshaAllah tahun 2022, pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima akan berada di SMKRR” katanya semasa program kunjung bantu tersebut.

Promosi: Kamariah (kanan) menyampaikan taklimat berkaitan kemasukan pelajar ke Kelas Aliran Agama dan kemasukan pelajar ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

Katanya, pada tahun hadapan pelajar tingkatan dua dan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM) akan meneruskan pembelajaran mereka sehingga selesai kohort pembelajaran menengah rendah begitu juga pelajar  tingkatan lima di SMKM.

Dalam ucapannya Ustazah Kamariah menzahirkan pengharapan agar murid-murid tingkatan tiga ini dapat meneruskan pembelajaran di KAA.

“Hakikatnya, pelajar lepasan KAA telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta mungkin lebih baik daripada aliran lain. Malah ada di antara mereka yang menjawat jawatan penting di Syarikat Petroleum dan institusi kewangan”.

Justeru, stigma masyarakat yang beranggapan lulusan KAA hanya menjadi seorang ustaz dan ustazah adalah kurang tepat. Malahan di Labuan ini, JPWPL berharap agar pelajar lepasan KAA dapat mengisi jawatan guru pendidikan Islam yang amat diperlukan kini”

Sementara itu, Ustaz Mohd Syahir turut memberi ceramah motivasi bertajuk Auta versus Fakta Kelas Aliran Agama dan 5 sebab menjadi murid Kelas Aliran Agama.

Beliau berkata, senario remaja hari ini yang dilanda pelbagai masalah disiplin dan salah laku, maka aspek pendidikan agama harus lebih dititik beratkan di samping persekitaran sekolah yang beriklim dinie ke arah membentuk pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempunyai akhlak yang mulia.

“Pelajar KAA merupakan permata masa hadapan yang akan melahirkan tenaga professional yang berjiwa tasawur pemikiran Islam. Mereka menjadi contoh tauladan atas kecemerlangan akademik dan berkeperibadian mulia. Malah dicemburui oleh rakan-rakan kerana disayangi guru” katanya lagi.

Tekun: Murid-murid Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara begitu tekun mendengar promosi KAA yang disampaikan oleh penceramah.

Pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam Bin Yassin berkata, pelajar  KAA beruntung berbanding aliran biasa kerana mereka memperolehi bahasa tambahan iaitu Bahasa Arab. Malah mereka juga berpeluang untuk meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran di dalam Kelas Kemahiran Al- Quran (KKQ).

“Pihak sekolah telah menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar memilih opsyen tingkatan empat tahun hadapan. Rebutlah peluang ini untuk anda meneruskan pembelajaran kerana asas KAA selama tiga tahun telah kamu lalui dengan jayanya” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam program tersebut.

Seramai 85 pelajar tingkatan tiga mengikuti Promosi KAA yang diadakan di sekolah masing-masing iaitu 41 pelajar dari SMKM, 21 pelajar dari SMKTPB dan 23 pelajar daripada SMKRR. Program ini telah diurus setiakan oleh penyelaras KAA sekolah terlibat dengan jayanya.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Amanat: Yahaya menyampaikan taklimat mengenai perancangan sekolah dalam memperkasa KAA.
Potret kenangan: Ustazah Kamariah (dua dari kanan) dan Ustaz Mohd Syahir (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Encik Yahaya (dua dari kiri) dan Ustaz Mohd Fadzli (kanan) di Pusat Sumber SMKRR.
Kunjung Bantu: Gambar sekitar program Kunjung Bantu SPI ke KAA



Pusat Sumber DSDN Smk Rancha-Rancha Laksanakan Program Memartabatkan Kerjaya Sebagai Pustakawan

27 OGOS 2020 – W.P Labuan, Pusat Sumber Dato Seri Datin Hajjah Norsiah (PSS DSDN) SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah melaksanakan program Seminar Membina Kerjaya Sebagai Pustakawa secara atas talian. Pihak pengurusan PSS DSDN telah mengambil inisiatif pintar dengan membuat penganjuran secara kolaboratif bersama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan. Program yang dijalankan semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan sempena pandemik Coronavirus-19 ini telah sepenuhnya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara maya seperti mana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Aplikasi  Stream Yard dan Youtube  menjadi media utama perkumpulan peserta yang terdiri dari 4000 peserta dari seluruh negara. Peserta  seminar terdiri darpadai pelbagai peringkat umur  bermula dari pelajar sekolah rendah hinggalah pekerja pustakawan di sektor swasta.

Di dalam ucapan alu-aluannya kepada para peserta, En.Yahya bin Ahmad Puteh selaku Pengetua SMKRR telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan program yang dirancang. Beliau juga turut memberikan pujian kepada pihak pengurusan PSS DSDN SMKRR di bawah pengurusan En Sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan & Media kerana  berjaya mendapatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Malaysia dan beliau juga berharap agar Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha akan menjadi hab tranformasi minda komuniti bukan sahaja di Labuan malahan komuniti di seluruh Malaysia.

Majlis pada petang itu dirasmikan oleh  Tn. Awang Marteen bin Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Negeri Labuan. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi rasa kagum dan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha. Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha  berjaya menjadi penganjur bersama di dalam program ilmu yang sangat memberi impak kepada para peserta program. Beliau turut menegaskan bahawa kerjaya sebagai pustawaan sangat dipandang tinggi dan dihormati. Pustakawan adalah tempat rujukan bagi orang-orang yang membuat kajian dan pustakawan ini lah yang akan mencari bahan-bahan rujukan dan menunjukan cara-cara mencari bahan menggunakan Databases.Beliau berharap agar pengawas pusat sumber sekolah membuka minda untuk melihat tanggungjawab yang diamanahkan oleh sekolah membantu pengurusan pusat sumber sekolah sebagai latihan untuk membina kerjaya pada masa hadapan

Objektif penganjuran program Seminar Membina Kerjaya Sebagai Pustakawan atas talian anjuran bersama Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dan SSTP JPN Labuan adalah untuk  menghasilkan para pelajar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pendidikan kerjaya yang jelas matlamat hidup. Selain itu, menimbulkan rasa minat pengawas pusat sumber untuk memilih kerjaya sebagai pustakawan serta memberi pengetahuan kepada pengawas pusat sumber tentang mata pelajaran yang harus diambil untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains perpustakaan dan para peserta seminar atas talian ini juga dapat mengetahui bidang kerjaya  sebagai pustakawan dengan lebih luas.  

Seminar atas talian anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah mencatakan rekod penyertaan yang tinggi apabila lebih kurang 4000 peserta berkampung di chanel Youtube E-Didik. Pihak penganjur telah memilih panel profesional yang terdiri daripada latar belakang sebagai pustakawan. Panel pertama merupakan seorang Mahasiswa  UITM Rembau Negeri Sembilan jurusan pengurusan perpustakaan iaitu En. Ariez Hazaril bin Ab. Llah. Panel kedua merupakan seorang guru perpustakaan pemenang    anugerah Ikon GPM Kebangsaan 2017 iaitu Cikgu Juliawati bin Sakiman  dan penal ketiga merupakan Pustakawan kanan Perpustakaan Universiti Malaya iaitu Dr. Mohd Faizal Hamzah. Ketiga-tiga orang panel pada seminar itu telah berjaya mengupas persoalan yang diajukan moderator iaitu Cikgu Jasmini bte Daud. Turut membuat memberi ulasan seminar pada petang itu ialah Ikon GPM negeri Sabah iaitu Cikgu Prasad bin Ridwan  serta Ikon GPM negeri Pahang iaitu Cikgu Ishak bin Hasan.

Sebagai menghargai pengurusan program yang cemerlang, Sektor Sumber Pengurusan Teknologi Jabatan Pendidikan Labuan telah memberikan sijil penghargaan kepada Cikgu Sapri bin Idris. Pada majlis itu juga SSTP JPN Labuan turut memberikan sijil penghargaan kepada SMK Rancha-Rancha atas penganjuran seminar. Cikgu Sapri bin Idris sebagai Ikon GPM & TMK peringkat negeri W.P Labuan menzahirkan rasa kesyukuran kerana seminar yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Beliau turut berharap seminar yang diadakan dapat memberi kesedaran kepada pangawas pusat sumber sekolah bahawa tugas yang mereka pikul merupakan platform untuk mereka mempunyai kerjaya yang menjamin masa hadapan.




Ismail Abdullah Kekal Jawatan YDP MPSM Labuan

Labuan, 12 Sept – Encik Ismail bin Abdullah berjaya mengekalkan jawatan sebagai Yang DiPertua(YDP) Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Cawangan W.P. Labuan buat kali kedua berturut-turut. Pemilihan yang turut melibatkan jawatankuasa tertinggi bagi tempoh 2020-2022 telah dibuat dalam Mesyuarat Agung MPSM pada Khamis lalu.

Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Puan Khaziyati Osman telah hadir merasmikan Mesyuarat Agung yang dibuat di salah sebuah hotel di pusat bandar.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh semua pengetua di wilayah ini bagi memastikan kualiti sekolah berada pada tahap yang membanggakan.

Beliau turut menekan kepada prinsip kerja OBEDIENT (Outcome based, Believe, Efficient, Data driven, Innovative and creative, Effective, Now, Thinker) untuk diamalkan bagi memacu pendidikan di wilayah ini jauh ke hadapan.

“Kita mesti berusaha memastikan kehadiran murid ke sekolah kekal tinggi terutamanya murid-murid tingkatan 5. Kita juga perlu pastikan tiada murid yang mengalami defisit pembelajaran untuk menjamin peningkatan prestasi terutamanya dalam peperiksaan SPM tahun ini” katanya lagi.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati Osman merasmikan Mesyuarat agung MPSM

Terdahulu, Encik Ismail selaku YDP MPSM telah menyatakan sokongan padu kepada barisan kepimpinan pendidikan dan berharap dapat terus bekerjasama demi kemenjadian anak-anak di Labuan.

Pemilihan jawatankuasa tertinggi telah dilaksanakan secara tertib melibatkan semua pengetua sekolah menengah termasuk pengetua SM Sains Labuan dan Pengarah Kolej Vokasional Labuan. Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad telah bertindak sebagai pemerhati kepada proses pemilihan yang telah dijalankan.

Jawatan Timbalan YDP telah dimenangi oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim yang juga pengetua SMK Mutiara. Sementara itu jawatan Setiausaha Kehormat disandang oleh Pengetua SM St. Anne, Puan Mary Anita Abah manakala Puan Norazita binti Mohd Nor sebulat suara dipilih sebagai bendahari.

Turut hadir di dalam mesyuarat agung tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

Berita Oleh : MPSM Labuan

Penyerahan Nota Serah Tugas TYDP daripada Encik Jamatin bin Abdul Latif kepada Encik Mohd Nizam
Penyerahan Nota Serah Tugas Setiausaha Kehormat daripada Puan Dona Unduh kepada Puan Mary Anita Abah
MPSM W.P Labuan bergambar kenangan bersama Pengarah Pendidikan



Sekolah-Sekolah Pencapaian Lulus 100% Bahasa Melayu SPM 2019 Berkongsi Kejayaan

Labuan, 18 Ogos – Pasukan Task Force Bahasa Melayu SPM Jabatan Pendidikan WP Labuan telah memberi ruang kepada sekolah-sekolah yang mencapai kejayaan lulus 100% SPM 2019 berkongsi pengalaman dalam satu perjumpaan pada 17 Ogos 2020 bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Pantai.

Guru-guru yang kini mengajar Tingkatan 5 tahun 2020 dari sekolah SM St Anne, SM St Anthony, SMK TP Bedaun, SMK Rancha-Rancha dan SM Sains telah berkongsi intervensi  dan pengalaman  suka duka mereka membimbing murid sehingga ke minit-minit terakhir sebelum anak-anak murid tersayang masuk ke dewan peperiksaan.

Banyak inovasi dan intervensi yang boleh dijadikan rujukan dan juga diaplikasikan mengikut kesesuaian oleh sekolah-sekolah lain.

Turut hadir sama dalam majlis perkongsian ini ialah Pengerusi Bersama Task Force Bahasa Melayu iaitu Puan Norazita Md Nor (Pengetua SMK Pantai) dan En Yahya Ahmad Puteh (Pengtua SMKRR), Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Bahasa serta Puan Hjh Siti Zahara Mohamad, SISC+ dari Sektor Pembelajaran JPWPL.

Encik Yahya sedang memberi suntikan semangat kepada para guru-guru

Dalam ucapan penyuntik semangat, En Yahya Ahmad Puteh menekankan usaha serta komitmen tinggi semua pihak.

Task Force Bahasa Melayu ini sangat bernilai kerana ia akan menjadi salah satu pencetus & penentu Layak Sijil anak-anak murid kita bagi SPM 2020”

Apa yang dapat dirumuskan dari sesi perkongsian ini, perkara paling utama ialah sentuhan dari hati ke hati guru kepada murid, motivasi pengetua kepada guru dan pemberian ganjaran yang akhirnya berjaya membakar semangat untuk lulus dalam peperiksaan.

Perkongsian ini juga berjaya menanam semangat juang dalam diri guru-guru khususnya Guru-guru Bahasa Melayu. Semoga SPM 2020 akan membuahkan kejayaan lulus 100% bagi semua sekolah di WP Labuan. Usaha tangga kejayaan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran