Borang Kajian Tindakan 12 Langkah Dibentangkan Bangkok

01 – 02 Ogos 2019 – School Improvement Specialist Coach (SISC+) W.P.Labuan, Suriani Alland Rice Oxley telah membentangkan kertas penyelidikan beliau bertajuk Using ‘12 Steps Form’ In Conducting Action Research And It’s Impact On Teachers’ Continuous Professional Development di Universal Academic Cluster International August Conference , SM Tower, Bangkok. Konferens yang bertemakan academic & multidisciplinary ini telah dianjurkan oleh Walailak University Coordination Unit, Thailand.

Sebanyak 18 kertas penyelidikan telah dibentangkan dikonferens sehari ini. Para pembentang terdiri daripada ahli ilmiah dan pakar dalam bidang masing masing yang datang daripada pelbagai universiti seperti University of Agriculture, Faisalabad, Pakistan, Don Mariano Marcos Memorial State University, Philippines, Cadi Ayyad University, Morocco, The Hang Seng University of Hong Kong, Khon Kaen University dan Maejo University, Thailand, Indonesian Defense University, Cairo University, Egypt, Middle Technical University, Iraq, Pusan National University, South Korea, University of Cape Coast, Ghana, Tshwane University of Technology, South Africa serta Universiti Kebangsaan Malaysia termasuk wakil tunggal dari Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.

Konferens ini memberi
peluang kepada semua ahli akademik dan penyelidik dari seluruh dunia berkongsi
kepakaran dan pengetahuan serta bertukar-tukar pendapat. Melalui konferens ini
juga, para peserta dapat bersemuka dan berkenal-kenalan antara satu sama lain
dan seterusnya mewujudkan jaringan akademik dengan mereka yang datang dari
pelbagai institusi pendidikan serta dari pelbagai negara.




Kem Bina Juara Anjuran Sektor Pendidikan Islam

Labuan, 10 Ogos –  Seramai 100 orang murid dan 19 orang guru dari seluruh  sekolah rendah sekitar WP Labuan telah menjayakan Kem Bina Juara (KBJ) peringkat WP Labuan bagi tahun 2019 di Pusat Kokurikulum Negeri pada  6 hingga 8 Ogos yang lalu. Program KBJ ini adalah anjuran Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Penyelaras Program ini ialah Ustazah Sitti Rahimah binti Yusuppu (Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Isam).

Program ini telah dihadiri oleh murid-murid yang berpotensi dalam bidang Al-Quran, Khat dan Bahasa Arab. Murid-murid yang terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan besar.

36 orang murid terlibat dengan Modul Tahsin dan Tarannum Al-Quran, 31 orang murid bagi Modul Jawi dan Khat, dan 33 orang murid lagi dengan Modul Bahasa Arab (Hiwar).

Murid-murid ini telah dibimbing oleh fasilitator yang mahir dalam bidang masing-masing. Fasilitator adalah dalam kalangan guru-guru sekolah rendah sekitar WP Labuan dan 2 orang fasilitator jemputan dari Jabatan Agama Islam (JAWI) Labuan iaitu Ustaz Tahang bin Chongo bagi Modul Tarannum dan Ustaz Mohd Fadhil bin Abdullah bagi Modul Khat.

Latihan Dalam Kumpulan Modul Jawi dan Khat
Latihan Dalam Kumpulan Modul Tahsin dan Tarannum

Program selama tiga hari ini dilihat memberi
impak yang besar kepada murid-murid. Menurut Ustazah Anfal binti Amir (Kem
Komandan KBJ) “Para peserta mampu
menunjukkan bakat dalam bidang masing-masing, setelah mengikut LDK selama 3
hari.”

Program KBJ juga telah memilih peserta terbaik bagi setiap modul. Bagi Modul Tahsin dan Tarannum, Peserta Terbaik Lelaki ialah adik Muhammad Aisy Hafiy khairullah bin Harma Hazizi dari SK Sungai Bedaun yang telah dibimbing oleh Ustaz Tahang bin Chongo dan Ustaz Zulkornain bin Ahmad.

Manakala Peserta Terbaik Perempuan ialah adik Puteri Nurbuhairah Binti Norazlan dari SK Bebuloh yang telah dibimbing oleh Ustaz Nawawi bin Ejal dan Ustaz Mohd Firdaus bin Yahaya.

Seterusnya bagi Modul
Jawi dan Khat , Peserta Terbaik Lelaki ialah Adik Mohammad Aiman Ramadhan Bin
Haliman dari SJK (C) Chi Wen, murid ini telah dibimbing oleh Ustaz Mohd Fadhil
bin Abdullah dan Ustazah Khamisah binti Ismail dan Peserta Terbaik Perempuan
pula telah diberikan kepada Adik Dayang Shaidatul Atirah Binti Saamsul dari SK
Patau-Patau yang telah dibimbing oleh Ustaz Zulkarnain bin Ali dan Ustazah  Norhafizah binti Lamudin.

Bagi Modul Bahasa Arab (Hiwar) pula peserta terbaik Lelaki diberikan kepada adik Muhammad Ammar Afi Bin Azlan dari SK Pantai, yang telah dibimbing oleh Ustaz Ciptho Wiryawan @ Mohd Ikhwani. Peserta Terbaik Perempuan pula diberikan kepada Anis Hamraa Hazimah Binti Taufik dari SK Kerupang yang telah dibimbing oleh Ustazah Sanisah binti Zulkile.

Penyampaian Hadiah Peserta Terbaik oleh Ustaz Mohd Syahir kepada Adik Muhammad Aisy Hafiy Khairullah, disaksikan oleh Ustazah Sitti Rahimah dan Ustaz Sahrum.

Menurut Ustazah Sitti Rahimah binti Yusuppu (Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Isam) Penyelaras Program KBJ,  “Alhamdulillah,
semua peserta memberi maklumbalas yang positif. Saya sangat bersyukur dan
berterima kasih kepada semua yang menjayakan program ini, Urusetia, Kem
Komandan dan penolongnya, Barisan Fasilitator, murid-murid serta ibu bapa yang
sangat komited”.
Katanya semasa majlis penutupan kem tersebut.

Ketua Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusof turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa KBJ, para fasilitator, yang memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan Kem Bina Juara ini.

“Sekali lagi ucapan tahniah dan terima kasih dari Sektor Pendidikan Islam buat semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan KBJ 2019”. Katanya dengan penuh bangga dalam ucapan perasmian penutupan.

Beliau berharap semoga input yang diperolehi oleh anak-anak peserta melalui kem ini dapat  meningkatkan keyakinan diri untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan lain di sekolah, samada dalam bidang Tarannum, Khat atau Hiwar Bahasa Arab.

Turut hadir, Ustaz Sahrum bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Latihan Dalam Kumpulan Modul Bahas Arab (Hiwar)
Latihan Dalam Kumpulan Modul Bahasa Arab (Hiwar)
Penyelaras Program KBJ (Ustazah Sitti Rahimah binti Yusuppu) bergambar bersama peserta KBJ
Peserta dari SK Sungai Bedaun merakamkan gambar kenangan Program Kem Bina Juara 2019



Pengetua dan Guru Besar Sekolah Hadiri Dialog Prestasi Negeri Bil. 3, 2019

Labuan, 6 Ogos – Semua pengetua dan Guru Besar telah menghadiri Dialog Prestasi Negeri Bil. 3/2019 yang telah diadakan hari ini bertempat di Bilik Kiansam, BTPN Labuan.

Dialog Prestasi Negeri (DPN) kali ini memberi fokus kepada kepada 3 daripada 4 Kluster DPN iaitu Kehadiran dan Enrolemen Murid (kluster 1), Pelaporan PBD (kluster 2), Beban Tugas Guru dan TS25 (Kluster 4). Kluster 3 tidak dibincangkan dalam DPN kali ini.

Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin telah mempengerusi DPN yang turut dihadiri oleh ketua-ketua sektor dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan.

Di dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menekankan kepentingan pihak sekolah mengenalpasti setiap isu dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian berdasarkan senario sekolah masing-masing.

Semua guru disaran mendidik murid secara bersungguh-sungguh dengan amalan kasih-sayang selaras dengan konsep Labuan SUPERB, Guru Sayang Muridnya.

Para Pegawai JPWPL, Pengetua dan Guru Besar dalam Mesyuarat DPN Bil 3
Para Pegawai JPWPL, Pengetua dan Guru Besar dalam Mesyuarat DPN Bil 3

Dalam sesi perbincangan berdasarkan kluster, Encik Raisin Saidin telah meminta maklumbalas segera daripada Pengetua dan Guru Besar berkaitan isu-isu dan data-data yang dibincangkan.

Hal ini adalah untuk memastikan PGB sentiasa mampu merancang dan melaksanakan intervensi tepat berdasarkan data-data di sekolah masing-masing. Input-input yang diperolehi akan digunakan sebagai sokongan apabila menghadiri Dialog Prestasi peringkat Nasional nanti.

Mengulas tentang isu dalam kluster 4 berkaitan kajian beban tugas guru, Encik Raisin Saidin merasa gembira kerana sekolah-sekolah telah berjaya melaksanakan arahan KPM ini dari semasa ke semasa.

Namun begitu, setiap guru mesti boleh membezakan antara tugasan tambahan yang membebankan dan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.

Di akhir sesi dialog, Encik Raisin Saidin sekali lagi mengingatkan bahawa semua sekolah mesti berfikir dalam satu kerangka dan halatuju yang sama iaitu ke arah peningkatan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

SKPMg2 juga hendaklah digunakan sebagai alat pengurusan untuk memperbaiki kualiti sekolah secara menyeluruh.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara




JPWPL Jalin Hubungan Dua Hala dengan Negara Jepun

Labuan, 29 Julai – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya mewujudkan hubungan dua hala profesional dalam bidang pendidikan dan pembangunan bola sepak dengan negara Jepun.

Jabatan ini telah dikunjungi oleh oleh Mr Tatsuya Tony Takahashi, Director NPO SAM (Save the Asian Monuments), Mr Kojima Takuya, Senior Coach of Tokyo Football Association, Miss Iyama Tomomi, Nursing, medical science and student care teacher, Board member of NPO SAM dan Mr Daichi Baba, pada 25 Julai hingga 28 Julai 2019.

Rombongan telah melawat beberapa sekolah, antaranya ialah SK Sungai Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun dan SMK Mutiara.

Pihak sekolah telah membuat sesi perkongsian mengenai Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM), di samping aktiviti-aktiviti pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Rombongan NPO SAM, Jepun, Pegawai-pegawai JPNS, pegawai-pegawai JPWPL bergambar kenangan bersama murid-murid SK Sungai Bedaun.

Di SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun, Mrs Iyama Tomomi dan Mr Daichi Baba telah berkongsi kepada para guru berkenaan pendidikan dalam penjagaan kesihatan di sekolah-sekolah Jepun.

Dari kiri Dr Hyginus, Mrs Sally Ann Scott, Encik Mohd Nizam, Mrs Iyama Tomomi dan Mr Daichi dalam perkongsian pendidikan mengenai penjagaan kesihatan di sekolah-sekolah Jepun

Sempena lawatan tersebut juga, satu pertandingan Karnival Mini Liga Bola Sepak antara sekolah-sekolah Menengah di Labuan telah diadakan di Padang Bola Sepak SMK Pantai dan SK Pantai.

Mr Kojima Takuya telah mengambil bahagian sepenuhnya dalam karnival itu dengan memberi dorongan dan sokongan kepada sekolah-sekolah yang bertanding.

Beliau turut memuji kemahiran individu yang dimiliki oleh pemain-pemain sekolah di Labuan tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki terutama dalam permainan berpasukan.

Mr Kojima juga telah berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada jurulatih-jurulatih setiap sekolah dalam memperbaiki kelemahan pasukan dan pihaknya bersedia untuk membantu mengembangkan lagi teknik kejurulatihan dan kemahiran para pemain.

Beliau akan membawa para pemain remaja bola sepak di Jepun untuk membuat koloborasi dan perlawanan persahabatan bagi meningkatkan lagi pembangunan bola sepak di wilayah ini.

Mr Kojima dan Puan Norazita bersama pemain bola sepak SMK Pantai

Terdahulu, Mr Kojima dan Mr Daichi sempat menyertai pasukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam perlawanan persahabatan menentang Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Labuan.

Para Pemain JPWPL dan ATM Labuan
Dari kiri Mr Tony, Mr Daichi, Mr Kojima, Encik Raisin Saidin dan para pemain JPWPL

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin ketika ditemui dalam perbincangan antara kedua-dua pihak, mengucapkan terima kasih dan menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran para rombongan dari Jepun yang hadir.

Beliau berharap jalinan kerjasama ini dapat mewujudkan hubungan dua hala profesional dalam bidang pendidikan dan pembangunanan sepak bola untuk pengembangan profesional guru dan murid antara Labuan dan Jepun.

Perancangan seterusnya dengan membawa pelajar-pelajar daripada Universiti Toyo, Jepun untuk datang berkunjung ke Labuan pada tahun 2020.

Ketika sesi lawatan ke SMK Taman Perumahan Bedaun



Jalinan Pintar JPWPL dan KUPU, Brunei Darussalam

Labuan, 23 Julai – Jalinan kerjasama pintar yang telah terjalin bermula Januari 2019 yang lalu menjadi wadah kepada kerjasama berterusan antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Lawatan kerja perkongsian komuniti pembelajaran professional dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) para pensyarah dan pelajar KUPU bermula 22hb sehingga 25hb Julai merupakan peluang yang sangat berharga kepada warga pendidik di Wilayah Persekutuan Labuan.

Rombongan seramai 17 orang ini diketuai oleh Pensyarah KUPU, Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria.

Dalam beberapa siri lawatan ke sekolah, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah diwakili oleh Puan Khaziyati Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, merangkap Pengurus Program.

Antara sekolah yang dilawati oleh KUPU ialah SK Sungai Bedaun, SK Bebuloh, SK Pantai, SK Tanjung Aru, SMK Taman Perumahan Bedaun. Sekolah-sekolah ini merupakan sekolah yang terlibat dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Para Pelajar dan guru didedahkan dengan bahan inovasi yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar KUPU
Lawatan Perkongsian Inovasi PdP KUPU ke SK Bebuloh

Rombongan juga turut melawat Sekolah Menengah Agama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWP Labuan) dan membuat sesi perkongsian bersama guru Pendidikan Islam di Wilayah ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persektuan Labuan, Encik Raisin Saidin mengalu-alukan semua ahli rombongan ke pulau yang indah ini untuk lawatan kerja perkongsian pembelajaran melalui inovasi dan kreativiti pedagogi yang boleh memberikan kepelbagaian bentuk alat inovasi yang boleh membantu guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan.

Inovasi merupakan tindak kerja untuk membina satu perkara atau hasil yang baharu atau membuat satu pembaharuan. Dalam hal ini, sebarang inovasi yang dihasilkan dapat menyemarakkan idea kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bagi guru serta pengurusan berkesan kepada pemimpin dan pengurus di jabatan dan sekolah.

“Sehubungan dengan kehadiran rakan-rakan pendidik daripada negara Brunei Darussalam, bukan hanya dapat berkongsi kemahiran berinovasi dan berkreativiti dalam pendidikan, malah dapat mengukuhkan silaturrahim yang telah sedia terjalin”. Encik Raisin Saidin

Encik Raisin Sadin tertarik mendengar penerangan mengenai Inovasi KUPU oleh Ustaz Haji Roslan

Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Puan Khaziyati binti Osman berkata perkongsian ini akan memberi peluang kepada sekolah dan guru-guru Pendidikan Islam untuk menimba ilmu inovasi PdP yang pastinya boleh menambah kemahiran guru sedia ada.

Sementara itu, Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria selaku ketua rombongan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di atas sambutan dan layanan yang cukup istimewa kepada ahli rombongan.

Besarlah harapan beliau agar lawatan kerja pendidikan ini dapat mengukuhkan lagi jalinan pendidikan antara Malaysia dan Brunei Darusalam serta diberkati dengan silaturrahim berterusan.

Puan Khaziyati (4 dari kiri) dan Ustaz Dr Zulkifli bersama Ketua-Ketua Sektor, Pegawai JPWPL dan Para Pensyarah serta pelajar-pelajar KUPU ketika lawatan ke Jabatan Pendidikan WP Labuan

Sekitar Perkongsian Pintar inovasi KUPU bersama guru-guru Pendidikan Islam di Wilayah Persekutuan Labuan

Sekitar Perkongsian Pintar inovasi KUPU bersama guru-guru dan murid-murid SK Sungai Bedaun




Perhimpunan Bulanan JPWPL, Julai 2019 : Data Kita Tanggungjawab Kita

Labuan, 18 Julai – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah melancarkan Sambutan Bulan HRMIS Peringkat Negeri yang telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin pada Perhimpunan Bulanan JPWPL bertempat di BTPN Labuan, kelmarin.

Bulan Julai telah dijadikan Bulan HRMIS peringkat kebangsaan bagi mempromosi HRMIS, berkongsi maklumat serta permasalahan, meningkatkan ketepatan data HRMIS dan memperluaskan penggunaan Business Intelligence (BI) dalam analisis data HRMIS.

Encik Raisin Saidin berkata semua pemilik kompetensi (Competency Owner/ CO) perlu memastikan data masing-masing dalam HRMIS sentiasa dikemaskini, tepat dan berintegriti.

Ketepatan dan kesahihan data dalam HRMIS adalah tanggungjawab masing-masing. Saya menyeru semua warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan untuk bertanggungjawab dengan data yang terdapat dalam HRMIS seperti tagline Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Data Kita, Tanggungjawab Kita. Encik Raisin Saidin

Beliau juga menzahirkan kegembiraan dan tahniah di atas kejayaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan meraih 5 bintang Anugerah Kecemerlangan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS bagi tahun 2018.

Anugerah 5 Bintang HRMIS 2018 disampaikan kepada Pegawai Meja Puan Ajiejah

Dalam masa yang sama, Encik Raisin Saidin mengingatkan semua warga pendidikan, masih ada ruang penambahbaikan dalam HRMIS terutama memastikan data adalah sahih dan terkini.

Di majlis yang sama telah diadakan taklimat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan, penyampaian sijil kepada sekolah, surat kenaikan pangkat, sijil dan cenderamata, staff of the month dan sambutan Hari Lahir bagi bulan Julai 2019.

Cikgu Roziah Abdul Rahman, guru SM St Anthony telah diangkat sebagai Adiwira Guru Labuan bagi bulan Julai 2019.

Sambutan Hari Lahir Warga Pendidikan Labuan yang lahir pada bulan Julai
Encik Christopher menerima sijil kenaikan pangkat daripada Encik Raisin Saidin
Puan Khaziyati menyampaikan goodies Hari Lahir kepada Encik Raisin Saidin
Encik Azizi menerima sijil Staff Of The Month bagi bulan Julai 2019



SPI Dedahkan Guru Pendidikan Islam, PdP Berasaskan Teknologi

Labuan, 9 Julai – Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menganjurkan Bengkel Kerja Pemantapan Guru Pendidikan Islam dan Guru Bahasa Arab bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, WP Labuan.

Bengkel yang berlangsung selama 2 hari ini bermula 8hb Julai, telah berjaya menarik minat 65 orang peserta yang terdiri daripada 20 orang peserta sekolah menengah dan 45 orang peserta dari sekolah kebangsaan.

Ustazah Norshifa Saad, SISC+ Barat Daya dari Negeri Pulau Pinang telah dijemput sebagai penceramah sepanjang bengkel berlangsung.

Penceramah: Ustazah Norshifa Saad. SISC+ Barat Daya, Pulau Pinang

Di dalam bengkel tersebut perkongsian amalan terbaik dalam menggunakan aplikasi terkini untuk menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang menarik minat murid seiring perlaksanaan Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21) dan Revolusi Industri 4.0.

Antara aplikasi-aplikasi yang didedahkan seperti Google Classroom, Mentimeter, Google Keep, Zappar, Proprofs dan lain-lain lagi.

Rata- rata peserta seronok sepanjang bengkel tersebut diadakan dan memohon agar dilaksanakan bengkel lanjutan dan memilih mereka sebagai peserta kembali.

Ustaz Rahman sedang berbincang di dalam kumpulan mengenai teknologi mobile apps

Turut hadir di dalam bengkel tersebut, Ustazah Sitti Rahimah binti Yusuppu, Penolong Pengarah Unit Perancangan dan Pembangunan Islam, Sektor Pendidikan Islam.

Beliau selaku wakil sektor mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah atas segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan dan terima kasih juga kepada peserta-peserta bengkel atas kerjasama yang diberikan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Peserta Bengkel Sekolah Rendah



Perhimpunan Bulanan JPWPL, Jun 2019 : Contohi Teknik Rasulullah Mengajar

Labuan – Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah diadakan bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri pada 13 Jun lalu.

Berucap di majlis tersebut, Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi ilmu mengenai buku bertajuk 40 Teknik Rasulullah Mengajar, karangan Sheikh Abdul Al Fatah.

Beliau berkata, mengambil beberapa contoh teknik Rasulullah mengajar, seorang guru perlu menjadi ‘role model’ kepada murid, mengajar secara beransur-ansur disertai dengan kesabaran dan istiqamah, meraikan kesederhanaan dan mengelakkan kebosanan, meraikan perbezaan pelajar, berdialog dan sesi soal jawab serta teknik kiasan, perumpamaan.

Turut diadakan penyampaian sijil anugerah kecemerlangan kepada pihak sekolah, staff of the month , meraikan kakitangan yang bersara dan sambutan hari lahir kepada kakitangan jabatan serta sekolah yang lahir pada bulan Jun.

Majlis itu telah dihadiri oleh Ketua-ketua Sektor, para pegawai, Pengetua Guru Besar, guru-guru yang diraikan dan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menghargai dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Antarabangsa Labuan, Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne dan Adiwira Guru Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang di atas pengiktirafan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, baru-baru ini.




Marvin Terima Anugerah Khas Pengarah Pendidikan WP Labuan

Labuan – Adik Marvin Hing Majin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan Mei 2019.

Adik Marvin dipilih di atas kejayaan mendapat Pingat Perak dalam acara Lompat Jauh Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 bagi Kategori Lelaki 18 Tahun dan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik, mahupun kokurikulum.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata Anugerah Khas Pengarah ini, buat julung kalinya diberikan kepada murid bagi mengangkat martabat murid dan memberi pengiktirafan di atas pencapaian membanggakan yang telah ditunjukkan.

Anak kepada pasangan Encik Majin Basayu dan Puan Teo Boon Leng ini dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan mempunyai 2 orang adik beradik.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang olahraga khususnya lompat jauh ketika berumur 12 tahun di Sekolah Kebangsaan St Anne dan minat beliau diteruskan lagi di peringkat sekolah menengah, SMK Labuan.

Cikgu Faizal Abu Bakar, Cikgu Hafiz, Cikgu Bedevonsoon merupakan antara individu penting sebagai jurulatih yang telah membantu adik Marvin dalam bidang olahraga dan lompat jauh.

Dalam bidang akademik, beliau telah berjaya meraih 9A dalam PT3 dan mendapat gred A dalam SEGAK serta gred A PAJSK.

Beliau juga aktif dalam bidang sukan lain seperti badminton dan mewakili sekolah Labuan dalam permainan Catur Kebangsaan pada tahun 2017 dan 2018.

Di bidang kokurikulum, adik Marvin dan rakan-rakan telah berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan National Science Challenge 2018 peringkat negeri dan tempat pertama dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen peringkat negeri pada tahun 2016 dan 2017, seterusnya mewakili Labuan dalam peringkat Kebangsaan.

Harapan sebagai seorang atlit, adik Marvin berharap agar suatu hari nanti beliau dapat memenangi kejohanan SUKMA 2020 dan kejohanan di peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama sekolah, amnya Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini akan membuat yang terbaik untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan berharap berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Ditanya mengenai faktor kejayaan dalam acara lompat jauh MSSM 2019, beliau menjawab sokongan moral ibu bapa, rakan-rakan, inisiatif dan usaha para jurulatihnya yang melatih beliau bermula tahun 2015 sehingga hari ini.

Begitu juga dengan pihak sekolah yang mewujudkan tempat latihan bersesuaian dan menyediakan gelanggang lompat jauh yang membantu dalam meningkatkan kemahiran teknikal lompatan beliau.

Adik Marvin bersama Cikgu Faisal menunjukkan Pingat Perak yang dimenangi dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2019



Perhimpunan Bulanan, Mei 2019 : Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi

Labuan – “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”, tema Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang telah dipilih bagi bulan Mei 2019, selaras dengan tema sempena Hari Guru Kebangsaan 2019.

Majlis telah berlangsung pada 23 Mei lalu, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, WP Labuan, dihadiri oleh Ketua-ketua Sektor, Pegawai dan Kakitangan JPWPL serta para Pengetua Guru Besar.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapannya menggariskan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru.

Antaranya guru perlu sentiasa hadir ke sekolah dan masuk ke bilik darjah tepat pada waktunya. Ini penting kerana ianya memberi contoh teladan kepada murid mahupun kepada guru rakan sejawat dan menjadi akauntabiliti seorang guru untuk masuk ke bilik darjah untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Guru juga perlu memberi perhatian penuh kepada murid-muridnya secara menyeluruh dan rasa kepedulian yang tinggi. Ianya bertepatan dengan nilai teras yang diintegrasikan dalam sistem pendidikan negara oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui kasih sayang, kegembiraan dan sifat saling menghormati.

Adik Marvin Hing Majin telah dipilih menerima Anugerah Khas Pengarah di atas kejayaan merangkul pingat perak dalam acara lompat jauh dalam Kejohanan MSSM peringkat kebangsaan baru-baru ini serta pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik.

Adik Marvin Hing Majin bersama ibu bapanya menerima Anugerah Khas Pengarah

Cikgu Anne dari Sekolah Kebangsaan Patau-Patau telah dipilih sebagai Adiwira Guru bagi bulan Mei 2019.

Pada majlis tersebut juga diadakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada Encik Sahar Misron, mantan Pengetua SMK Pantai serta Puan Monica Liew Fook Jin, mantan Pembantu Operasi SK Sungai Bedaun yang telah bersara pada bulan Mei ini.

Baca Jasamu Dikenang : Terima Kasih Cikgu Omar, Terima Kasih Cikgu Sahar

Seramai empat orang Pengetua baharu yang telah dilantik iaitu Encik Mohd Nizam Yasim (SMK Mutiara), Encik Yahya Ahmad Puteh (SMK Rancha-Rancha), Puan Norazita Md Nor@Shamsuri (SMK Pantai IBWS) dan Puan Mary Anita Abah (SM St Anne).

Jasamu Dikenang : Encik Sahar Misron
Para Guru Besar sempat menggayakan suasana Hari Raya di perkarangan BTPN