Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan WP Labuan September 2019 Memberi Ruang Kepada Perkongsian Kerohanian

Labuan – Ustaz Mohd Sanusi bin Ya telah memberikan perkongsian ilmu kerohanian yang bermanfaat dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan September bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, baru-baru ini.

Perkongsian ilmu beliau adalah lebih kepada bagaimana hendak menjadi guru yang baik pada pandangan Islam. Beliau menggariskan lima kunci utama untuk menjadi guru yang baik.

Pertama seorang guru perlu mempunyai penampilan positif dalam semua aspek dan memiliki kriteria keguruan zahir dan batin. Penampilan guru yang baik memberi pandangan yang positif untuk membina keyakinan terhadap guru.

Kedua, seorang guru perlu mewujudkan suasana kondusif dalam persekitaran pendidikan dan sentiasa memastikan murid dididik dengan cermat dengan perkara yang boleh dan tidak boleh. Sebagai contoh bagaimana mengambil manfaat dan menolak mudarat melalui Revolusi Industri 4.0.

Ketiga, seorang guru perlu memiliki sebelum memberi. Guru perlu memiliki ilmu, kemahiran dan penghayatan dalam mengajar anak muridnya. Penghayatan seorang guru terhadap muridnya seperti mengenali tingkah laku dan sifat murid dapat melahirkan perasaan sayang serta percaya kepada murid.

Apabila guru sayang muridnya tanpa syarat dan percaya setiap murid memiliki nilai tersendiri yang perlu dihargai, insyaAllah semuanya menjadi lebih mudah. Tagline Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ‘Guru Sayang Muridnya’ dan Tagline SMK Labuan ‘Setiap murid bernilai’ seharusnya dapat dicerna untuk dijadikan landasan pengajaran.

Keempat, seorang guru perlu sentiasa menjalinkan silaturrahim di kalangan murid. Interaksi guru dan murid pada masa kini sudah jauh berubah. Guru mesti sentiasa menjadi relevan murid dengan arus perubahan yagng pantas ini. Guru perlu juga mewujudkan keharmonian dalam kepelbagaian interaksi antara  murid, ibubapa dan  komuniti (penghubung antara titik).

Terakhir sebagai seorang manusia, sebagai seorang guru kita ini hanya sebagai pelaksana proses. Penentu segalanya adalah Tuhan yang maha esa. Apa pun jua usaha kita jangan kita lupa untuk berdoa kepadaNya untuk sentiasa diberikan ilmu, refleksi diri dan sentiasa mencari keberkatan daripada Tuhan pencipta alam.

Sebagai kesimpulan, yang diperlukan oleh murid bukan lampu tetapi cahaya. Cahaya hanya terhasil dari keikhlasan dan penghayatan seorang guru terhadap muridnya.

Kita perlu memahami bahawa matlamat
pendidikan adalah untuk penyempurnaan tanggungjawab kekhalifahan “Karamah
Insan” ( Kemuliaan manusia) yang dianugerah Allah kepada manusia.

Ustaz Mohd Sanusi yang menjadi jemputan khas oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah membuat perkongsian ilmu yang cukup bermanfaat untuk difahami dan dihayati bersama.

“Saya berharap perkongsian yang telah dibuat oleh Ustaz Mohd. Sanusi Bin Ya dalam perhimpunan bulanan Rasmi Jabatan Pendidikan WP Labuan dapat memberi suntikan semangat kepada warga pendidikan. Saya memohon agar para PGB yang mendengar perkongsian ini dengan segera menyebarkan pula kepada guru-guru di sekolah intipati perkongsian hari ini”. Encik Raisin Saidin

Sementara itu, Puan Siti Zahara Mohamad, SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berkata perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Sanusi sangat bermanfaat dan berguna khususnya untuk guru-guru.

“Setiap guru perlu mengajar dari hati dan punyai rasa kasih sayang terhadap murid-muridnya, rasa seperti anak sendiri”. Puan Siti Zahara




Modal Insan Murid Wilayah Persekutuan Labuan Menyerlahkan Kecemerlangan di Peringkat Kebangsaan

Labuan – Modal insan murid Wilayah Persekutuan Labuan menyerlahkan kecemerlangan di peringkat kebangsaan dengan berjaya meraih naib johan keseluruhan dalam Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH)Peringkat Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung di negeri Pahang pada 16-19 September lalu.

Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya merangkul Johan dalam pertandingan Inovasi Tenaga Biojisim yang diwakili oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Pasukan SMK Mutiara tidak kurang hebatnya dengan meraih naib johan dalam Pertandingan Green Technology Show, manakala pasukan SM Sains Labuan telah mendapat tempat ketiga dalam Xplorace Teknologi Hijau.

Ketiga-tiga sekolah yang telah mengharumkan nama Labuan ini telah membawa pulang RM1,500 sebagai johan, RM1,000 sebagai naib johan dan RM500 bagi tempat ketiga berserta trofi dan sijil.

Johan Inovasi Tenaga Biojisim, SMK Labuan

Penganjuran karnival ini diterajui oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2019 ini merupakan salah satu aktiviti bagi projek ‘Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum & Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari’.

Acara ini disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia melalui penyertaan 7 pertandingan yang bertemakan Teknologi Hijau.

Pertandingan itu ialah Solar Vehicle Challenge, Green Cooker Challenge, Inovasi Tenaga Biojisim, Inovasi Rekacipta Teknologi Hijau, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau, Green Technology Show dan Xplorace Teknologi Hijau.

Encik Aminuddin (kanan), Pengurus Kontinjen WP Labuan

Pengurus kontinjen Labuan, Encik Mohd Aminuddin Abd Malek menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan ini yang merupakan hasil kerjasama dan usaha bersama oleh semua pihak yang terlibat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pengurus kontinjen, guru-guru yang terlibat dan semua murid yang telah mengambil bahagian, seterusnya mencatat kejayaan yang membanggakan dalam acara masing-masing.

“Sesungguhnya kejayaan ini telah berjaya mengangkat maruah dan harga diri murid-murid ini. Seterusnya membuktikan bahawa modal insan murid pulau ini mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”. Encik Raisin Saidin.

Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2019 merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kontinjen WP Labuan ke Karnival Inovasi dan Teknologi Hijau 2019



Dari Pejabat Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan

Assalamualaikum
Salam sejahtera,

Labuan Superb
Guru Sayang Muridnya
Kemenjadian Dan Kecemerlangan Murid Labuan Bermula Di Sini

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua murid tahun 6 Wilayah Persekutuan Labuan yang telah selesai menduduki pada 12hb September 2019.

Semua Guru Besar dan seluruh warga sekolah serta ibubapa sudah tentu mempunyai harapan yang menggunung kepada murid-murid ini. Apatah lagi murid tahun 6 ingin berjaya dalam UPSR ini sebagai pelengkap persekolahan 6 tahun mereka di sekolah rendah.

Kepada Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran dan peperiksaan JPWP Labuan dan warganya serta semua petugas dan pengawas UPSR saya ucapkan terima kasih dan tahniah kerana telah memastikan UPSR berlangsung dengan sempurna di semua pusat UPSR.

Selepas ini sekolah akan sibuk pula menyediakan Laporan Berasaskan Sekolah (PBS) murid-murid tahun 6 tahun 2019 ini.

Saya amat yakin sekolah-sekolah telah berpengalaman dalam penyediaan dan penyampaian laporan tersebut kepada ibubapa dan penjaga murid.

Terima Kasih

Cikgu Raisin Saidin
12 September 2019

Encik Raisin Saidin Pengarah Pendidikan dan Tuan Hj. Sawal Bin Hj. Salleh KPP Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan di SJK(C) Chung Hwa WP Labuan



Perhimpunan Bulanan JPWPL, September 2019 : Perkongsian Ilmu, Beri Nilai Tambah

Labuan, 10 Sept – Perkongsian ilmu oleh guru-guru dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan September 2019 telah memberi nilai tambah kepada majlis perhimpunan kali ini. Demikian mukadimmah ucapan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin yang berlangsung di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Labuan, hari ini.

Pada Majlis tersebut, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Hajjah Jijah Mohamad Suhai telah membentangkan perkongsian ilmu mengenai Amalan Pengurusan Sekolah dalam Pentaksiran Bilik Darjah.

Ini diikuti oleh Tayangan Video Guru Adiwira bagi bulan September iaitu Cikgu Hasmah binti Asis, Guru Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) SK Bukit Kalam.

Seterusnya, Ustaz Mohd Sanusi bin Ya dari SMK Labuan yang menjadi jemputan khas oleh Pengarah Pendidikan, mengambil tempat dengan memberi perkongsian ilmu yang cukup bermanfaat untuk difahami dan dihayati bersama.

Encik Raisin Saidin berkata bulan ini merupakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Maal Hijrah Tahun 1441H/2019 yang menjadikan perhimpunan ini lebih bermakna dan mengajar kita agar sentiasa melakukan anjakan paradigma khususnya sebagai seorang guru.

Tambahnya, semua Pengetua dan Guru besar perlu melihat kemenjadian anak-anak murid dan seharusnya menjejaki keberadaan mereka. Pihak sekolah perlu berbangga melihat kejayaan hasil didikan para guru di sekolah.

Para guru juga disaran agar dapat mengajar secara melihat dan mendengar dengan mata hati.

Pada perhimpunan itu turut diadakan penyampaian sijil Guru Adiwira, sijil penghargaan kepada pihak sekolah, sijil staff of the month dan sambutan hari lahir bagi bulan September kepada warga Pendidikan.

Di akhir majlis, persembahan nyanyian lagu patriotik “SETIA” oleh Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Encik Raisin Saidin, simbolik sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Encik Raisin Saidin menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Guru Adiwira bulan September 2019, Cikgu Hasmah



Mutiara Kata Cikgu Raisin Saidin

Labuan Superb
Guru Sayang Muridnya
Kecemerlangan Dan Kemenjadian Murid Labuan Bermula Di Sini

Pada hari kedua UPSR ini saya mendoakan agar ilmu yang telah guru-guru berikan kepada anak-anak murid dengan penuh ikhlas dan disulami dengan perasaan kasih sayang akan membantu mereka menjawab soalan-soalan UPSR dengan cemerlang. Sesungguhnya ilmu yang diberikan dengan ikhlas dan perasaan kasih sayang akan menjadi sebahagian daripada amal kebaikan bekalan kita ke akhirat kelak ” .

Kita sama-sama menghayati dan menyemarakkan makna serta roh guru sayang muridnya ” .

Terima Kasih

Cikgu Raisin Saidin
Pengarah Pendidikan Labuan




Peperiksaan UPSR 2019 di Labuan bermula

Labuan, 4 Sept – Sebanyak 1328 calon murid tahun enam sekolah kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan Labuan hari ini mula menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan selamat menduduki UPSR kepada semua murid tahun enam di Wilayah ini.

“Semoga anak-anak didik kita berada dalam keadaan sihat ceria menduduki UPSR ini. Mudah-mudahan segala usaha murni kita selama ini bagi memastikan kemenjadian anak2 murid kita direstui Allah SWT.”

“Harapan saya ialah selepas 6 tahun berada di sekolah rendah anak-anak murid kita telah menguasai sekurang-kurangnya pada tahap minimum sebagai bekalan mereka ke tingkatan 1 2020.” Encik Raisin Saidin.

Encik Raisin Saidin berkata, beliau mendapati perjalanan UPSR setakat ini berjalan lancar ditambah dengan cuaca yang baik dan berharap keadaan itu berterusan sehingga peperiksaan berakhir.

UPSR 2019 yang dijalankan bermula hari ini sehingga 12 September di 18 pusat peperiksaan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 117 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Kepada semua petugas dan pengawas UPSR saya ucapkan selamat bertugas dengan penuh integriti.” Encik Raisin Saidin.




Mencungkil Potensi Murid Berkeperluan Khas (MBK) Melalui Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019

Labuan, 3 Sept – Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 telah diadakan bermula 27 hingga 29 Ogos 2019 bertempat di Kompleks Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 189 orang Murid Berkeperluan Khas (MBK) dari Program Pendidikan Khas Integrasi, Guru-Guru Pendidikan Khas dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Pendidikan Khas melibatkan enam sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menyertai karnival ini.

Sekolah-sekolah yang menawarkan PPKI di sekolah Wilayah Persekutuan Labuan adalah SMK Lajau, SMK Mutiara, SK Pekan Satu, SK Bukit Kalam, SK Rancha-Rancha dan SK Pantai.

Karnival ini adalah bertujuan untuk mencungkil bakat Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam bidang sukan dan permainan dan seterusnya melahirkan atlet yang terdiri daripada MBK yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri atau kebangsaan.

Antara pengisian Karnival Permainan tersebut adalah melibatkan Pertandingan Futsal, Badminton, Bocee dan Petanque.

Pertandingan Futsal yang dikelolakan oleh SMK Lajau telah diadakan pada 27 Ogos 2019 bertempat di Gelanggang Futsal, Kompleks Sukan Labuan. Manakala Pertandingan Badminton bagi kategori Perseorangan dan Bergu pula diadakan pada 27 dan 28 Ogos 2019. Pertandingan Badminton ini telah dikelolakan bersama diantara SK Pekan Satu dan SK Pantai.

PPKI Sk Pantai dinobatkan sebagai johan Futsal sekolah rendah

Manakala Pertandingan Badminton bagi kategori Perseorangan dan Bergu pula diadakan pada 27 dan 28 Ogos 2019. Pertandingan Badminton ini telah dikelolakan bersama diantara SK Pekan Satu dan SK Pantai.

Pertandingan Bocce kelolaan SK Rancha-Rancha dan SK Bukit Kalam telah diadakan pada 28 Ogos 2019 dan melibatkan semua MBK yang dikategorikan sebagai MBK Berkefungsian Rendah.

Manakala SMK Mutiara pula mengelolakan Pertandingan Petanque yang melibatkan penyertaan daripada MBK, Guru dan PPM Pendidikan Khas. Pertandingan Petanque ini telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos 2019 bertempat di Gelanggang Petanque, Kompleks Sukan W.P. Labuan

Majlis Perasmian Penutupan Karnival Pendidikan Khas Peringkat W.P. Labuan Tahun 2019 yang telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan telah berlangsung pada 29 Oktober 2019 bertempat di Ruang Legar My Park, Kompleks Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin ketika menyampaikan ucapan Penutupan Karnival Permainan Pendidikan Khas WP Labuan 2019

Majlis ini turut sama dihadiri oleh Puan Mahanum bin Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Puan Maimoon binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Afandi bin Nasir, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas, Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan Pendidikan Khas serta guru-guru dan MBK PPKI di keenam-enam sekolah.

Dalam ucapan Encik Raisin Saidin pada majlis tersebut, beliau mengingatkan kepada semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung pada anak-anak MBK, sama ada Guru, Ibu Bapa atau komuniti masyarakat, supaya sentiasa mencari peluang untuk mencungkil bakat dan potensi MBK dalam apa-apa bidang yang bersesuaian dengan mereka.

Beliau juga berharap program ini mampu memupuk keyakinan diri kepada MBK supaya boleh bersaing dengan rakan sebaya yang lain.

Berita Oleh : Cik Maznah Embran, Sektor Pengurusan Sekolah




27 Kertas Kajian Tindakan Dibentangkan Di Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019

Labuan – SATU Kolokium
Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah diadakan pada 23 Ogos 2019 di
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan. Kolokium Kajian Tindakan
ini merupakan satu program khusus untuk para pemimpin sekolah dan guru-guru
yang telah menyertai Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12
Langkah.

Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12 Langkah ini telah dijalankan sebanyak 2 fasa iaitu Fasa Perancangan & Pelaksanaan dan Fasa Penyediaan Slaid Pembentangan. Di dalam fasa 1, sebanyak 4 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 31 Januari, siri 2 pada 18 Februari, siri 3 pada 26 Februari dan siri 4 pada 4 Mac. Manakala di fasa 2 pula, sebanyak 2 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 4 & 5 Julai dan siri 2 pada 19 Julai 2019.

Borang Inovasi 12 Langkah yang digunakan dibengkel ini adalah borang inovasi yang dihasilkan oleh Puan Suriani Alland Oxley, School Improvement Specialist Coaches (SISC+) Labuan.

Borang Inovasi 12 Langkah ini merupakan borang yang mengandungi 12 soalan mudah bagi membantu peserta menjana idea mereka dalam menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran (P&P), pengurusan panitia dan kepimpinan sekolah melalui strategi kajian tindakan.

Strategi kajian tindakan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kualiti pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah malah kajian tindakan membantu meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui amalan pembelajaran kendiri yang berilmiah.

Selain itu, kajian tindakan juga merupakan satu kaedah yang boleh dijadikan rujukan kerana kajian tindakan menyediakan data dan evidens sahih mengenai proses perubahan amalan pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah yang terbaik.

Seramai 34 orang pembentang yang terdiri daripada 3 orang pengetua dari S.M.K Labuan, S.M.K Taman Perumahan Bedaun dan Sekolah Antarabangsa Labuan, 3 orang Guru Besar dari S.K Bebuloh, S.K Pantai dan S.K Tanjung Aru serta 28 orang guru dari Pusat Tingkatan 6 S.M.K Labuan, Penolong Kanan Kurikulum S.M.K Taman Perumahan Bedaun, S.K Bukit Kalam, S.K Layang-Layangan, S.J.K(C) Chi Wen, S.K Pekan Satu, S.K.K S.K ST Anne, S.K Pantai, S.K Pekan Dua, S.K Lubok Temiang dan Sekolah Antarabangsa Labuan telah membentangkan 27 kertas kajian tindakan di kolokium ini.

Gambar-gambar sekitar kolokium kajian tindakan

Selain daripada berkongsi dapatan, kajian tindakan para pembentang juga turut diberikan penilaian bintang emas, perak dan gangsa yang dinilai oleh 4 orang juri iaitu Puan Khaziyati Osman (Ketua Sektor Jaminan Kualiti) merangkap ketua juri, Puan Maimoon Matnoh (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Hasbollah bin Amit (Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) dan Encik Awang Marten bin Hj Abdul Rahman (Ketua Penolong Pengarah BTPN).

Sebanyak 8 kertas kajian tindakan telah diberikan bintang emas, 13 bintang perak dan 6 bintang gangsa di kolokium ini.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian sijil Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah disempurnakan oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut sama dimajlis ini ialah para jemputan yang terdiri daripada para pemimpin sekolah dan guru-guru di Labuan.

Encik Raisin Saidin berucap semasa majlis perasmian penutupan Kolokium Kajian Tindakan



MPSM LABUAN Sertai Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2019

Labuan, 24 Ogos – Dua pengetua telah mewakili MPSM membentang di dalam Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri yang telah diadakan pada 23 Ogos 2019 bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan yang juga merupakan YDP MPSM Labuan telah membentang kajian tindakan bertajuk Meningkatkan Amalan PLC Dalam Kalangan Guru di SMK Labuan Dengan Menggunakan Strategi ‘I-LEAD’.

Menurut beliau, strategi ‘I-LEAD’ telah berjaya meningkatkan pelibatan guru dalam menjadikan PLC sebagai medium meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru di SMK Labuan. Strategi ini juga telah memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi akademik di SMK Labuan secara keseluruhan.

Puan Hajjah Jijah Mohamad Suhai pula membuat pembentangan bertajuk ‘Practice Makes Perfect’ dalam kolokium ini. Beliau merupakan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Dalam pembentangan tersebut beliau memberi fokus kepada kaedah terbaik meningkatkan kefahaman dalam kalangan murid Tingkatan 5 berkaitan tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’.

Sebelum pengenalan kaedah ini, murid-murid yang lemah menghadapi kesukaran dalam menguasai kandungan pembelajaran tajuk berkenaan. Beliau berusaha dari semasa ke semasa membuat kajian dan penambahbaikan dalam kaedah PdP dan akhirnya tercetus inovasi yang dinamakan ‘Practice Makes Perfect’.

Hasilnya, pembelajaran murid di dalam mata pelajaran matematik tingktan 5 terutamanya tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’ telah menjadi lebih mudah untuk difahami dan penguasaan murid meningkat.

Kolokium anjuran Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan ini pertama kali seumpamanya diadakan susulan daripada empat siri bengkel kajian 12 langkah Kajian Tindakan yang telah dikendalikan oleh ikon inovasi negeri Cik Suriani Alland Rice Oxley.

Kajian Tindakan yang dihasilkan oleh Encik Ismail bin Abdullah dan Puan Jijah Mohamad Suhai telah berjaya dianugerah pingat perak oleh para juri. MPSM berasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diraih oleh kedua-dua pengetua tersebut.

Perasmian penutupan kolokium kajian tindakan telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua-ketua sektor, para pengetua dan para guru besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk LIS.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Puan Khaziyati (kiri), Encik Ag Marten (kanan) bersama peserta kolokium



Perhimpunan Bulanan JPWPL, Ogos 2019 : Anugerah Wira Muda Bangkit Semangat dan Mengangkat Martabat Murid

Labuan, 21 Ogos – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Ogos 2019 bertempat di Bahagian
Teknologi Pendidikan Negeri, hari ini.

Empat orang murid telah mendapat Anugerah Khas Pengarah bagi bulan Ogos 2019
iaitu Anugerah Wira Muda yang disampaikan sendiri oleh Encik Raisin Saidin.

Anugerah Wira Muda ini merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan oleh Encik Raisin Saidin bagi memberi pengiktirafan kepada murid yg telah mengharumkan nama Labuan di persada antarabangsa.

Adik Mohd Miniezam bin Maswandi dari SK Tanjung Aru telah muncul sebagai
Johan Kategori Heavy, umur 10 hingga 12 tahun bagi acara Sparring di Kejohanan Malaysia
Open International Taekwondo Championship 2019
yang berlangsung di Bukit
Kiara Kuala Lumpur.

Adik Mohd Daniel Hakim bin Matdaim dari SM Sains Labuan telah dinobatkan sebagai Johan Deklamasi Puisi peringkat kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Sempena Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu dan Program Bakat Tunas Remaja Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 23 Julai lalu.

Adik Elmus Zechary Tonduyuk Salibun dari SM St Anthony telah terpilih
sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Kebangsaan bagi sesi tahun 2019-2021.

Seorang lagi Wira Muda bagi bulan Ogos telah dianugerahkan kepada adik
Arhadin bin Prome dari Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Adiwira Muda dan
berharap anugerah serupa dapat dilaksanakan di sekolah. Sesungguhnya setiap
murid mempunyai nilai tersendiri dan pihak sekolah seharusnya dapat menggilap
bakat dan potensi murid di sekolah masing-masing.

Kelaziman, acara dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku, Maju dan Sejahtera
diikuti dengan bacaan doa dan Ikrar Perkhidmatan Awam serta Integriti
Perkhidmatan Awam.

Seterusnya, pelancaran Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A peringkat Wilayah Persekutuan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelancaran Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A

Cikgu Shamsuria Ebni Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SKK Sekolah Kebangsaan ST Anne telah dinobat sebgai Adiwira Guru bagi bulan Ogos 2019.

Persembahan khas jemputan pengarah oleh murid-murid SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghiburkan warga jabatan yang hadir dengan membawa persembahan angklung.

Sempena pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan baru-baru ini,
Encik Raisin Saidin tidak lupa mengingatkan para Pengetua dan Guru Besar agara
sentiasa berusaha menanamkan Pendidikan Sivik dalam diri anak murid. Peranan
dan tanggungjawab sekolah mengenai pendidikan amat dituntut bagi melahirkan
generasi maju yang prihatin dan berdisiplin.

Di akhir majlis, Tayangan Video Ucapan Perdana Menteri semasa pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan telah dipertontonkan kepada para hadirin.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat, katanya sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Dengan itu, percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” Tun Dr. Mahathir Mohamad

Majlis ditutup dengan nyanyian beramai-ramai lagu Tanggal 31 Ogos 2019 sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Adiwira Guru bagi bulan Ogos 2019, Cikgu Shamsuria
Sambutan Hari Jadi bulan Ogos 2019 kepada Encik Azlan Sugianto