Majlis Tazwid Maharatul Jawdah Adduwali Cetus Kecintaan Terhadap Bahasa Arab

Labuan, 19 Julai 2025 – Dewan Kompleks Darul Kifayah bergema dengan semangat ilmu dan kecintaan terhadap bahasa Arab apabila Majlis Tazwid Maharatul Jawdah Adduwali diadakan dengan jayanya.

Program yang diselaraskan oleh Tuan Hj Hisham Abd Aziz dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ini merupakan inisiatif perintis di bawah National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) yang mengangkat misi pengukuhan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan murid kelas aliran agama (KAA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis yang menghimpunkan pelajar Kelas Aliran Agama dari SMK Mutiara, SMK Rancha-Rancha serta SMA MAIWPL ini telah menekankan pelbagai objektif antaranya menyemai minat terhadap bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran.

Perkongsian daripada Ustaz Ahmad Salehuddin Shafie Pegawai Atase Pendidikan Malaysia di Mesir berjaya membuka minda murid untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dan menyuntik semangat untuk cemerlang dalam subjek Bahasa Arab dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Majlis tersebut diserikan dengan kalimah mufti daripada sahibus samahah Dr Nik Azlan Nik Man Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau menekankan bahawa ilmu yang dipelajari mestilah disertai dengan adab, sebagaimana pesanan Imam Malik: “Pelajarilah adab sebelum kamu belajar ilmu.”

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran merangkap Menjalankan Tugas Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapan perasmian, Encik Yahya menegaskan bahawa pembelajaran bahasa Arab bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah merupakan ibadah yang tinggi nilainya.

Beliau turut mengingatkan murid-murid bahawa penguasaan bahasa Arab ini akan membuka pelbagai peluang kerjaya dalam bidang pendidikan, penterjemahan, diplomasi, perdagangan dan pelancongan.

Majlis Tazwid Maharatul Jawdah Adduwali diharap menjadi titik mula kepada murid-murid untuk terus berusaha menguasai bahasa Arab, memperkukuh akhlak serta mencorak masa depan dengan ilmu yang bermanfaat.

Turut hadir dalam majlis ialah Ustaz Abdul Fattah Abdul Hafiz, Pengetua Darul Kifayah Labuan; Ustazah Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL; Ustazah Siti Aminah Zakaria, Pengetua SMA MAIWPL; Ustaz Wan Azman Wan Awang, Pengetua SMK Rancha-Rancha, ustaz ustazah dan guru daripada tiga buah sekolah tersebut.




Program Pengarah Pendidikan Turun Padang 2025 Semarakkan Semangat Calon SPM SMK Rancha-Rancha

LABUAN, 15 Julai 2025 – Suasana di SMK Rancha-Rancha pagi tadi disemarakkan dengan kehadiran barisan kepimpinan pendidikan negeri sempena Program Pengarah Turun Padang 2025 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Program ini dilaksanakan di bawah kelolaan Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, dengan matlamat utama menyantuni serta memberikan dorongan semangat kepada murid-murid Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha JPWPL untuk memastikan calon-calon SPM terus bersemangat, berdaya tahan dan berada pada landasan yang betul dalam menghadapi peperiksaan penting yang akan menentukan masa depan mereka.

Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, dalam ucapannya menyatakan bahawa pendekatan turun padang dan mendekati murid secara langsung adalah sangat penting bagi memberikan impak positif kepada emosi dan psikologi pelajar. Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Pendidikan Labuan tidak mahu murid-murid menghadapi tekanan yang berlebihan menjelang SPM, sebaliknya berharap mereka dapat menjalani tempoh persediaan ini dengan lebih yakin dan seimbang.

“Kita hadir hari ini bukan sekadar menyampaikan amanat, tetapi untuk menunjukkan bahawa kita prihatin dan sentiasa menyokong perjuangan guru-guru dan pelajar. Lawatan sebegini diharap dapat menyuntik semangat juang dalam diri calon-calon SPM,” ujar beliau.

Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Beliau turut menyatakan harapan besar untuk pencapaian SPM 2025, dengan sasaran 100% lulus dalam kalangan calon SMK Rancha-Rancha, sekali gus mencipta sejarah baharu kecemerlangan sekolah.

Program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan semangat dalam kalangan pelajar, tetapi turut mengukuhkan kerjasama antara pihak sekolah, jabatan pendidikan dan komuniti pendidikan setempat dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara.

Murid-murid Tingkatan 5 SMK Rancha-Rancha bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025
Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran beramah mesra bersama calon SPM SMKRR 2025

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




SSN SMK MUTIARA DAN SK TANJUNG ARU KUASAI TAKHTA OLAHRAGA MSSWP LABUAN 2025

Labuan, 10 Julai – Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah WP Labuan (MSSWPL) Kali Ke 24 Tahun 2025 telah melabuhkan tirainya pada petang 9 Julai 2025 di Kolej Matrikulasi Labuan. Kejohanan yang dikelolakan oleh SMK Pantai dan SK Lubok Temiang itu berlangsung selama 5 hari iaitu 3-4 Julai 2025 bagi acara padang dan 7-9 Julai 2025 bagi acara balapan. Majlis Perasmian Pembukaan diadakan pada 7 Julai 2025 manakala Majlis Perasmian Penutupan dilangsungkan pada 9 Julai 2025 disempurnakan oleh En Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Kejohanan kali ini melibatkan penyertaan 18 buah sekolah rendah dan 12 buah sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional Labuan, dengan pelibatan seramai 714 orang atlet yang mewakili pelbagai kategori umur dan acara.
 
Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan. SSN SMK Mutiara menguasai kutipan pingat dengan 32 emas, 16 perak dan 12 gangsa, diikuti SMK Pantai di tempat kedua dengan kutipan 13 emas, 20 perak dan 15 gangsa, SMK Rancha-Rancha di tempat ketiga dengan 5 emas, 7 perak dan 11 gangsa, SM St Anthony di tempat keempat dengan 4 emas, 3 perak dan 7 gangsa, manakala SMK Labuan di tempat kelima dengan 3 emas, 8 perak dan 8 gangsa.
 
Bagi kategori sekolah rendah pula SK Tanjung Aru mengungguli gelaran johan keseluruhan sekolah rendah dengan kutipan pingat 5 emas, 3 perak dan 2 gangsa. SK Sungai Bedaun di tempat kedua dengan 2 emas dan 6 perak, SK Kerupang di tempat ketiga dengan 2 emas, 4 perak dan 4 gangsa, SK Pantai di tempat keempat dengan 1 emas, 2 perak dan 2 gangsa, manakala SK Bukit Kallam di tempat kelima dengan 1 emas dan 1 perak.
 
Sebanyak 13 rekod baharu telah dicatat sepanjang kejohanan ini iaitu :.
• Acara Lompat Jauh P12 : Nurin Husna Binti Mohd Azzlan (SK Bebuloh)
• Lempar Cakera P15 : Rabiatul Damia Binti Erwan (SSN SMK Mutiara)
• Lompat Kijang P15 : Afiqah Binti Pajiri (SSN SMK Mutiara)
• Lontar Pelur L15 : Muhammad Sulaiman Bin Hasnul Hadi (SMK Pantai)
• Lontar Peluru P15 : Nur Afza Afiqah Binti Ali Omar (SMK Pantai)
• Lompat jauh L15 : Muhammad Edzul Fahmie Bin Mohd Rezal (SMK Pantai)
• 1500M L18 : Muhammad Aiman Bin Khamis (SSN SMK Mutiara)
• 3000M Terbuka : Muhammad Aiman Bin Khamis (SSN SMK Mutiara)
• 200M P15 : Siti Aira Binti Azmi (SSN SMK Mutiara)
• 400M L18 : Mohammad Nafiq Bin Hussin (SSN SMK Mutiara)
• 800M L18 : Mohammad Nafiq Bin Hussin (SSN SMK Mutiara)
• 4X100M P15 SSN SMK Mutiara
• 4X100M L15 SSN SMK Mutiara
 
Olahragawan Sekolah Rendah dimenangi oleh Muhammad Aniq Aminin bin Robbin dari SK Kerupang manakala Olahragawan Sekolah Menengah dimenangi oleh Mohammad Nafiq bin Hussin dari SSN SMK Mutiara.
 
Olahragawati Sekolah Rendah dimenangi bersama oleh Nur Izz Zayani binti Maswandie dari SK Tanjung Aru dan Nurin Husna binti Mohd Azzlan dari SK Bebuloh, manakala Olahragawati Sekolah Menengah dimenangi bersama oleh Noraina binti Muslimin dan Afiqah binti Pajiri , kedua-duanya dari SSN SMK Mutiara.
 
Dalam ucapan perasmian penutupan, En Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan mengucapkan tahniah kepada sekolah pengelola bersama iaitu SMK Pantai dan SK Lubok Temiang atas pengelolaan kejohanan yang cekap dan teratur serta telah mengusahakan pembaharuan dengan memperkenalkan penggunaan Semi Electronic Timing System untuk memastikan ketepatan dan kesahihan catatan masa, sekali gus membantu melancarkan urusan teknikal pertandingan. Beliau juga berharap kejohanan kali ini dapat memilih barisan atlet terbaik yang akan membawa cabaran MSSWP Labuan ke Kejohanan Olahraga MSSM yang akan berlangsung pada 17-24 Ogos 2025 di Perlis Indera Kayangan.
 
Kejohanan ini juga mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak. Antara yang hadir ialah En Hasnul Hadi bin Haji Sariman Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, En Awang Marten bin Datuk Haji Abd Rahman Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ismail bin Abdullah Pengetua SMK Pantai serta Pn Rohaimie binti Samsu Penolong Kanan Pentadbiran menjalankan tugas Guru Besar SK Lubok Temiang selaku pengelola bersama kejohanan ini. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Ketua Kaunselor Negeri, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah WP Labuan.
 
Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan diakhiri dengan upacara penyerahan bendera kejohanan kepada sekolah pengelola Kejohanan Olahraga MSSWPL Kali Ke 25 tahun 2026. En Yahya bin Ahmad Puteh menyerahkan bendera kejohanan kepada Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Puan Mahani binti Hussin Guru Besar SK Kerupang.




Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PIBG Kali Ke-24 SMK Taman Perumahan Bedaun : “MENYATU ASPIRASI, MEMPERKASA GENERASI”

Labuan : Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-24 SMK Taman Perumahan Bedaun telah berlangsung dengan jayanya pada pagi Sabtu, 24 Mei 2025 bertempat di Dataran Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun. Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dan dihadiri oleh ibu bapa, guru serta warga sekolah yang komited terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Majlis telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Encik Azeryn bin Hj Mamma, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, yang juga merupakan Pegawai Angkat sekolah. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan guru dan ibu bapa yang sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sahsiah dan akademik murid. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan jalinan kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah demi kecemerlangan pendidikan anak-anak.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid, ahli jawatankuasa PIBG, para guru serta lebih 200 orang ibu bapa yang hadir memberikan sokongan padu terhadap pembangunan sekolah. Yang Dipertua PIBG, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid turut menyampaikan ucapan alu-aluan dan mengimbas pencapaian serta sumbangan PIBG sepanjang tahun sebelumnya. Beliau turut menyeru ibu bapa agar terus berganding bahu dalam menyokong program-program pembangunan pelajar dan aktiviti sekolah.

Mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda penting meliputi pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat yang lalu, pembentangan laporan aktiviti PIBG sesi 2024/2025, pembentangan penyata kewangan, perbincangan isu-isu semasa berkaitan kebajikan dan pembangunan sekolah serta perancangan aktiviti untuk tahun akan datang.

Sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan ibu bapa, pihak sekolah telah menganjurkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga sekolah dan ibu bapa.

Secara keseluruhannya, mesyuarat kali ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa dan ini seterusnya membuktikan komitmen dan keprihatinan komuniti sekolah dalam memacu kecemerlangan pendidikan di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Hadiah cabutan bertuah disampaikan kepada ibu bapa sebagai menghargai kehadiran dan sokongan komuniti



Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2025 SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN PERUMAHAN BEDAUN

Labuan – Pada 16 Mei 2025, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah dengan penuh meriah dan bersemangat. Majlis ini dianjurkan oleh Kelab Guru dan Staf dengan sokongan aktif daripada para pengawas sekolah, sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para pendidik.

Majlis dimulakan dengan aktiviti kerohanian berupa bacaan Surah Yasin oleh warga sekolah bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan buat para guru. Seterusnya, nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, Lagu Wilayah Persekutuan dan sekolah, disusuli dengan bacaan doa yang dipimpin oleh pengawas sekolah, Mohammad Muazhadif 5 Delta.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengetua sekolah, Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, yang menekankan peranan penting guru dalam membentuk sahsiah dan masa depan generasi muda. Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap dedikasi guru-guru dalam mendidik anak bangsa.

Majlis diteruskan dengan tayangan video ucapan Hari Guru daripada para pelajar, yang menyentuh hati para guru dengan mesej-mesej penuh kasih sayang dan penghargaan. Persembahan multimedia yang menyentuh hati tersebut dihasilkan oleh Nur Khairunnisa 4 Alfa dengan bimbingan Cikgu Rosenani Farera Michael

Segmen persembahan pula dimulakan dengan nyanyian duet oleh NurHazira Aleysha dan Farah Dania Natasya, yang mempersembahkan lagu bertajuk Hero. Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah penghargaan kepada guru-guru dalam pelbagai kategori sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka. Majlis diakhiri dengan persembahan nyanyian kedua oleh Mohamad Hanif Ezaril dari 4 PVMA, yang menyerikan lagi suasana dengan lagu yang bertajuk Laskar Pelangi.

Sambutan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar, malah membuktikan semangat kekeluargaan dan penghargaan yang tinggi dalam kalangan warga SMK Taman Perumahan Bedaun. Semoga sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai penghormatan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan negara.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Saringan Pertandingan Infohunt Challenge ’25 di SMK Pantai

LABUAN, 06 Mei 2025 – Seramai 55 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari SMK Pantai telah menyertai peringkat saringan Pertandingan Infohunt Challenge ’25, sebuah program tahunan anjuran Unit Perpustakaan Management & Science University (MSU) dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri pada 6 Mei 2025 yang lalu.

Pertandingan ini bertujuan menguji tahap literasi maklumat, kecekapan penggunaan teknologi serta kemahiran berfikir secara matang. Lebih menarik, peserta diminta menggunakan gajet sendiri seperti komputer riba dan telefon pintar untuk menonton bahan stimulus yang diberikan sebelum menjawab soalan melalui platform Google Form.

Penganjuran pertandingan ini juga memanfaatkan alat komunikasi dalam talian dan kaedah pembelajaran digital baharu, sekaligus membantu pelajar memperluaskan strategi pencarian maklumat yang lebih berkesan. Ia menjadi salah satu platform dalam melahirkan generasi yang celik digital dan berdaya saing.

Bagi SMK Pantai, penyertaan tahun ini merupakan kesinambungan daripada penyertaan mereka dalam program yang sama pada tahun 2023. Peringkat saringan ini telah berlangsung di Perpustakaan SMK Pantai, bermula dari jam 10.20 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan kehadiran juruteknik SICT JPN WP Labuan serta Penyelaras ICT SMK Pantai, yang bersedia memberikan bantuan teknikal termasuk capaian internet kepada peserta.

Bagaimanapun, keputusan akhir pertandingan masih belum diperoleh dan pihak penganjur dijangka mengumumkan keputusan rasmi dalam masa terdekat.

Untuk perkembangan lanjut mengenai pertandingan Infohunt Challenge ‘25, teruskan mengikuti laporan berita terkini.

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Guru-Guru Kelab Pengguna SMK Pantai Raih Gelaran Naib Juara Eksplorasi Troli Pintar WP Labuan 

Labuan, 14 Mei 2025 – Guru-guru Kelab Pengguna SMK Pantai membuktikan kepakaran mereka dalam bidang kepenggunaan apabila muncul sebagai Naib Juara dalam pertandingan Eksplorasi Troli Pintar Peringkat Negeri WP Labuan yang dianjurkan oleh Seksyen Pendayaupayaan Pengguna (SPUP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).  Mereka telah membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM700.

Pertandingan ini bertujuan menguji pengetahuan peserta terhadap ilmu kepenggunaan serta ketangkasan mereka dalam membuat pembelian barangan berkonsepkan explorace. Antara cabaran yang perlu dilalui termasuk menjawab kuiz kepenggunaan berkaitan pengurusan kewangan, pemakanan sihat, dan alam sekitar, serta membeli barangan dengan kadar yang paling optimum menggunakan wang sebanyak RM150

Peserta juga diuji dalam membuat pilihan paling bijak berdasarkan petunjuk dan soalan yang diberikan, selain perlu menghasilkan video TikTok paling kreatif semasa explorace berlangsung. Keupayaan dalam menyusun strategi dan menyelesaikan cabaran ini telah menyaksikan pasukan SMK Pantai, yang terdiri daripada Cikgu Athirah Binti Rasman , Cikgu Intan Nurhanie binti Shafudin, dan Cikgu Mohd Jasrin bin Mohd Masrapi, berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan tersebut. 

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama SMK Pantai tetapi juga membuktikan kepakaran guru-guru dalam aspek kepenggunaan, sekaligus memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus meningkatkan kesedaran terhadap aspek pengurusan kewangan dan pemilihan produk yang bijak dalam kehidupan seharian. 

Tahniah kepada para peserta atas kejayaan yang membanggakan ini! Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. 

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Pasukan Puteri Islam SMK Pantai Raih Kemenangan di Pertandingan UniformDNA Hari Belia Negara

Labuan, 17 Mei 2025 – Pasukan Puteri Islam SMK Pantai telah mencipta kejayaan membanggakan dalam Pertandingan UniformDNA sempena Hari Belia Negara yang berlangsung di Ruang Legar Aras 1, Ujana Kewangan. Acara ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, menghimpunkan pelbagai pasukan unit beruniform dengan semangat daya saing yang tinggi.

Para peserta hadir dalam pakaian unit beruniform lengkap dan beraksi dalam beberapa kategori menarik, termasuk Knot War, di mana mereka perlu membuat beberapa jenis ikatan dalam masa yang ditetapkan, serta Res-Q Rush, yang menguji kecekapan peserta dalam melaksanakan rawatan awal kecederaan dengan kaedah yang betul serta kepantasan melaksanakannya.

Namun, kejayaan terbesar buat pasukan Puteri Islam SMK Pantai adalah dalam kategori Rasa-rasa Rimba, di mana mereka diuji untuk menyediakan satu jenis hidangan menggunakan bahan-bahan yang disediakan tanpa menggunakan bahan api. Kecekapan dan kreativiti mereka dalam mencipta hidangan yang enak telah melayakkan mereka meraih Johan dalam acara tersebut, sekaligus mengharumkan nama sekolah.

Guru-guru pengiring bagi pasukan ini, Cikgu Nuratikah binti Ja’afar, Ustazah Siti Nabilah binti Mohamed Zin, dan Ustazah Jastinah binti Yusof, turut memberikan sokongan penuh sepanjang pertandingan. Ustazah Siti Nabilah meluahkan rasa syukur atas pencapaian pasukan dan mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada guru pembimbing yang berusaha keras dalam latihan, termasuk Cikgu Najiha (Rasa-rasa Rimba), Cikgu Ivy (Knot War), serta Cikgu Thasiah dan Cikgu Ivy (Res-Q Rush).

“Kami amat berbangga dengan usaha gigih murid-murid yang telah memberikan yang terbaik dalam pertandingan ini, walaupun dengan latihan yang singkat. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada pasukan ini,” ujar Ustazah Siti Nabilah.

Pertandingan UniformDNA bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah kemahiran kepimpinan, kecergasan, dan kreativiti dalam kalangan peserta, malah turut memperkukuhkan semangat berpasukan dan daya saing mereka. Kemenangan ini pastinya menjadi pemangkin semangat untuk pasukan Puteri Islam SMK Pantai dalam mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Berita Disediakan oleh : SMK Pantai WP Labuan




Mesyuarat Agung PIBG SMK Pantai Kali Ke-23 Berlangsung dengan Penuh Muafakat

Labuan, 10 Mei 2025 – Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai kali ke-23 telah berlangsung dengan penuh muafakat dan komitmen antara pihak sekolah dan ibu bapa. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail bin Abdullah.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Ismail menegaskan kepentingan sokongan ibu bapa dalam usaha merealisasikan beberapa agenda pendidikan utama sekolah, termasuk perluasan Dasar Pendidikan STEM dan TVET, peningkatan mutu pendidikan Bahasa Inggeris, serta pembangunan ekosistem pendidikan digital. Beliau menekankan bahawa kesepakatan antara ibu bapa dan guru adalah asas kepada kejayaan murid-murid.

Mengulas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Encik Ismail memaklumkan bahawa daripada 189 calon, peratus kelulusan adalah 98.94%. Lebih membanggakan, bilangan pelajar yang memperoleh semua A meningkat kepada lima orang. Peningkatan ini mencerminkan kejayaan sekolah dalam memperkasakan pendidikan berkualiti.

Walaupun pencapaian akademik membanggakan, cabaran masih ada terutama dalam aspek kehadiran murid. Setakat ini, kehadiran murid SMK Pantai berada pada kadar 86%, berbanding sasaran KPI 2025 WP Labuan iaitu 93.95%. Dalam aspek pembayaran sumbangan PIBG bagi tahun 2024, prestasi berada pada tahap 65%, dan beliau berharap ibu bapa dapat menjelaskan sumbangan setelah pihak sekolah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan.

Encik Ismail turut memberikan jaminan kepada ibu bapa bahawa pihak sekolah akan terus berusaha memastikan anak-anak mereka diajar, dibimbing, serta diberi peluang dan pendedahan untuk mencapai kejayaan di pelbagai peringkat. Beliau menyeru semua pihak untuk berganding bahu demi masa depan anak-anak dan kecemerlangan SMK Pantai.

Menjadikan mesyuarat lebih menarik, tahun ini ia berlangsung lebih singkat kerana tiada pemilihan AJK baharu. Namun, lebih 100 cabutan bertuah telah disediakan untuk para hadirin, hasil sumbangan daripada ibu bapa, guru dan pihak luar yang prihatin terhadap sekolah. Encik Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan mendoakan agar mereka dimurahkan rezeki.

Mesyuarat Agung PIBG SMK Pantai kali ke-23 bukan sekadar forum perbincangan, tetapi juga bukti semangat muafakat dalam memastikan kejayaan pelajar serta perkembangan sekolah ke arah yang lebih cemerlang.

Berita Disediakan Oleh : SMK Pantai WP Labuan




Sambutan RIMUP Raya 2025 – Ukhwah Syawal Meriah Di SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 26 April 2025 (Sabtu) – Semangat perpaduan dan kemeriahan Aidilfitri diraikan dengan penuh warna-warni menerusi Program RIMUP Raya 2025 bertemakan Ukhwah Syawal, yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi di tapak perhimpunan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mutiara dan Balai Polis Labuan melalui slot ceramah bertajuk Antibuli – Sekolah Sejahtera, Bebas Buli. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan harmoni.

Majlis turut menerima kehadiran tetamu kehormat termasuk pegawai angkat sekolah Encik Nazri bin Mustapa yang juga merupakan wakil rasmi dari Jabatan Pendidikan Labuan. Turut memeriahkan suasana ialah Encik Heidar Hussein Md Rashid Yang Dipertua (YDP) PIBG bersama barisan AJK PIBG serta  AJK  KRT Taman Mutiara yang sentiasa menyokong penganjuran aktiviti berbentuk komuniti seperti ini.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran dua tokoh istimewa iaitu Puan Jesicca Basat, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, serta Dr. Federick Reyes Joseph, Pegawai Penasihat Eksekutif JMB Taman Mutiara. Kehadiran mereka memberikan suntikan semangat kepada warga sekolah dalam memperkukuh nilai perpaduan dan integrasi nasional.

Pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan termasuk pertandingan video raya antara kelas (kategori menengah rendah dan menengah atas), pertandingan reruai kelas, busana terbaik bagi kategori lelaki dan perempuan, serta pertandingan karaoke raya yang menyaksikan sembilan penyertaan daripada kalangan murid.

Bagi memeriahkan lagi suasana, para pelajar turut dihidangkan dengan pelbagai juadah enak seperti soto, lima jenis air balang, pizza dan aiskrim sumbangan daripada koperasi sekolah sebagai menu utama selain makanan yang terdapat di meja kelas masing-masing.

Konklusinya Program RIMUP Raya 2025 ini bukan sahaja menjadi platform meraikan Syawal tetapi juga mengukuhkan jalinan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, komuniti dan agensi luar selaras dengan semangat Malaysia Madani.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengetua bergambar bersama warga sekolah dan para jemputan di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun