Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Menyemarakkan Semangat Kepimpinan Murid SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 28 April – Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi dengan Unit Badan Pengawas dan Unit Pusat Sumber Sekolah menjalankan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda tahun 2025. Program yang diselaras oleh Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid melaksanakan tanggungjawab, memupuk kemahiran kepimpinan, memperkenalkan barisan pemimpin muda dan memberi pengiktirafan jawatan murid.

Majlis dijalankan pada 14 April 2025, jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, bertempat di Tapak Perhimpunan Sekolah. Seramai 178 murid telah dilantik sebagai pemimpin muda sekolah dimana 36 orang murid sebagai pengawas sekolah, 36 orang murid sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, 40 orang murid sebagai Pengawas Pusat Sumber, 10 orang murid Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, 13 orang murid Pengawas Koperasi Sekolah, 22 orang murid sebagai ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas. Turut hadir program Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua Sekolah, Tuan ASP Ruslan bin Tarai, Pegawai Perhubungan Sekolah, Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Pentadbiran, Cik Seri Kandi binti Muali, Penolong Kanan HEM, Encik Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Maju dan Sejahtera dan lagu Sekolah. Seterusnya, ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Puan Norazita dan bacaan doa dipimpin oleh Muazhadif dari kelas 5 Delta. Kemudian, Puan Norazita menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian majlis watikah pelantikan pemimpin muda oleh ASP Ruslan bin Tarai. “Pemimpin Muda yang terpilih haruslah mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan komitmen yang tinggi dalam membimbing rakan-rakan yang lain.”, kata ASP Ruslan dalam ucapannya.

Setelah itu, ASP Ruslan menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda sekolah dengan diiringi pengetua dan barisan guru penolong kanan. Ikrar pemimpin muda dipimpin oleh adik Nur Qaisara Najwa binti Johari (5 Alfa), ketua pengawas sekolah. Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda SMK Taman Perumahan Bedaun diakhiri dengan ucapan murid-murid “Terima kasih, cikgu.”, “Halalkan ilmu yang diberi, cikgu.”, “Maafkan kami, cikgu.” dan “Kami sayang, cikgu.” yang diketuai oleh Nur Qaisara Najwa. Kemudian, sesi bergambar bersama ASP Ruslan diiringi pengetua bersama barisan guru penasihat dan pemimpin muda sekolah dijalankan sebagai penutup tirai majlis.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Nur Qaisara memimpin ikrar watikah pelantikan pemimpin muda



Lawatan Sambil Belajar Dedah Peluang Kepada Murid Tingkatan 5 SMK Rancha-Rancha

Labuan – Pada 13 hingga 16 April yang lalu, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Bidang Kemanusiaan dan Bidang Vokasional Teknik SMK Rancha-Rancha telah bekerjasama menganjurkan Program Lawatan Sambil Belajar untuk murid-murid Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2025 ke beberapa tempat di Kota Kinabalu Sabah. 

Antara tujuan lawatan diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid yang mengambil subjek elektif Sains Rumahtangga, Pendidikan Seni Visual dan Perniagaan untuk melihat sendiri  peluang-peluang belajar yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian yang terdapat di Kota Kinabalu serta memberi pengalaman langsung kepada murid untuk melihat peluang pilihan belajar khususnya dalam Bidang Seni Teknologi Kreatif, Bidang Kulinari dan Pastri ,  Sains Rumahtangga dan Perniagaan.

Lawatan ini melibatkan 30 orang murid dan 4 orang guru. Antara tempat lawatan adalah seperti . Galeri Azman Hashim (GAH) Universiti Malaysia Sabah,  Akademi Seni dan Teknologi Kreatif ( ASTIF ) UMS, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) ,  Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Galeri dan Muzium Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Institut Kemahiran Belia dan Muzium Kesenian Islam.

Guru – guru yang terlibat dalam menjayakan program ini adalah Cikgu Jasmini Daud Guru Kanan Bidang  Kemanusiaan selaku ketua program, Cikgu Roszillah Yahya guru kanan Bidang Votek selaku setiausaha program, Cikgu Rafeeza dan Cikgu Sazali kaunselor Sekolah, Cikgu Rosyidi Bin Bakri Ketua Panitia Subjek Perniagaan dan Cikgu Muhammad Bin Mad Junik Ketua Panitia Sains Rumahtangga.

Lawatan ini sangat bermakna kepada ahli rombongan kerana setiap tempat yang di lawati , kami disambut mesra dan diberi pelbagai input-input berguna terutamanya cara meneruskan pembelajaran ke bidang-bidang yang mereka inginkan berdasarkan elektif-elektif yang mereka pilih.
Program lawatan ini membawa falsafah “ Jauh perjalanan, luas pemandangan,kreatif pemikiran demi kerjaya masa depan.

Pihak sekolah merakamkan penghargaan terima aksih kepada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan atas sokongan dan galakan yang diberikan. Tanpa sokongan dan kerjasama baik pihak jabatan sudah tentunya program berimpak positif ini tidak dapat dijalankan dengan sempurna.Semoga program seperti ini boleh dilaksanakan lagi di masa akan datang demi kepentingan murid-murid.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha 




SMK Pantai Raih Kejayaan Cemerlang di Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2025

Labuan, 12 April 2025 – Pasukan merentas desa SMK Pantai sekali lagi membuktikan kehebatan mereka dalam kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2025 yang berlangsung di Padang Majal. Dengan semangat juang yang tinggi dan latihan intensif sepanjang persiapan kejohanan, pasukan sekolah berjaya meraih gelaran Naib Johan Keseluruhan, memperbaiki kedudukan daripada tempat ketiga tahun lalu.

Prestasi cemerlang pasukan dapat dilihat melalui pencapaian luar biasa dalam pelbagai kategori. Atlet P18 mencatat kejayaan gemilang dengan menduduki tempat Johan, sementara L18 dan L15 masing-masing beraksi hebat untuk meraih Naib Johan. Tidak ketinggalan, pasukan P15 turut menunjukkan daya saing tinggi dengan berada di tempat keenam dalam kategori mereka.

Dalam kategori PPKI, pasukan SMK Pantai turut mengukir kejayaan membanggakan dengan meraih Naib Johan dalam P15 PPKI dan L15 PPKI, membuktikan semangat dan kegigihan yang tidak mengenal batasan.

Pengetua SMK Pantai, En. Ismail bin Abdullah menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap pencapaian para atlet sekolah, menyatakan bahawa mereka mampu memberi cabaran kepada sekolah-sekolah lain di kejohanan ini. Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Dolores Godon turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua jurulatih, pengurus pasukan, serta murid-murid yang telah berusaha keras untuk mencapai matlamat sekolah – memperbaiki kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa SMK Pantai memiliki bakat dan ketahanan tinggi dalam arena merentas desa, dan pencapaian ini pastinya menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. Tahniah kepada semua atlet SMK Pantai atas usaha mereka yang luar biasa!




Pelajar SMK Pantai Raih Tempat Ketiga dalam Pertandingan Video Kreatif TVPSS

Labuan, 20 Mac 2025 – Seorang pelajar dari SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan, telah mengharumkan nama sekolahnya dalam bidang kreativiti digital. Nurin Sofeya binti Rinatho, pelajar kelas 5 UPM, berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Video Kreatif TVPSS dengan hasil karya inovatif bertajuk “Bahan Digital Memperkasa Pendidikan Negara.”

Video yang dihasilkan oleh Nurin Sofeya menampilkan perkembangan penggunaan bahan digital dalam sistem pembelajaran di sekolah. Dengan pendekatan yang menarik dan informatif, video tersebut turut memperincikan beberapa kelebihan penggunaan bahan digital dalam kalangan pelajar serta impaknya terhadap proses pembelajaran masa kini. Selain itu, video ini berkongsi peranan pelbagai pihak dalam memastikan penggunaan bahan digital dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang pendidikan.

Karya yang dihasilkan oleh Nurin Sofeya tidak hanya memaparkan kepentingan bahan digital, tetapi juga mengetengahkan mesej utama tentang bagaimana teknologi mampu meningkatkan kemampuan anak muda dalam bidang IT. Kejayaan ini menjadi bukti betapa kreatif dan berwawasan generasi muda dalam mengadaptasi teknologi demi memperkukuh sistem pendidikan negara.

Tahniah kepada Nurin Sofeya atas pencapaiannya! Kejayaan ini pasti akan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar lain untuk terus berkarya dan memberi sumbangan kepada dunia pendidikan digital.




SMK Pantai Serahkan Juadah Berbuka Puasa Kepada Murid Anak Yatim dan Murid Kurang Berkemampuan

Labuan, 22 Mac 2025 – Dalam usaha menyemai nilai kebersamaan dan keprihatinan sempena Ramadan, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Pantai telah menganjurkan program Penyerahan Juadah Berbuka Puasa kepada murid-murid anak yatim dan kurang berkemampuan. Penyerahan ini bermula pada jam 4 hingga 6 petang di Pintu Pagar Sekolah pada Sabtu, 22 Mac 2025.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada warga sekolah, termasuk guru-guru, ibu bapa, serta komuniti setempat. Juadah berbuka puasa yang diedarkan bertujuan meringankan beban keluarga murid-murid tersebut, sambil meraikan semangat Ramadan yang menekankan sifat murah hati dan kasih sayang.

Penyerahan juadah berbuka ini disambut dengan penuh rasa syukur oleh murid-murid penerima. SMK Pantai berharap agar inisiatif ini membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, serta mengeratkan hubungan antara warga sekolah dan komuniti setempat.

Pihak UBK menyatakan komitmen untuk terus menganjurkan program-program seperti ini pada masa akan datang, bagi memastikan semangat kebersamaan terus subur dalam kalangan masyarakat sekolah.




SMK Pantai Adakan Majlis Khatam Al-Qur’an, Penutupan Ihya’ Ramadan & Ambang Syawal 1446H / 2025M

Labuan, 24 Mac 2025 – Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Majlis Khatam Al-Qur’an, Penutupan Ihya’ Ramadan & Ambang Syawal peringkat sekolah bagi tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi. Program ini bertujuan untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan yang disyariatkan berpuasa dan memberikan pengalaman yang berguna kepada para pelajar dengan aktiviti penghayatan bulan Ramadhan.

Majlis ini berlangsung dengan sokongan padu daripada pihak pentadbir, guru-guru, kakitangan AKP, ibu bapa, dan para murid. Salah satu kejayaan yang dicapai ialah kutipan Tabung Ihya’ Ramadan sebanyak RM4,452.15. Sumbangan tersebut dan bayaran fidyah telah dimanfaatkan bagi menyediakan 50 kampit beras yang telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Penyelaras Program, Ustazah Jastinah bt Yusof turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa, dan sokongan bagi menjayakan majlis ini. Mereka juga memohon maaf atas segala kekurangan atau kekhilafan sepanjang program berlangsung, sambil berharap segala usaha murni ini memberikan keberkatan kepada semua pihak yang terlibat.

Majlis ini menutup program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan penuh simbolik dan doa agar keberkatan terus menyelubungi komuniti sekolah. SMK Pantai berhasrat untuk meneruskan program-program bermanfaat seperti ini pada masa akan datang demi kesejahteraan bersama.




Pelancaran Rukun Murid SMK Pantai 2025

Labuan, 17 Februari 2025 – SMK Pantai telah melancarkan satu inisiatif baharu yang dinamakan Rukun Murid, hasil cetusan idea pengetua sekolah, Encik Ismail bin Abdullah, sebagai langkah meningkatkan tingkah laku dan adab murid. Majlis pelancaran berlangsung di dewan sekolah, dihadiri oleh murid-murid dan guru-guru.

Rukun Murid ini merangkumi lapan prinsip utama yang menjadi panduan setiap murid: 

  1. Menjunjung Rukun Negara
  2. Memelihara Adab
  3. Memuliakan Guru
  4. Membudayakan Ilmu
  5. Mengamalkan Kebersihan
  6. Mengusahakan Kejayaan
  7. Menjaga Harta Benda
  8. Menzahirkan Kebanggaan

Encik Ismail berkata, “Rukun Murid ini terhasil daripada usaha meningkatkan martabat tingkah laku murid semasa cuti sekolah. Ia bertujuan membentuk budaya sekolah yang lebih harmoni dan membantu murid memiliki nilai-nilai yang baik dalam diri mereka.”

Bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini, pelbagai aktiviti seperti kuiz dan pertandingan melukis poster akan diadakan secara berkala untuk menguji kefahaman dan kepatuhan murid terhadap Rukun Murid.

Pengetua turut mengingatkan murid beragama Islam untuk melafazkan zikir sebanyak 10 kali sebaik sahaja memasuki kawasan sekolah dan berusaha mencapai 100 kali sebelum tamat waktu persekolahan.

Dengan pelaksanaan Rukun Murid, SMK Pantai berharap dapat melahirkan murid yang memiliki peribadi unggul, berprinsip, dan bermoral. Inisiatif ini dijangka menjadi platform kukuh untuk membentuk generasi yang cemerlang dari segi akademik serta nilai karakter. 

Langkah ini mencerminkan usaha gigih SMK Pantai dalam memupuk pendidikan karakter sebagai asas kecemerlangan. Tahniah kepada semua warga sekolah atas kejayaan pelancaran Rukun Murid! 




Murid SMK Pantai Raih Kejayaan dalam Pertandingan Pembaca Bestari

Labuan, 11 Mac 2025 – Nur Mashita binti Masir, seorang pengawas SPBT dan pelajar dari kelas 5 UKM di SMK Pantai, telah mencapai pencapaian membanggakan dengan memenangi tempat ketiga dalam kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah bagi pertandingan Pembaca Bestari yang berlangsung di Perpustakaan Awam PL. Pertandingan Pembaca Bestari diadakan dengan tujuan untuk menggalakkan budaya membaca dan meningkatkan daya analisis pelajar terhadap karya penulisan.

Nur Mashita memilih buku bertajuk ‘Glow Inside and Out’ sebagai bahan bacaan utama. Buku yang ditulis oleh Auni Baharin ini memberikan inspirasi kepada para pembacanya dengan menggabungkan Psikologi Positif serta panduan dari al-Quran dan Sunnah. Buku tersebut menampilkan sepuluh langkah holistik untuk memperbaiki kebahagiaan dan kesejahteraan pembaca. Penyertaan Nur Mashita dengan buku yang memberikan pengajaran tentang keseimbangan hidup dan kebahagiaan jelas mencerminkan minat beliau terhadap pembacaan yang bermanfaat serta berimpak tinggi.

Selain itu, Nur Mashita juga telah menyertai Pertandingan Bicara Buku, yang masih menunggu keputusan rasmi. Penyertaan beliau dalam pertandingan ini menunjukkan semangatnya yang tinggi dalam bidang pembacaan dan pengucapan awam, sekaligus mencerminkan dedikasi beliau terhadap pengembangan diri.

Tahniah kepada Nur Mashita atas kejayaan ini, yang tidak hanya membanggakan SMK Pantai tetapi juga memberikan inspirasi kepada pelajar lain untuk terus menjadikan membaca sebagai budaya positif dalam kehidupan. Sebagai seorang pengawas SPBT yang berdedikasi, kejayaan ini menunjukkan disiplin dan usaha gigih beliau dalam mengharumkan nama sekolah. Dengan ini, adalah menjadi harapan agar pencapaian Nur Mashita pada kali ini dapat membuka peluang untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.




Majlis Persaraan Puan Edora Binti Ellias: ‘Sanjungan Budi Lambaian Kasih’

Labuan, 28 Februari 2025 – Dewan SMK Pantai menjadi saksi majlis penuh emosi dan kenangan manis  bagi meraikan persaraan Puan Edora Binti Ellias dalam majlis bertemakan ‘Sanjungan Budi Lambaian Kasih’. Acara yang berlangsung dari pukul 7:00 hingga 9:00 pagi ini disusun dengan rapi bagi menghargai jasa besar beliau sepanjang hampir 32 tahun mencurahkan bakti sebagai seorang pendidik.

31 Tahun, 10 Bulan Cemerlang dalam Dunia Pendidikan Puan Edora memulakan kerjaya sebagai guru di sekolah menengah dan menamatkan perkhidmatannya yang gemilang di SMK Pantai. Sepanjang tempoh perkhidmatan selama 31 tahun 10 bulan, beliau telah berkhidmat di tiga buah sekolah menengah. Peranan penting yang pernah disandang oleh beliau termasuk Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Penyelaras Middle Years Programme (IB), dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

Dalam ucapan penghargaan oleh guru-guru dan pelajar, ramai yang menzahirkan rasa kagum terhadap dedikasi Puan Edora serta kesungguhan beliau dalam memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara. Pengalaman dan sumbangannya kepada bidang pendidikan disifatkan sebagai ‘permata’ yang sukar dicari ganti.

Pesanan Terakhir yang Menyentuh Hati Sebelum mengakhiri tugasnya sebagai seorang pendidik, Puan Edora sempat menitipkan kata-kata pesanan yang penuh makna kepada warga SMK Pantai. Beliau menasihati agar sentiasa menghormati ibu bapa, menjaga adab di rumah dan di sekolah, serta menggalakkan guru-guru muda agar terus cekal dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa. “Kejayaan murid adalah kejayaan seorang guru,” ujar beliau dengan nada penuh rasa sayang dan harapan.

Majlis berakhir dengan persembahan multimedia yang memaparkan perjalanan karier Puan Edora, disusuli ucapan perpisahan yang menggugah jiwa daripada rakan-rakan seperjuangan. Suasana penuh syahdu menyelubungi dewan ketika deklamasi sajak daripada tuan pengetua ditayangkan.

Semoga persaraan ini membawa kebahagiaan dan ketenangan buat Puan Edora Binti Ellias. Jasa dan bakti beliau kepada dunia pendidikan akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi pendidik masa hadapan.

 

Selamat bersara, guru tercinta,

Moga bahagia sepanjang masa,

Bersama keluarga tenang dan damai,

Ingatan mesra sentiasa disemai,

Selamat bersara, Puan Edora!




Aktiviti Persekolahan Minggu Pertama Sesi 2025 di SMK Pantai, W.P. Labuan

Labuan, 20 Februari 2025 – SMK Pantai, W.P. Labuan telah mengadakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang minggu pertama sesi persekolahan 2025. Aktiviti yang berlangsung dari 17 Februari hingga 20 Februari ini melibatkan pelajar dari Tingkatan Dua hingga Tingkatan Lima yang bergilir-gilir menyertai pelbagai program yang disusun rapi oleh pihak sekolah.

Isnin, 17 Februari 2025

  • Tingkatan Dua: Aktiviti Seni dan Budaya seperti Seni Visual, Lakon dan Tari.
  • Tingkatan Tiga: Aktiviti Bahasa dan Komunikasi melalui Permainan Bahasa.
  • Tingkatan Empat: Aktiviti STEM yang melibatkan permainan Sains dan Kejuruteraan.
  • Tingkatan Lima: Aktiviti Sukan dan Rekreasi termasuk Squid Games dan Gender Sport.

Selasa, 18 Februari 2025

  • Tingkatan Dua: Aktiviti Bahasa dan Komunikasi dengan Permainan Bahasa.
  • Tingkatan Tiga: Aktiviti Seni dan Budaya seperti Seni Visual, Seni Lakon dan Tari.
  • Tingkatan Empat: Aktiviti Sukan dan Rekreasi termasuk Squid Games dan Gender Sport.
  • Tingkatan Lima: Aktiviti STEM yang melibatkan permainan Sains dan Kejuruteraan.

Rabu, 19 Februari 2025

  • Tingkatan Dua: Aktiviti STEM dengan permainan Sains dan Kejuruteraan.
  • Tingkatan Tiga: Aktiviti Sukan dan Rekreasi termasuk Squid Games dan Gender Sport.
  • Tingkatan Empat: Aktiviti Seni dan Budaya seperti Seni Visual, Lakon dan Tari.
  • Tingkatan Lima: Aktiviti Bahasa dan Komunikasi dengan Permainan Bahasa.

Khamis, 20 Februari 2025

  • Tingkatan Dua: Aktiviti Sukan dan Rekreasi termasuk Squid Games dan Gender Sport.
  • Tingkatan Tiga: Aktiviti STEM dengan permainan Sains dan Kejuruteraan.
  • Tingkatan Empat: Aktiviti Bahasa dan Komunikasi dengan Permainan Bahasa.
  • Tingkatan Lima: Aktiviti Seni dan Budaya seperti Seni Visual, Lakon dan Tari.

Ketua Penyelaras Aktiviti Persekolahan Minggu Pertama Sesi 2025, Encik Abdullah bin Ali, mengucapkan terima kasih kepada semua guru atas komitmen mereka sepanjang minggu ini. “Saya amat menghargai dedikasi semua guru yang bekerja keras memastikan setiap aktiviti berjalan lancar,” kata beliau.

Penutupan aktiviti minggu pertama telah diadakan pada hari Jumaat dengan agenda berikut:

  • Kata aluan pengacara majlis.
  • Tayangan video dan foto sepanjang minggu.
  • Penyampaian hadiah oleh Unit Sukan dan Rekreasi, Unit Seni dan Budaya, Unit Bahasa dan Komunikasi, dan Unit STEM.

Majlis penutupan ini akan dihadiri oleh Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail bin Abdullah, serta guru-guru dan pelajar yang telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sepanjang minggu.

SMK Pantai berharap agar aktiviti minggu pertama ini dapat memberikan semangat dan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan dalam akademik serta kokurikulum sepanjang tahun 2025.