The 2nd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar (2nd CAIELTS 2017)

Labuan- Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara dengan kerjasama Unit Bahasa Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, SISC+ Bahasa Inggeris (Menengah), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Labuan dan Innospace Labuan telah menganjurkan The 2nd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar (2nd CAIELTS 2017) pada 30 Julai 2017 bertempat di Labuan International School.

2nd CAIELTS 2017 telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, Tn Raisin bin Saidin.

Program tersebut telah disertai oleh lebih 80 orang termasuk pembentang jemputan daripada English Language Teaching Centre, Dr Tam Suet Yet, Ikon Guru Kebangsaan Encik Hyginus Lester, Ikon Guru Labuan Encik Samih bin Kukung dan Cik Suriani Alland Rice Oxley.

Turut hadir ialah Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pn. Norismah bt Hj Ab Moin.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pn. Mimie D. Selvakumar, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional WP Labuan yang juga Pengerusi Innospace Labuan.




Bengkel Didik Hibur Sains (Sioknya Belajar Sains, Barulah Osem)

LABUAN, 29 Julai – Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan St Anne dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Bengkel Didik Hibur Sains (Sioknya Belajar Sains, Barulah Osem).

Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan minat dan motivasi murid tahap dua dalam mata pelajaran Sains. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan para murid yang kreatif dan inovatif.

Bagi mata pelajaran Sains umumnya, program ini dapat meningkatkan pencapaian akademik dan target yang telah ditetapkan.

Penceramah jemputan bengkel Didik Hibur tersebut ialah Puan Sharifah Noraziah binti Syed Ali. Beliau merupakan penceramah UPSR peringkat kebangsaan dan Didik Berita Harian.

Turut serta membuat perkongsian dalam bengkel ini ialah Encik Ameer Firdaus bin Onn dari SK Lenjang, Lipis Pahang, yang merupakan Ikon Guru Kebangsaan dengan tajuk ‘Motivasi Murid dan Perkongsian Buku JOM BIJAK SAINS’.

Penyertaan seramai 165 orang murid daripada 18 buah sekolah rendah di Labuan termasuk Labuan International School dan murid dari Sabah dan Sarawak.

Program ini  telah dirasmikan oleh Puan Norismah bt Hj Ab Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada majlis ini juga Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Raisin bin Saidin sempat meluangkan masa melihat perjalanan program bengkel Didik Hibur serta bergambar bersama para peserta bengkel.




Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah 1M1S Anjuran KPM Dan Yayasan Bank Rakyat

Labuan- Kejohanan Bola Sepak 7 sebelah bawah 11 tahun Peringkat WP.Labuan anjuran Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah diadakan pada 27 – 29 Ogos 2017 di padang Sk. Bukit Kalam.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru selaku juara mewakili WP.Labuan ke peringkat Kebangsaan tahun lalu di Johor Darul Takzim kini mengulang semula kegemilangan tersebut setelah berjaya menewaskan SK. Pantai di perlawanan akhir dengan jaringan 3 – 0. Pada perlawanaan suku akhir, SK. Tanjung Aru telah berjaya menewaskan SK. Bukit Kalam dengan jaringan 3-2 juga telah menewaskan SK. Bebuloh di peringkat separuh akhir dengan jaringan yang sama. Dengan kemenangan tersebut, SK. Tanjung Aru telah menerima medal dan sijil untuk setiap pemain, piala kejohanan dan 2 set jersi. SK Tanjung Aru akan mewakili WP.Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan di adakan di Terengganu pada bulan September ini.

Warga SK Tanjung Aru sangat berbangga dengan pencapaian ini  lebih-lebih lagi semangat juang yang sangat tinggi yang ditunjukkan oleh pemain yang terdiri daripada murid-murid Tahun 5, Tahun 4 dan Tahun 3  sekolah ini. Warga sekolah juga amat berterima kasih dan sebesar-besar tahniah atas komitmen yang tinggi oleh Ustaz Rafiza Hafiz Bin Poji selaku ketua jurulatih dengan dibantu oleh jurulatih sukarelawan dari luar iaitu Saudara Norazli Bin Mohd Abdullah dan saudara Mohd Asuadi Bin Poji serta pengurus pasukan En. Bustamih Hj. Ungki.

Dalam tempoh sebulan ini, pasukan ini akan menjalani latihan intensif dan mengatur strategi terbaik agar dapat memberi saingan yang hebat kepada negeri-negeri lain di peringkat kebangsaan nanti dan dapat mengharumkan nama WP.Labuan di arena bola sepak bawah 11 tahun.

Go Go Go Go SK. Tanjung Aru….Bendera WP. Labuan di atas bahumu ……..




Program Kerja Amal PBSM SM ST Anne

Program: Kerja amal dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan
Tarikh: 28 / 7 /17
Tempat: Rumah orang tua miskin en. Hassan Lasak kg. Durian Tunjong.
Ahli rombangan: murid 35 org, guru pengiring 2, pegawai kebajikan 4, sukarelawan 5.
Aktiviti: gotong royong membersih kawasan rumah dan sumbangan barang makanan dan peralatan dapur.
Masa: 7.30 hingga 11.00 am.




SMK Labuan juara Bola Jaring MSS Labuan 2017 Bawah 18

SMK Labuan muncul juara kategori Bawah 18 di Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWPL) 2017 yang berlangsung di Dewan SK Sungai Lada pada 17-20 Julai lalu.

Sebanyak sembilan buah sekolah menengah menyertai pertandingan tersebut.

Manakala pasukan Bawah 15 pula menduduki tempat ketiga.

Skuad SMK Labuan diketuai pengurus pasukan Rohati Husin bersama dua jurulatih iaitu Teo Boon Leng dan Emelyda.

Lebih manis pasukan SMK Labuan turut membawa balik Anugerah Pemain Terbaik Bawah 18 menerusi Nurfatieah Abdullah.

Di pusingan awal, SMK Labuan menewaskan Kolej Vokasional Labuan, Sekolah Sukan Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

SMK Labuan menewaskan SM St Anne di peringkat separuh akhir.

Pertemuan sekali lagi menentang Kolej Vokasional Labuan di pentas akhir yang mendebarkan akhirnya memihak kepada SMK Labuan menerusi gol 1410.

Bagi kategori Bawah 15 Tahun, SMK Labuan tewas di tangan SMK Rancha-Rancha dan menang mengatasi SMK Taman Perumahan Bedaun dan SM St Anne.

Di separuh akhir, SMK Labuan tewas di tangan SM Sains Labuan.

Bagi menentukan tempat ketiga, SMK Labuan mengecewakan SMK Rancha-Rancha 5-4.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Labuan, Awangku Zain Awang Anak.

Sementara itu, Pengetua SMKLabuan,IsmailAbdullah mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan bola jaring tersebut.

Beliau yakin kejayaan itu akan menyuntik semangat pasukan dan pelajar lain untuk turut meraih kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Pengetua SMK Labuan bersama pasukan Bola Jaring SMK Labuan




‘Zero To Hero Transformation Carnival’ Tingkat Prestasi Bahasa Inggeris SPM

LABUAN, 24 Julai – “Program ‘Zero To Hero Transformation Carnival 2017’ hasil inisiatif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau ini dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan pelajar sekolah tersebut bahkan para calon SPM dari sekolah-sekolah lain di Labuan ini.”

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Hasbollah Hamid berkata demikian menyampaikan ucapan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin pada perasmian karnival tersebut di Perkarangan Bangunan Ujana Kewangan, di sini, pada Sabtu.

Hasbollah (kiri sekali) dan Yusup (dua dari kiri) sempat mencuba salah satu permainan pada karnival tersebut.
Hasbollah (kiri sekali) dan Yusup (dua dari kiri) sempat mencuba salah satu permainan pada karnival tersebut.

Tambahnya, program ini yang julung-julung kali diadakan merupakan salah satu langkah besar-besaran yang seharusnya mendapat sambutan menyeluruh dari murid dan guru di Labuan ini.

“Penyertaan para peserta dari beberapa sekolah di pulau ini mampu sedikit sebanyak membantu dalam pembelajaran bahasa Inggeris yang menjadi ‘Lingua Franca’ iaitu bahasa komunikasi antarabangsa khususnya meningkatkan prestasi subjek bahasa Inggeris di dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Pengetua SMK Lajau, Yusup Mohamad, program ‘Zero To Hero’ ini merupakan cetusan idea Guru Cemerlang bahasa Inggeris sekolah tersebut iaitu Janet Rose Tanakinjal dalam membimbing calon-calon SPM dalam mata pelajaran bahasa Inggeris khususnya aspek komponen sastera yang melibatkan novel, cerita pendek, teks puisi dalam subjek tersebut yang diperkenalkan dalam periksaan SPM sejak tahun lepas.

“Memandangkan komponen sastera bahasa inggeris tersebut agak mencabar yang mana novel berjudul ‘Captain Nobody’ merupakan novel yang menjadi rujukan bagi calon-calon SPM bagi subjek Bahasa Inggeris untuk tahun ini, maka Cikgu Janet telah mengambil usaha mahupun inisiatif menghasilkan program ini agar kaedah pembelajaran menjadi mudah dan seronok.

“Menerusi karnival ini juga, pembimbing rakan sebaya yang mahir dalam program tersebut dalam kalangan pelajar tingkatan Lima SMK Lajau telah dilantik untuk membimbing rakan-rakan sebaya mereka dari sekolah-sekolah lain,” jelas Yusup lagi.

Janet Rose Tanakinjal
                                                            Janet Rose Tanakinjal

Bagi Janet Rose Tanakinjal, 42, program ‘Zero to Hero’ ini akan membuatkan para pelajar lebih yakin dalam menjawab soalan novel subjek bahasa Inggeris SPM tahun ini melalui pembelajaran yang mudah dan menyeronokkan.

“Melalui program ini, kaedah pembelajaran menerusi permainan ‘software’ komputer yang diiilhamkan sendiri oleh pelajar SMK Lajau yang mengadaptasi novel ‘Captain Nobody’ ini akan lebih menyeronokkan di samping permainan yang berbentuk kuiz bagi memudahkan calon-calon SPM mengingati fakta-fakta untuk menjawab soalan novel tersebut semasa SPM kelak.

“Jadi, pada kali ini, SMK Lajau turut berkongsi program ‘Zero to Hero’ dengan mengadakan karnival pada hari ini yang mana sebanyak enam buah gerai aplikasi permainan dan kuiz dapat dicuba oleh para peserta dari seluruh sekolah yang ada di Labuan,” tambahnya lagi.

Froline (kiri) dan Maryjane (kanan)
                                               Froline (kiri) dan Maryjane (kanan)

Bagi dua orang peserta iaitu Maryjane Chang Li Jin, 17, dan Froline Poh Le Xin, 17, dari SMK Mutiara, mereka berdua berkongsi keterujaan dalam mengaplikasi permainanan dan kuiz di gerai-gerai yang terdapat pada program tersebut

Bagi mereka, kedua-dua aktiviti tersebut agak kreatif dan menjadikan pembelajaran mereka lebih seronok tanpa perlu gusar untuk menghafal nota-nota bahasa Inggeris dalam novel ‘Captain Nobody’.

Irham Zulhimi (kanan) pembimbing rakan sebaya bersama pembimbing rakan sebaya yang lain
Irham Zulhimi (kanan) pembimbing rakan sebaya bersama pembimbing rakan sebaya yang lain

Manakala, bagi Irham Zulhilmi Mohd Johan 17, yang merupakan salah seorang Rakan Pembimbing, berpendapat penghuraian bahan-bahan program menggunakan bahasa Inggeris juga dapat memahirkan penggunaan bahasa Inggeris antara para peserta mahupun pembimbing rakan sebaya untuk mencapai keputusan yang memberansangkan dalam subjek bahasa Inggeris SPM kelak.

Sumber : Udabayas




Program Zero to Hero Transformation Carnival 2017

Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau akan menganjurkan Program Zero to Hero Transformation Carnival 2017. Program ini merupakan salah satu program SMK Lajau dibawah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
Maklumat program adalah seperti berikut:

NAMA PROGRAM: PROGRAM ZERO TO HERO TRANSFORMATION CARNIVAL 2017

TARIKH : 22 JULAI 2017 (SABTU)

MASA : 08.00 PAGI – 12.30 TENGAHARI

TEMPAT : RUANG LEGAR, UJANA KEWANGAN

OBJEKTIF PROGRAM :
1. MENINGKATKAN PEMAHAMAN DAN PENGUASAAN NOVEL ‘CAPTAIN NOBODY’ KEPADA CALON SPM 2017

2. MENINGKATKAN KEYAKINAN PELAJAR UNTUK MENJAWAB SOALAN NOVEL

3. MENGGALAKKAN PERKONGSIAN ILMU DI KALANGAN PELAJAR

4. MENGGALAKKAN PENDEKATAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21

Orang ramai khususnya calon-calon SPM 2017 dari semua sekolah menengah di W.P Labuan dijemput memeriahkan karnival yang julung kali diadakan ini. Jumpa anda di sana…




SMK Lajau Menyinar pada Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Kebangsaan

SMK Lajau menyinar dengan meraih tempat ketiga bersama Johor di Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2017.

Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 13-16 Julai.

SMK Lajau yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dibimbing Muhd Hisyam Assim menewaskan Melaka di Pusingan Awal 1 dan Sabah di Pusingan Awal 2.

Di peringkat suku akhir, SMK Lajau mengatasi cabaran Kelantan dengan keputusan 5-0.

Bagaimanapun, hasrat pasukan itu untuk mara ke pentas akhir disekat oleh pasukan Selangor di pusingan separuh akhir.

Selangor yang muncul juara pertandingan itu turut memenangi anugerah Pembahas Terbaik. Naib johan dimenangi Sarawak.

Sekolah itu diwakili Nur safiah Lalim, Thasmawaty Aripin, Irham Zulhilmi Mohd Johan, Nur Alia Fathihah Ryzisyaini dan Nurul Fatin Nazeera Qaber yang kesemuanya pelajar Tingkatan Lima Amanah menerima RM250 dan trofi serta sijil.

Jabatan Pendidikan WP Labuan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian SMK Lajau. Labuan Hebat, Guru Sayang Muridnya.

Pautan Berita Kejayaan :

Gambar Kenangan : Pasukan SMK Lajau, Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 2017 Peringkat W.P Labuan




Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada 2017 Bersama Pelayar Antarabangsa

Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada 2017 Bersama Pelayar Antarabangsa telah diadakan pada 16 julai 2017 di Dewan Sri Kedayan Sekolah Kebangsaan Sungai Lada. Majlis sambutan meriah raya ini telah dianjurkan oleh warga Sekolah Kebangsaan Sungai Lada bersama PIBG SK. Sg. Lada.

Majlis yang bermula seawal 9.00 pagi dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Pn. Anita Shyamini S. Azman dan YDP PIBG, Hj Shuib Bin Nasir. Majlis tersebut seterusnya dimeriahkan lagi dengan tarian sambut tamu oleh penari-penari kebudayaan Perbadanan Labuan. Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu raya daripada artis perbadanan Labuan yang diiringi oleh kumpulan pemuzik perbadanan Labuan.

Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada ini turut dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat iaitu Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Haji Bashir Bin Hj Alias, Ahli Parlimen P166 Labuan, Datuk Rozman Datuk Hj Isli, Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base Labuan, Ybhg. Dato’ Harris Tan dan Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM) Dato’ Sri Haji Mohd Alias  Haji Abd Rahman, 20 orang Pelayar Antarabangsa serta Pegawai- pegawai dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara acara yang turut menyemarakkan lagi majlis ini ialah acara Karaoke Riang Raya, Pertandingan Gerai Tercantik Raya, Teka Biji Betik Raya, Glamour Raya 2017, Program Anak Angkat, pemasangan Padlock pada “Wall of Memories” oleh Para Pelayar Antarabangsa dan Penanaman Anak Pokok oleh tetamu kehormat bersama Para Pelayar Antarabangsa daripada warganegara Belanda, Australia, British, Jerman, New Zealand dan Columbia. Majlis ini telah diakhiri dengan sesi bergambar.




Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat W.P Labuan

Objektif :

  1. Menyampaikan mesej dakwah melalui aktiviti berunsur dakwah
  2. Memberi pendedahan kepada murid tentang hiburan Islam yang sebenar
  3. Memberi peluang kepada murid menunjukkan bakat dan kebolehan mereka

Keputusan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah

Kategori Sekolah Rendah

Johan SK Bukit Kalam
Naib Johan SK Membedai
Ketiga SK Pekan Dua

Anugerah terbaik sekolah rendah:

1) Lirik tema: SK Bukit Kalam
2) Pdpc: SK Membedai
3) Lagu tema: SK Bukit Kalam
4) Lagu pdpc: SK Bukit Kalam
5) Persembahan :SK Bukit Kalam
6) Solo: SK Bukit Kalam

—————————————

Kategori Sekolah Menengah

Johan SMK Mutiara
Naib Johan SMA MAIWP
Ketiga SMK Pantai

Anugerah terbaik sekolah menengah:

1) Lirik: SMK Mutiara
2) Lirik pdpc: SMK Mutiara
3) Lagu: SMK Mutiara
4) Lagu PDPC: SMK Mutiara
5) Persembahan: SMA MAIWP
6) Solo: SMA MAIWP

Perasmian Penutupan:

Puan Norismah Moin
Ketua Sektor
Sektor Pengurusan Akademik
Jabatan Pendidikan W.P.Labuan
(Wakil rasmi Pengarah Pendidikan)

Turut hadir:
1) Pengetua SMK Pantai, En Sahar
2) Ketua Unit Pendidikan Islam, Ustaz Mohd Syahir Yussof
3) Pegawai Angkat Sekolah

Johan akan mewakili W.P.Labuan ke peringkat kebangsaan di Perak