24 OGOS – Karnival Jom Hebat UPSR 2017 telah diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2017 di Dewan Pangkalan Udara, Tentera Udara DiRaja Malaysia Membedai, Labuan. Seramai 87 orang murid dan 28 orang guru dari 4 mata pelajaran terlibat dalam karnival ini. Kesemua mereka terdiri daripada murid cemerlang dari 14 buah sekolah rendah yang bakal menduduki UPSR pada bulan September ini.
Program Kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia, ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan bagi memberikan persiapan terakhir murid sebelum menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula dari 11 hingga 14 September 2017.
Karnival yang berkonsepkan pembelajaran Abad ke-21 ini memberi pendedahan kepada murid teknik dan kaedah yang sesuai bagi bagi menjawab soalan-soalan yang berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam semua empat kertas peperiksaan UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Murid dan guru juga diberi peluang membuat lawatan ke Lapangan Terbang Udara, Pangkalan Udara Labuan bagi merasai sendiri menaiki pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Kesemua murid yang hadir turut serta melahirkan rasa gembira kerana dapat dipilih menyertai program ini disamping dapat merasai sendiri keseronokan dan pengalaman menaiki pesawat pejuang negara.
Semoga semangat murid-murid Labuan setinggi dan sehebat jet pejuang TUDM. Selamat Maju Jaya dan Teruskan Berjuang UPSR 2017. Kejayaan Anda Kebanggaan Kami. Anda boleh lakukannya.
Sumber Berita : Inanis Fatinisupi bin Abdullah
SK Sungai Bedaun, Pupuk semangat cinta negara
23 Ogos – Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) Labuan turut tidak ketinggalan mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan sempena Ulangtahun Kemerdekaan ke-60 peringkat sekolah itu pada Rabu.
Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Sungai Bedaun Dg Sarifah A Mahmod.
Menurut Dg Sarifah, sambutan yang bertujuan memupuk semangat cintakan negara kepada warga sekolah itu berjaya diadakan dengan cemerlang.
Sambutan yang bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ bermula seawal jam 7 pagi itu dikelolakan oleh Panitia Sejarah.
Sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan, pelbagai aktiviti telah disusun atur antaranya pertandingan mewarna bendera, pertandingan sajak dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.
Majlis pelancaran itu dimeriahkan dengan deklamasi sajak yang disampaikan oleh Cikgu Noor Farehin.
SK Sungai Bedaun juga telah menyertai pertandingan Kibar Bendera kategori sekolah anjuran Jabatan Penerangan.
Dg Sarifah berharap menerusi program itu warga sekolah khususnya murid dan guru akan terus mengenang jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air.
Beliau juga yakin semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan murid dan guru semakin berkobar-kobar menerusi nyanyian lagu-lagu patriotik dan kempen kibar Jalur Gemilang.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua guru khususnya Panitia Sejarah yang menjadi pengelola Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Penolong Kanan Pentadbiran Rina Farinna Dakim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sunah Tahir, Penolong Kanan Kokurikulum Abd Tahar Ibrahim dan Penyelaras Program Mohamad Rosli Yusof.
Majlis pelancaran itu dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh 666 murid dan 44 guru SK Sungai Bedaun.
Sumber Berita : Utusan Borneo 25hb Ogos 2017
Perubahan Bermula di Bilik Darjah
22 Ogos – Bengkel Pemantapan Pembudayaan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sekolah-sekolah Showcase WP Labuan telah diadakan pada di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. Seramai 30 orang dan dan 90 orang guru dari 17 buah sekolah hadir dalam bangkel ini.
Bengkel anjuran Bahagian Pendidikan Guru (BPG) , Kementerian Pendidikan Malaysia ini telah memberi peluang kepada 6 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan untuk berkongsi amalan-amalan terbaik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) menggunakan kaedah PLC. Empat buah sekolah tersebuat ialah SMK Labuan, SM St Anne, SK Pekan Satu dan SK Pekan Dua sebagai sekolah Showcase PLC serta dua buah sekolah jemputan iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun dan Labuan International School.
Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah :
Perubahan kaedah pengajaran guru bermula dari bilik darjah, amalan kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan dan dibudayakan dalam meningkatkan mutu pendidikan kita di samping dapat meningkatkan hubungan yang berkualiti dalam kalangan guru.
Bengkel ini juga turut dihadiri Dr Roslan Bin Husin dari Bahagian Pendidikan Guru , Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam ucapan pengulungan beliau di akhir bengkel mengariskan 3 perkara penting dalam pelaksanaan PLC ;
PLC yang dilaksanakan perlu memastikan murid dapat belajar
berfokus kepada penguasaan dan pencapaian murid
Budaya Kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan
Bengkel berakhir pada pukul 2.30 petang.
Sumber Berita : Inanis Fatinisupi bin Abdullah
Lawatan PPKI SMK Kudat II
Labuan- 24.8.2017 yang lalu PPKI SMK Kudat II, Sabah telah membuat Lawatan Ke PPKI SMK Mutiara W.P Labuan untuk Penanda Aras Kemahiran Murid MBK. Rombongan ini diketuai Oleh Pn. Rojiah Binti Saiwah iaitu Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kudat II yang melibatkan 27 orang Murid PPKI, 13 orang Guru Dan PPM.
Rombongan tiba ke Sekolah pada jam 9.00 pagi Dan sambutan oleh Barisan Pentadbir Sekolah, Guru Pendidikan Khas dan Murid PPKI.
Rombongan lawatan diberi taklimat di Bilik Mesyuarat Sekolah berkenaan kemahiran mata pelajaran yang diajar serta Transisi Kerjaya yang telah dilaksanakan Oleh PPKI SMK Mutiara. Pada sesi taklimat tersebut, Bekas Murid PPI SMK Mutiara iaitu Adik Nicholas Timothy telah diberi sesi utk berucap untuk berkongsi pengalaman suka duka menjalani Murid PPI di Sekolah. Kemuncak Majlis adalah rombongan Lawatan dibawa ke Tapak Pameran Hasil Kerja Murid PPKI SMK Mutiara.
Sumber berita : Cikgu Noorashikin
Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula di Sini
Labuan – Perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2017 telah diadakan pada 24 Ogos 2017 yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN).
Perhimpunan kali ini telah dikelolakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (BTPN)
Dalam perutusan Pengarah Pendidikan, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ketua sektor, KPP BTPN, pegawai jabatan, Pengetua Guru Besar atas kejayaan pelaksanaan semua program Sektor, BTPN dan Sekolah.
Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pegawai-pegawai Jabatan, Pentadbir-pentadbir dan Guru-guru Sekolah yang tidak jemu-jemu mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kurikulum dan kokurikulum. Kesungguhan ini mencerminkan kita sentiasa berusaha membawa pendidikan Labuan ke arah kecemerlangan.
Tema perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2017 adalah ‘ Kemenjadian dan Kecemerlangan Murid Bermula di Sini’.
Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pihak jabatan dan sekolah samada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara kejayaan yang dicapai dalam bulan Ogos adalah seperti :
SMK Labuan – Johan Dart, Naib Johan Bola Jaring di Karnival Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah dan Labuan
SMK Rancha-Rancha – Johan Sketsa Rukun Tetangga anjuran Jabatan Penerangan
SMK Rancha-Rancha – Johan Pertandingan Robotik Peringkat W.P Labuan
SK Pantai – Johan Pertandingan Fesyen Merdeka Kreatif Sempena Hari Merdeka
Dalam majlis ini juga telah diadakan Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat kepada Pegawai di Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan pegawai sokongan di sekolah.
SMK Rancha-Rancha Johan Pertandingan Robotik 2017
Labuan – 19 Ogos 2017, bertempat di Ujana Kewangan telah berlangsung pertandingan Robotik peringkat Wilayah Persekutuan Labuan anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama SASBADI HOLDING Sdn Bhd.
SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM1500 diiringi trofi kemenangan. SMKRR telah menghantar seramai 4 kumpulan dimana, kumpulan Robot Makers yang dianggotai oleh adik Mirza Syahmi Bin Afandi, Sulimin Bin Suliman serta adik Khairil Azhar Bin Roslan telah berjaya membawa SMKRR muncul juara.
Kemenangan ini, dapat dihasilkan melalui bimbingan dan latihan oleh Cg Faisal Firdaus Bin Tuah yang telah melatih dan memberi bimbingan kepada pelajar yang terlibat. Turut tidak ketinggalan sokongan barisan pentadbiran SMKRR khususnya ayahanda Tn. Pengetua SMKRR En. Omar Baki Bin Matusin yang senantiasa komited dalam memastikan kemenjadian pelajar. SMKRR THE BEST !!.
Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 16 Ogos – Perlembagaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pada 30 Mei 2017. Bahagian Saraan, Jabatan Pendidikan Awam Malaysia dalam suratnya telah meluluskan Penubuhan MBJ JPWPL secara rasminya berkuatkuasa pada 07 Jun 2017.
Urusetia telah mengadakan satu Mesyuarat MBJ JPWPL bagi Pihak Pekerja Bil 1/2017 pada 2 Ogos 2017 yang telah di Pengerusikan oleh Pengerusi Sementara iaitu Setiausaha Pihak Pegawai sebagai Moderator bagi pemilihan Ahli Pihak Pekerja sebagai Pengerusi Pihak Pekerja (Naib Pengerusi) dan Setiausaha Pihak Pekerja (Setiausaha Bersama) MBJ JPWPL bagi sesi Tahun 2017 – 2018 (dua Tahun).
Pemilihan tersebut yang berlangsung tanpa sebarang campurtangan daripada pihak pengurusan tertinggi JPWPL.
Pihak Pekerja telah sebulat suara untuk memilih Encik Mohd Nizam bin Yasim sebagai Pengerusi Pihak Pekerja dan secara automatik menjadi Naib Pengerusi MBJ JPWPL dan Cik Ajiejah binti Lajim sebagai Setiausaha Pihak Pekerja (Setiausaha Bersama) di dalam Mesyuarat MBJ JPWPL.
Setiausaha Bersama MBJ JPWPL iaitu Puan Caroline binti Boni bagi Pihak Pegawai dan Cik Ajiejah binti Lajim bagi Pihak Pekerja.
Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Raisin Saidin secara automatik dilantik sebagai Pengerusi bagi Pihak Pegawai merangkap Pengerusi Majlis Bersama Jabatan, JPWPL dan Ketua-ketua Sektor dilantik sebagai Pihak Pegawai.
Pelantikan Ahli Pihak Pegawai dan Pihak pekerja MBJ JPWPL pada hari ini adalah berdasarkan kepada waran perjawatan sediaada dan juga selaras dengan Perlembagaan MBJ JPWPL yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
MBJ JPWPL adalah sebagai satu platform bagi semua wakil perkhidmatan/ kesatuan pihak kerja untuk mengusulkan isu-isu/ cadangan seperti Elaun dan Kemudahan, Kewangan, Perkhidmatan, Skim Perkhidmatan dan Perjawatan, Kebajikan dan Pentadbiran.
Semua isu dan cadangan wakil pihak pekerja ini akan dibincangkan semasa Mesyuarat MBJ JPWPL bagi diputuskan jalan penyelesaiannya.
Manakala bagi isu-isu dan cadangan yang tidak dapat diselesaikan dan memerlukan rujukan berkenaan dasar atau peraturan-peraturan yang lain ianya akan diangkat ke Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pendidikan Malaysia atau Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
Semasa Mesyuarat MBJ bil 1/2017 pada 16 Ogos 2017 yang dipengerusikan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin selaku Pengerusi pihak pegawai dan Pengerusi MBJ JPWPL, menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Khas Penubuhan Majlis Bersama Jabatan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Alhamdulilah setelah kita mengenalpasti isu-isu yang berkaitan dengan pewujudan dan pendaftaran secara rasmi, kita telah berjaya untuk mendapatkan kelulusan bagi Nombor Pendaftaran (No. MBJ: 1200033) Majlis Bersama Jabatan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Ini merupakan satu kejayaan yang amat bermakna kepada JPWPL dan ucapan tahniah kepada seluruh warga jabatan khususnya kepada pihak urusetia MBJ, Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan yang diurusetia oleh pegawai meja, Encik Shaharedzuan bin Mohd Salleh.
Dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai 2 kumpulan iaitu Pihak Pegawai (Majikan) dan Pihak Pekerja.
Menjadi harapan Encik Raisin Saidin agar Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan ini dapat menjadi satu medium bagi pihak pegawai dan pihak pekerja memberikan idea-idea yang bernas bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan lebih cemerlang pada masa hadapan.
Sumber Berita : Encik Shaharedzuan Mohd Salleh
Karnival Khas Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan
17 Ogos – Karnival Khas Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah ( Zon Pedalaman , Zon Selatan, Zon Barat, Zon Utara, Zon Sandakan) dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Keningau dengan kerjasama pemuafakatan Tingkatan 6 Bahagian Pedalaman. Karnival yang berlangsung pada 14 hingga 16 Ogos 2017 ini merangkumi 11 acara pilihan yang melibatkan acara sukan, kebudayaan, seni visual, kesenian dan pidato.
Labuan yang diwakili Pra U Tingkatan 6 SMK Labuan (SMKL) tidak ketinggalan menyertai dan memeriahkan karnival tersebut bersama 19 lagi Pusat Tingkatan 6 Zon Pedalaman, Zon Selatan, Zon Barat, Zon Utara dan Zon Sandakan Sabah. Antara sekolah lain yang turut terlibat karnival itu adalah SMK Tenom, SMK Bingkor, SMK Bongawan, SMK Nabawan, SMK Gunsanad, SMK Pengiran Omar, SMK Penangah, SMK Beaufort 2, SMK Benoni, SMK Putatan, SMK Ken Hwa, SM Kemabong, SMK Tambunan, SMK Keningau, SMK Keningau II, SMK Ranau, SMK Kota Marudu, SMK Sook dan SMK Telupid.
Pra U SMK Labuan menyertai dua acara iaitu dalam acara sukan bola jaring dan dart. Sekolah ini telah mengharumkan nama Labuan dengan meraih Johan dalam acara dart dan naib johan dalam sukan bola jaring. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontinjen SMK Labuan.
Dalam acara bola jaring, pasukan Pra U SMK Labuan telah berjaya mengalahkan SMK Pangeran Omar Sipitang (15-2), SMK Benoni (30-0). Suku akhir perlawanan pasukan SMK Labuan berjaya mengalahkan SMK Kemabong dengan kiraan mata 15-3. Pada saingan separuh akhir perlawanan sengit berlangsung sehingga diheret ke masa tambahan dan akhirnya pasukan SMK Labuan berjaya mengalahkan pasukan SMK Penangah 18-11 tetapi tewas di perlawanan akhir kepada pasukan tuan rumah SMK Keningau II.
Manakala pasukan dart Pra U SMK Labuan, pada peringkat kumpulan telah mengalahkan SMK Tambunan, SMK Pangeran Omar, SMK Keningau B, kesemuanya dengan keputusan mata 2-0 dan SMK Keningau II dengan keputusan 2-1. SMK Labuan terus gah mengorak langkah dengan menewaskan pasukan SM Ken Hwa di separuh akhir dan akhirnya muncul sebagai juara dengan menewaskan pasukan SMK Keningau II dengan keputusan 2-0.
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menzahirkan rasa gembira kerana matlamat penyertaan kali ini telah tercapai. Walaupun hanya menyertai 2 acara tetapi telah berjaya meletakkan nama Pra U SMK Labuan di tahap yang sewajarnya.
Tahun depan kami berazam untuk menyertai lebih banyak acara daripada 11 acara yang dipertandingkan. Ini merupakan salah satu platform untuk mengasah bakat pelajar dan meningkatkan imej sekolah. Terima kasih atas sokongan padu pihak PIBG SMK Labuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Lima orang guru SMK Labuan turut sama menyertai 16 pelajar Pra U menyertai Karnival Tingkatan 6 tersebut :
Guru pengiring :
Saminan Sabtu
Mazri Mohamed Yunus
Abd Manan Nasir
Rosnanih Amat
Nor Zuhailah Che Omar
Pemain Bola Jaring :
Nor Amizah Mohd Asmawi
Izzatul Shahira Abdul Malek
Nurfatieah Abdullah
Dg Siti Nurul Hamizah Ag Mohd Zain
Eiza Eldayantie Abdul Halim
Myra Natasha Maurice
Nurul Atiqah Hassan
Siti Hafizah Suhali
Noor Azlin Aspan
Syafiqah Tee
Pemain Dart :
Megan April Kiok
Nur Najihah Ahmad
Suzliana Suaili
Muhamad Lutfi Lukmanul Hakim
Noreman Bialam
Zaharani Abdul Matalip
Sumber Berita : Ismail Abdullah
Suntikan Semangat, Motivasi Pecutan Akhir SPM 2017 SMK Pantai IBWS
14 Ogos – Seramai 152 calon SPM SMK Pantai iB World School mengikuti satu Program Motivasi Pecutan Akhir SPM 2017 di Dewan Gemilang IB sekolah.
Penceramah jemputan yang mengendalikan program ini ialah penceramah diundang khas dari Kuala Lumpur Encik Hilter Yew. Beliau berpengalaman luas mengendalikan program motivasi di seluruh negara. Beliau bergiat aktif hampir 25 tahun dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan telah menyumbang khidmat seminar kepada banyak sekolah, jabatan kerajaan, syarikat mahupun badan kebajikan serta pertubuhan agama.
Program di bawah kendalian Unit Kaunseling SMK Pantai IBWS turut melibatkan para ibu bapa dalam masa dua jam akhir slot tersebut.
Program motivasi ini bagi menyuntik semangat dan membangkitkan rasa sedar diri kepada calon SPM SMK Pantai IBWS yang akan berjuang menentukan masa depan masing-masing mulai awal November ini. Waktu tiga bulan adalah jangkamasa agak singkat untuk para pelajar membuat persediaan rapi. Sehubungan dengan itu, para ibu bapa memainkan peranan besar untuk melonjakkan kecemerlangan anak mereka.
Pengetua SMK Pantai IBWS yang turut bersama dalam program ini bersama para pelajar dan ibu bapa mengingatkan semua pelajar bersedia sepenuhnya membuat ulang kaji berfokus dan mematuhi nasihat ibu bapa dan guru demi keberkatan ilmu serta mengamalkan sahsiah terpuji dan disiplin belajar yang tekal/konsisten. Sekolah mensasarkan peratus lulus 100 peratus SPM Tahun 2017 dan Gred Purata Sekolah di bawah 5.0.
Ibu bapa yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Antara ibu bapa yang hadir pagi semalam ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Labuan, Encik Ishak Aku Abdul Rahman dan Guru Besar SK Pantai, Puan Mahani Hj Hussin . Mereka berdoa supaya prestasi SPM 2017 sekolah ini terus cemerlang. Mereka yakin perubahan set minda dan perubahan budaya belajar para pelajar adalah selari dengan pengiktirafan SMK Pantai sebagai salah sebuah daripada sembilan sekolah yang telah diiktiraf sebagai iB World School.
Turut bersama-sama mengikuti program ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran Norazita bt Md Noor, Penolong Kanan HEM Wan Azmona Wan Mohamed dan Guru Kanan Bahasa Jakiah Ingkam serta guru-guru yang mengajar Tingkatan 5.
Pada minggu hadapan 21 Ogos program motivasi pecutan akhir untuk calon PT3 dan calon Pendidikan Asas Vokasional yang melibatkan 209 pelajar, yang akan disertai juga oleh para ibu bapa.
Perkongsian IBMYP Untuk Guru Baharu SMK Pantai IBWS
12 Ogos – Satu sesi perkongsian International Baccalaureate: Middle Years Programme kepada guru-guru baharu SMK Pantai IBWS telah diadakan di Bilik Gerakan sekolah ini.
Antara objektif program ini ialah;
Memastikan guru-guru baharu faham tentang pendekatan MYP yang digunakan dalam PdP dan tahu menggunakannya
Memastikan guru-guru baharu sedar tentang falsafah IB dan signifikan penggunaan dokumen rujukan IB iaitu ‘From Principles into Practices’ dan ‘Subject Guides’
Memastikan guru-guru baharu tahu cara pentaksiran MYP
Dalam tempoh 2014 sehingga kini, pergerakan keluar masuk guru-guru tetap berlaku di SMK Pantai iB World School seperti sekolah-sekolah lain di seluruh negara. Oleh itu, guru-guru baharu yang ditempatkan ke SMK Pantai iB World School selepas tamat tempoh latihan wajib ini perlulah didedahkan tentang MYP dan dilatih sewajarnya bagi memastikan mereka dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 mengikut kaedah MYP.
Pada 23 Julai 2016, SMK Pantai telah mendapat pengiktirafan daripada International Baccalaureate Organisation, sebuah organisasi antarabangsa, sebagai IB World School yang kelima dalam kalangan sekolah-sekolah kerajaan di Malaysia. Dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan ini, guru-guru SMK Pantai iB World School telah melalui pelbagai proses latihan profesional dalam bentuk bengkel, sesi face-to-face bersama pengendali bengkel daripada luar negara dan latihan atas talian bersama konsultan terpilih daripada luar negara sebagai persediaan untuk melaksanakan MYP di SMK Pantai. Kesemua latihan profesional sebanyak 7 kitaran ini berlangsung selama lebih kurang 8 bulan bermula daripada Jun 2013 dan berakhir pada Februari 2014. Dalam erti kata lain, semua guru perlu mendapat pendedahan yang cukup sebelum ianya dapat dilaksanakan di sekolah bagi memastikan kejayaan pelaksanaan MYP di SMK Pantai iB World School. Latihan berterusan kepada warga sekolah terutama guru-guru berterusan sehingga tahun ini.
Program seumpama ini akan diadakan secara berkala mengikut keperluan bagi memantapkan lagi pelaksanaan IBMYP di sekolah ini. Program juga turut memberi peluang kepada guru-guru baharu dan guru-guru yang bertukar masuk ke sekolah ini berkongsi pengalaman dan perasaan gembira kerana ditempatkan di sekolah ini. Kebanyakannya melahiran rasa gembira dapat berkhidmat di SMK Pantai iB World School dan mereka berjanji untuk memastikan sekolah ini akan terus cemerlang serta melahirkan pelajar berfikiran antarabangsa, berdisiplin dan berdaya saing pada setiap masa selari dengan tagline sekolah “SMK Pantai Menjulang Nama, Sorakan 123”.