Pencapaian Kontinjen Ppki SMK Lajau Di Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan 2018

LABUAN,13 September  – Seramai 19 orang pelajar dari Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) SMK Lajau telah menyertai pertandingan bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Sekolah Kebangsaan Pantai. Mereka diiringi oleh 13 orang guru dan 3 orang Pembantu Pengurusan Murid yang juga bertindak sebagai pengelola pertandingan nasyid dalam majlis ini. Wakil dari SMK Lajau   adalah kontijen terbesar yang pernah dihantar ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Labuan.

Majlis ini dianjurkan sebagai salah satu program kerohanian untuk murid-murid pendidikan khas Labuan sekaligus dapat mencungkil bakat dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan. Murid-murid yang menjadi pemenang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 16 hingga 19 Oktober 2018 di Kelantan.

Acara pertandingan tilawah, hafazan, bercerita dan syarahan agama bermula pada jam 8.00 pagi. Majlis berhenti rehat pada jam 10.00 pagi. Majlis diteruskan dengan pertandingan azan subuh dan nasyid.

Adik Md.Zurin Zuraymi sedang melaungkan azan Subuh

Pada Majlis Tilawah Al-Quran tahun ini kontijen PPKI SMK Lajau telah berjaya menggondol kejuaraan bagi setiap acara yang disertai. Kontijen SMK Lajau telah menyertai 5 acara dalam kategori Masalah Pembelajaran Sekolah Menengah iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Azan Subuh, Syarahan Agama dan Nasyid dengan menghantar 2 peserta setiap acara dan 10 orang untuk acara nasyid.

Dalam acara Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah, Muhammad Haziq Irfan telah berjaya mendapat tempat pertama kategori lelaki dan Siti Waniera Safiyyah telah memenangi kategori perempuan. Tempat kedua untuk acara tilawah kategori lelaki sekolah menengah juga dimenangi oleh wakil SMK Lajau iaitu Mohd Ramlan bin Yusof.

Acara hafazan lelaki sekolah menengah dimenangi oleh Akmal Nuruddin bin Aili manakala seorang lagi wakil PPKI SMK Lajau dalam acara tersebut iaitu Mohamad Daniel bin Hashim mendapat tempat ketiga. Wakil PPKI SMK Lajau dalam acara hafazan sekolah menengah perempuan iaitu Nurul Fatihah binti Saidin telah memenangi acara tersebut dan tempat kedua juga dimenangi wakil SMK Lajau,Siti Nuradilah Najeerah.

Akmal Nurudin bin Aili berjaya mendapat tempat pertama acara Hafazan Lelaki Sekolah Menengah

Pertandingan azan subuh juga menyaksikan wakil PPKI SMK Lajau mendapat tempat pertama dan kedua. MD. Zurin Zuraymi bin Phillip berjaya memenangi acara tersebut manakala Mohd Abri bin Mohd Salleh di tempat yang kedua. Pertandingan syarahan agama kategori lelaki dam perempuan kedua-duanya dimenangi oleh wakil PPKI SMK Lajau iaitu Mohd Al-Shahdie bin Mohd Salleh dan Nur Ashella Riduan. Tempat kedua juga dimenangi oleh wakil PPKI SMK Lajau iaitu Mohd Zulhilmi Hazim bin Sibidol dan Wardah Hidayah binti Yahud.

Acara paling popular adalah pertandingan nasyid yang menyaksikan penyertaaan penuh dari setiap kontijen. Enam kumpulan nasyid yang mewakili sekolah masing-masing adalah Sautul Kalam dari PPKI SK Bukit Kalam, Asy-Syakirin dan PPKI SK Pekan 1, Al-Mawaddah dari PPKI SK Rancha Rancha, Shoutul Bahri dari PPKI SK Pantai, Soutul Imtiyaz dari PPKI SMK Mutiara dan Al-Husaini dari PPKI SMK Lajau. Tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan Al-Husaini dari PPKI SMK Lajau yang dianggotai oleh 10 orang ahli termasuk 3 orang yang bertindak sebagai pemain muzik perkusi. Kumpulan ini diketuai oleh vokalisnya iaitu Md. Zurin Zuraymi bin Phillip. Adik Zurin juga telah dianugerahkan sebagai vokal solo terbaik oleh jemaah hakim pertandingan nasyid.

Kumpulan Nasyid Al-Husaini dari SMK Lajau telah menjuarai pertandingan nasyid MTAQ PPKI 2018. Dari kiri Mohd Abri, Zulfareez, Mohd Daniel, Md.Zurin, Mohd Azrul, Mohd Ramlan dan Aqmal Fahmie.

Kemuncak acara adalah majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah oleh Pn.Maimoon binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan wakil rasmi  Tuan Pengarah, En.Raisin bin Saidin. Majlis yang berlangusung di Dewan Dato Hj.Isli, SK  Pantai dimulakan pada jam 2.30 petang dengan kata-kata aluan dari Guru Besar SK Pantai Puan Mahani binti Hussin selaku tuan rumah. Turut hadir Guru Besar SK. Pekan Satu puan Anita Shamimi, Guru Besar SKK Rancha-Rancha puan Norinie Kassim, Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Abd Latip.

Sebelum keputusan diumumkan ketua hakim pertandingan nasyid Ustazah Rohani binti Tali@Md Ali dijemput untuk memberikan sedikit komentar berkenaan mutu persembahan setiap kumpulan nasyid yang bertanding. Beliau berterima kasih kasih kepada penganjur kerana melibatkan guru perdana sebagai hakim dalam pertandingan nasyid peringkat pendidikan khas dan memberi beberapa cadangan untuk memperbaiki kualiti persembahan dan penganjuran untuk masa akan datang.

Barisan jemaah hakim dan wakil pengelola pertandingan nasyid. Dari kiri Ustaz Arrifae, En.Muhd Zuraihi, Ustaz Saifulizam, Ustaz Norazlan, Ustaz Solehin, Ustazah Rohani Tali (Ketua Hakim), Ustazah Dayang Ramizah dan Pn. Noraini Hj Sabudin (Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Lajau)

Hadiah telah disampaikan oleh Pn.Maimoon Matnoh dan berakhir pada jam 4.30 petang.




Jabatan Pendidikan WP Labuan Mampu Bantu Tingkatkan Industri Pelancongan

LABUAN, 21 Sep  – Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Pesekutuan (W.P) Labuan, Encik Raisin Saidin optimis Jabatan Pendidikan W.P Labuan mampu membantu meningkatkan Industri Pelancongan di Labuan melalui tuan rumah kepada bengkel-bengkel, seminar mahupun persidangan antarabangsa dalam bidang pendidikan.

Justeru dengan kehadiran para peserta dari dalam dan luar negeri mampu membantu mengalakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Bebas Cukai tersebut dan secara tidak langsung memperkenalkan Labuan kepada masyarakat luar mahu pun dalam Malaysia.

Antara peserta bengkel yang hadir.

Antara peserta bengkel yang hadir.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Menyambut Peserta-Peserta Bengkel Kerja “Leadership Development Programme” di salah sebuah restoran terkemuka di sini, baru-baru ini.

Bengkel yang diadakan di Apartmen Beta Hotel, Bangunan Ujana Kewangan Labuan mulai 19 hingga 21 September ini telah mengundang para peserta dari Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Labuan sebagai tuan rumah.

Encik Raisin Saidin berharap agar para peserta bengkel dapat memanfaatkan segala ilmu dan pendapat melalui bengkel tersebut dan pada masa yang sama para peserta dapat mempromosikan lagi keindahan Labuan kepada rakan-rakan yang lain apabila pulang ke negeri masing-masing.

 Dipetik dari MalaysiaAktif

“Sesungguhnya Labuan berpotensi untuk diadakan pelbagai bengkel mahupun seminar disebabkan kedudukannya sebuah pulau yang kemudahan logistik dan kemudahan pengangkutan adalah mudah di samping banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati”, tambah Raisin lagi.

Turut hadir pada makan malam tersebut, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Labuan, Encik Awang Marten Abdul Rahman serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Encik Hasbullah Amit.




SK Tanjung Aru menerowong masa 1957, hayati erti kemerdekaan “sayangi Malaysiaku”

18 September 2018 / Labuan – Tahun 2018, SK Tanjung Aru telah mengadakan Majlis Penutupan Hari Kemerdekaan bertempat di Dewan Sri Tanjung. Bulan Kemerdekaan kali ini telah dilancarkan pada 13 Ogos yang lalu. Majlis yang meriah ini dihadiri oleh semua pentadbir sekolah iaitu puan Murni Binti Jaafar selaku Guru Besar Sekolah,  puan Normah Binti Rahimi sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan juga Encik Irham Bin Hamid selaku Penolong Kanan Ko-kurikulum.

Gimik pelancaran yang dijalankan pada 13 Ogos lalu menampilkan lakonan berbakat murid-murid SK Tanjung Aru beserta video yang menarik minat murid – murid demi menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan semenjak Bulan Kemerdekaan ini dilancarkan pada Ogos yang lalu seperti Pertandingan Kelas Paling Patriotik, Pertandingan mewarna dan melukis poster Kemerderkaan, Pertandingan Rekacipta peta negara Malaysia daripada bahan terpakai, pakaian baju beragam, pertandingan swafoto kemerdekaan, dan Baju T paling patriotik. Setiap pertandingan yang dianjur mendapat sambutan yang hangat daripada murid-murid sekolah dan para guru. Sambutan ini juga merupakan usaha untuk penglibatan murid dalam aktiviti kemerdekaan sekaligus menyemai sikap patriotisme dalam kalangan murid.

Penglibatan ibu bapa yang memberangsangkan sepanjang Bulan Kemerdekaan ini berlangsung turut menjadi penyumbang kepada keberhasilan dalam mencapai matlamat program ini kerana ibu bapa juga mahu melihat anak-anak mereka menjadi golongan anak bangsa yang bersemangat tinggi yang mampu menempuh setiap cabaran yang mereka hadapi demi mempertahankan kemerdekaan negara.   Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa semasa Bulan Kemerdekaan ini menambahkan lagi keakraban hubungan antara kedua-dua pihak.

Guru Besar SK Tanjung Aru, Puan Murni Binti Jaafar mengucapkan tahniah kepada Ahli JawatanKuasa Kerja yang bertungkus lumus menjayakan semua aktiviti sepanjang Bulan Kemerdekaan serta Hari Penutupan yang begitu meriah sekali. Beliau juga berkata, sekolah harus menjadi platform untuk menerapkan perpaduan dari peringkat awal lagi serta dapat membentuk murid yang bertanggungjawab  dan mempunyai kesedaran sosial dan membantu menjalankan aktiviti-aktiviti ke arah kemajuan negara. Semangat patriotik dan cintakan negara sebaiknya diterapkan di dalam jiwa anak-anak bermula dari sekarang demi melahirkan modal insan yang cemerlang dan sayangkan negara kelahiran kita. Daripada ini, anak bangsa dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar agar anak-anak didik SK Tanjung Aru saling menghormati dan mengasihi sesama insan tanpa mengira kaum dan agama.




Hari Malaysia, Kukuhkan Cinta pada Negara

16 Sept 2018, Labuan – Sambutan Hari Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2018 memberi seribu makna bagi seluruh warga pendidikan Labuan khususnya kepada kontinjen yang menyertai perbarisan pada pagi ini di Dataran Labuan.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya merangkul kejayaan berganda yang cukup manis untuk dikenang iaitu memenangi kategori khas Kontinjen Perbarisan Paling Ramai dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.00.

Kejayaan yang lebih manis adalah penyertaan ini bukanlah untuk menang pertandingan tetapi mesej penghantaran kontinjen teramai, memberi erti Hari Malaysia ialah hari untuk seluruh rakyat Malaysia, maka ia perlu diraikan bersama di seluruh pelosok negara tidak kira di mana jua berada.

Justeru, usaha ini nampak sahaja kecil tetapi USAHA yang berterusan menyemai dan menyubur semangat patriotisme, iaitu semangat cinta akan negara dalam kalangan warga pendidikan Labuan patut dibanggakan.

Encik Raisin Saidin bersama sebilangan kontinjen Pendidikan Labuan merakam kenangan bersejarah bersama Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abd Samad

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Encik Raisin Saidin amat berbangga dengan semangat sayangi Malaysiaku yang ditunjukkan oleh warga pendidikan Labuan dan berharap ianya menjadi contoh tauladan kepada anak-anak murid di Labuan.

Kontinjen Perbarisan ini terdiri daripada 400 orang Pegawai Jabatan Pendidikan, Pengetua, Guru Besar, Guru-Guru dan Staf Pendidikan  Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Encik Mohd Aminuddin Hj Abdul Malek.

Syabas dan Tahniah diucapkan kepada Kontinjen Perbarisan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Hari ini anda mencipta sejarah tersendiri.

Prasekolah Labuan turut tidak ketinggalan meraikan Hari Malaysia 2018

 




Peluasan Pelaksanaan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Dalam Ekosistem Sekolah (PIBK) WP Labuan 2018

LABUAN: Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan telah menganjurkan Program Perkongsian Amalan Terbaik Bagi Inisiatif #62: Peluasan Pelaksanaan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Dalam Ekosistem Sekolah (PIBK) 2018 di Auditorium Anjung Budaya Layang-Layangan Labuan.

Program itu yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 1 petang telah dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada pengetua, guru besar, yang dipertua PIBG dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan/Negeri dan Pegawai Perhubungan (Polis) Sekolah serta pelajar sekolah rendah dan menengah Wilayah Persekutuan Labuan.

Program diadakan untuk memberi pendekatan dengan penglibatan positif dalam kalangan ibu bapa, guru, komuniti setempat dan pihak swasta yang diusahakan secara berpasukan bagi aspirasi murid, aspirasi sistem pendidikan dan aspirasi PIBG itu sendiri direalisasikan.

Melakar satu lagi sejarah bila mana buat pertama kalinya, Pegawai Perhubungan Sekolah dari kalangan anggota polis dengan warga Jabatan Pendidikan Labuan untuk hadir bersama dalam program itu.

Usaha itu membuktikan permuafakatan, kerjasama, sikap kebersamaan dan kesepunyaan antara pihak JPNWPL dengan jabatan lain menunjukkan bahawa pendidikan di negara kita adalah milik masyarakat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berkata, dalam masa dua tahun ini, PIBK dan PIBG menggembleng kerjasama dan permuafakatan daripada ahli KPIBK kebangsaan dan negeri, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) sekolah serta sektor korporat dan syarikat swasta bagi membuktikan kemenjadian anak-anak di wilayah ini.

Encik Raisin Saidin menyampaikan hadiah galakan kepada PIBG SMK Labuan

Katanya hal itu jelas menggambarkan keprihatinan dan kepedulian masyarakat umum terutamanya terhadap program-program yang melibatkan para ibu bapa dan komuniti tetap diberi keutamaan.

Dengan adanya program seperti gerakan bersepadu itu jelasnya, pihak Jabatan Pendidikan Labuan telah mengambil intenvensi dan dibuktikan di sekolah, kecemerlangan sesebuah organisasi atau persatuan amat bergantung kepada beberapa elemen yang perlu digerakkan secara bersama dan seiring.

“Program ini juga diadakan untuk mengatasi permasalahan sosial pada hari ini cukup membimbangkan kita semua. Gejala sosial dan keruntuhan moral yang melibatkan remaja dan murid sekolah sangat mencemaskan hati kita.

“Banyak faktor yang menyumbang berlakunya gejala tidak sihat ini. Maka dengan adanya Pegawai Perhubungan Sekolah yang telah dilantik juga, dapat membantu menangani isu ponteng sekolah dan masalah disiplin di peringkat akar umbi,” katanya.

Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Labuan dan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan dan Negeri kerana berjaya mengadakan Program Perkongsian Amalan Terbaik Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti itu.

“Semoga dengan penerimaan hadiah PIBG Aktif sepanjang Januari-Jun yang diterima oleh PIBG SMK Labuan, PIBG SMK Rancha-Rancha, PIBG SMK Lajau dan SK Layang-Layangan ini dapat merangsangkan lagi pelibatan ibu bapa dan komuniti dalam persekitaran sekolah,” katanya.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Maimoon Haji Matnoh, Pengerusi KPPIBKK Encik Omar Baki Matusin, Puan Norismah Haji Moin dan Penyelaras Program Puan Zaliha Mohd Salleh.

Antara guru dan murid yang hadir program perkongsian amalan terbaik PIBK