Umpama Menatang Minyak Yang Penuh, Skrr Sambut Pelancaran Jom Ke Sekolah
Labuan,
17 Februari 2020 – Peribahasa tersebut amat sesuai dikaitkan dengan program Jom
ke Sekolah yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2020 (Isnin) serentak
seluruh Malaysia. Program ‘Jom Ke Sekolah” yang
direncanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Polis
DiRaja Malaysia (PDRM) bertujuan untuk menangani masalah disiplin pelajar
dan salahlaku jenayah bermula diperingkat akar umbi.
Kehadiran Pegawai Polis yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Sekolah
Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha iaitu ASP
Sukvinderjeet Singh A/L Chanan Singh yang turut
menyampaikan perutusan ketua polis negara sempena program ‘Jom Ke Sekolah’ peringkat
kebangsaan tahun 2020. Antara isi
perutusan tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap agar komuniti
sekolah dan pihak yang berkaitan dapat bekerjasama untuk terus membimbing
generasi muda, agar mereka tidak mudah terpesong, dan sebaliknya menjadi modal
insan yang cemerlang dan disanjung tinggi.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Dr Mohammad Hamim bin Mohamad Hanifah dan Naib YDP PIBG Hasan @ Hassan bin Jinin, pegawai angkat sekolah, Zaliha binti Mohd Salleh yang turut terlibat melakukan simbolik pelancaran program ‘Jom Ke Sekolah’ bersama-sama pentadbir sekolah, Guru Besar, Norinnie binti Kassim, PK Pentadbiran, Midah binti Yusop, PK Ko-kurikulum, Zulkipli Pabin, PK HEM, Shawal Abd Rahman, PK KPKP, Rodhy Edward Anak Edward Jalin. Simbolik pelancaran yang menarik dengan menampilkan murid yang berpakaian lengkap seperti seorang pegawai polis sebagai simbolik kemenjadian murid SKK SKRR.
Norinnie turut membacakan perutusan Menteri Pendidikan Malaysia turut menegaskan
bahawa kerjasama antara KPM dengan PDRM melalui PPS sentiasa diperkasakan untuk
menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat dan ceria kepada semua murid. Pihak
KPM mengharapkan bukan sahaja murid dapat menikmati rasa selamat apabila berada
di sekolah tetapi warga sekolah, ibu bapa dan semua pihak yang berkepentingan
turut merasai perasaan tersebut setiap kali berada di kawasan sekolah.
Hamim
berharap agar program ini memberi impak positif kepada murid-murid dan turut
mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran
untuk mengelakkan penularan Covid-19 dan gejala-gejala lain.
Majlis diakhiri dengan merasmikan papan kenyataan PPS yang ditandatangani oleh ASP Sukvinderjeet Singh. Program yang dikelolakan oleh penyelaras Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK), Faizurah binti Karim dan Lembaga Disiplin Sekolah di bawah seliaan pengurusan HEM berharap program yang melibatkan jalinan antara KPM – PDRM dan PIBG sekolah akan lebih memberi impak terhadap kehadiran murid ke sekolah dan seterusnya dapat meningkatkan lagi kemenjadian murid dari segi sahsiah, kokurikulum dan khususnya kurikulum.