Karnival Langkah Ke Sekolah, Serlah Potensimu

Labuan, 9 November 2024 (Sabtu) –  Karnival Langkah Ke Sekolah, Serlah Potensimu telah dianjurkan oleh Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan.  Objektif karnival ini adalah berfokus untuk meningkatkan minat dan motivasi murid-murid hadir ke sekolah serta memberi  kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai dan sekitar.

Pelbagai acara diadakan pada karnival ini iaitu  Program Let’s Clean Our Beach! yakni seramai 140 orang murid dan 35 orang guru pengiring di kesemua sekolah rendah dan menengah Labuan membersihkan Kawasan di pantai Kompleks sukan Laut Antarabangsa  Labuan. Sekolah-sekolah yang terlibat dalam program gotong royong ini terdiri dari  4 buah sekolah Ikon  3K -SK Sungai Lada, SK Sungai Lada, SMK Pantai, SK Pekan Dua, SM St Anne dan  SKK St Anne.

Program Karnival Langkah Ke Sekolah, Serlah Potensi di Ruang Legar Teratai, Kompleks Ujana Kewangan W.P Labuan telah dipenuhi dengan pelbagai reruai pameran daripada pelbagai unit dan agensi . Selain itu, murid-murid yang pernah mewakili WP Labuan ke peringkat kebangsaan menunjukkan bakat dalam bidang seni seperti tarian, nyanyian solo , bicara berirama, deklemasi sajak dan persembahan istimewa dari guru-guru Tadika Chung Hwa dengan pukulan  gendang yang menarik.

Karnival ini juga mengadakan acara kemuncak dengan   Majlis Penganugerahan kepada Guru Penolong Kanan HEM dan Guru bimbingan Kaunseling. Murid-murid juga dianugerahkan Anugerah Sahsiah dan Kehadiran Cemerlang. Majlis disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan, Pengarah Pendidikan JPNWPL.




Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah 2024: Semangat Kesukanan Meriah di SJK(C) Chi Wen

Labuan,18 November 2024   – Sempena sambutan Hari Sukan Negara 2024, sekolah SJKC Chi Wen telah menganjurkan acara khas Active Air Aerobic Dance bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga sekolah.  

Acara ini terbuka kepada semua, sama ada pelajar yang baru berjinak dengan sukan atau atlet yang berpengalaman. Melalui gabungan pergerakan dinamik dan muzik yang energik, program ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut meningkatkan koordinasi fizikal serta kesihatan mental.  

Setiap gerakan dan regangan yang dilakukan menjadi peluang untuk peserta menikmati keharmonian antara minda dan tubuh. Sambutan hangat daripada pelajar dan guru membuktikan bahawa sukan boleh menyatukan semua dengan cara yang menyeronokkan dan bermanfaat.  

Acara ini dirasmikan oleh Guru Besar Pan Yii Yng , yang turut menekankan kepentingan sukan dalam membina nilai disiplin dan kerja berpasukan. Sempena sambutan ini, pihak sekolah juga menyeru semua pihak untuk terus menggalakkan pelajar kekal aktif dalam aktiviti fizikal sepanjang tahun.

Pengacara majlis membuat pengenalan kepada Hari Sukan Negara. (Kiri-Cikgu Nuridayu, Kanan-Cikgu Celine)

Cikgu Sofini Ag Kadir membimbing senaman aerobik bersama anak murid di atas pentas.

Suasana di dalam dewan semasa murid-murid membuat senaman aerobik bersama-sama.

Suasana di dalam dewan semasa murid-murid membuat senaman aerobik bersama-sama.

Suasana di dalam dewan semasa murid-murid membuat senaman aerobik bersama-sama.

Berita oleh : SJKC Chi Wen




Kemeriahan Hari Kantin dan Hari Keusahawanan SJKC Chi Wen 2024

Labuan25 Oktober 2024  – SJKC Chi Wen telah menganjurkan Hari Kantin dan Hari Keusahawanan dengan penuh meriah hari ini. Acara ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada konsep keusahawanan sambil menggalakkan semangat kerjasama dan kreativiti.

Acara yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi ini disertai oleh seluruh warga sekolah, termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, termasuk jualan makanan dan minuman, pameran kraftangan, permainan tradisional serta fun games.

 

Murid gembira menunjukkan hasil yang dapat melalui jualan makanan.

Murid sedang menjual makanan ringan kepada guru.

Murid dengan guru di aktiviti stesen permainan.

Guru Besar SJKC Chi Wen, Pan Yii Yng, dalam ucapannya menyatakan, “Hari Kantin dan Hari Keusahawanan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembangunan sekolah, tetapi juga untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari kemahiran berharga seperti komunikasi, pengurusan kewangan, dan semangat berniaga.”

Antara gerai yang menarik perhatian ramai ialah gerai makanan tradisional yang menjual kuih-muih tempatan seperti kuih seri muka dan angku kuih, serta gerai minuman kreatif yang dikendalikan oleh pelajar Tahun 6. Selain itu, sesi lelongan barangan terpakai turut mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.

Acara kemuncak adalah pertandingan persembahan kreatif yang menampilkan bakat pelajar dalam seni lakonan dan tarian. Persembahan ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyampaikan mesej tentang pentingnya keusahawanan dan kerja keras.

Ibu bapa turut meluahkan rasa bangga terhadap usaha pihak sekolah. “Acara seperti ini sangat bermanfaat untuk anak-anak. Mereka belajar berdikari dan berinteraksi dengan orang ramai,” kata seorang ibu, Puan Ho.

Dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, Hari Kantin dan Hari Keusahawanan SJKC Chi Wen tahun ini dianggap sebagai satu kejayaan besar, sekaligus menjadi inspirasi untuk acara-acara mendatang.

Murid menjual makanan MEECUP kepada guru.

Suasana murid tahap rendah membeli makanan dengan murid tahun 6.

Stesen permainan tahun 6 Cheng.

Suasana gerai makan murid tahun 6.

Berita Oleh : SJKC Chi Wen




Kem Eksplorasi Go KBAT 2024: SK Layang – Layangan Budayakan Penerokaan Ilmu Dan Kemahiran Baharu  

Labuan, 13 November 2024 – Kem Eksplorasi Go KBAT 2024, yang diadakan pada Rabu, menjadi salah satu usaha SK Layang-Layangan untuk mendidik murid menjadi lebih kreatif dan berfikiran kritis sejajar dengan matlamat memperkasakan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) melalui pelbagai elemen pembelajaran yang menyeronokkan. Program yang berlangsung di Dewan Surapit, SK Layang-Layangan ini telah disasarkan kepada semua murid Tahun 5, khususnya daripada kelas 5 Sarjana dan 5 Bestari.

Program ini telah bermula seawal pukul 1:00 petang dan berlangsung sehingga jam 2:30 petang, memberikan tempoh masa yang mencukupi untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti yang menarik. Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh dan mengasah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid melalui pendekatan yang menggabungkan elemen interaktif dan kolaboratif. Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan daya intelek murid, tetapi juga memupuk kerjasama berpasukan serta keterampilan menyelesaikan masalah secara kreatif dan kritis.

Murid-murid dibahagikan kepada 10 kumpulan kecil untuk memastikan setiap individu berpeluang mengambil bahagian secara aktif. Setiap kumpulan diberi masa selama 20 minit di setiap stesen untuk melaksanakan tugasan yang melibatkan pelbagai cabaran menarik, seperti menyelesaikan masalah, membuat analisis dan menghasilkan penyelesaian kreatif. Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk memupuk kemahiran berfikir secara kritis, bekerjasama dalam pasukan serta mengintegrasikan ilmu pengetahuan daripada pelbagai subjek.

Murid-murid berbincang dan bekerjasama dalam satu pasukan untuk menyelesaikan soalan KBAT

Murid-murid membaca arahan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti

Sebanyak lima stesen menarik disediakan untuk Kem Eksplorasi Go KBAT 2024 kali ini, yang bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar. Aktiviti ini merangkumi dua stesen Sains (Sains 1 – Jirim dan Sains 2 – Kocak-kocak Sejuk), dua stesen Matematik (Matematik 1 – Wang dan Matematik 2 – Magic Triangle), serta satu stesen Bahasa Melayu – Sajak. Di setiap stesen, guru-guru berperanan sebagai fasilitator yang memberi panduan dan sokongan kepada murid untuk menyelesaikan tugasan yang telah disediakan.

Salah satu Stesen Sains telah memperkenalkan eksperimen praktikal di mana murid diajar cara membuat aiskrim menggunakan minuman kotak berperisa dan ketulan ais atau garam. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kemahiran saintifik murid, tetapi juga merangsang kreativiti mereka dalam mengaplikasikan konsep-konsep sains secara praktikal.

Di salah satu Stesen Matematik pula, murid diberikan cabaran untuk menghasilkan satu garis lurus 180 darjah melalui gabungan tiga bentuk segi tiga. Tugasan ini bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman murid tentang geometri dan konsep sudut, sambil meningkatkan kemahiran mereka dalam menyelesaikan masalah matematik secara visual dan kreatif.

Program seperti ini amat penting untuk menyediakan murid dengan kemahiran yang relevan dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar. Kem Eksplorasi Go KBAT 2024 ini bukan sahaja membantu murid memahami konsep-konsep pelajaran dengan lebih mendalam, malah turut mendorong mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar. Kejayaan pelaksanaan program ini merupakan satu kepuasan apabila melihat murid-murid berusaha mengatasi setiap cabaran dengan tekun serta bersemangat tinggi dan bekerjasama erat sepanjang aktiviti berlangsung.

Murid-murid menunjukkan minat dan penglibatan yang aktif terhadap setiap tugasan

Murid-murid bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan

Berita Oleh : SK Layang – Layangan




Highly Immersive Programme (HIP) Showcase : SK Layang -Layangan Komited Dalam Inisiatif  Penguasaan Bahasa  Inggeris

Labuan, 11 November 2024 – SK Layang-Layangan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam mendukung usaha memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa utama dunia dengan memastikan murid-murid sentiasa terlibat secara aktif dalam pelbagai program yang bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa, keyakinan diri dan kreativiti.

Sekolah ini percaya bahawa penguasaan Bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga sebagai asas untuk melahirkan murid yang mampu berdaya saing, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden.

Sehubungan dengan itu, SK Layang-Layangan telah mengambil bahagian dalam Highly Immersive Programme (HIP) Showcase, anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung meriah di Bilik Seminar Rafflesia, Ujana Kewangan. Program ini menghimpunkan penyertaan kreatif daripada sekolah-sekolah rendah dan menengah sekitar Labuan dalam usaha memartabatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Program yang dirasmikan oleh Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang mempamerkan hasil kerja murid dalam menguasai Bahasa Inggeris secara kreatif dan menyeluruh.

Reruai HIP yang telah disediakan oleh Fairy Lily dan Cikgu Nancy
Reruai HIP yang telah disediakan oleh Fairy Lily dan Cikgu Nancy

Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK Layang-layangan, Cikgu Ruhaida Mokhtar hadir memberikan sokongan
Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK Layang-layangan, Cikgu Ruhaida Mokhtar hadir memberikan sokongan

SK Layang-Layangan telah menghantar seorang wakil murid, Fairy Lily Gabriel, dari Tahun 5 Bestari. Di bawah bimbingan Cikgu Nancy Leong, Fairy Lily menunjukkan kemampuan dalam mempamerkan kreativiti dan kemahiran Bahasa Inggeris yang telah diasah melalui latihan dan dedikasi. Persembahannya yang penuh keyakinan memperlihatkan bagaimana penguasaan bahasa dapat memberikan impak positif dalam kehidupan seharian, sekaligus menonjolkan potensi murid muda ini sebagai contoh kecemerlangan dalam pembelajaran.

Puan Shamsuria Ebni, Guru Besar SK Layang-Layangan, turut hadir memberikan sokongan penuh kepada wakil sekolah dalam program ini. Kehadiran beliau menjadi bukti komitmen pihak pentadbiran sekolah dalam menyokong usaha guru dan murid untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Turut hadir memberikan dorongan kepada murid dan guru yang terlibat ialah Cikgu Ruhaida Mokhtar, Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK Layang-Layangan, yang memainkan peranan penting dalam menyelaras persediaan sekolah untuk program ini. Beliau komited memastikan setiap usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris diterapkan dengan sepenuhnya di sekolah.

HIP Showcase 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk murid-murid mempamerkan bakat dan kemahiran Bahasa Inggeris mereka, tetapi juga mencerminkan komitmen SK Layang-Layangan dalam mendefinisikan semula pendidikan sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar pengajaran di bilik darjah. Justeru, diharapkan melalui penekanan terhadap kreativiti, inovasi dan penguasaan Bahasa Inggeris secara meluas ini, menjadi bukti usaha berterusan SK Layang-Layangan dalam melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga mampu berdaya saing di peringkat global.

 

Berita Oleh : Sk Layang – Layangan




SK LAYANG-LAYANGAN REBUT PELUANG MERIAHKAN KARNIVAL STI MADANI 2024

Labuan, 9 November 2024 – Sekolah Kebangsaan Layang-layangan telah menyertai Karnival STI Madani 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL). Penyertaan ini memberi pendedahan kepada 40 orang murid dan 4 orang guru pengiring untuk mengembangkan pengetahuan dan minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (U-Science) dan Perbadanan Labuan (PL) telah berlangsung selama dua hari pada 8 hingga 9 November 2024. Murid-murid SK Layang-layangan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang membolehkan mereka meneroka dunia STI secara interaktif dan hands-on. Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuklah pameran, demonstrasi sains serta sesi perkongsian ilmu yang memberi pendedahan mengenai amalan serta kerjaya dalam bidang Sains,Teknologi dan Inovasi.

Sebagai salah satu sekolah yang menyertai karnival ini, SK Layang-layangan telah memanfaatkan peluang tersebut untuk mendedahkan kepada murid-muridnya dengan pengalaman berharga yang tidak hanya berfokus kepada teori, tetapi juga aplikasi praktikal STI. Aktiviti hands-on yang melibatkan eksperimen sains dan interaksi dengan teknologi canggih memberi peluang kepada murid-murid untuk belajar dengan cara yang lebih menarik dan menyeronokkan. Pengalaman ini memberi peluang besar kepada murid-murid SK Layang-layangan untuk melihat sendiri sekali gus merasai konsep-konsep Sains, Teknologi dan Inovasi yang dipelajari di dalam kelas. Murid-murid dilihat sangat teruja dengan pelbagai aktiviti yang dapat membantu mereka memahami sains secara lebih mendalam.

Murid-murid berpeluang merasai sendiri pengalaman STI dalam konteks kehidupan sebenar

Penyertaan SK Layang-layangan dalam Karnival STI Madani 2024 menunjukkan komitmen sekolah dalam menyokong pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi. Para murid turut mengambil bahagian dalam sesi kuiz yang menguji pengetahuan mereka tentang STI, serta menyaksikan beberapa demonstrasi sains yang mengagumkan. Pendedahan awal terhadap bidang STI seperti ini bukan sahaja membangkitkan sifat ingin tahu murid terhadap subjek sains, malah perkara ini turut memberikan  gambaran yang jelas kepada mereka tentang potensi kerjaya dalam bidang teknologi dan inovasi pada masa hadapan. Karnival STI Madani 2024 bukan sahaja telah memberi peluang kepada murid-murid SK Layang-layangan untuk meneroka dunia Sains, Teknologi dan Inovasi dengan lebih dekat, tetapi juga berupaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan STI dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, diharapkan supaya inisiatif seperti ini dapat dianjurkan dengan kerap agar lebih ramai murid mendapat manfaat serta mampu membina asas yang kukuh dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi. Karnival kali ini dilihat telah menandakan langkah penting ke arah pembentukan generasi muda yang celik STI, seiring dengan matlamat pendidikan negara yang lebih progresif dan berwawasan.

Berita Oleh : SK Layang – Layangan




RANCHAS TV, SMK Rancha-Rancha cipta sejarah di Festival TV PSS Kebangsaan 2024

Shah Alam, 6 November 2024 Dewan Karangkraf di Shah Alam hari ini meriah dengan acara Festival TV PSS Kebangsaan 2024, anjuran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) bersama Sinar Bestari. Festival ini menghimpunkan bakat muda dari seluruh negara yang bersaing dalam pelbagai kategori, termasuk kategori Pengacara TV PSS dan Guru TV PSS.

Acara yang bermula jam 10 pagi itu menyaksikan kemenangan gemilang SMK Rancha-Rancha, dengan pelajar sekolah tersebut, Mohammad Adzharul Afiq Hairul Afizul, dinobatkan sebagai Johan kategori Pengacara TV PSS sekolah menengah peringkat kebangsaan. Kejayaan ini adalah satu penghormatan kepada usaha gigih pelajar dan guru dalam menghasilkan kandungan yang bermutu dan kreatif untuk penyiaran di Pusat Sumber Sekolah. 

Selain itu, SMK Rancha-Rancha juga berjaya meraih gelaran Naib Johan bagi kategori Guru TV PSS Terbaik yang dimenangi oleh Cikgu Sapri bin Idris. Dedikasi dan komitmen beliau dalam membimbing pelajar menghasilkan program televisyen pendidikan yang berkualiti tinggi amat dihargai oleh pihak penganjur. Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengintegrasian Teknologi Pendidikan BSTP KPM En Mokhtar Haji Wahid.

“ Alhamdulillah, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah, rakan guru, dan pelajar atas sokongan yang diberikan. Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil usaha bersama. Semoga pencapaian ini memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus memperkasa Pendidikan Sekolah”. Ujar Cikgu Sapri ketika ditanya oleh wartawan Sinar Harian.

Ketua Pengarang Sinar Harian En Zamri Rambli, dalam ucapan beliau, mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta berharap agar festival ini terus menjadi platform utama untuk mencungkil bakat pelajar dan guru dalam bidang penyiaran pendidikan. Festival ini juga menekankan pentingnya penerapan teknologi dan kreativiti dalam pendidikan agar selari dengan keperluan masa kini.

Pengetua sekolah Ustaz Wan Azman bin Wan Awang mengucapkan tahniah kepada Cikgu Sapri Idris dan Mohammad Adzharul Afiq Hairul Afizul atas kejayaan meraih Naib Johan dalam Guru TV PSS Terbaik dan Johan  Pengacara TV PSS Peringkat Kebangsaan. Kejayaan ini membuktikan dedikasi dan komitmen mereka dalam memperkembangkan TV PSS di peringkat kebangsaan. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pendidik lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Festival TV PSS Kebangsaan 2024 sekali lagi membuktikan bahawa pusat sumber sekolah bukan sekadar tempat penyimpanan buku, tetapi juga pusat inovasi pendidikan yang mampu mencorak masa depan yang lebih cemerlang.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Barisan pemenang semua kategori di Festival TV PSS Kebangsaan 2024



SMK PANTAI KUASAI ANUGERAH PROGRAM PEMERKASAAN DIGITAL MURID (PPDM) PERINGKAT WP LABUAN 2024

Labuan – SMK Pantai berjaya mempamerkan kehebatan dalam bidang digital murid apabila memenangi 3 Johan,  3 Naib Johan Dan 2 Tempat Ketiga Dalam Majlis Anugerah Program Pemerkasaan Pendidikan Digital Murid Peringkat WP Labuan 2024 yang berlangsung pada 7 November 2024 lalu, bertempat di Bilik Seminar Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Majlis yang dianjurkan oleh Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan WP Labuan telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Pengarah Pendidikan, Tuan Haji Abidin bin Marjan menyampaikan sijil kepada Cikgu Baexi dan para pemenang dari SMK Pantai bagi kategori Media Kreatif, Johan We Think Digital Kategori Sekolah Menengah. Peserta Eva Amanda binti Md Azman, Azalea Arissa binti Ismail, Nurul Halimah binti Zulkifli dan Hana Marissa binti Abdul Wahab. Turut sama Encik Mohamad bin Pindut, KPP SSTP.

Anugerah-anugerah yang dimenangi oleh SMK Pantai ialah :

  1. Johan Pengaturcaraan : Minecraft Education Challenge (Menengah Atas). Peserta Abigail Ellandra Chua.
  2. Johan Media Kreatif : Digital Story Telling Animation Kategori Stop Motion & 3D Sekolah Menengah. Peserta Puteri Balqis Deealiss binti Noorsaidi, Nurul Zulaikha binti Dzulkarnaine dan Eva Amanda binti Md Azman.
  3. Johan Media Kreatif : We Think Digital Kategori Sekolah Menengah. Peserta Eva Amanda binti Md Azman, Azalea Arissa binti Ismail, Nurul Halimah binti Zulkifli dan Hana Marissa binti Abdul Wahab.
  4. Naib Johan Pengaturcaraan : Minecraft Education Challenge (Menengah Rendah). Peserta Ezekiel Aidan Chua.
  5. Naib Johan Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Rendah). Peserta Nurul Shamiera binti Abang Jaffaruddin dan Nursyefaa Syahira binti Fauzi.
  6. Naib Johan Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Atas). Peserta Fadhlin Hasya Dania binti Masri dan Alya Zawana binti Adih
  7. Tempat Ketiga Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Rendah), Peserta Elisha Ramadhani binti Mohd Shafiq dan Nur Qaireen Adelia binti Haidir.
  8. Tempat Ketiga Pengaturcaraan : Drone Education Challenge IR 4.0 (Menengah Atas), Peserta Muhammad Rayyan Daniyal bin Razif Haniff dan Izzah Syazwina Qasdina binti Rahim.

Pengetua SMK Pantai Encik Ismail Abdullah berkata kejayaan ini selari dengan hasrat sekolah untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Teras Pertama Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu menghasilkan Murid Fasih Digital.

Pengetua mengucapkan terima kasih kepada guru pembimbing Cikgu Baexi Jakim atas usaha kolaboratif dengan guru-guru lain dalam membimbing peserta-peserta SMK Pantai. Juga kepada PIBG SMK Pantai yang sentiasa menyokong keperluan kewangan untuk menyertai pertandingan-pertandingan tersebut.

Pengetua juga menghargai komitmen dan sokongan ibu bapa kepada anak-anak mereka dan ini juga merupakan antara faktor utama kejayaan murid-murid yang menyertai pertandingan ini.

Berita Oleh : SMK Pantai

 




Bengkel Penulisan Berita dan Media Tingkat Kemahiran Penulis Berpotensi

Labuan, 15 Oktober 2024 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan bengkel penulisan berita yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran guru dan pegawai dalam menghasilkan penulisan yang informatif dan menarik. Bengkel ini diadakan di Bilik Benua, SSTP, JPWP Labuan dari jam 1.00 petang hingga 5.00 petang.

Bengkel ini disasarkan kepada guru perpustakaan media sekolah dan pegawai dari setiap sektor di Jabatan Pendidikan Labuan. Peserta diberi pendedahan tentang teknik-teknik penulisan berita yang berkesan, termasuk cara menstruktur berita, penggunaan bahasa yang tepat, serta kaedah menarik minat pembaca.

Peserta bengkel diberikan latihan praktikal dan teori oleh penceramah yang berpengalaman dalam bidang komunikasi dan media iaitu Pn Noor Affatizah Sabtu Ketua Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri WP Labuan. Mereka belajar mengenai cara menyusun berita, penggunaan bahasa yang sesuai, dan pentingnya elemen-elemen seperti latar belakang, fakta, dan pendapat dalam penulisan berita.

Dalam sesi bengkel ini, peserta turut berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan bertukar idea mengenai penulisan berita yang berkaitan dengan aktiviti pendidikan di sekolah-sekolah. Penceramah yang dijemput terdiri daripada pakar dalam bidang komunikasi dan media yang berpengalaman.

Ketua Penolong Pengarah  Sektor Sumber Teknologi Peendidikan , Jabatan Pendidikan Labuan menyatakan, En Mohamad Pindut berkata  “ Saya berharap bengkel ini dapat memberi impak positif kepada semua peserta dalam meningkatkan kualiti penulisan mereka. Dengan kemahiran yang dipelajari, mereka dapat menyampaikan berita mengenai aktiviti dan kejayaan pendidikan dengan lebih berkesan.”

Cikgu Sapri Idris GPM SMK Rancha-Rancha  peserta bengkel berpendapat bengkel ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran penulisan, tetapi juga bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara guru dan pegawai di JPWP Labuan.

Pn Noor Affatizah Sabtu penceramah jemputan Bengkel Bengkel Penulisan Berita

Penyampaian cenderamata oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Peendidikan En Mohamad Pindut kepada penceramah jemputan.




Karnival Xploredel 2024: SK Layang-Layangan Pupuk Murid Mahir Pembelajaran Digital Abad Ke-21

Labuan, 26 Oktober 2024 – Karnival Xploredel Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 telah berlangsung dengan tema Memperkasa Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) melalui DELIMa. Karnival ini memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah khususnya untuk mempamerkan kemahiran teknologi dan aplikasi terkini, selari dengan matlamat PAK-21.

Tiga orang murid dari Sekolah Kebangsaan Layang-layangan turut mengambil bahagian dalam pameran tersebut, iaitu Nur Dania Rizqin Abdullah (6 Sarjana), Fairy Lily Gabriel (5 Bestari) dan Nur Afiqah Solehah Muhammad Khairul (5 Sarjana). Di bawah bimbingan sepenuhnya Cikgu Victoria Mazuin Malarn, murid-murid ini telah berjaya menyampaikan pembentangan berkaitan amalan baik pembudayaan DELIMa dengan memanfaatkan tiga aplikasi digital termasuklah Google Interland, Arkib Negara dan Autodraw.

Penglibatan mereka ini telah menjadi satu penanda aras kepada murid SK Layang-layangan yang lain untuk mendorong minat mereka serta memupuk kreativiti dan kemahiran dalam menggunakan platform digital bagi memperkasakan lagi teknologi pendidikan dalam proses pembelajaran.

Suasana ketika pembentangan sedang dijalankan di hadapan para juri dan murid-murid dari sekolah lain.

Suasana ketika pembentangan sedang dijalankan di hadapan para juri dan murid-murid dari sekolah lain.

Penyampaian semula sijil penghargaan dan pingat daripada pihak sekolah.

Penyampaian sijil penghargaan dan pingat daripada pihak Jabatan Pendidikan W.P. Labuan kepada SK Layang-layangan.

Berita oleh: SK Layang-Layangan