Raikan Ramadhan dengan Al-Quran

Seramai 30 orang murid terdiri daripada murid tingkatan 4,5 dan 6 dan 6 orang guru telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran peringkat SMK Labuan pada Jumaat lalu.

Majlis diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan turut dihadiri oleh semua guru dan murid sesi pagi seramai lebih 600 orang.

Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah dialunkan oleh Adik Muhammad Daniel Danish bin Atzuwan dari kelas 2 Berkat dan bacaan terjemahannya oleh Adik Muhamad Yunus bin Ganzuan dari kelas 2 Efektif.

Seterusnya peserta khatam Al-Quran telah membacakan surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas yang dipimpin oleh khalifah khatam iaitu Ustaz Mohd Sanusi bin Ya.

Majlis diserikan lagi dengan tausiyyah bertajuk “Kemuliaan Ramadhan” yang turut disampaikan oleh Ustaz Mohd Sanusi.

“Ramadhan adalah hadiah istimewa kepada umat Islam kerana kelebihannya melebihi 1000 bulan”

“Adalah satu kerugian jika kita berpuasa namun tidak disertai dengan amalan-amalan yang lain seperti bersedekah, membaca Al-Quran dan berterawih setiap malam” kata beliau.

Menurut penyelaras program, Ustazah Jamaliah binti Mohd Said berkata majlis khatam Al-Quran adalah aktiviti kemuncak program Ihya’ Ramadan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.

Di akhir majlis, pengetua sekolah telah menyampaikan infaq ramadhan berupa bag makanan kepada penerima-penerima yang layak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Kanan HEM, Puan Jamaliah Razali, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu dan Penolong Kanan Petang, Encik Abdul Ghafar Sallleh.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Kursus Kepimpinan Kokurikulum Lahirkan Pemimpin Masa Hadapan

Labuan, 14 April Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-7 bagi tahun 2023. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun.

Seramai 84 orang murid terlibat dalam program ini yang terdiri daripada AJK Tertinggi kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta persatuan badan beruniform. Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada murid  yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan untuk mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah.

Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dimulakan dengan sesi pendaftaran murid yang terlibat yang dikendalikan oleh Encik Yusri dan Encik Yee Choon Hian. Setelah itu, program dilanjutkan dengan pembahagian aktiviti kepada dua slot iaitu slot 1 merupakan penekanan terhadap kepentingan PAJSK kepada setiap murid dan juga kepada sekolah secara umum yang di sampaikan oleh Encik Yee Choon Hian selaku Penolong Kanan Kokurikulum SMKTPB yang juga merupakan pengerusi program kepimpinan.

Aktiviti Team Building yang dikendalikan oleh Encik Mustaffa -Penyelaras Program

Manakala slot 2 pula merupakan aktiviti Team Building “Paper Clips versus Our Minds” yang dikelolakan oleh Penyelaras Program iaitu Encik Mustaffa Bin Mohammad. Program ini diharap dapat membantu guru penasihat dalam mengurus aktiviti kokurikulum di samping melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah bahkan dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Kokurikulum  SMKTPB, En Yee Choon Hian yang juga dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.

Tegasnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi pelibatan dalam aktiviti kokurikulum yang akan menyumbang kepada aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan kecemerlangan akademik. PK Kokum turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang telah diberikan kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.

Sejurus tamat ucapan PK Kokum, program ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama dengan Penolong Kanan Kokurikulum, AJK Induk Unit Kokurikulum dan murid-murid yang terlibat dengan kursus kepimpinan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Antara aktiviti team building yang dijalankan



MPP Medan Latih Pemimpin Muda

Labuan, 4 April – Seramai 15 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Tingkatan 6, SMK Labuan telah dilantik dalam satu majlis yang telah diadakan pada Jumaat lalu.

Perwakilan MPP bagi kohort 10 ini telah dipilih melalui sistem pemilihan yang dibuat secara dalam talian.

Menurut Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu, pemilihan adalah berdasarkan 15 calon yang mendapat peratusan undi tertinggi selepas pengundian ditutup.

Antara yang terpilih untuk menerajui MPP bagi tempoh 2023/2024 ialah Mathew Chew Kah Ming, Fatima Nurulhidayu bt Mohd Hashim, Irdyna Nuraeisya bt Saminan, Avylyn bt Asin, Nur Farah Hanim bt Johari dan Joan Khoo Li Ling.

Selain itu, Mohammad Aiman Nazim bin Bobby, Azib bin Sabdin, Siti Nurafiqah bt Zamri, Muhd Syairul Hazwan bin Hazaimi dan Nur Husnina Farzana bt Serhan turut terpilih.

Turut berjaya menganggotai MPP ialah Riniezathul bt Ramlan, Ruzaimie Nur Sha bin Sroslee, Naaifah Dayana bt Hazmee dan Mohammad Hasifi Solehin bin Supri.

Sesi pembubaran MPP yang lama telah diumumkan oleh adik Nelsey Angeline Josley, YDP MPP Kohort 9.

Majlis penyerahan pelantikan dibuat di dewan sekolah berkenaan telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam ucapannya, Encik Mohd Nizam menyeru agar ahli MPP yang terpilih dapat meneruskan kecemerlangan kepimpinan MPP yang terdahulu.

“MPP adalah landasan terbaik kepada para pelajar untuk melatih diri mendalami ilmu kepimpinan. Setiap pelajar mempunyai potensi untuk memimpin” kata beliau lagi.

Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Saminan bin Sabtu dan Penyelaras HEM Tingkatan 6, Encik Mazri bin Mohamed Yunus.

Berita Oleh : SMK Labuan




Bengkel Pembangunan Berterusan (CPD) : Bengkel Penggunaan Smartboard Kelas Hibrid SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 23 Mac 2023 (Khamis) – Seramai 33 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghadiri Bengkel Pembangunan Berterusan (CPD) Penggunaan Smartboard Kelas Hibrid yang diadakan di kelas 1 Alfa, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Bengkel CPD ini telah disampaikan oleh Encik Suliman bin Milly. Melalui bengkel ini, Encik Suliman telah memberi taklimat secara terperinci mengenai penggunaan smartboard kelas hibrid bagi memastikan kelancaran sepanjang waktu sesi PdP para guru.

Bengkel ini telah diadakan kerana wujudnya kelas hibrid yang menggunakan smartboard atau papan putih interaktif elektronik menggantikan papan putih dalam sesi PdP di kelas. Oleh itu, objektif utama bengkel ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan para guru mengenai penggunaan smartboard dan fungsi-fungsi yang boleh digunakan yang mana dapat memudahkan dan membantu dalam sesi PdP.

Terdapat beberapa kelas di SMK Taman Perumahan Bedaun telah dijadikan kelas hibrid. Beberapa kelas yang terlibat seperti kelas 1 Alfa, 2 Alfa, 3 Alfa, 4 Alfa dan 5 Alfa. Kelas-kelas hibrid ini telah menggunakan smartboard menggantikan papan putih biasa.

Encik Suliman memberi penerangan mengenai penggunaan Smartboard kepada warga guru SMK Taman Perumahan Bedaun

Smartboard atau papan putih interaktif elektronik ini merupakan teknologi yang mengganbungkan penggunaan telefon pintar, komputer dan juga projector (whiteboard). Oleh itu, memudahkan para guru boleh memaparkan bahan PdP di permukaan smartboard yang sensitif terhadap sentuhan.

Berdasarkan taklimat Encik Suliman, dengan papan putih pada smartboard ini para guru boleh menulis seperti pada papan putih biasa malahan dengan pelbagai fungsi yang lebih canggih dan menarik.

Papan putih tersebut turut didatangkan dengan sokongan multi-touch yang membolehkan para pengguna menggunakannya dengan menyentuh menggunakan dua atau lebih lokasi pada satu masa.

Melalui bengkel penggunaan smartboard kelas hibrid ini pelbagai input dan tips yang berguna telah dikongsi supaya para guru dapat memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin dan dapat melaksanakan sesi PdP dengan mudah, menarik dan berkesan.

Bukan itu sahaja, diharapkan dengan kewujudan kemudahan teknologi yang canggih ini dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan kepada murid-murid SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita Mohd Nor @ Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Suliman Milly (kanan).



YPM sampaikan sumbangan ‘Back to School’

Labuan, 22 Mac 2023 – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah menyampaikan bantuan ‘Back to School’ kepada seramai 150 murid sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan, kelmarin.

Majlis yang telah diadakan di Dewan Mutiara, SMK Labuan dihadiri oleh Pengetua, Guru Besar sekolah-sekolah Wilayah dan wakil-wakil murid penerima.

Menurut penyelaras bantuan yang juga Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Puan Kamilah binti Mohd Saidi, majlis ini diadakan sebagai tanda sokongan komuniti dalam membantu murid-murid yang kurang berkemampuan untuk meringankan beban dalam membuat persiapan awal persekolahan.

Yayasan Pelajaran Mara telah diwakili oleh Encik Mohd Asraf bin Mat Dahari, Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan.

Beliau berharap para penerima menggunakan bantuan sebaik mungkin mengikut keperluan persekolahan.

“Terima kasih kepada JPWPL yang telah membantu YPM dalam mengagihkan bantuan kepada murid-murid yang layak” Encik Mohd Asraf

Selain bantuan BTS, YPM turut memberi bantuan dalam pelbagai bentuk untuk murid-murid yang memerlukan dalam pembelajaran.

Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran telah hadir mewakili Pengarah Pendidikan W. P. Labuan.

Dalam ucapannya, Encik Yahya mengucapkan terima kasih atas sumbangan YPM membantu meringankan beban keluarga dalam memulakan sesi persekolahan.

“Saya berharap agar bantuan berupa baucar ini dimanfaat sebaik-baiknya untuk pembelajaran oleh 150 murid terpilih”. Encik Yahya

Penebusan baucar boleh dibuat kepada pembekal yang dilantik iaitu Rizqent Niaga.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Awang Marten bin Hj. Abdul Rahman, YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan Pengerusi KOPELL, Encik Mazri bin Mohamed Yunus.

Berita Oleh : Sektor Pembangunan Murid




600 Pek Biskut dan Maskot Bumblebee Menyerikan Program First Day Of School SK Bukit Kallam

Labuan, 20 Mac 2023: Program First Day of School SK Bukit Kallam dikelolakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Semua pentadbir, Yang Dipertua PIBG Puan Aida Sandra Liansun dan semua AJK Guru PIBG, Guru Kaunseling dan Guru bertugas bersedia seawal 6.00 pagi untuk menjemput dan meraikan kehadiran murid ke sekolah.

Kehadiran Pegawai Angkat SK Bukit Kallam iaitu Tuan Haji Adam bin Abdul Rahim juga bersama sama meraikan kehadiran murid ke sekolah.

600 pek biskut disediakan untuk murid, guru dan AKP yang terawal. Begitu juga, kehadiran maskot BumbleBee yang menceriakan suasana pada hari pertama persekolahan. Warga sekolah berpeluang untuk bergambar bersama maskot tersebut. Biskut dan maskot ini disumbangkan oleh PIBG SK Bukit Kallam.

Seterusnya, semua warga sekolah berada di GSTB untuk melaksanakan perhimpunan mingguan. Perhimpunan bermula dengan nyanyian lagu, bacaan doa, ikrar dan akhir sekali Ucapan Guru Besar.

Berita Oleh : SK Bukit Kallam

Meraikan kehadiran ke sekolah dengan agihan biskut kepada murid



Bengkel Perkongsian Amalan Baik Pengajaran Jawi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 : Pedagogi Awal Jawi Dalil

Labuan, 11 Mac 2023 – Bengkel ini telah diadakan pada pagi tadi secara dalam talian. Merupakan Program jalinan kerjasama di antara SK Bebuloh, Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) DBP dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk memantapkan kemahiran guru-guru Pendidikan Islam dalam mempelbagaikan kaedah, teknik, inovasi bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dalam kemahiran jawi seterusnya dapat menarik minat murid dalam mencintai jawi.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Tuan Hj Mat Yusof Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL ustazah Kamariah Salim, Timbalan Pengerusi Munsyi Jawi DBP merangkap penceramah dalam bengkel ini ustazah Dalilah Desa, munsyi-munsyi DBP, guru- guru, pensyarah, ibu bapa dan murid-murid.

Bengkel yang diadakan semasa cuti sekolah ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 502 peserta mengikutinya sehingga akhir sesi dan begitu aktif mengambil bahagian sepanjang bengkel ini diadakan.

Peserta yang hadir akan diberikan sijil digital manakala kehadiran guru akan dimasukkan dalam SPLKPM.

Semoga usaha yang ini dapat manfaatnya kepada guru dan anak didik kita di sekolah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




SPM 2022 : Kejayaan Pasti Milik Anda !

Labuan, 19 Februari 2023 :

Ucapan Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sempena Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

“Apa khabar anak-anak SPM semua. Saya doakan anda semua sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua anak-anak yang telah pun membuat persiapan rapi bagi menghadapi peperiksaan SPM yang merupakan tiket yang sangat penting dalam membina masa depan anak-anak sekalian.

Saya amat teruja dengan usaha yang telah dibuat oleh anak-anak semua dan begitu juga usaha cikgu-cikgu yang membimbing anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini.

Anak-anak semua, perkara yang selalu saya ingatkan kepada anda semua. Dalam menghadapi situasi peperiksaan yang hampir dekat ini.

Pertama, Jaga keselamatan anda, supaya dengan keselamatan ini anda akan lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan dalam emosi yang baik.

Kedua, Jaga Kesihatan, kerana bila badan sihat kita akan mampu untuk melaksanakan apa juga tugasan khususnya dalam menjawab soalan peperiksaan.

Ketiga, Sentiasa berusaha membuat ulangkaji pelajaran tanpa mengira baki masa yang ada kerana sesungguhnya setiap masa itu amat bermanfaat dan sangat penting dalam usaha anda untuk mencapai kejayaan.

Keempat, Sentiasa berdoa kepada yang maha Esa semoga segala usaha yang telah anda laksanakan akan diberkati dan anda dapat melaksanakan tanggungjawab untuk menjawab peperiksaan ini dengan baik.

Kepada para ibubapa semua teruskan untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak masing-masing semoga dorangan dan sokongan itu akan meletakkan anak-anak kita lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan dalam keadaan yang tenang dalam keadaan emosi yang baik serta lebih berkeyakinan untuk menjawab soalan peperiksaan nanti.

Akhir sekali kepada anak-anak semua ingatlah apabila anda memasuki dewan peperiksaan anda bakal membawa 2 perkara iaitu harapan ibu bapa dan cita-cita anda.

Buat yang terbaik dalam menjawab peperiksaan, InsyaAllah, KEJAYAAN PASTI MILIK ANDA !

Encik Yusup Haji Mohamad. Pengarah JPWPL. 18 Februari 2023.




MAJLIS IHTIFAL SANAWIY ANTARABANGSA MARTABATKAN KECEMERLANGAN KELAS ALIRAN AGAMA SSN SMK MUTIARA

LABUAN, 16 Februari 2023 : Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara  telah berjaya menganjurkan Majlis Ihtifal Sanawiy Antarabangsa Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara pada 15 Februari 2023. Turut sama dalam menjayakan program ini adalah En. Ag Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara, En Yahya bin Ahmad Putih, Timbalan Pengarah,Sektor Pembelajaran ,Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Ustaz Mohd Fadzli Syeikh Abdul Rahim, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab, Penyelaras Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara, Ustazah Siti Sarah Abdul Majid, Ketua Panitia Pendidikan Islam, SSN SMK Mutiara, Adik Mirza Shami Bin Afandi,penuntut Jurusan Komputer Sains dan Engineering,Korea Universiti, Ustaz Saifulizzan bin Mat Yasin, Ketua Jemaah Hakim Majlis Ihtifal Sanawiy Antarabangsa  KAA SSN SMK Mutiara 2022/2023, Ustazah Rohani bint Tali, Ustazah Siti Zamriah binti Hussin, Ustazah Nur Hanani binti Mohd Nasir dan Ustazah Nur Fasihah binti Daeng Mustafa Kamal dari SSN SMK Mutiara selaku urusetia program kali ini, Cikgu Asrul bin Jais, Guru ICT Sekolah, Cikgu Mohd NorHafidz bin Mohd Jimas, Guru TV PSS SSN SMK Mutiara , En. Mohd Radzi Abdul Halim, Guru Kaunseling Sekolah dan Cikgu Mohd Amir bin Abdullah ,Guru Kelas 4 As-Syafie.

            Seramai 86 peserta telah menyertai program ini dengan jayanya melibatkan semua murid Kelas Aliran Agama dari Tingkatan Satu As-Syafie hingga ke Tingkatan 5 As-Syafie , SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara. Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab selaku penyelaras program telah menjemput dua orang penuntut universiti dari luar negara yang merupakan bekas murid KAA SSN SMK Mutiara yang berjaya menyambung pelajaran mereka ke menara gading. Mereka adalah adik Mirza Shahmi bin Afandi, penuntut Jurusan Komputer Sains dan Engineering,Korea University dan adik Khadijah binti Hazmi , penuntut Jurusan Kewangan Islam dari Universiti Az-Zarqa,Jordan.

En Yahya bin Ahmad Putih,Timbalan Pengarah,Sektor Pembelajaran ,Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah merasmikan program ini dengan jayanya. Beliau telah menyampaikan amanat buat semua peserta agar terus istiqamah mempelajari Bahasa Arab  demi memartabatkan agama Islam buat warga Wilayah Persekutuan . Majlis Ihtifal Sanawiy Kelas Aliran Agama  SSN SMK Mutiara 2022/2023 ini disasarkan kepada semua murid Kelas Aliran Agama SMK Mutiara seramai  102 orang murid dari  Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara. Ianya bermatlamat untuk membina keyakinan tinggi para murid menghadapi suasana persekitaran yang mempunyai pelbagai aliran pemikiran, seterusnya melahirkan generasi yang berilmu dan beramal soleh. Inilah aspirasi kepimpinan negara yang ingin melihat setiap insan itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang diharapkan untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Kita bukan hanya ingin melahirkan golongan bijak pandai tetapi juga mempunyai sahsiah dan jati diri yang tinggi terhadap negara. Sikap tahu mengucapkan terima kasih, tahu menghormati golongan tua dan pemimpin yang berjasa harus sentiasa diterapkan dalam jiwa anak-anak muda. Sikap ini penting dalam memastikan negara mempunyai generasi pewaris yang berwibawa. Hal ini bukanlah satu perkara mudah, apatah lagi dalam era globalisasi tanpa sempadan ini, namun kerjasama semua pihak dan rasa kebertanggungjawaban yang ada dalam diri manusia mampu melakukan transformasi ini.

En. Ag. Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara telah menyampaikan ucapan aluan dalam majlis ini dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar, kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Semua peserta mengambil peluang ini dengan memberikan sepenuh tumpuan kepada ceramah yang disampaikan oleh dua orang bekas murid SSN SMK Mautiara . Terdapat 5 anugerah utama yang dipertandingkan pada majlis kali ini. Berikut adalah senarai nama pemenang utama setiap kategori yang dipertandingkan. Antaranya Tokoh Sibawaih dan Tokoh Kurikulum dimenagi oleh Adik Nur Atiqah Choleng,5 As-Syafie, Tokoh Kokurikulum dimenangi oleh adik Mohd Ikmal Hakimi bin Mala,5 As-Syafie, Tokoh Sumur dimenangi oleh adik Dinca Al-Fansia,3 As-Syafiedan adik Ajmal Rosyada binti Zainal,5 As-Syafie. Kelas 3 As-Syafie dinobatkan sebagai Johan Kelas KAA paling bersih. 5 orang murid telah dipilih untuk menjadi Tokoh Bilal Surau al-Marjan dan 10 orang murid telah terpilih untuk memenangi Tokoh Kelas KAA.

Gimik perasmian melalui tayangan montaj semua program dan aktiviti Kelas Aliran Agama (KAA), SSN SMKMutiara telah menyuntik semangat semua yang hadir. Penyampaian T-Shirt KAA kepada para tetamu juga memeriahkan lagi majlis pada hari ini. Semoga program ini memberikan impak maksima kepada semua murid KAA dan menyuntik motivasi mereka untuk meneruskan pengajian ke menara gading. Ucapan terima kasih juga kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan yang telah memberikan kerjasama yang erat kepada SSN SMK Mutiara melalui sumbangan kewangan yang terbaik demi menjayakan program yang mulia. Semoga segala jasa baik yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini akan menjadi wasilah dan bekalan baik kita semua untuk agama, bangsa dan negara kita.

MAJLIS IHTIFAL SANAWIY ANTARABANGSA MARTABATKAN KECEMERLANGAN KELAS ALIRAN AGAMA SSN SMK MUTIARA

Iklan Digital Majlis Ihtifal Sanawiy Antarabangsa KAA SSN SMK Mutiara 2022/2023.
Kenangan bersama tetamu jemputan dan semua murid KAA SSN SMK Mutiara
Kenangan terindah murid KAA SSN SMK Mutiara bersama  tetamu jemputan.
Guru Pendidikan Islam Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara bersama tetamu jemputan.
Ucapan perasmian majlis disempurnakan oleh En Yahya bin Ahmad Putih,Timbalan Pengarah,Sektor Pembelajaran ,Jabatan Pendidikan W.P Labuan.
En. Ag. Rozlan bin Manan, Pengetua SSN SMK Mutiara sedang menyampaikan ucapan aluan majlis.
Adik Khadijah binti Hazmi , penuntut Jurusan Kewangan Islam dari Universiti Az-Zarqa,Jordan sedang menyampaikan perkongsian Halaqah Ilmu kepada semua peserta yang hadir.
Sebahagian daripada murid lelaki KAA SSN SMK Mutiara
Adik Mirza Shami Bin Afandi,penuntut Jurusan Komputer Sains dan Engineering,Korea Universiti sedang menyampaikan perkongsian ilmu kepada semua peserta yang hadir.
Persembahan Qasidah oleh murid -murid Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara.
Adik Nur Atiqah Choleng, 5 As-Syafei menerima piala Tokoh Kurikulum dari En. Yahya bin Ahmad Putih.
Adik Nor Adlina menerima piala Tokoh Kelas KAA 4 As-Syafie daripada En. Yahya Ahmad Putih
Adik Ajmal Rosyada Haji Zainal, 5 As-Syafie menerima piala Tokoh SUMUR Perempuan daripada En. Yahya Ahmad Putih.
Adik Dinca al-Fansia ,3 As-Syafie menerima piala Tokoh SUMUR Lelaki daripada En. Yahya bin Ahmad Putih
Penyampaian Sijil dan cenderamata kepada adik Mirza Syahmi bin Afandi oleh En. Ag. Rozlan bin Manan, bersama-sama En. Yahya Ahmad Putih , Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim dan Ustaz Zainal Abdul Wahab.
En. Yahya Ahmad Putih, En. Ag Rozlan Manan dan Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim  sedang ditemuramah oleh pihak TV PSS SSN SMK Mutiara.



Majlis Apresiasi Murid Menjadi ‘Booster’ Motivasi Murid SMK Taman Perumahan Bedaun

LABUAN, 16 Februari 2023 : Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah menjalankan Majlis Apresiasi Murid tahun 2022.

Majlis yang diselaraskan oleh penyelaras program, Puan Syafiqah Binti Nordin, tersebut dianjurkan oleh bidang Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid. Majlis ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang serta berpotensi dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan.

Majlis Apresiasi Murid juga bertujuan untuk memupuk emosi murid-murid agar berazam ingin maju, berlumba-lumba menuju kejayaan dan setanding dengan orang yang telah berjaya. Selain itu, Majlis Apresiasi Murid bertujuan untuk mengembangkan bakat murid dari segi kepimpinan, keyakinan terhadap diri sendiri, individu yang berpengetahuan, berkebolehan dan berkemahiran.

Majlis Apresiasi Murid menjadi pencetus kerjasama yang baik antara ibu bapa atau penjaga murid dengan pihak pentadbiran dan guru-guru juga menjadi tujuan utama Majlis Apresiasi Murid dijalankan.

Majlis Apresiasi Murid dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Bacaan doa khas Majlis Apresiasi Murid dipimpin oleh Ustad Nik Muhamad Fazli bin Nik Abdul Razak.

Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan bedaun dalam amanatnya berkata :

“Murid-murid yang menerima anugerah haruslah bersyukur dengan anugerah yang diperolehi, semoga majlis ini menjadi ‘booster’ motivasi kepada murid dan calon SPM haruslah membuat persiapan 200% dari sekarang untuk menghadapi peperiksaan SPM.”

Majlis Apresiasi Murid dirasmikan oleh YDP PIBG, Encik Heidar Hussein bin Md Rashid dengan paluan gong.

Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Pegawai Angkat Sekolah, Encik Mohd Nazri bin Mustapa, guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San, guru Penolong Kanan HEM, Encik Awang Adi bin Tuah, guru Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Yee Choon Hian, kaunselor, guru-guru, staf dan 70 orang ibu bapa murid penerima anugerah.

Persembahan multimedia peristiwa sekolah tahun 2022/2023 membuka tirai acara penyampaian hadiah dan sijil Majlis Apresiasi Murid.

Majlis penganugerahan dimulakan dengan penyampaian hadiah dan sijil bagi bidang Kokurikulum. Selepas persembahan 1, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil bagi bidang Kurikulum. Majlis penyampaian hadiah dan sijil bagi bidang Hal Ehwal Murid diteruskan selepas persembahan 2 dijalankan.

Pengetua Puan Norazita  (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid yang menerima anugerah dalam bidang kurikulum demgam diiringi oleh guru penolong kanan kurikulum, puan Chai Yee San.
YDP PIBG Encik Heidar Hussien  (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid cemerlang SPM 2021 Jerilyn Madius  demgam diiringi oleh pengetua Puan Norazita.
Pengawai Angkat Sekolah, Encik Mohd Nazri  (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid yang menerima anugerah dalam bidang kokurikulum demgam diiringi oleh guru penolong kanan kokurikulum, Encik Yee Choon Hian.

Kemudian, majlis graduasi khas murid tingkatan 5 tahun 2022 dijalankan selepas pengetua sekolah, Puan Norazita melafazkan kebenaran meneruskan sesi graduasi murid tingkatan 5. YDP PIBG, Encik Heidar Hussein melafazkan perasmian penutupan Majlis Apresiasi Murid tahun 2022 setelah sesi graduasi murid tingkatan 5 selesai.  

“Komitmen ibu bapa dalam program-program sekolah seperti Majlis Apresiasi Murid adalah sangat penting kerana tanpa sokongan para ibu bapa murid, tidak ada program yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat dijayakan.” kata encik Heidar Hussein dalam ucapan perasmiannya.  

Majlis Apresiasi Murid SMK Taman Perumahan Bedaun ditutup dengan acara sesi bergambar YDP PIBG, Pegawai Angkat Sekolah, pengetua, guru-guru, para ibu bapa bersama murid-murid penerima anugerah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Heidar Hussein (YDP PIBG) Merasmikan Majlis Apresiasi Murid Dengan Paluan Gong