MAJLIS BERBUKA PUASA ERATKAN SILATURAHIM

 

Labuan, 19 Mac 2024 -Tuan Haji Abidin Haji Marjan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan hadir bersama-sama beberapa warga Jabatan Pendidikan ke majlis berbuka puasa bersama Datuk Wong Kii Yii anjuran Warga Tadika Chi Hwa petang semalam. Majlis berbuka puasa pada 8 ramadhan ini diadakan di Fisherman’s Wharf, Paragon. 

Antara warga Jabatan Pendidikan yang hadir termasuklah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Insfrastruktur dan Perolehan, Encik Arfian Julian, Ir. Bong Kim Fatt(Jurutera SPI), Puan Zailiana binti Zainol, Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Encik Arraqib bin Al Kassim, Penolong Pengarah Sektor Infrastruktur & Perolehan dan Tuan Haji Razak. Majlis berbuka puasa tersebut juga dihadiri oleh lebih 15 orang warga Tadika Chi Hwa.

Hubungan dua institusi ini menunjukkan keakraban dan perpaduan yang erat. Tuan Haji Abidin juga berharap dengan hubungan dua hala ini ianya dapat mengeratkan lagi kolaboratif antara satu sama lain. Beliau juga percaya, hubungan ini mampu memberi impak positif terhadap kedua institusi, malah menunjukkan budaya yang boleh dicontohi oleh mana-mana pihak terutamanya di bulan yang mulia ini. Sememangnya, kemenjadian murid dan mutu kerja menjadi keutamaan, namun hubungan yang baik terhadap mana-mana institusi pendidikan sama ada sekolah rendah dan menengah juga menjadi faktor penting dan perlu dititikberatkan bersama.

Sebelum berangkat balik, Tuan Haji Abidin sempat beramah mesra bersama semua yang hadir sebelum sesi fotografi. Beliau menzahirkan ucapan terima-kasih atas kesudian menjemput warga Jabatan Pendidikan untuk bersama-sama dalam majlis berbuka puasa tersebut.

 




Santai Hiking- Tanjung Kubong Labuan Chimney Walking Trail

18 Februari 2024

LABUAN: Seramai kira-kira 50 orang warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bersama ahli keluarga telah menyertai Santai Hiking Geo-tapak Tanjung Kubong Labuan Chimney Walking Trail anjuran Kelab Pendidikan (KelPen), JPWPL dengan kerjasama Muzium Labuan bermula jam 7.00 pagi tadi.
Santai Hiking ini merupakan aktiviti kelab yang telah ditakwimkam yang menyumbang kepada gaya hidup sihat serta menjadi faktor penting dalam penjagaan kesihatan disamping dapat mengeratkan silaturahim sesama staf.
Aktiviti pagi tadi dimulai dengan taklimat ringkas dari geoguide berpengalaman, Nazli Ho Abdullah, sesi pemanasan badan dan diikuti bacaan doa di perkarangan Muzium Chimney.
Para peserta turut diberi taklimat mengenai Gedung Ubat iaitu tempat simpanan peluru (ubat bedil) tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua ketika menyusuri denai bersejarah dan Geotapak Chimney Trail Tanjung Kubong.
Hadir sama dalam aktiviti ini Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag Marten Datuk Hj Abdul Rahman.
“Kesibukan kerja bukanlah alasan untuk tidak menyertai program seumpama ini. Aspek penjagaan kesihatan perlu diterapkan dalam diri seseorang di samping memperlajari ilmu yang berkaitan dengan alam sekitar, flora fauna, sejarah sesuatu tempat dan kebesaran ilahi” ujarnya.
Aktiviti pada pagi tadi berakhir jam 9.30 pagi dengan sesi penyampaian hadiah oleh Pengerusi KelPen Suriani Alland Rice Onxley kepada 5 orang pemenang kuiz geopark iaitu Nurul Izzati, Rina Farrina, Noorul Syarhida, Nur Haziqah Adlina dan Basneh. Seramai 10 orang peserta cabutan bertuah turut menerima hadiah.
Menurut Penyelaras program Helne Asmat dan Julynah Wali, program seumpama ini akan diteruskan dan berharap mendapat lebih banyak penyertaan pada masa akan datang memandangkan geopark Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu sekaligus menjadikannya sebagai produk pelancongan yang menarik pengunjung ke Labuan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



Lawatan Kerja Pengurusan Tertinggi KPM ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara

Labuan, 26 Januari 2024 – Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah, menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman bin Haji Adnan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, YBrs. Tuan Haji Muie bin Ngah A.M.T. dan Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, KPM, YBrs. Tuan Haji Abu Hanipah @ Fauzi bin Zahari telah mengadakan lawatan kerja ke SK Sungai Lada dan SMK Mutiara pagi tadi.

Di SK Sungai Lada, rombongan ini telah dibawa melihat persekitaran sekolah, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan galeri sekolah. Terdapat 6 bilik darjah PPKI dengan jumlah murid seramai 43 orang, 6 orang guru dan 3 orang pembantu pengurusan murid. Rombongan lawatan tersebut turut diperlihatkan demonstrasi membuat ambuyat.

Tuan Haji Azman tekun mendengar dan melihat hasil kerja murid SK Sungai Lada
Lawatan persekitaran sekolah SK Sungai Lada
Rombongan berkesempatan melihat dan mencuba cara-cara membuat ambuyat

Manakala di SMK Mutiara, rombongan dibawa melihat hasil inovasi murid Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sukan. Murid-murid KAA turut mempersembahkan lagu KAA hasil ciptaan ustazah Rohani Tali, Penolong Kanan HEM SMKM. Ahli rombongan kerja tersebut turut diberi taklimat tentang aktiviti memanah dan tidak melepaskan peluang mencubanya.

Tuan Hj Azman turut memberikan sentuhan motivasi kepada 154 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akronim DUIT iaitu Doa dan bermunajat, Usaha berterusan, Ilmu yang cukup dan Tawakkal kepad Allah merupakan resepi untuk berjaya.

Tahniah kepada barisan pentadbir,guru, murid dan seluruh warga sekolah yang sentiasa komited memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Semoga SPM 2023, Labuan akan mencatatkan kejayaan cemerlang, inshaAllah.

Lawatan kerja Pengurusan Tertinggi KPM ke SMK Mutiara
Rombongan melihat hasil inovasi murid Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sukan
Tuan Haji Azman mencuba aktiviti memanah sambil diperhatikan oleh Encik Awang Rozlan (tengah)

Turut hadir dalam lawatan kerja kerja ini adalah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Integriti Mohd Khairul Rizal dan Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Suntikan Motivasi kepada Calon Peperiksaan SPM oleh Tuan Haji Azman
Gambar kenangan : Rombongan KPM dan JPWPL bersama warga sekolah SMK Mutiara



Progaram Santai-santai KelPen 2024

Labuan, 21 Januari 2024 – Kelab Pendidikan (KelPen), Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan Santai-santai KelPen Labuan pagi tadi bertempat di Pantai Rekreasi Kampung Sungai Lada.

Aktiviti Senamrobik beramai-ramai mendahului aktiviti lain yang diketuai oleh Cikgu Norhayati, Encik Ismail, Cikgu Murni dan Puan Julynah. Acara sukanika kanak-kanak turut diadakan. Antaranya memasukkan air dalam botol dan memancing botol.

Manakala acara dewasa pula ialah meniup belon, memecahkan belon dan bowling kelapa.
Seramai 70 orang staf jabatan bersama ahli keluarga hadir dalam majlis ini. Santai-santai KelPen merupakan cetusan idea Tuan Pengarah Ybrs Tn Hj Abidin Marjan semasa perjumpaan pertama ahli kelab pada 11 Januari 2024 yang lalu yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga jabatan serta menyatu dan meningkatkan kerjasama antara warga JPWPL.

Aktiviti ini turut disertai oleh Tuan Pengarah JPWPL Ybrs Hj Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Encik Awg Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Encik Sawal Hj Salleh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Puan Noraini Hj Sahbudin. Ketua- ketua Penolong Pengarah dan warga jabatan.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Kelab Pendidikan JPWPL Sesi 2024/2025

Labuan, 11 Januari 2024 – Perjumpaan Pengarah Pendidikan bersama Ahli Jawatan kuasa Kelab Pendidikan (KelPen) Sesi 2024/2025 diadakan pagi tadi di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam suasana penuh harmoni.

Dalam ucapannya, YBrs. Tuan Hj Abidin Marjan mengharapkan agar 145 warga pendidikan yang merupakan ahli KelPen dapat bersama-sama bersatu hati dalam menyokong dan menjayakan aktiviti yang dirancang oleh KelPen. Antara fokus utama KelPen ialah mengeratkann hubungan silaturrahim di kalangan ahli melalui acara hari keluarga, aktiviti ziarah menziarahi dan bersukan.

“Aktiviti lawatan dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli. Tidak kisahlah kita melawat dengan kawan mahupun keluarga, di dalam ataupun di luar negara yang pasti hubungan yang terjalin antara kita akan menjadi lebih rapat dan mesra lagi” ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan surat lantikan ahli jawatankuasa berkuatkuasa pada 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025 yang dipengerusikan oleh Puan Suriani Allan Rice Oxley.

Beliau cukup yakin barisan jawatankuasa yang baharu dilantik dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini secara professional dengan penuh komitment, cekap dan berkesan dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi jabatan ini.

Berita Oleh : Kelab Pendidikan JPWPL




Kunjungan Hormat Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan Ke Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Labuan, 8 Januari 2024 – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan pada 3 Januari 2024. Rombongan 10 orang pengetua tersebut diketuai oleh Encik Ismail bin Abdullah, Pengetua SMK Pantai merangkap Yang DiPertua MPSM WP Labuan.

Ahli-ahli MPSM WP Labuan yang hadir ialah Tuan Hj Mohd Nizam bin Yasim (SMK Labuan), Puan Mary Anita Abah (SM St Anne), Puan Siti Aminah Zakaria (SMA MAIWP Labuan), Puan Norazita Md Nor @Shamsuri (SMK Taman Perumahan Bedaun), Encik Ag Rozlan Manan (SSN SMK Mutiara), Encik Wan Azman Wan Awang (SMK Rancha-Rancha), Encik A Zailani A Mumin (SM Sains Labuan) dan Puan Wong Tong Moi @Connie (SM St Anthony).

Tuan Haji Abidin bin Marjan Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat tersebut bersama tiga orang Timbalan Pengarah iaitu Encik Yahya bin Ahmad Puteh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan Puan Noraini binti Haji Sabudin Timbalan Pengarah Sektor Perancangan.

Selain daripada untuk sesi suaikenal dan ramah mesra, kunjungan hormat tersebut juga bertujuan untuk menerangkan peranan MPSM dalam memperkasakan pendidikan di WP Labuan, serta mendengar amanat yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan.

Encik Ismail (2 dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Abidin disaksikan semua Timbalan Pengarah

Encik  Ismail Abdullah menekankan tentang peranan MPSM W.P Labuan melaksanakan Task Force SPM yang mempunyai matlamat, objektif dan konsep seperti berikut.

MATLAMAT :

Menerajui pasukan guru mata pelajaran untuk meningkatkan atau melonjakkan prestasi matapelajaran SPM WP Labuan.

OBJEKTIF :

  1. Merancang strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaran SPM peringkat WP Labuan
  2. Menyediakan panduan untuk pelaksanaan strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaranSPM peringkat sekolah

KONSEP :

  1. Program Untuk Guru – Peningkatan kualiti PdP dan kemahiran teknik menjawab soalan.
  2. Program Untuk Murid – Peningkatan penguasaan teknik belajar dan teknik menjawab soalanSPM bagi kelompok murid lemah, sederhana dan cemerlang

Tuan Haji Abidin Marjan telah menyampaikan beberapa amanat penting untuk tindakan semua pengetua.

  1. Pengetua memberi fokus yang besar kepada Kepimpinan Instruksional dalam mengemudi sekolah
  2. Setiap Pengetua perlu tahu data dan maklumat berkaitan prestasi semasa sekolah.
  3. Sekolah perlu membuat persediaan melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam tempoh 3 bulan sehingga April 2024.
  4. Pengetua mengajar mata pelajaran sesuai dengan opsyen masing-masing.
  5. Setiap Pengetua perlu menggerakkan jentera pentadbiran dalam pengoperasian sekolah dan jangan bekerja bersendirian.
  6. Kehadiran murid ke sekolah mestilah mencapai purata sekurang-kurangnya 93% kerana pencapaian murid berkait langsung dengan kehadiran mereka ke sekolah.
  7. Persekitaran sekolah mesti sentiasa bersih, selamat dan selesa.

Kunjungan hormat ini menghasilkan persefahaman yang jelas antara hala tuju Pengarah dan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengetua untuk mencapai matlamat yang ditetapkan serta memartabatkan pendidikan WP Labuan ke tahap yang lebih tinggi.

Berita Oleh : MPSM Labuan




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: MAJLIS LAUTAN KASIH SEJUTA KENANGAN

JPWPL telah mengadakan Majlis Lautan Kasih Sejuta Kenangan pada 23 November 2023.Majlis yang dianjurkan oleh MPT,MPSM dan MGB tersebut diadakan bersempena pertukaran YBrs.Tuan Yusup bin Hj Mohamad yang telah menerima kenaikan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kanan,Gred JUSA C di Sektor Dasar Dan Perancangan Pembangunan Keguruan Bahagian Profesionalisme Guru,Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kenaikan pangkat tersebut mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila YBrs.Tn.Yusup bin Hj Mohamad merupakan anak tempatan dari WP Labuan pertama yang dilantik ke jawatan kanan di KPM tersebut.

Dalam ucapan beliau, YBrs.Tn.Yusup menyampaikan nasihat-nasihat dan saranan-saranan sebagai panduan semua.Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa lebih banyak lagi kejayaan-kejayaan boleh tempa oleh warga pendidikan di Labuan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh semua Timbalan-Timbalan Pengarah,Ketua-Ketua Penolong Pengarah, para Pengetua dan Guru Besar serta pegawai dan kakitangan JPWPL.Majlis tersebut diurusetia dan dikelola bersama oleh Sektor Sumber Manusia, MPSM dan MGB.

YBrs.Tuan Yusup bin Hj Mohamad telah memulakan tugas secara rasmi di BPG KPM pada 28 November 2023.




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: BENGKEL KEPIMPINAN DAN HIGH PERFORMANCE TEAM 2023

Sektor Sumber Manusia dan Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL telah mengadakan dengan jayanya Bengkel Kepimpinan & High Performance Team pada 6-8 November 2023 yang melibatkan para Pengetua dan Guru Besar di sekolah-sekolah Labuan.

Program yang memberi penekanan kepada aspek pengukuhan kapasiti kepimpinan tersebut turut disertai kepimpinan tertinggi JPWPL termasuk Pengarah serta Timbalan-Timbalan Pengarah JPWPL serta KPP SSM.Turut terlibat dalam program kali ini adalah penceramah dari IAB serta KKPN JPN Sabah. Disamping didedahkan dengan kemahiran-kemahiran teori, peserta jua turut dimantapkan lagi dengan aktiviti-aktiviti outdoor dan fizikal yang telah diadakan di Pulau Manukan Kota Kinabalu.

Program tersebut turut mendapat maklumbalas positif dari peserta dan rata-rata berharap kesinambungan program ini akan dapat diadakan pada masa akan datang.




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN CUTI, ELAUN DAN KENAIKAN PANGKAT

Sektor Sumber Manusia JPWPL telah mengadakan dengan jayanya Kursus Pemantapan Pengurusan Cuti,Elaun dan Kenaikan Pangkat kepada AKP – AKP yang terlibat dalam mengendalikan urusan tersebut di Sekolah dan Jabatan. Kursus yang telah diadakan pada 6-8 Oktober 2023 di Miri Sarawak tersebut telah dihadiri hampir 40 peserta dari pelbagai sektor dan sekolah-sekolah di Labuan.

Disamping memberi panduan dan pendedahan terkini berkenaan dengan Pengurusan Cuti,Elaun dan Kenaikan Pangkat, sebagai tambah nilai kursus ini juga berjaya merapatkan lagi jalinan yang lebih erat antara SSM serta semua AKP sebagai sebuah pasukan yang padu dan mantap demi kecemerlangan JPWPL.

Semoga kerjasama yang erat ini akan dapat diteruskan utk program akan datang.




Anugerah DUTA 2023

Labuan, 6 Disember 2023 – Anugerah DUTA 2023 ( Digital Utilisation and Technology Awards ) Peringkat negeri telah diadakan di Auditorium Institut Latihan Perindustrian Labuan. Majlis yang diadakan secara tahunan ini telah disertai oleh 11 buah sekolah menengah dan 17 buah sekolah rendah. Majlis pada tahun ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan Encik Yahya bin Ahmad Puteh

Dalam ucapannya perasmiannya, Encik Yahya bin Ahmad Puteh berkata, budaya inovasi hendaklah diberi keutamaan untuk membawa perubahan dan pembaharuan dalam sesuatu organisasi. Hal ini memberi nilai tambah positif kepada usaha ke arah pengajaran dan pemudahcaraan berkesan dan dinamik ke arah transformasi yang berterusan. Guru mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab yang amat penting dalam tonggak kemajuan murid-murid. Dalam bidang ICT pula, fokus adalah kepada inisiatif pembestarian sekolah dan pengukuhan pembelajaran DIGITAL atau DIGITAL LEARNING. Tambah beliau :

Aktiviti Asas Literasi Maklumat merupakan proses pembelajaran sepanjang hayat melalui kaedah pembelajaran. Program Nilam khususnya perlu dilestarikan dan dilaksanakan secara berterusan. Pusat Sumber Sekolah mestilah dilibatkan secara langsung dalam aktiviti penghasilan bahan pembelajaran digital. Pelancaran TVPSS yang akan menjadi pemangkin digitalisasi di peringkat sekolah dan bakat-bakat pelajar terserlah contohnya dalam bidang pengacaraan, bidang kewartawanan, merakam video dan sebagainya.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan   Encik Yahya bin Ahmad Puteh

Majlis Anugerah Digital Utilisation and Technology Award (DUTA) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023 merupakan salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh pihak sekolah, para guru dan murid-murid yang cemerlang dalam usaha untuk melestarikan pembudayaan pendigitalan sekolah yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara seterusnya melahirkan anak-anak yang baik lagi cerdik.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan , Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP)  Encik Mohammad bin Pindut berkata bahawa pendidikan digital memainkan peranan penting dalam pembangunan modal Insan negara. Hasrat negara terletak di bahu kita untuk membantu melahirkan murid-murid celik dan fasih digital yang berupaya menggunakan teknologi digital secara kreatif dan inovatif untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan keberkesanan komunikasi dan menghasilkan inovasi.

Bacaan ikrar oleh barisan pentadbir sekolah dan penerima anugerah Majlis Anugerah DUTA 2023

Pada tahun ini sebanyak 179 hadiah untuk anugerah telah disampaikan dalam majlis ini merangkumi kluster Anugerah Anugerah NILAM , Pertandingan Bicara Buku, Pertandingan Pengkarya Muda, Pertandingan Video Kreatif, Pertandingan Digital Story Telling, Pemerkasaan Pendidikan Digital, Pembudayaan DELIMA, TVPSS , Pengurusan Sumber & Teknologi Pendidikan dan Anugerah Khas & Ikon.

Anugerah Emas merupakan hadiah utama Digital Utilisation and Technology Awards peringkat negeri W.P Labuan 2023. Pada tahun ini kategori Sekolah Menengah dan PPKI telah dimenangi oleh SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dan Sekolah Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Pekan 2. Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah ketua-ketua sektor , pegawai jabatan dan  semua pengetua serta guru besar sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : Cikgu Sapri, SMK Rancha-Rancha

Nasrullah bin Hanudin Naib Johan Ikon Pengawas Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan 2023