LAWATAN PEGAWAI PERHUBUNGAN SEKOLAH SEMPENA PROGRAM KEMPEN CEGAH JENAYAH DI SMK PANTAI, W.P LABUAN

Labuan, 13 Ogos 2025 – Program Cegah Jenayah di Sekolah ini merupakan anjuran Kelab Pencegahan Jenayah, SMK Pantai yang diselaraskan dengan pengisian ceramah pencegahan jenayah yang di sampaikan oleh PDRM IPD Labuan bagi memberi kesedaran kepada semua pelajar terhadap ancaman jenayah yang berlaku disekolah.

Ceramah ini telah disampaikan oleh ASP Kentnorten daripada Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti dengan kolaborasi Pegawai Perhubungan Sekolah dan warga SMK Pantai sebagai pengisian program hari Ko kurikulum yang jatuh setiap hari Rabu. Sasaran pelajar pada kali ini adalah dari 5 Pasukan Beruniform sekolah iaitu Kadet Remaja Sekolah, Pengakap, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Bulan Sabit Merah.

Sumber berita : FB Polis Daerah Labuan




Program Sekolah Bitara SPM 2025-Selangkah ke Menara Gading SMK Taman Perumahan Bedaun

LABUAN – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan program sekolah bitara SPM 2025 ‘Selangkah ke Menara Gading’ dengan sasaran kepada calon SPM 2025 seramai 99 orang. Program ini telah diadakan selama 4 hari iaitu bermula 29 Julai sehingga 01 Ogos 2025 bertempat di Dewan Sri Timbalai,Pusat Koreksional WP Labuan dan Bilik Mesyuarat, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Terdapat beberapa objektif program ini dijalankan selama dua tahun berturut-turut. Antaranya ialah membantu murid dalam kaedah dan teknik menjawab soalan SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kimia.

Seterusnya,program ini diadakan agar dapat membina keyakinan diri kepada murid SPM 2025 bahawa mereka boleh mencapai kejayaan jika berusaha tanpa mengenal erti jemu dengan cara menanamkan sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran serta berwawasan. Di samping itu, objektif utama program ini dilaksanakan agar murid mampu mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM 2025 yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan membantu meningkatkan prestasi serta penarafan sekolah khususnya dalam Standard Kualiti pendidikan Malaysia (SKPM). Malah,program ini juga dirangka untuk meningkatkan motivasi murid SPM 2025 agar sentiasa bersemangat tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.

Terdapat pelbagai slot ataupun bengkel teknik menjawab telah dilaksanakan sepanjang 4 hari program tersebut berlangsung.Sepanjang program ini berlangsung, banyak perkongsian teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah jemputan bagi mata pelajaran yang terlibat. Perkongsian Teknik menjawab SPM yang telah diberikan oleh para penceramah telah membantu murid untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan permasalahan yang berlegar di minda murid untuk mengetahui isi dan markah yang mencukupi dalam peperiksaan nanti. Teknik yang dikongsi ini juga akan membuka mata serta menggalakkan murid untuk memberikan isi dan jawapan yang cukup serta relevan dengan skema pemarkahan Setiap slot bengkel teknik menjawab ini juga telah diisi dengan memberikan sijil penghargaan kepada peserta yang paling aktif dalam bengkel tersebut. Selain itu, unit bimbingan kaunseling sekolah juga telah mengambil peluang dengan mengadakan slot motivasi sebagai penyuntik semangat kepada smua calon SPM 2025 dengan menjemput penceramah dari Kota Kinabalu iaitu En Suif Sainan.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan selaku Penolong Pengarah Unit Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Encik Mohd Reno bin Mohd Idris, turut hadir  Penolong Komisioner Penjara Pusat Koreksional Labuan, tuan Tajudin bin Tunggal, dan Naib Yang Dipertua PIBG sekolah, encik Halmi bin Hussien. Setelah berakhirnya program ini,pihak sekolah khususnya akan terus membantu calon SPM 2025 tanpa henti untuk sama-sama memperolehi keputusan yang cemerlang sekali gus meningkatkan pencapaian SPM sekolah.

Sumber Berita : SMK Taman Perumahan Bedaun




Kembara Kokurikulum Generasi Madani Pasukan Badan Beruniform (PBB) Peringkat Antarabangsa 2025

Thailand, 3-7 Ogos 2025 – Seramai 18 orang murid Tingkatan 4 dari Malaysia bersama dua orang guru pengiring telah menyertai Kembara Kokurikulum Generasi Madani Pasukan Badan Beruniform (PBB) Peringkat Antarabangsa 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 7 Ogos 2025. Program yang penuh semangat ini telah diadakan di Sangkhom Wittaya School, Daerah Sadao, Songkhla, Thailand.

Kembara ini merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) dan dikendalikan dengan jayanya oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah. Ia bertujuan untuk membina semangat kerjasama dan pendedahan antarabangsa dalam kalangan peserta, selaras dengan aspirasi Generasi Madani.

Program ini telah menyaksikan penglibatan tiga buah negara serantau—Malaysia, Thailand, dan Indonesia—menjadikannya platform terbaik untuk pertukaran budaya dan ilmu antara para peserta. Menerusi pelbagai aktiviti yang diatur, murid-murid berpeluang untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman, dan membina jaringan persahabatan yang melangkaui sempadan negara.

Kehadiran wakil dari tiga negara ini bukan sahaja memeriahkan program, malah turut memperkukuhkan hubungan bilateral dalam bidang kokurikulum dan pendidikan. Kembara ini diyakini telah memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada semua peserta, memupuk jati diri yang kukuh serta semangat kepimpinan dalam diri mereka.

#spmjpwpl
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#jpwpl
#LabuanBISAI
#100peratuskitapunya
 



Kejayaan Gemilang Pasukan Antap Budaya SMK Pantai di Borneo Floral Festival 2025

Labuan, 28 Julai 2025 — Pasukan Antap Budaya dari SMK Pantai WP Labuan sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam dunia seni dan budaya apabila berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam Pertandingan Tarian Etnik Kreatif Kategori Terbuka sempena Borneo Floral Festival 2025.

Dengan persembahan bertemakan “The Making of Pua Kumbu”, pasukan yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 ini turut membawa pulang Anugerah Khas Juri: Busana Terbaik, mencerminkan kreativiti dan ketelitian dalam pemilihan serta reka bentuk kostum tradisional yang memukau.

Koreografi oleh En. Abdullah Bin Ali telah memberikan nafas baharu dalam persembahan tradisional, manakala tenaga dan komitmen para penari telah menyemarakkan pentas dengan semangat etnik yang luar biasa. Barisan penari yang terlibat ialah:

  • Muhammad Asraf Adam bin Tahiruddin
  • Taylor Nolan Exsan
  • Awang Asyraf Batrisyah bin Awang Rizal
  • Aierel Farrez bin Azmi
  • Muhammad Danish Adam bin Mohammad Amir
  • Mohamad Faridzan bin Mohd Azmi
  • Nur Izzah Fatin binti Yusri
  • Umie Syahwanda binti Roziman
  • Dhia Nur Qeesya binti Mohd Arizul
  • Nurul Izzqeen binti Mohd Ria
  • Nur Naila Syahirah binti Syahiran

Kejayaan ini turut disokong oleh pasukan pengurusan yang berdedikasi termasuk Cik Susilawati selaku Pengurus Makanan, Puan Khadizah sebagai Pengurus Pengangkutan, dan Puan Muhairah yang bertanggungjawab menguruskan sijil peserta. Tidak dilupakan, alumni Antap Budaya yang menjadi tulang belakang dalam latihan dan penyediaan props. Istimewa juga buat Puan Nelly atas bantuan yang diberikan, serta seluruh warga SMK Pantai terutamanya Pengetua sekolah yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan penuh kepada anak-anak seni ini.

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah, malah menyemarakkan lagi kecintaan terhadap warisan budaya di pentas kebangsaan. Tahniah, Antap Budaya SMK Pantai — anda semua wira seni Labuan!




Al Intisar Harumkan Nama W.P. Labuan di Pentas Kebangsaan

Labuan, 27 Julai 2025 – Kumpulan nasyid Al Intisar mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan apabila berjaya meraih tempat ke-5 dalam Festival Nasyid Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Putrajaya.

Kumpulan ini terdiri daripada 6 orang penyanyi nasyid dan 3 pemain perkusi, hasil kerjasama antara pelajar SMK Labuan dan SMK Pantai, telah berjaya menambat hati para juri melalui persembahan yang penuh penghayatan dan bersemangat.

Menariknya, pasukan ini turut menerima tunjuk ajar daripada beberapa ustaz berpengalaman dari lima buah sekolah rendah iaitu SK Pekan Dua, SK Tanjung Aru, SK St. Anne, SK Sungai Bedaun dan SK Pantai. Sokongan padu ini menjadi pemangkin kejayaan mereka di peringkat kebangsaan.

Kumpulan Al Intisar membawa pulang sijil pencapaian, sebuah plak penghargaan, serta wang tunai sebanyak RM1,000, tanda pengiktirafan terhadap usaha gigih dan dedikasi yang ditunjukkan.

Penyertaan ini bukan sahaja memupuk semangat kolaborasi antara sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan, tetapi juga membuka peluang untuk mengetengahkan bakat anak muda ke pentas kebangsaan.




CERAMAH PDRM DAN LAWATAN PEGAWAI PERHUBUNGAN SEKOLAH DI SMK LAJAU

Labuan, 24 Julai 2025Satu program ceramah sempena Program Remaja Unggul Aspirasi Negara Peringkat SMK Lajau Tahun 2025 telah diadakan di Dataran Gemilang, SMK Lajau melibatkan kehadiran seramai 434 pelajar, warga sekolah serta jemputan dari pelbagai agensi diadakan semalam.
 
Ceramah yang disampaikan memberi fokus kepada isu penyalahgunaan dadah, jenayah buli, gangguan seksual, serta pencegahan jenayah komersil termasuk penipuan dalam talian. Pameran turut diadakan memaparkan maklumat tentang modus operandi sindiket jenayah penipuan.
 
Lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah turut dijalankan sebagai sebahagian daripada program jalinan kerjasama antara PDRM dan pihak sekolah.
“POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA”
 
#polissabah
#PolisDirajaMalaysia
#polisdaerahlabuan
 
Sumber :  Laman Facebook Polis Daerah Labuan




KEM PROGRAM INTERVENSI MINDA SIHAT (PRISMA) SEKOLAH RENDAH PERINGKAT KEBANGSAAN ZON SABAH-WP LABUAN TAHUN 2025.

Labuan, 25 Julai 2025 – KEM PROGRAM INTERVENSI MINDA SIHAT (PRISMA) SEKOLAH RENDAH PERINGKAT KEBANGSAAN ZON SABAH-WP LABUAN TAHUN 2025.
 
TARIKH: 23 JULAI – 25 JULAI 2025
LOKASI : PUSAT KOKURIKULUM NEGERI, JABATAN PENDIDIKAN WP LABUAN
 
PENYERTAAN 50 ORANG MURID SEKOLAH RENDAH:
– 25 ORANG WP LABUN
– 25 ORANG SABAH
 
KELOLAAN SEKTOR PEMBANGUNAN MURID, UNIT HAL EHWAL MURID (SUB UNIT KAUNSELING & KERJAYA MURID), JABATAN PENDIDIKAN WP LABUAN DENGAN KERJASAMA MAJLIS GURU KAUNSELING KEBANGSAAN WP LABUAN.
 
 




Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform (PBB) Peringkat W.P. Labuan Tahun 2025

Labuan, 5 Julai 2025 – Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform (PBB) Peringkat W.P. Labuan dengan kerjasama Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan, telah diadakan pada 4 hingga 5 Julai 2025 yang lalu.
 
Antara kategori yang dipertandingkan ialah Kategori Badan Kerajaan (GO), Badan Bukan Kerajaan (NGO), Kadet Remaja Sekolah, Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah dan Tunas Kadet Remaja Sekolah.
 
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah menyertai. Pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan mewakili W.P. Labuan ke fasa 1 peringkat kebangsaan.
 




Perkhemahan Madani Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) 2025 Peringkat Kebangsaan

Labuan, 19 jun 2025 – Perkhemahan Madani Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) 2025 Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 16 hingga 19 Jun 2025 bertempat di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
 
Perkhemahan ini merupakan anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM dan dikelola oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Kontinjen W.P. Labuan telah menghantar seramai 64 orang murid dan 12 orang guru menyertai perkhemahan tersebut.
 




Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSWPL 2025

Labuan, 23 Julai 2025 – Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSWPL 2025 berlangsung pada 21 hingga 23 Julai 2025 di Kolej Matrikulasi Labuan .
 
Kejohanan ini melibatkan 12 sekolah yang terdiri daripada 9 buah sekolah rendah iaitu SK Pekan 1 , SK Pantai , SK Rancha-Rancha , SK Bukit Kalam , SK Sungai Lada , SK Bebuloh , SK Sungai Bedaun , SK Layang-Layangan dan SK Membedai serta 3 sekolah menengah iaitu SMK Mutiara, SMK Lajau dan SMK Pantai . Kejohanan ini melibatkan seramai 224 orang murid berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan 113 orang pegawai kejohanan.
 
Majlis penutupan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSWPL 2025 telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Sawal Bin Haji Salleh , Timbalan Pengarah Pendidikan , Sektor Pengurusan Sekolah , Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. SMK Pantai dan SK Sungai Lada dinobatkan sebagai Johan keseluruhan kategori Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah bagi tahun 2025.