SKK Rancha-Rancha Johan Pertandingan ‘Choral Speaking’ 2018

TAHNIAH!! ??? JOHAN PERTANDINGAN ‘CHORAL SPEAKING’ PERINGKAT WP LABUAN TAHUN 2018.

KONDUKTOR TERBAIK – HANA MAISARAH BINTI ROSLAN ANJURAN : LABUAN INTERNATIONAL SCHOOL.

Baca Lanjutan Berita ini di Laman Web Rasmi SKK SK RANCHA-RANCHA




SK Tanjung Aru: Menjiwai Amalan Kesihatan melalui penerapan aktiviti penuh intipati

30 April 2018/Labuan – Bulan April merupakan bulan yang penuh dengan aktiviti bagi sekolah SK Tanjung Aru di mana pelbagai program dianjurkan yang berunsurkan kesihatan. Diantaranya ialah program PPDA (Pendidikan Pencegahan Dadah), I am free dan Minggu ‘SKTA Sihat’.

Sepanjang bulan April ini, terdapat pelbagai pertandingan yang diadakan bagi memastikan murid mendalami setiap objektif program yang ingin dicapai. Diantaranya ialah Kuiz PPDA, Kuiz Kesihatan Tahap 1 dan 2, Pertandingan mewarna PPDA dan Gaya Hidup Sihat Amalan Kita, Pertandingan Melukis Poster Anti Dadah yang bertemakan ‘Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita’ dan ‘Hidup Aktif, Badan Cergas’ bagi minggu kesihatan, Pertandingan Deklamasi Sajak berkaitan anti dadah, membina poster gergasi pra sekolah, mencari perkataan tersembunyi, Membina Replika Piramid Makanan, Replika Piring Sihat 1Malaysia,Replikasi Susu Dutch Lady Pra Sekolah, dan pertandingan Pamphlet Kreatif ‘Badan Sihat Minda Cerdas’.

Kesemua pertandingan ini adalah untuk memastikan murid-murid sekolah faham dan mengetahui bahawa kesihatan adalah aspek utama dalam kehidupan masing-masing. Aktiviti memberus gigi, ceramah anti dadah, ceramah kesihatan oleh unit kesihatan sekolah, saringan kesihatan untuk murid, para guru dan ibu bapa dan senam santai turut diadakan bagi menyahut usaha sekolah dalam meningkatkan kesedaran di kalangan warga sekolah tentang pentingnya kesihatan.

Selain itu, program ini merupakan satu platform bagi menyebar informasi terkini mengenai pentingnya menjaga kesihatan yang diusahakan oleh pihak sekolah kepada golongan yang disasarkan iaitu murid dan warga sekolah yang menjurus kepada kebersihan diri, pemakanan yang seimbang, senaman yang konsisten, mengelakkan stress serta menjauhi penyalahgunaan dadah serta rokok. Ia juga dapat dilihat sebagai pemangkin kepada amalan gaya hidup sihat yang sering diabaikan oleh masyarakat yang sememangnya kurang prihatin dan mengambil berat mengenai kesihatan.

Guru Besar SKTA, Puan Murni Binti Jaafar berkata, ‘MINDA YANG CERDAS BERMULA DARIPADA BADAN YANG SIHAT’ semasa merasmikan pembukaan minggu kesihatan yang dijalankan sepanjang bulan April ini. Beliau berharap setiap warga sekolah khasnya dan juga masyarakat sekeliling mendapat manfaat daripada akitiviti yang dianjurkan oleh Unit PPDA, Unit HEM, Unit Kesihatan Sekolah, Panitia Pendidikan Kesihatan dan Panitia Pendidikan Jasmani sekolah ini




Program Merimbun Ilmu SMK Rancha-Rancha

Labuan, 30 April 2018– Bertempat di Membakut Eco Lake Resort, SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah mengadakan program Merimbun Ilmu khusus bagi pelajar tingkatan 5.

Program ini merupakan salah satu program yang dirancang oleh SMKRR melalui bidang kurikulum sebagai usaha memberi persediaan awal kepada para pelajar menghadapi SPM tahun ini.

Turut serta dalam program selama 3 hari 2 malam ini ialah penolong kanan satu SMKRR Tn. Haji Abdul Rahman Bin Ahmad bersama rombongan peserta seramai 22 pelajar diiringi 5 orang guru.




Sambutan Hari Guru 2018, Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan – Bertemakan Guru Pemacu Transformasi Pendidikan, sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2018 telah berlangsung dengan penuh ceria dan harmoni pada 26 April 2018 bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Hj. Bashir Bin Haji Alias, Ahli Dewan Negara.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi serta prestasi tinggi yang ditunjukkan oleh para guru bagi melahirkan modal insan dalam merealisasi transformasi negara dapat dicapai.

Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara iaitu sebagai agen menyempurnakan akhlak.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menyeru guru-guru Wilayah Persekutuan Labuan memastikan roh guru sentiasa mendarah daging dalam setiap diri guru,  seterusnya mengangkat harga dan maruah diri murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan.

Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas dari cara biasa kepada luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

Puan Hajah Zaleha Hj Kurus telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2018 di atas sumbangan bakti penuh dedikasi yang telah dicurahkan kepada dunia pendidikan.

Majlis juga dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Datin Sri Hajah Nor Zamani binti Abdil Hamid, Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Tn. Hj. Mohd Yusof bin Samad, Pengetua SMK Labuan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Encik Ismail Bin Abdullah, Yang DiPertua Majlis Guru Besar Labuan, En. Jaafar bin Matusin dan  Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datin Hajah Dayang Pungut binti Abdul Jalil, Ketua-Ketua Sektor, Para Pengetua dan Guru Besar serta seluruh warga pendidik di Labuan.

Anugerah Penampilan Terbaik – SK Bukit Kalam

SK Bukit Kalam telah dinobatkan sebagai Anugerah Penampilan Terbaik sepanjang Majlis Sambutan Hari Guru 2018 berlangsung. Majlis turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Anak Guru Cemerlang.

Dalam majlis tersebut, YB Senator Datuk Hj. Bashir juga berkesempatan melancarkan buku Pembelajaran Abad Ke 21 Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Datin Sri Hajah Nor Zamani menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang sambil diperhatikan oleh Encik Raisin Saidin




Pameran Seni Visual Labuan Art Gallery Sempena Program Kem Membaca 1 Malaysia Di Sk Lubok Temiang

Labuan, 26 April – Labuan Art Gallery telah dijemput ke Pusat Sumber Al-Faaeq, SK Lubok Temiang menerusi Pameran Seni Visual dalam Program Kem Membaca 1 Malaysia (KM1M) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Sebanyak 20 lukisan pelbagai medium telah dipamerkan termasuk beberapa lukisan dari pengkarya luar negara. Menurut Siti Kamariah binti Abas, Labuan Art Gallery kini  turut mempromosi pelbagai lukisan koleksi mereka dengan kadar harga mampu milik.

Pada pameran kali ini, Labuan Art Gallery turut memperkenal secara asas jenis-jenis dan teknik lukisan kepada murid Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang dari tahun satu hingga enam.

Pameran ini adalah merupakan sebahagian program Kem Membaca 1 Malaysia yang dikelolakan oleh Pusat Sumber Al-Faaeq dengan objektif memberi pendedahan kepada seluruh warga sekolah tentang kepelbagaian seni visual yang ada dan nilai tambah terhadap minat serta kecintaan terhadap seni terutama seni visual.

Pameran sehari ini dikendalikan sepenuhnya oleh petugas Labuan Art Gallery, Siti Kamariah dan Muhd Faiz.

Terima kasih Labuan Art Gallery : Jemputan Siti Kamariah Binti Abas Muhd Faiz Bin Abdullah

Berita Oleh
Hasnan Bin Md Saad
Guru Perpustakaan Dan Media
Sk Lubok Temiang




APC 2017, Hargai Sumbangan Warga JPWPL

LABUAN – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan pada 24 April 2018 bertempat di salah sebuah hotel di Labuan bagi menghargai sumbangan warga JPWPL yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2017.

Seramai 121 orang warga Jabatan Pendidikan telah terpilih untuk menerima penghargaan di atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tahun lepas, tahun 2017.

APC merupakan satu pengiktirafan kepada anggota yang telah berusaha secara berterusan melaksanakan kerja dengan cekap dan produktif, beriltizam tinggi serta mensyukuri nikmat seperti yang terkandung dalam Teras Perkhidmatan Awam.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga pendidikan yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap yang terbaik sehingga terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini.

Pencapaian cemerlang ini merupakan pemangkin kepada usaha-usaha kerajaan dan Kementerian untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, sesuai dengan tema Majlis APC kita pada tahun ini, “Warga Cemerlang Pemangkin Transformasi Pendidikan”.

Para Pengetua dan Guru Besar yang sentiasa memberi sokongan dan dorangan kepada warga pendidik

 




Lawatan Perkongsian Pintar Dan Majlis Menandatangani Sijil Bersama 9 Buah Sekolah Rendah Dan Menengah Daerah Gombak Dan Selangor

Labuan, 25 April – Pusat Sumber Al-Faaeq telah dikunjungi seramai 25 orang peserta rombongan dari Kuala Lumpur dalam Program Lawatan Perkongsian Pintar Pusat Sumber Cemerlang dan Majlis Menandatangani Sijil Jaringan.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu terdiri daripada pengetua-pengetua, guru-guru besar dan guru perpustakaan dan media yang mewakili sekolah masing-masing dalam misi lawatan penandaarasan pusat sumber cemerlang.

Dalam majlis itu, peserta rombongan bertukar-tukar pendapat dan berkongsi amalan terbaik yang selama ini menjadi sumber utama di SK Lubok Temiang.

Taklimat telah disampaikan oleh Roslan bin Mohammad, penolong kanan pentadbiran sekolah ini.

Melalui ucapan balas oleh guru besar SK 1 Kuala Ampang, Rosnah Mat Yunos memuji amalan terbaik sukan di SK Lubok Temiang yang disediakan secara bersistematik dan teratur di samping eviden graf dan carta petunjuk yang memudahkan pencapaian sukan dianalisis secara terperinci. Beliau turut mengharapkan jalinan hubungan yang telah terjalin ini akan berterusan dalam apa juga bidang demi kecemerlangan pusat sumber, sekolah dan kemenjadian murid. Rombongan turut dibawa melawat ke Pusat Sumber Al-Faaeq untuk melihat sendiri perkembngan tranformasi ke arah pusat sumber cemerlang.

Terdahulu, rombongan ini telah melawat ke Pusat Sumber Cemerlang SMK Rancha-Rancha pada paginya.

Berita Oleh
Hasnan Bin Md Saad
Guru Perpustakaan Dan Media
Sk Lubok Temiang



Program Permuafakatan Ibu Bapa dan Penetapan Target Calon-Calon SPM 2018 SMK Lajau

LABUAN : Program Permuafakatan Ibu Bapa dan Penetapan Target Calon SPM 2018 telah diadakan di Dewan Mini Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau pada 14 April 2018.

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada ibu bapa mengetahui pencapaian dan perkembangaan anak-anak mereka di sekolah serta memberi peluang kepada ibu bapa dan guru membincangkan masalah yang dihadapi oleh calon-calon SPM tahun ini selain mengetahui program-program yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Dalam program ini juga , pengetua sekolah iaitu En Mohd Jamatin bin Abd. Latip telah membentangkan KPI sekolah untuk calon-calon SPM tahun ini kepada ibu bapa dan murid yang hadir.

Semoga Berjaya SPM 2018 SMK Lajau,  1Team,1Dream, Semela No.1

Pihak sekolah telah menyasarkan seramai 10 orang calon akan mendapat keputusan cemerlang dengan memperolehi semua A bagi semua subjek. Selain itu, pihak sekolah juga menyasarkan 100% murid akan lulus dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dengan gred purata sekolah 4.30.

Selain itu, dalam program ini juga telah berlangsungnya Majlis Bacaan Ikrar oleh semua calon SPM 2018 dan majlis menandatangani Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh wakil murid calon SPM 2018 iaitu adik Mohd Nazrin Shah bin Johari dengan disaksikan oleh Tuan Pengetua SMK Lajau dan ibu kepada adik Mohd Nazrin Shah iaitu Puan Sofiyah binti Yussoff.

Dalam program permuafakatan ibu bapa ini juga telah diadakan majlis penyerahan slip ujian bulan Mac dan headcount murid SPM yang disampaikan oleh guru-guru kelas. Sesi ini dijalankan agar guru-guru dapat berbincang bersama ibu bapa calon SPM mengenai prestasi anak-anak mereka dan cara menangani masalah calon-calon SPM ini.

Bersempena dengan program permuafakatan ibu bapa ini, pihak sekolah telah menjemput penceramah motivasi daripada Kota Kinabalu iaitu Dr Hajah Ananglangka binti Md Kassim untuk memberikan ceramah motivasi serta strategi menghadapi peperiksaan. Dalam sesi ceramah ini juga, Dr Hajah Ananglangka sempat mengadakan bengkel strategi menghadapi peperiksaan  bersama – sama calon SPM 2018.

Penceramah Motivasi Dr Hjh Ananglangka

Program permuafakatan ibu bapa dan penetapan target calon-calon SPM 2018 telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan serta sesi bergambar bersama-sama semua guru, ibu bapa , penjaga dan calon-calon SPM 2018.  Adalah diharapkan semua calon dan ibu bapa mengambil serius tentang persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan menjelang.

“1Team,1Dream, Semela No.1

Sumber Berita :  En Mohd Jamatin bin Abd. Latip, Pengetua SMK Lajau




Perkhemahan Kadet Bomba Dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018

18 April 2018 – Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia, Peringkat Kebangsaan 18hb-21hb April 2018 yang bertempat di Politeknik Sultan Muadzam Shah, Jitra, Kedah adalah merupakan program tahunan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama dengan Kementerian Pendidkan Malaysia. Program ini melibatkan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dari sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia yang telah didaftarkan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari 16 buah negeri di Malaysia. Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia, Peringkat Kebangsaan adalah merupakan program tahunan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama dengan Kementerian Pendidkan Malaysia.

Anata objektif program ini diadakan ialah :

  • Memupuk semangat Sehati Sejiwa dan cintakan keharmonian di kalangan ahli-ahli Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Malaysia
  • Menghayati dan mengamalkan ilmu kebombaan.
  • Meningkatkan disiplin dan memupuk semangat yakin diri, berdedikasi serta bertanggungjawab di kalangan ahli-ahli Pasukan Kadet Bomba.
  • Mewujudkan integrasi di kalangan ahli-ahli Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui penyertaan dalam program aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan kebombaan, program integrasi, kerohanian, riadah dan kesenian dan lain-lain aktiviti yang dijalankan .

W.P.Labuan menghantar satu kontinjen lengkap dengan kekuatan 45 orang  yang terdiri daripada murid-murid sekolah menengah  seperti berikut :-

  • 18 orang Kadet lelaki
  • 18 orang Kadet Perempuan

Kontinjen juga diiringi oleh 9 orang pegawai yang terdiri daripada Pegawai Bomba, Guru Pengerusi Teknik, Guru Pengiring dan Jurulatih)




Bengkel Asas Photoshop Dalam Kalangan Pengawas Pusat Sumber Al-Faaeq, SK Lubok Temiang

17 April 2018, BTPN Labuan- Seramai 30 orang pengawas pusat sumber Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang telah mengikuti Bengkel Asas Photoshop hari ini.
Bengkel yang diadakan di BTPN Labuan telah disampaikan oleh Cikgu Rizuan Asmarah dari Sekolah Antarabangsa Labuan.

Antara lain objektif bengkel ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pengawas pusat sumber sekolah proses mencipta pelbagai media menggunakan perisian photoshop. Selain itu, bengkel ini juga memberi peluang kepada murid berkarya secara digital selari dengan hasrat pembelajaran abad 21.

Ternyata bengkel sehari ini menarik minat semua peserta kerana dapat mempelajari sesuatu ilmu yang baharu di samping melatih mereka menjana idea dengan menggunakan persekitaran dan pengetahuan sedia ada.

Cikgu Rizuan ketika ditemui merasa teruja kerana diberi kesempatan berkongsi ilmu dan kepakaran bersama murid-murid SK Lubok Temiang khususnya pengawas pusat sumber sekolah yang sememangnya sinonim dengan medium media daripada pelbagai bentuk dan rupa.


Diharapkan bengkel seumpama ini akan terus diadakan demi menggalakkan minat murid dan mendedahkan dengan kepelbagaian guna komputer seperti penciptaan muka buku serta susun atur laman buku.